TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 15 Julai 2012

Nama Pancaindera sisipan Mingguan Malaysia, idea Azah Aziz


Oleh Zainuddin Maidin

 
RAMBUT putihnya mulai kelihatan walaupun kemanisan dan kecantikannya masih jelas dalam memasuki usia lanjut empat puluhan dan saya bertanya kepadanya " Kak Azah tak mahu hitamkan rambut ke? Beliau menjawab "Zam I want to get old gracefully". (Saya mahu tua secara terhormat)

Kata-kata itu tersemat mendalam di ingatan hingga ke hari ini dan menjadi renungan saya dalam menilai kegilaan sesetengah manusia sekarang, lelaki dan perempuan mencari botox dan pewarna rambut untuk menampakkan muda dan mencantikkan rupa.

Kata-kata ini juga mengesahkan perhitungan saya terhadap Kak Azah dan suaminya Pak Ungku Aziz yang mahu melibat diri dan martabat mereka dalam kejatian keperibadian mereka sendiri.

Mereka percaya kepada keagungan diri yang dibangunkan dengan kudrat dan iradat yang diberikan oleh Allah SWT. Kedua suami isteri diketahui tidak mahu menerima sebarang anugerah bintang kebesaran kecuali Pak Ungku sedia menerima pengiktirafan dalam bidangnya sahaja, sebagai Professor Diraja.

 Dipetik dari majalah Mastika keluaran bulan Julai 1976.

Apabila Kak Azah (nama sebenarnya Sharifah Azah Mohammad Alsagoff ) meninggal dunia pada 9 Julai lalu dalam usia 84 tahun (dilahirkan di Singapura pada 21 Ogos 1928, maka saya merasakan bahawa walaupun singgahnya hanya sebentar di Utusan Melayu tetapi ketokohannya telah meninggalkan kesan besar dalam melengkap imej Utusan Melayu sebagai warisan bangsa yang agung.

Selain dari tersohor sebagai tokoh budaya, Azah Aziz membawa bersamanya aura sebagai isteri kepada Naib Canselor Universiti Malaya, Tokoh Besar akademik Profesor Ungku Aziz yang banyak berjasa dan datang daripada keluarga orang orang besar negeri Johor. Beliau adalah anak saudara kepada Datuk Onn Jaafar, pengasas UMNO dan ibunya Azizah Jaafar tokoh pendidikan yang terbilang.

Penyertaan Kak Azah ke dalam Utusan Melayu banyak dipengaruhi oleh Allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin yang meninggalkan Bernama untuk menyertai Utusan Melayu dalam tahun 1973.

Mazlan mahu meningkatkan imej Utusan Melayu sejajar dengan hasrat Tun Razak untuk memodenkan pemikiran Melayu, mengeluarkannya dari zaman sentimen dan emosi dan membangunkan pemikiran progresif dan dinamik di kalangan masyarakat Melayu.

Azah Aziz sebelumnya bertugas di Jabatan Pengarang Berita Harian setelah berpindah dari setiausaha kepada Ketua Pengarang Kumpulan Straits Times, Leslie Hofman yang melihatnya lebih berpotensi berada di lapangan penulisan.

Keperibadiannya adalah adunan kualiti wanita moden yang berpegang kepada tradisi dan budi bahasa yang tinggi. Dengan perwatakan ini, beliau dengan mudah menyesuaikan diri dengan dunia kemelayuan di Utusan Melayu yang keseluruhan pekerjanya terdiri dari orang Melayu dan keadaan pejabatnya yang tidak begitu selesa seperti di Straits Times.

Sifat merendah dirinya dan senantiasa menguntum senyum, tidak sombong dan dibantu oleh latar belakangnya yang lain, maka beliau mempunyai statusnya yang tersendiri dalam Utusan Melayu, disegani dan dihormati dan kehadirannya di Utusan Melayu sebagai tokoh budayawan tentu membesarkan lagi imej Utusan.

Saya sendiri tidak dapat mengingatkan tugas khususnya di Utusan Melayu kerana tidak pernah diumumkan oleh Ketua Pengarang Kumpulan tetapi menurut Maimunah Yusuf, mantan Ketua Pengarang Majalah dan Ketua Pegawai Operasi Utusan Karya, Azah Aziz adalah Pengarang Rencana, Utusan Melayu.

Saya ketika itu sebagai Pengarang Utusan Malaysia mengetahui beliau menyediakan rencana-rencana untuk ruangan wanita Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia serta majalah-majalah Utusan selain dari mempunyai ruangan catatan kehidupan hariannya seminggu sekali di Mingguan Malaysia.

 
Sukarela

Tugas utamanya ialah menjadi penasihat kepada majalah bulanan Wanita yang merupakan sebuah majalah paling berprestij dan popular pada tahun 70-an yang diterbitkan oleh Utusan Melayu tetapi beliau bukan sebagai pengarangnya.

Kasih sayangnya kepada budaya bangsa tidak sahaja terlihat dari pakaiannya yang tidak lekang dari baju kurung Johor yang menjadi identitinya tetapi beliau juga aktif secara sukarela dalam mempelajari, menyelidik dan mempromosikan seni budaya menerusi penulisan, pengumpulan, menghadiri seminar-seminar mengenainya di dalam dan luar negara selain berusaha untuk mewariskan kepada generasi baru dengan menulis buku-buku untuk dihayati dari anak-anak, generasi baru dan orang-orang tua.

Menurut rakan saya Tan Sri Johan Jaafar perkataan busana (pakaian) adalah cetusan dari Azah Aziz dan apabila ditambah dengan barang kemas atau hiasan permata diberikannya nama busaneka.

Buku Dendang dan Dondang Kanak-Kanak telah ditulisnya bersama dengan Dr. Ariff Ahmad (Allahyarham) untuk memperkenal dan mengembangkan lagu-lagu tradisi rakyat kepada kanak-kanak di samping buku puisi, Puisi Kanak-Kanak dan Marilah Bermain.

Saya merasa sungguh berbesar hati setelah lama berhenti dari Utusan Melayu, Kak Azah mengirimkan sebuah buku bergambar yang berkualiti bertajuk, Rupa dan Gaya Busana Melayu, sebagai sebuah kenangan buat Datuk Zam sekeluarga.

 
Dalam Sekapur Sirih kepada buku ini, Azah Aziz menyatakan melalui buku itu beliau cuba mengumpulkan nilai-nilai estetika dari persepsi dan daya kreatif orang Melayu zaman dahulu, yakni menurut fahaman peribadinya.

"Semestinyalah usaha ini amat terbatas dan hanya mampu menghayati cebisan dan imbasan daripada segala yang menyerlah yang dapat saya tadah dan tamping.

"Namun saya tidak ragu-ragu mengetengahkannya untuk dikongsi dan dinikmati bersama oleh generasi hari ini, tua dan muda," katanya.

Menurutnya lagi, huraian dalam bukunya itu adalah berdasarkan perbincangannya dengan orang tua-tua yang serba arif lagi bijaksana dan kaya dengan ilmu dan pengalaman dalam bidang masing-masing. Ia juga termasuk hasil rujukan kepada sastera klasik Melayu, hikayat, syair, pantun, gurindam, ungkapan, risalah dan makalah yang menjadi bacaan kegemaran saya.

"Sebahagian yang lain adalah dari ingatan serta pengalaman yang telah saya lalui dari zaman kanak-kanak dan remaja hingga membawa ke usia lanjut hari ini-kenangan yang kadangkala sayup-sayup, kadangkala begitu rancak dan segar dalam memori yang tidak dapat dilupakan," katanya.

Menurut Maimunah walaupun Kak Azah memperkenalkan baju kurung dari Pahang, kebaya pendek dan kebaya panjang tetapi pakaiannya tetap baju kurung Johor dan beliau tidak suka baju kurung dilapik dibahunya. Kain yang dipakai bersama baju kurung dinamakannya Kain Ombak Beralun.

Saya mengenali Kak Azah bukan setelah dia menyertai Utusan tetapi lama sebelum itu, sejak awal 60-an bila saya ditugaskan untuk meliputi speakers corner di Universiti Malaya (UM) setiap hari Sabtu di awal tahun 60-an, yang menjadi tempat pemimpin pemimpin pelajar berucap.

Saya lihat Kak Azah sering berada bersama-sama siswa-siswa untuk mendengar ucapan mereka. Ketika itu beliau masih muda jelita. Beliau juga sering dilihat di majlis-majlis sastera dan bercampur gaul dengan para penulis.

Dalam tahun 1972 beliau menubuhkan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia dan memimpin rombongan wartawan wanita Malaysia menemui Presiden Suharto dan Ibu Tien di Jakarta dalam usaha untuk merapatkan semula hubungan antara wartawan wanita Indonesia dan Malaysia selepas konfrontasi antara kedua negara.

Setelah berhenti dari Utusan Melayu dalam tahun 1995, Kak Azah sebagai anggota Lembaga Yayasan Tun Abdul Razak telah menghubungi saya untuk meminta saya menulis biografi bergambar Tun Abdul Razak.

Tan Sri Abdullah Mohd Salleh adalah sebagai pengerusi yayasan ini. Ketika itu saya bertugas sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan Publication & Distributors (UP&D).

Walaupun pada mulanya saya amat gembira menerima tawaran ini tetapi apabila isteri saya Zaiton binti Zainol Abidin diserang angin ahmar, ia mengganggu fikiran dan perasaan saya, maka saya meminta maaf kepada Kak Azah kerana tidak dapat menunaikan janji saya.

Saya mengesyorkan kepadanya wartawan Berita Harian, Rijal Arbee atau Professor Firdaus Abdullah yang juga mempunyai pengalaman meliputi Tun Razak semasa menjadi wartawan Berita Harian.

Bagaimanapun apabila mereka menolaknya maka Kak Azah menjemput saya minum petang bersamanya di Hotel Hilton Petaling Jaya dan kata-katanya, "Saya tak dapat berharap pada siapa lagi, saya nampak Zam jugalah,". Ini telah menyebabkan saya rasa sedih dan mendorong saya untuk meneruskan tugas ini.

Saya mengambil tanggungjawab ini kerana saya rasa saya boleh buat, kerana saya banyak mengikuti tapak-tapak perjalanan Tun Abdul Razak sejak beliau memikul tugas utama sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar hingga ke akhir hayatnya sebagai Perdana Menteri di London.

Saya menyempurnakan penulisan buku ini dan pencarian gambar mengenainya dengan sepenuh jiwa raga berasaskan kepada ingatan sepanjang mengikuti lawatannya bertahun-tahun dan saya menamakan buku ini, Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot. Dalam bahasa Inggeris ia diterjemahkan oleh Wan Hulaimi bertajuk, A Profile of Patriot.

Dalam pemergiannya, saya mengenang bahawa tanpa dorongan Kak Azah, buku ini tidak akan saya lahirkan. Inilah buku yang saya rasa sebagai sumbangan penulisan paling bererti untuk bangsa saya. Ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir pada 22 Ogos 1997.

Kepada Utusan Melayu, Kak Azah meninggalkan suatu nama yang indah, Pancaindera yang menjadi sisipan kepada Mingguan Malaysia setiap minggu. Nama ini tercetus dalam keadaan Utusan Melayu menghadapi cabaran dari saingannya yang menerbitkan majalah untuk akhbar mingguan mereka.

Oleh kerana Utusan Melayu tidak mampu untuk bersaing, maka saya mengesyorkan kepada Ketua Pengarang, Mazlan Nordin supaya dilipatkan lapan muka dari 16 muka bentuk besar Mingguan Malaysia menjadi bentuk kecil (saiz tabloid) dan dijadikan sebagai sisipan dengan pengisian utama bahan-bahan seni dan hiburan. Kak Azah memberikan namanya, Pancaindera.

Dengan sisipan ini Mingguan Malaysia telah meningkat edarannya seperti kilat. Dalam hanya sebulan edarannya bertambah sebanyak 70,000 naskah setiap minggu dan akhirnya akhbar saingannya menutup majalahnya dan mengikut langkah Mingguan Malaysia menerbitkan sisipan dari newsprint.

Mingguan Malaysia adalah menjadi perintis kepada semua akhbar dalam penerbitan sisipan menggunakan kertas akhbar. Nama Pancaindera kekal sebagai sisipan kepada Mingguan Malaysia sehingga sekarang.

Cuma yang saya kesalkan saya tidak dapat mengunjungi Kak Azah ketika sakit dan tidak sempat memberikan penghormatan terakhir apabila beliau meninggal.

Maka berakhirlah sebuah kehidupan tetapi jasa bertimbun tidak akan akan tenggelam. Jasa Azah Aziz sebagai Tokoh Besar Budaya menepati dan meliputi semua kriteria dan kualiti yang diperlukan bagi mendapatkan pengiktirafan itu sepanjang zaman.

Al-Fatihah.

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN adalah Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran