Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada :
2012/07/02
MANAGEMENT & Science University (MSU) melalui Kelab
Penyayang MSU dengan kerjasama Student & Career Development (SCD)
menganjurkan program khidmat masyarakat ‘Journey to West Sumatera: Remembrance
of Padang’, baru-baru ini.
Program enam hari lima malam itu membabitkan penyertaan 40
pelajar.
Pengarah program, Muhammad Nurizzuwan Kasir berkata, lawatan
itu menyasarkan matlamat memupuk dan memperkasa nilai tambah serta kemahiran
insaniah pelajar di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, penganjuran itu mampu membuka minda generasi
muda supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa memilih
latar belakang.
“Ini satu konsep pembelajaran melalui pengalaman yang
bertujuan membantu pelajar peka dengan komitmen kemasyarakatan.
“Pada masa sama, ia memperkasakan kemahiran diri melalui
aspek interaksi sosial dan budaya, sekali gus membantu mereka lebih yakin
apabila berdepan dengan masyarakat kelak,” katanya.
Program itu adalah kesinambungan misi kemanusiaan Pandanglah
Padang 1 dan Pandanglah Padang 2 yang di jalankan MSU pada 2009 dan 2010 ketika
bencana alam gempa bumi melanda Padang.
Antara aktiviti dijalankan termasuk kunjungan ke Kampung
Padang Alai untuk menjalankan aktiviti khidmat masyarakat, rumah anak yatim
Panti Asuhan Putra Darul Ma’arif Al Karimiyah bagi aktiviti berbentuk
pendidikan selain lawatan ke tempat menarik seperti Bukit Tinggi, Padang, Bukit
Lawang, Danau Meninjau, Danau Singkarak dan Batu Sangkar.
Pelajar tahun pertama Diploma in Human Capital Management,
Faculty of Business Management and Professional Studies MSU, Nur Rakidha
Kamarudin berkata, kesempatan terpilih mengikuti program itu tidak boleh
dilupakan.
“Saya gembira dan terharu melihat semangat kerjasama dan
kekeluargaan yang dipupuk di kalangan peserta. Semua aktiviti dirancang
berjalan dengan baik hasil permuafakatan.
“Program ini membuka minda dan memberi pengalaman baru. Saya
berharap mampu mengaplikasikan apa yang diperoleh ini dalam kehidupan,”
katanya.
Sumber: Harian Metro Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan