MUHAMMAD
SHEQAL DANISH,
17 Julai 2012
IPOH - Seramai 139 pelajar Kolej Poly-Tech Mara diraikan
dalam majlis Anugerah Dekan Sesi Jan-Mei 2012 di Hotel Kinta River Front, di
sini, yang sekali gus menyaksikan ledakan ilmu dalam bidang teknologi maklumat.
Rektor Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Datuk Yusoff Harun
berkata, pelajar harus peka dengan perkembangan semasa dunia multimedia
walaupun ia bukan merupakan satu bidang baru.
“Pelajar perlu mampu berlari dan mengejar peredaran masa
dalam setiap bidang yang mereka ceburi. Mereka perlu proaktif dan inovatif.
"Bidang multimedia memerlukan daya kreativiti yang tinggi di samping bakat
yang perlu digilap.
Ramai antara pelajar bidang ini telah berjaya dan
membuktikan kegagalan mencipta keputusan cemerlang dalam akademik bukan satu
halangan,” katanya pada media selepas acara perasmian.
Penerima anugerah adalah 100 pelajar dari kursus Diploma
Multimedia dan 39 dari kursus Diploma Pengurusan Dengan Multimedia yang telah
berjaya mencapai himpunan purata nilai gred 3.5 ke atas pada sesi pengajian
Jan-Mei 2012, melayakkan mereka menerima anugerah dekan.
Tiga pelajar telah menerima anugerah terbaik program dengan himpunan
purata nilai gred 4.0, iaitu pelajar kursus Diploma Multimedia, Hawa Najihah
Muhamad Basri; pelajar kursus Diploma Multimedia, Nur Atiqah Azmi dan
pelajar kursus Diploma Pengurusan Dengan
Multimedia, Adam Dean Ng Anuar Ng.
Hawa Najihah Muhamad Basri kini berada di semester 3 dan
telah berjaya mengekalkan keputusan nilai mata gred 4.0 untuk dua semester
berturut-turut.
Nur Atiqah Azmi, 20, dari Chemor, merasa kejayaannya
mengekalkan kecemerlangan prestasi dalam akademiknya banyak didorong oleh ibu
bapa dan pensyarah serta motivasi diri sendiri.
“Saya sering mengingatkan diri saya sendiri yang kejayaan
bukan datang bergolek. Ia harus dilakukan sebaik mungkin tanpa rasa jemu dan
putus asa. Tanggungjawab seorang pelajar harus sentiasa tersemat walaupun apa
juga keadaan yang dilalui”, katanya.
Adam Dean Ng Anuar Ng, 20, dari Ipoh, turut berkongsi
kegembiraan di atas kejayaannya terpilih sebagai pelajar cemerlang yang dapat
mengekalkan prestasi pembelajarannya.
“Tumpuan dan ketekunan mengulang kaji pelajaran adalah kunci kejayaan saya. Saya sentiasa
mendisiplinkan diri dan tidak pernah untuk ponteng kelas. Setiap pelajar harus
ada sikap bertanggungjawab,” katanya.
Sumber: Sinar Harian MalaysiaOnline.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan