TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 27 Julai 2012

Berbuka puasa dalam kenderaan semasa bertugas tetap meriah


KUALA LUMPUR 26 Julai - Berbuka puasa di dalam kenderaan atau di tepi jalan bukanlah pilihan bagi kebanyakan orang, namun ia dianggap satu kepuasan buat sebahagian anggota polis yang bertugas demi menjaga keselamatan orang ramai.

Walaupun hanya menikmati segelas air serta roti sebagai juadah namun sudah cukup buat mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia di Balai Polis Bergerak di Tasik Permaisuri di sini mendapati anggota yang bertugas berbuka puasa secara ala kadar tanpa meninggalkan tuntutan tugas masing-masing.

Lebih meriah apabila ada anggota yang bukan beragama Islam turut menemankan rakan-rakan berbuka.

Menurut Lans Koperal Rizuan Anuar Zakaria, 28, yang pertama kali menyambut Ramadan sebagai suami, dia terpaksa membuang perasaan sedih tidak dapat berbuka bersama isteri demi tuntutan tugas yang perlu diutamakan.

"Walaupun sedih, tetapi isteri saya memahami tugas saya. Jadi pada waktu cuti saya akan berbuka bersamanya di rumah," katanya ketika ditemui di sini petang semalam.

Lans Koperal Naim Yahya, 27, berkata, baginya berbuka puasa ketika bertugas sudah dianggap sebagai 'alah bisa tegal biasa'.

"Sepanjang empat tahun menyertai polis, ini kali keempat saya ditugaskan di kawasan bazar Ramadan dan terpaksa berbuka di tepi jalan sahaja," ujarnya.

Rakan setugas, Konstabel Mohd. Azurazi Jalaluddin, 30, pula menganggap berbuka puasa bersama rakan-rakan adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat berkumpul beramai-ramai.

"Jika saya tidak bertugas pun, saya lebih seronok berbuka bersama kawan-kawan di balai kerana terdapat pelbagai jenis juadah yang dibawa oleh mereka. Masa itu juga kita dapat bersama-sama selepas penat bertugas," ujarnya yang masih bujang.

Berlainan pula bagi Konstabel Ross Hanny Lorenz, 28, yang berasal dari Sabah, walaupun bukan beragama Islam namun dia merasakan 'majlis' berbuka puasa di tepi jalan merupakan sesuatu yang unik.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran