TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 1 Oktober 2010

Kumpul 5,000 benih balak sebulan.

Sumber: Harian Metro Malaysia Online
Tarikh siar: 01 Oktober 2010.

Oleh Mohd Rafi Mamat, am@hmetro.com.my


PENGALAMAN bertugas lebih 15 tahun dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjadikan Pengawas Hutan, Rohani Muhammad Yusoff, 35, individu berkemahiran tinggi terutama dalam bidang berkaitan spesies kayu balak yang menjadi antara sumber komoditi negara.

Mengendalikan Unit Tapak Semaian Bahagian Pembangunan Pejabat Hutan Bukit Sekilau, Kuantan, setiap hari dia berhadapan dengan pelbagai tanggung­ jawab berkaitan.

Ini termasuk mengenal pasti benih, mengumpul, menyemai, memantau tapak semaian seterusnya mengagihkannya untuk proses menanam semula di kawasan hutan selepas ditebang.

“Tugas ini memerlukan minat dan kesungguhan yang tinggi. Terutama apabila masuk ke kawasan hutan, mendaki bukit

dan bermalam di hutan hanya untuk mendapatkan anak benih pokok balak berkualiti untuk tapak semaian.

“Setiap bulan tugas berkenaan perlu dilakukan membabitkan kawasan hutan berlainan di negeri ini. Selain mendapatkan anak benih berkualiti, ia juga bertujuan memperoleh benih berbeza,” katanya yang mempunyai empat cahaya mata berumur antara dua hingga 12 tahun.



Rohani berkata, setiap kawasan hutan di negara ini mempunyai taburan pokok balak daripada spesies berbeza, bergantung kepada bentuk muka bumi.

Sebagai contoh, pokok balak spesies berkualiti tinggi seperti meranti, kapur, keruing, balau dan cengal banyak terdapat di hutan berbukit.

Menurutnya, hanya spesies balak yang berkualiti tinggi sahaja menjadi pilihan syarikat pembalakan kerana ia menjanjikan pendapatan lumayan dan menguntungkan.

Hari ini, kayu balak spesies cengal berada pada kedudukan pertama daripada segi harga terting­gi iaitu kira-kira RM7,000 setan metrik, diikuti meranti, balau, kempas, jelutong dan kapur bernilai RM1,500 hingga RM3,000.

Dia yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat JPNP Bandar Indera Mahkota, Kuantan berkata, setiap bulan dia bersama kumpulannya akan mengumpul lebih
5,000 anak benih pelbagai spesies kayu balak untuk disemai di tapak semaian.

Antara benih pokok balak menjadi pilihan ialah cengal, meranti, kapur, kembang semangkuk dan beberapa spesies lain.

Jumlah berkenaan bertambah dua hingga tiga kali ganda terutama pada musim pokok hutan berbuah sementara pada musim hujan, aktiviti memungut benih tidak dapat dilakukan.

Menurut Rohani, pihaknya juga bekerjasama dengan unit memanjat pokok JPNP yang ditugaskan memungut biji benih.

Katanya, selain mengumpul benih pokok balak, unitnya juga terbabit menyediakan benih pokok hiasan termasuk spesies yang ditanam di tepi pantai.


“Bagi tujuan mengawal hakisan pantai, pokok rhu dan jambu laut digunakan. Anak benih akan dibekal­kan kepada unit pantai JPNP untuk ditanam di beberapa kawasan pantai yang dikenal pasti di Kuantan, Rompin dan Pekan.

“Banyak kawasan pantai di tiga daerah di negeri ini sudah ditanam dengan pokok rhu yang bukan saja sebagai agen penghalang hakisan tetapi sebagai peneduh dan hiasan,” katanya.

Menurutnya, pokok bunga tanjung, kelat pucuk merah dan pinang buah merah dibekalkan kepada pihak sekolah termasuk agensi berkaitan yang bertanggungjawab menghias kawasan yang dikenal pasti.

Unit tapak semaian menjadi nadi kepada usaha JPNP menanam semula pokok balak di kawasan hutan selepas diteroka mengikut syarat dan peraturan ditetapkan terutama daripada segi saiz pokok dan zon larangan menebang.

Pemantauan oleh kakitangan jabatan perhutanan memastikan kawasan hutan di negeri dalam keadaan baik seterusnya mengelak hakisan dan pencemaran sumber bekalan air.

“Saya berbangga bertugas dengan JPNP. Selain memperoleh banyak pengalaman dalam bidang perhutanan, tanggungjawab dipikul turut meletakkan negara pada kedudukan terbaik sebagai sebuah badan pemuliharaan hutan secara berkekalan.

“Sokongan padu semua pihak menjadikan JPNP sebagai agensi terpenting meletakkan hutan di negeri ini terus terkawal daripada sebarang aktiviti yang me­nyalahi undang-undang,” katanya yang berharap semua pihak dapat bekerjasama memelihara hutan.

Source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kumpul5_000benihbalaksebulan/Article

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran