TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 6 Februari 2011

Singapura yang tidak ‘Cina’

Oleh TAN MELAKA

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad
telah mengemukakan suatu perkara baru dan menarik dalam interviu dengan Mingguan Malaysia (30 Januari 2011) mengenai kesilapan perhitungan Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman bahawa kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia akan dapat mengurangi jumlah penduduk Cina dalam Malaysia

Tetapi setelah menyedari jumlah penduduk Melayu Sabah dan Sarawak kecil berbanding dengan 75 peratus penduduk Cina di Singapura selepas penubuhan Malaysia, Tunku telah mengambil keputusan untuk menyingkirkan Singapura yang mendatangkan ancaman perkauman menerusi slogan Malaysian Malaysia.

Tunku menyimpulkan sebab utamanya yang disebut dalam bukunya Looking Back ialah ucapan Lee Kuan Yew di Parlimen Malaysia pada Mei 1965 yang mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan sistem Raja Berperlembagaan yang amat menyakitkan hatinya sehingga ‘lebih menyakitkan daripada sakit kayapnya ketika di rawat di sebuah hospital di London.’

Bagaimanapun seorang bekas wartawan Singapura, Anthony Oei dalam bukunya What If There Had Been No Lee Kuan Yew?, menulis “Tunku lebih takut penguasaan komunis ke atas Singapura daripada jumlah penduduk Cina yang mendorong Tunku untuk menerima penyertaan Singapura dalam Malaysia.” (muka surat 135). Tunku takut Singapura menjadi pangkalan komunis seperti negara Cuba mengancam Amerika Syarikat.

Tunku melihat bahaya ini apabila People Action Party (PAP) kalah teruk dalam pilihan raya kecil di kawasan Hong Lim pada 21 April 1961. Penyingkiran Singapura pula dibuat setelah Tunku mengambil kira Singapura telah terselamat daripada bahaya komunis di Singapura dan yakin Singapura akan dapat mengatasinya.

Apa yang berlaku jelas menunjukkan keadaan yang wujud sehingga hari ini iaitu menolong Singapura adalah ibarat melepaskan anjing tersepit.

Juga yang menyakitkan hati Tunku ialah Kuan Yew melanggar janjinya untuk tidak menyertai pilihan raya Malaysia tetapi di dalam buku Men In White, menteri-menteri kanannya mendakwa keputusan PAP menyertai pilihan raya Malaysia 1964 merupakan keputusan PAP yang tidak diketahui oleh Kuan Yew yang ketika itu berada di luar negara.

Adalah sukar untuk sesiapapun mempercayai bahawa PAP berani membuat keputusan begitu besar tanpa pengetahuan Setiausaha Agungnya, Kuan Yew.

Menurut Kuan Yew sendiri dalam buku tersebut memang ada ‘gentleman agreement” antaranya dengan Tunku di padang golf bahawa UMNO tidak akan menyertai pilihan raya Singapura dan PAP tidak akan menyertai pilihan raya pertama selepas penubuhan Malaysia.

Tetapi setelah kegagalan besar dalam pilihan raya 1964, Kuan Yew telah menjalankan kempen Malaysian Malaysia yang menceroboh hak pribumi Malaysia dan UMNO menyerang balas di Singapura dengan membangkitkan perkauman Melayu yang berjaya ditekan oleh kerajaan Singapura selepas berlaku rusuhan.

Sementara Singapura dengan dasarnya yang tegas berjaya memadam perasaan perkauman di Singapura tetapi di Malaysia, bibit api perkauman yang ditanam oleh PAP menerusi Malaysian Malaysia terus menjadi api dalam sekam sehingga meletuskan peristiwa berdarah 13 Mei dan menampakkan sinarnya kembali hasil Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Ini kerana Malaysia tidak ada keberanian dan ketegasan seperti Kuan Yew dalam membunuh puncanya terutama dengan menggunakan satu bahasa sebagai alat perpaduan. Singapura tegas dalam pelaksanaan Bahasa Kebangsaannya iaitu bahasa Inggeris dengan menutup sekolah Cina, Melayu dan Tamil sejak tahun 1960-an.

Di Malaysia, sekalipun Bahasa Malaysia diisytiharkan sebagai Bahasa Kebangsaan tetapi dasarnya tidak menyeluruh, malah telah melanggar prinsip-prinsip asal kerana dasarnya yang demokratik. Sebaliknya di Singapura setelah 30 tahun bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal di sekolah, sehingga akhirnya sekolah Menengah Cina terhapus di pulau itu (lihat buku Man in White, muka surat 612).

Dalam tahun 1980, Universiti Nanyang telah dipaksa bergabung dengan Universiti Singapura untuk menjadi Universiti Nasional Singapura dengan menggunakan bahasa pengantar Inggeris.

Dicatitkan juga dalam buku ini bahawa antara 1960 hingga 1980 adalah tahun yang amat mencemaskan dan membimbangkan intelek Cina kerana mereka melihat keruntuhan bahasa Cina dan kehilangan kedudukannya yang penting dan tidak lagi mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Keadaan itu sebenarnya berterusan sehingga hari ini, malah pada suatu ketika apabila dasar ini berjaya sepenuhnya dan sebelum wujud geopolitik baru berikutan kebangkitan negara China, orang Cina di Singapura malu untuk membawa akhbar Cina dan akhbar Tamil juga telah mati apabila Kuan Yew menutup sekolah Tamil yang ditangisi oleh penjual-penjual akhbar Tamil yang telah dapat menjangkakan akibatnya.

Di atas keruntuhan institusi pelajaran Cina dan juga Melayu di Singapura dan dengan Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal maka terbinalah bangsa Singapura. Dalam hal ini, kejayaan besar Singapura ialah menghapuskan perkauman Cina dan sikap orang Cina yang terlalu kecinaan dan membentuk masyarakat Cina yang kebaratan.

Kepada masyarakat Singapura, Kuan Yew sukar untuk diterima sebagai menjalankan dasar perkauman Cina tetapi di Malaysia, beliau telah mengocakkan perasaan perkauman untuk menjadi Perdana Menteri dan kesan Malaysian Malaysia ternyata berpanjangan menyuburkan perasaan perkauman, malah menampakkan kegigihannya semula berikutan keputusan PRU 2008.

Ini adalah kesilapan besar perhitungan strategi politik Kuan Yew sekalipun beliau berjaya menunggang Singa di Singapura untuk mencapai matlamat politiknya di Malaysia.

Dia boleh mengajar kaumnya sendiri di Singapura kerana telah lama terdedah kepada kosmopolitan tetapi dia tidak mengambil perhitungan Malaysia masih dalam proses kampung hendak menjadi bandar.

Tidak mungkin kita tidak boleh mencapai satu bangsa Malaysia sekiranya dari awal kita telah menjalankan dasar pelajaran dengan tegas iaitu menjadikan Bahasa Malaysia sebagai pengantar tunggal dalam sistem pelajaran kebangsaan, di samping memperkukuhkan dengan tegas pengajaran bahasa Inggeris.

Kuan Yew telah menjalankan semua tindakan dasarnya secara keras dan berani yang menampakkan keazamannya yang jelas dalam mencapai arah tujunya tetapi Malaysia setelah 50 tahun merdeka masih terjerumus ke dalam kancah yang tidak pasti kerana dasar perimbangannya yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. Dasar ini nampaknya lebih diperlukan setelah BN kehilangan dua pertiga majoriti dalam PRU 2008.

Kuan Yew tetap tidak percaya kepada dasar kebebasan mengikut penilaian Barat dan kehendak globalisasi tetapi kita yang berada dalam keadaan ‘mabuk’, memberikan kebebasan mengikut penilaian asing dan bukan penilaian kita sendiri.

Singapura yang majoritinya kaum Cina tetapi tidak kecinaannya sebaliknya kebaratan, stabil, makmur dan maju adalah lebih baik kepada Malaysia walaupun pemerintahannya bersifat autoritarian.

Malaysia sendiri pun tidak mungkin menjadi sebuah negara Malaysia yang bermaruah tanpa Mahathir yang dianggap dunia barat sebagai tidak demokratik.

Kepada saya, Mahathir dan Kuan Yew adalah pemimpin bertaraf dunia yang lebih banyak baiknya daripada buruknya tetapi sayangnya di Malaysia segala yang telah diasaskan oleh Tunku, diperkukuhkan oleh Tun Abdul Razak dan diberikan maruah oleh Mahathir telah diruntuhkan pada suatu era yang lemah oleh kerana hendak berbangga kita lebih bebas atas nasihat ‘budak- budak’ politik.

Semoga kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat membina semula negara di atas keruntuhan itu.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran