TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 5 Februari 2011

Israel berasa terancam

Mukadimah:

MENARIK tatkala DR. MASZLEE MALIK mengungkap ayat ini: ‘‘Perubahan dan peristiwa yang berlaku di rantau itu pasti akan mengenang Tunisia sebagai pencetus revolusi kepimpinan manakala Mesir pula sebagai nadi kepada rantau tersebut. Jika rejim Mubarak berundur ia membawa petanda baru dalam lanskap politik di Asia Barat dan teori domino akan berlaku manakala Israel akan berasa terancam.’’ Rumusan itu dilontarkan ketika sesi wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID jurugambar MOHD. NAIM AZIZ memfokuskan kepada gerakan kebangkitan rakyat Mesir berikutan kezaliman rejim Presiden Hosni Mubarak.

Bekas pengajar di School of Government and International Studies, Durham University, United Kingdom itu melihat kemiskinan dan tekanan hidup penduduk di Mesir melonjakkan semangat untuk mereka keluar berdemonstrasi secara aman di jalan-jalan. Mesir sebagai negara yang menerima sumbangan kedua terbesar dari kuasa besar Amerika Syarikat dihimpit kemiskinan mengakibatkan penduduk di situ diresapi budaya negatif seperti rasuah yang semakin berleluasa.

Maszlee yang kini pensyarah jurusan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta bekas penceramah kursus Politik Islam di School of Oriental and African Studies (SOAS), London berkata, paling penting dalam menangani konflik di Mesir adalah memastikan Mubarak dan rejimnya berundur secara menyeluruh supaya reformasi di Mesir dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat di situ.

MINGGUAN: Apa punca sebenarnya krisis di Mesir?

MASZLEE: Kalau dilihat isu ini tidak boleh dipisahkan dari lanskap politik di Asia Barat itu sendiri. Semenjak 20 tahun yang lalu kebanyakan negara di sana banyak dikuasai oleh rejim diktator yang juga terdiri daripada anggota tentera dan pernah terlibat dalam revolusi seperti di Tunisia, Libya dan Mesir sendiri. Ada yang terlibat menggulingkan kerajaan beraja dan juga sosialis dan kemudian menggantikan kepimpinan pada awalnya berasaskan suara rakyat. Tetapi apabila terlalu lama mereka berakhir dengan diktator. Ini fenomena menyeluruh bila mana di negara Teluk termasuk Jordan dan Maghribi juga bersifat diktator. Krisis kewangan mengakibatkan ekonomi teruk di negara-negara itu serta agihan ekonomi yang tidak sekata telah menyebabkan rakyat kelaparan. Bila rakyat lapar mereka akan keluar ke jalan raya. Ini bukan sahaja berlaku di Asia Barat bahkan di seluruh dunia kerana ia adalah fitrah manusia. Ini ditambah dengan sistem autokratik yang melampau dengan tiada kebebasan akhbar, berpolitik dan sebagainya sebahagian penyebab peristiwa di Mesir hari ini. Namun kita juga lihat dunia global telah mendidik manusia di serata dunia dari negara membangun hinggalah ke Asia Barat menjadi celik terhadap hak masyarakat, tanggungjawab pemerintah dan isu berkaitan tadbir urus negara. Ini menyedarkan orang ramai tentang kepentingan demokrasi terutama di kalangan orang muda dan golongan intelek. Bagi mereka semua maklumat ini diperoleh dari luar melalui teknologi seperti Internet, akhbar dan paling berpengaruh adalah dari televisyen Al Jazeera.

Kemunculan Al Jazeera telah mendidik mereka tentang erti sebenar menjadi seorang manusia merdeka. Peranan stesen televisyen ini dalam revolusi mutakhir ini akan dikenang dalam lipatan sejarah. Ini sumbangan besar oleh Emir Qatar yang banyak memain peranan dalam Al Jazeera. Inilah peranan kuasa media baru yang ternyata penting dalam revolusi Tunisia, Mesir dan mungkin bakal berlaku di negara-negara jiran yang kini semakin menggelegak. Ia seolah-olah menanti waktu untuk meletus saja. Namun punca sebenar yang banyak mendorong rakyat untuk bangkit dalam krisis kali ini adalah kerana isu ekonomi seperti kelaparan, pengangguran selain korupsi, rasuah dan kepimpinan.

MINGGUAN: Kenapa selepas 30 tahun di bawah Hosni Mubarak baru sekarang penentangan ini berlaku?

MASZLEE: Ketika Mubarak naik ke puncak kuasa memang tabiat manusia tidak akan menunjukkan taring sebenar. Pada tahun 1981 beliau melancarkan projek Islamisasi dan ketika itu Mubarak begitu mesra dan lunak dengan golongan ulama Al- Azhar, pihak agama serta pembangkang iaitu Ikhwanul Muslimin. Malangnya honeymoon itu tidak lama dan beliau mula menunjukkan sifat sebenar. Pertamanya beliau menggunakan sekatan contohnya terhadap media, politik dan sebagainya. Kedua, beliau mengubah Perlembagaan dan kini pihak pembangkang mahu beberapa klausa dalam perlembagaan yang memberi kuasa untuk rejim kekal berkuasa diubah. Pembangkang ketika sekitar 90-an, wacana golongan Islamis lebih menonjol namun ia tidak mewakili hasrat rakyat yang besar. Hanya mereka yang menonjol dan berani ke hadapan dalam perjuangan demokrasi ketika itu. Kebangkitan itu ada tetapi ia tidak benar-benar mewakili rakyat. Dan kita boleh lihat setiap kali berlakunya pilihan raya Mubarak akan bertindak menangkap aktivis- aktivis ini. Suasana berbeza selepas tahun 2000 apabila media luar mula memainkan peranan dan kesedaran rakyat juga semakin meningkat. Kebanyakan mereka adalah golongan muda, umur pertengahan dan kelas pertengahan serta mereka yang pernah belajar di luar sebelum pulang ke Mesir.

Mereka inilah yang banyak memainkan peranan dalam mencetus perubahan. Cuma satu perkara di Mesir ini bukan kali pertama gerakan secara massa. Sebelum ini Gerakan Kifayah yang diilhamkan bagi menentang cubaan bagi melantik anaknya menjadi presiden. Anak beliau Gamal dikatakan telah dilatih untuk membuat perubahan dalam parti Mubarak seperti mana bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair lakukan dalam Parti Buruh. Orang yang bertanggungjawab adalah Profesor Abdul Wahab Al Masiri, seorang tokoh pemikir Mesir yang berjaya menyatukan golongan Islamis, haluan kiri dan liberal. Apabila waktu berlalu, sudah mula timbul tekanan mahukan perubahan rejim dan kemuncaknya adalah pilihan raya tahun lepas. Ini kerana terang-terang rejim Mubarak telah memanipulasi keputusannya apabila tiada wakil pembangkang terpilih sedangkan dalam pilihan raya sebelumnya pada 2005 ada sekitar 80 orang wakil dalam Parlimen. Selepas pilihan raya perasaan tidak puas terhadap keputusan semakin kuat, dan kemudian dengan kenaikan harga barang, minyak dan sebagainya. tetapi moodnya belum cukup kuat untuk revolusi sehingga tercetusnya peristiwa di Tunisia. Perubahan dan peristiwa di rantau ini pasti akan mengenang Tunisia sebagai pencetus revolusi kepimpinan manakala Mesir pula sebagai nadi kepada rantau tersebut. Jika rejim Mubarak berundur ia akan membawa petanda baru dalam lanskap politik di Asia Barat dan teori domino akan berlaku manakala Israel akan berasa terancam. Baru-baru ini seorang pelobi utama Israel di Amerika Syarikat, Zuckermann berkata: "Kita mahukan demokrasi tetapi bukan di Asia Barat.'' Ini kerana demokrasi di sana adalah sesuatu yang bahaya bagi kedudukan mereka.

MINGGUAN: Tetapi apa yang berlaku sekarang rejim Mubarak semakin menekan rakyatnya sendiri?

MASZLEE: Fitrah diktator adalah mereka mahu terus berkuasa selama mungkin. Mubarak mahu tunjukkan kepada rakyat dan dunia bahawa dia bukan seperti Presiden Tunisia , Ben Ali. Beliau tidak mempunyai keberanian tetapi Mubarak sangat berbeza dan bertegas, jika mahukan perubahan ikut dia punya syarat dan bukan rakyat memberi syarat. Ini ditegaskan oleh Timbalan Presidennya, Omar Suleiman yang diketahui ramai sebagai kawan rapat Israel dan anak didik CIA. Adalah mustahil jika Mubarak berundur Omar Suleiman akan menggantikan beliau jika rejim sama masih memerintah. Jika dia naik keadaan dilihat akan menjadi lebih teruk berbanding Mubarak. Pandangan penganalisis Arab adalah Mubarak umpama meminjam waktu kerana apa yang cuba ditunjukkan adalah walau apa pun yang berlaku ia bukan akibat dari rakyat tetapi kerana kehendaknya. Ini fitrah mana-mana diktator. Cuma apa yang berlaku sekarang adalah rejim beliau ini lebih "cerdik" tetapi dalam konotasi yang jahat untuk berhadapan dengan dunia luar dan rakyat.

Jika dilihat pada awal-awal polis telah dikerah dan berlakulah pertumpahan darah walhal rakyat ketika itu bergerak dan menentang secara aman. Malah ada yang mengatakan gerakan ini adalah yang paling bertamadun dalam sejarah demokrasi kerana ia berlaku secara aman. Tetapi kemudian tentera pula masuk campur tetapi tidak bertindak ganas sekadar hanya menakutkan rakyat dan tidak berkesan. Kemudian Mubarak membuat janji tidak melantik anaknya malangnya bukan itu yang dimahukan rakyat. Akibat tekanan polis hilang dari kawalan dan ketika itulah balai polis kena bakar dan diserang. Rupa-rupanya polis ini ada pelan B dengan berpakaian preman dan menonjolkan diri sebagai kumpulan pro-Mubarak. Kumpulan ini kemudiannya bertindak agresif dengan menyerang penduduk, ada yang menaiki kuda dan unta serta memiliki senjata api dan digelar sebagai "baltaji" atau samseng. Ini adalah sesuatu yang mengelirukan dan kemuncak adalah beberapa hari lepas apabila tentera terpaksa masuk campur untuk memisahkan dua golongan ini.

Dan kini tindakan rejim ini dalam menggunakan polis dapat dikesan satu dunia dan didedahkan. Kini semakin ramai pemimpin dari seluruh dunia meminta Mubarak membuat transformasi dalam bahasa lembut tetapi dalam bahasa sebenar adalah berundur kerana semakin ramai rakyat yang terbunuh. Ben Ali pernah menggunakan taktik yang sama tetapi gagal kerana tentera tidak bersamanya.

MINGGUAN: Apakah Mubarak akan akur dengan tuntutan supaya berundur?

MASZLEE: Dalam hal ini ada empat senario yang boleh diandaikan. Pertama jikalau berlaku perbezaan pendapat antara pemimpin tentera, Mubarak terpaksa berundur. Kedua kemungkinan beliau akan berundur tetapi penggantinya dari rejim yang sama seperti Omar Suleiman. Jika ini berlaku bermakna status quo kekal, tidak ada perubahan. Ketiga, akibat tekanan berat dari AS supaya Mubarak berundur memandangkan negara itu adalah sekutu paling rapat di Asia Barat.

Mesir adalah negara kedua terbanyak menerima bantuan dari AS selepas Israel di rantau tersebut. Jika ini berlaku adalah satu keadaan tidak baik bagi Mesir kerana AS pastinya akan memainkan peranan siapa yang akan menggantikan Mubarak. Yang keempat jika keadaan ini berterusan dan lebih banyak darah tumpah, memaksa Mubarak melarikan diri, maka tentera akan mengambilalih.

MINGGUAN: Apakah rakyat Mesir sudah bersedia untuk menerima demokrasi?

MASZLEE: Satu perkara yang perlu dilihat tentang Mesir ialah mereka mempunyai golongan menengah yang ramai di Kaherah, Iskandariah serta Suez. Kebanyakan ilmuwan di Arab datang dari Mesir dan rakyatnya pula agak berbeza berbanding negara-negara lain ialah mereka dilihat selangkah ke hadapan dalam banyak hal baik dari seni, pendidikan dan sebagainya. Jika dari ruang demokrasi saya lihat tidak ada masalah kerana mereka pernah menolak sistem monarki, rejim sosialis di bawah Gamal Nasser dan kini rejim nasionalis di bawah Mubarak.

Pengalaman ini memberi input kepada golongan muda dan pertengahan bahawa mereka sudah bersedia dengan sistem demokrasi yang sebenar. Namun ia akan mengambil waktu dan tidak berlaku dalam sekelip mata kerana pensejajaran antara aktor-aktor politik memerlukan sedikit waktu. Ini sebagai contoh antara golongan minoriti kibti Kristian dan Muslim, isu antara golongan sekular dengan Islamis, isu antara golongan liberal dan tradisionalis, kuasa agama di Al- Azhar yang sebelum Anwar Sadat mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat sivil dalam paradigma agama. Ini semua antara perkara yang memerlukan waktu untuk digembleng semula. Bagi saya demokrasi akan berlaku tetapi dalam acuan mereka dan "bahasa" itu sudah semakin kuat sekarang.

MINGGUAN: Golongan mana yang dijangka akan lebih menonjol jika berlaku perubahan?

MASZLEE: Semua tahu bahawa pembangkang utama adalah Ikhwanul Muslimin. Tetapi mereka sedar belum masanya untuk memimpin Mesir dan jika mereka naik ia umpama meletakkan bahaya yang sangat besar bagi negara itu. Mereka banyak belajar dari pemimpin pembangkang Islam buangan dari Tunisia, Rashid Ganushi yang menyatakan "gerakan Islam kami tidak ingin memerintah negara kerana kami adalah sebahagian dari rakyat dan tidak akan bertanding presiden'. Beliau juga yakin kumpulan dan gerakan lain perlu bersamanya untuk menubuhkan kerajaan Tunisia baru.

Dan saya terkejut Ikhwanul Muslimin juga mengeluarkan kenyataan sama baru-baru ini. Mereka menyatakan bahawa mereka bukan mahu syariah tetapi perubahan pada perlembagaan supaya rakyat mendapat kuasa yang lebih. Mereka mahukan yang terbaik kepada rakyat. Setakat ini mereka menyatakan persetujuan kepada Mohammed El Baradei yang diiktiraf dan dikenali di peringkat antarabangsa dan dilihat neutral dalam hubungan dengan AS dan Israel. Tapi kalau dilihat dari kehendak rakyat Mesir tidak kira mereka liberal, berhaluan kiri apatah lagi Islamis mereka tidak boleh menerima Israel dan tidak mahu tunduk dengan AS. Ini yang menggerunkan Israel.

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran