TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Anugerah Perdana Maulidur Rasul. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anugerah Perdana Maulidur Rasul. Papar semua catatan

Rabu, 16 Februari 2011

Dua fungsi dunia

Oleh Hayati Ibrahim, ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA:
Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1432H/2011M, bekas Prof Madya Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Abdul Hayei Abd Shukor, 64, percaya dunia adalah tempat bekerja dan tempat Allah SWT menguji manusia dengan pelbagai ujian.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, ujian yang diturunkan Allah adalah satu cara untuk menilai tahap kesabaran setiap umatnya.

“Itulah prinsip hidup saya... dunia tempat bekerja dan tempat Allah menguji kita, dengan ujian itu menjadikan kita lebih tabah dan sabar.

“Bagi saya, kesabaran dalam menjalani ujian adalah perkara biasa dalam hidup ini. Jadi, sementara hayat masih ada...menjadi satu kewajipan bagi kita sebagai khalifah Allah untuk meneruskan tanggungjawab kita dalam apa jua lapangan,” katanya selepas menerima anugerah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1432H/2011M di Dewan Solat Utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam.

Penyampaian anugerah disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz.

Abdul Hayei menerima hadiah wang tunai RM50,000, sijil penghargaan, plak dan terjemahaan al-Quran bernilai RM3,000.

Anak jati Pasir Mas, Kelantan ini memberi sumbangan besar dalam penulisan karya ilmiah termasuk penulisan artikel ilmiah dalam jurnal, akhbar dan majalah.

Antara karya beliau adalah ‘Hadith 40 Al-Nawawi, Tafsir dan Ulasan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Hadis Maudhu’, Sejarah dan Konsep terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Islam Dalam Sabda Jilid 1 terbitan Al-Amani Publisher dan Imam Malik, Sejarah dan Pemikiran terbitan Yayasan Islam Negeri Terengganu.

Sementara penerima lain, Tan Sri Hasmah Abdullah, 60, berkata anugerah itu adalah satu pengiktirafan kepada kaum wanita yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Saya tidak sangka dipilih sebagai penerima anugerah. Ia menjadi pencetus semangat kepada saya untuk terus berkhidmat kepada negara,” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu.

Source: Harian Metro Malaysia Online

Wee Soo Yen terkejut terima anugerah Maulidur Rasul

PUTRAJAYA 15 Feb. - Wee Soo Yen, 16, pelajar Cina tunggal yang mendapat A bagi subjek Bahasa Arab Komunikasi dalam Penilaian Menegah Rendah (PMR) lalu dan mendapat liputan muka depan Utusan Malaysia menerima satu kejutan hari ini di atas kecemerlangan tersebut.

Dia dipilih sebagai salah seorang daripada tujuh penerima anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Mengakui dirinya masih terkejut, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan itu memberitahu, beliau mengambil masa selama tiga tahun untuk mempelajari bahasa itu sebelum meraih gred A subjek itu dalam kesemua lapan matapelajaran Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lepas.

Mengimbas cabaran yang dihadapinya pada peringkat awal, Soo Yen yang mengenakan tudung litup berwarna jingga ketika ditemui di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini berkata, keluarga membantah pada mulanya kerana tidak percaya kemampuannya mendalami bahasa tersebut.

Namun, berkat kesungguhan dan keazaman yang tinggi membuatkan ibu bapanya mengalah sebaliknya memberi semangat kepadanya mempelajari bahasa itu bermula tingkatan satu.

"Ibu tidak setuju kerana dia takut saya tidak boleh buat tetapi saya janji kepadanya bahawa saya akan lulus dalam peperiksaan kertas bahasa Arab.

"Jadi, ibu benarkan. Sebenarnya saya mahukan cabaran pada diri saya dan tidak sangka dapat anugerah ini, terima kasih kepada semua yang mengiktiraf diri ini," kata Soo Yen yang fasih berbahasa Melayu itu.

Pelajar itu menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di sini.

Beliau menerima wang tunai RM20,000, sebuah plak, sijil penghargaan serta Kitab Terjemahan Fi Zilal Al-Quran (17 Jilid) bernilai RM3,000.

Soo Yen memberitahu, walaupun mengalami kesukaran untuk mempraktikkan bahasa Arab dalam kehidupan seharian, dorongan kuat ahli keluarga serta guru di sekolah membolehkannya berjaya menguasai bahasa itu.

"Ahli keluarga dan adik beradik merupakan sumber inspirasi saya termasuk cikgu-cikgu yang bagi dorongan untuk berjaya.

"Saya memang tidak boleh komunikasi bahasa ini di rumah, jadi saya gunakan sepenuhya peluang di sekolah untuk bincang dengan kawan dan guru," katanya yang mengenakan baju kurung bercorak bunga.

Source: Utusan Malaysia Online.

Abdul Hayei terima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

Oleh Azrina Ahzan dan Siti A'isyah Sukaimi, bhnews@bharian.com.my

2011/02/16

Pelajar Cina cemerlang Bahasa Arab dalam PMR antara diiktiraf

PUTRAJAYA: Bekas Prof Madya Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, 64, menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan semalam, berdasarkan sumbangannya dalam penghasilan karya ilmiah Islam termasuk penerbitan Tafsir Pedoman Muttaqin iaitu kitab tafsir al-Quran versi Melayu.

Abdul Hayei yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, menerima hadiah wang tunai RM50,000, sijil, plak dan set tafsir al-Quran bernilai RM3,000 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di sini, semalam.

Turut menerima anugerah pada majlis sama ialah bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Hasmah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Robaayah Zambahari.

Selain itu, Prof Kulliyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (SPPM), Datuk Dangiran Mustapha dan pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soo Yen.

Abdul Hayei berkata, anugerah diterimanya itu sebagai pengiktirafan kepada umat Islam dan mendorongnya untuk terus berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi ini.

“Anugerah ini petanda baik bagi umat Islam dan menunjukkan kebaikan masih wujud di kalangan umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Robaayah berkata, anugerah ini memberi semangat kepadanya untuk terus memberi khidmat terbaik kepada pesakit, khususnya yang mendapat rawatan di IJN.

Bagi Soo Yen, 14, pengiktirafan yang diberi itu berdasarkan keupayaannya menguasai bahasa Arab dan ia detik bersejarah dalam hidupnya.

"Saya mengambil Bahasa Arab kerana suka belajar bahasa asing dan menganggapnya satu cabaran peribadi untuk mencuba perkara baru," katanya yang menjadi pelajar berbangsa Cina tunggal dan bukan Islam yang berjaya memperoleh pangkat A dalam subjek Bahasa Arab pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Kontinjen Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula menjuarai kategori jabatan kerajaan pada sesi perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.

Kategori badan berkanun pula dimenangi kontinjen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), manakala kategori swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijuarai kontinjen Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Source: Berita Harian Malaysia Online

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran