TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 16 Februari 2011

Abdul Hayei terima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

Oleh Azrina Ahzan dan Siti A'isyah Sukaimi, bhnews@bharian.com.my

2011/02/16

Pelajar Cina cemerlang Bahasa Arab dalam PMR antara diiktiraf

PUTRAJAYA: Bekas Prof Madya Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, 64, menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan semalam, berdasarkan sumbangannya dalam penghasilan karya ilmiah Islam termasuk penerbitan Tafsir Pedoman Muttaqin iaitu kitab tafsir al-Quran versi Melayu.

Abdul Hayei yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, menerima hadiah wang tunai RM50,000, sijil, plak dan set tafsir al-Quran bernilai RM3,000 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di sini, semalam.

Turut menerima anugerah pada majlis sama ialah bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Hasmah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Robaayah Zambahari.

Selain itu, Prof Kulliyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (SPPM), Datuk Dangiran Mustapha dan pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soo Yen.

Abdul Hayei berkata, anugerah diterimanya itu sebagai pengiktirafan kepada umat Islam dan mendorongnya untuk terus berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi ini.

“Anugerah ini petanda baik bagi umat Islam dan menunjukkan kebaikan masih wujud di kalangan umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Robaayah berkata, anugerah ini memberi semangat kepadanya untuk terus memberi khidmat terbaik kepada pesakit, khususnya yang mendapat rawatan di IJN.

Bagi Soo Yen, 14, pengiktirafan yang diberi itu berdasarkan keupayaannya menguasai bahasa Arab dan ia detik bersejarah dalam hidupnya.

"Saya mengambil Bahasa Arab kerana suka belajar bahasa asing dan menganggapnya satu cabaran peribadi untuk mencuba perkara baru," katanya yang menjadi pelajar berbangsa Cina tunggal dan bukan Islam yang berjaya memperoleh pangkat A dalam subjek Bahasa Arab pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Kontinjen Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula menjuarai kategori jabatan kerajaan pada sesi perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.

Kategori badan berkanun pula dimenangi kontinjen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), manakala kategori swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijuarai kontinjen Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Source: Berita Harian Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran