ROSILAWATI
ROSEDI
24 Julai 2012
KUANTAN - Penganjur perlu bersiap sedia dua minggu lebih
awal menyediakan kemudahan selengkapnya untuk memastikan keselesaan peniaga dan
pelanggan yang berkunjung ke bazar sempena Ramadan.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menegur sikap penganjur
yang tidak bersedia lebih awal berikutan penganjuran bazar tersebut berlangsung
setiap tahun.
Baginda bertitah, kelengkapan seperti lampu, kipas perlu
dipasang lebih awal dan bukan hanya dipasang di saat peniaga dan pelanggan
sudah berkunjung ke bazar tersebut.
“Setip tahun bazar ini diadakan, jadi kemudahan dan
keselesaan perlu diberikan buat semua pengunjung tanpa mengira pangkat kecil,
besar, muda, tua,” titahnya.
Baginda bertitah sedemikian selepas berangkat mencemar duli
berkunjung ke bazar Ramadan Taman Kerang dekat padang Majlis Perbandaran
Kuantan (MPK) 1, di sini, kelmarin.
Tinjauan mendapati peniaga dan pengunjung mengeluh dan
kurang selesa dengan situasi panas yang dihadapi selain keadaan cahaya yang
tidak mencukupi khususnya menjelang waktu berbuka.
Bagi Abdullah Ismail, 31 yang menjual Roti John di bazar
tersebut, mengakui kurang selesa dengan keadaan panas yang dialami dan rungutan
sama turut diluahkan oleh pelanggan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil
Melayu Kuantan, Abd Razak Kasim yang juga penganjur bazar terbabit berkata,
pihaknya menghadapi kesukaran untuk memasang kelengkapan tersebut dalam tempoh
lebih awal.
Menurutnya, lokasi tersebut hanya mula dipasang dua hari
sebelum Ramadan dan kekangan masa membatasi penganjur untuk menyediakan
kelengkapan terbabit.
“Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) yang menggunakan lokasi
ini sebagai venue juga menjadi faktor kelewatan.
“Namun kita berjanji malam ini segala kelengkapan seperti
lampu dan kipas akan siap dipasang sepenuhnya,” katanya.
Beliau juga memberitahu, tahun ini terdapat peningkatan 30
peratus jumlah peniaga yang menyertai bazar tersebut iaitu 248 peniaga
berbanding tahun sebelumnya.
Dalam pada itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan
(MPK), Datuk Zulkifli Yaakob berkata, mengakui penganjuran Sukma antara faktor
kelewatan namun dalam masa meminta pihak penganjur lebih bertanggungjawab
menyediakan segala kelengkapan.
“Kali ini kita menswastakan tapak ini dan memberikan peluang
kepada persatuan menambahkan dana selain dapat membantu ahli mereka dan kita
hanya mengutip bayaran permit terhadap peniaga,” katanya.
Menurutnya, pada tahun ini terdapat 24 tapak bazar dibuka sepanjang
Ramadan membabitkan 2,204 peniaga.
Zulkifli juga memberitahu, tahun ini MPK dengan kerjasama
Alam Flora menyediakan 50 tong sampah yang diletakkan di padang MPK 1 untuk
memberikan kemudahan terhadap pengunjung yang memilih untuk berbuka puasa di
padang tersebut.
Sumber: Sinar Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan