TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 5 Februari 2011

Mesir tercicir sepanjang 60 tahun

Oleh ZIN MAHMUD

Satu hari di Zamalek, kawasan elit di Kaherah pada tahun 1986, penulis berdiri di depan tempat pembuangan undi dan memerhatikan gelagat orang keluar masuk.

Lengang saja, seperti tidak ada orang membuang undi walaupun pilihan raya Parlimen sedang berlangsung.

Keesokannya, diumumkan parti Presiden Hosni Mubarak, Parti Demokratik Nasional (NDP) meraih lebih 90 peratus undi. Pada masa itu parti pembangkang ialah Parti Wafd, sebuah parti lama yang sudah wujud sebelum Republik Mesir ditubuhkan dan Parti Buruh Sosialis, sebuah parti kiri yang bekerjasama dengan Ikhwanul Muslimin. Oleh kerana Ikhwan diharamkan, calon-calonnya bertanding di bawah tiket Parti Buruh. Tambahan pula pada tahun itu, parti itu mengisytiharkan perubahan ideologi daripada sosialisme kepada Islam.

Maka seperti yang dijangka dan tidak menghairankan, NDP menguasai Parlimen dan seterusnya memilih Mubarak untuk terus memegang jawatan presiden.

Seperti kebanyakan pagi, pada masa itu penulis bersarapan di sebuah kafe kecil berhampiran tempat pembuangan undi itu.

"Hebatlah presiden kamu menang 90 peratus undi," ulas penulis pada pemuda yang sudah akrab ketika itu.

"Kamu percaya pilihan raya ini?" jawab pemuda itu sambil ketawa.

"Mana ada orang boleh dapat undi sebanyak itu. Kami tidak pernah percaya pada pilihan raya Mubarak," jawab pemuda berusia 21 tahun itu. Dia sering mengkritik kerajaan dan bercakap mengenai agama. Dia mungkin penyokong Ikhwan. Kalau tidak pun, dia pasti penentang Mubarak.

Itu 26 tahun lalu. Pada masa itu Mubarak sudah berkuasa lima tahun. Mungkin kini pemuda yang sudah tidak muda itu adalah antara yang turun ke Medan Tahrir sejak dua minggu lalu menuntut Mubarak meletak jawatan.

Sudah lama Mubarak tidak popular. Kalau pilihan raya bebas dan terbuka dijalankan dari dahulu lagi, dia mungkin sudah lama ditolak rakyat. Tetapi hidupnya sebelum ini tidak pernah menemui kegagalan, kerjayanya sentiasa meningkat setahap demi setahap sehinggalah menjadi presiden.

Mubarak dilahirkan pada tahun 1924 dan kerjayanya adalah sepenuhnya tentera sebelum memegang jawatan politik.

Belajar di Akademi Tentera Mesir dan memperoleh ijazah dalam Sains Ketenteraan pada tahun 1949.

Kemudian beliau menyertai Akademi Angkatan Tentera Udara dan menjadi pegawai juruterbang pada tahun 1950 dan meraih Ijazah dalam Sains Penerbangan.

Beliau menjadi pengajar di Akademi Tentera Udara sehingga tahun 1959 sebelum menyambung latihan penerbangan di Kesatuan Soviet sehingga tahun 1961.

Sekembalinya ke Mesir, beliau berkhidmat sebagai komander Pangkalan Tentera Udara Barat Kaherah, Beni Suef dan Akademi Tentera Udara sebelum dilantik menjadi Ketua Turus Tentera Udara Mesir pada tahun 1969.

Tiga tahun kemudian beliau sampai ke kemuncak kerjaya tenteranya apabila dilantik sebagai Komander Tentera Udara dan Timbalan Menteri Pertahanan. Sebelah kakinya sudah masuk ke politik di negara yang pihak tentera menguasai politik.

Atas sumbangannya dalam perang ramadan 1973, beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Marsyal Medan (Field Marshal).

Menurut ABC News, semasa menjadi pegawai tentera udara, beliau dan keluarganya meraih kekayaan melalui kontrak-kontrak ketenteraan hingga kini mencapai AS$40 hingga AS$70 bilion.

Pada April 1975, beliau dilantik oleh Presiden Anwar Sadat sebagai Naib Presiden.

Ekoran pembunuhan Sadat pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai presiden dan pengerusi NDP.

Bagaimanakah Mubarak boleh memegang kuasa begitu lama? Antara faktornya ialah dia menggubal pelbagai undang-undang bagi menyekat pembangkang.

Paling besar ialah Jawatankuasa Parti Politik yang ditubuhkan Mubarak. Pada tahun 2000, jawatankuasa ini hanya meluluskan dua parti pembangkang iaitu Ikatan Nasional dan Barisan Demokratik. Selepas tujuh tahun, 10 parti berjaya disahkan apabila mereka membawa kes ke mahkamah Selain itu, tangkapan terus dibuat ke atas calon-calon Ikhwan yang bertanding atas tiket parti lain di samping tekanan terhadap pekerja-pekerja kempen pilihan raya.

Tetapi sikap Mubarak yang tidak demokratik dari segi menjalankan pilihan raya ini bukanlah atas ciptaannya sendiri. Dia adalah seorang yang setia pada rejim yang mengasaskan Republik Arab Mesir. Dari awal penubuhannya lagi republik itu bukanlah sebuah sebuah negara yang menghormati apatah lagi mengamalkan demokrasi.

NDP ditubuhkan oleh Sadat pada tahun 1978 selepas dia membubarkan Kesatuan Sosialis Arab (ASU).

Penubuhan NDP adalah usaha Sadat untuk mengubah ciri Republik Arab Mesir daripada sebuah negara sosialis kepada demokratik.

Tetapi transformasi ini tidak penuh.. Kebanyakan anggota NDP adalah asalnya daripada ASU yang tidak pun komited kepada demokrasi.

Maka apabila pilihan raya pelbagai parti diadakan, NDP muncul sebagai parti yang bernaung di bawah kekuasaan presiden dalam sistem yang mahu memastikan bahawa dia terus berkuasa.

Maka dalam sistem ini, presiden, NDP dan tentera adalah berkait rapat sebagai elit kuasa di Mesir.

Sedangkan elit kuasa ini berasal dan diasaskan oleh Presiden Gamal Nasser yang menubuhkan ASU pada tahun 1962. Sebelum itu ia dikenali sebagai Kesatuan Nasional (NU) apabila ia menggantikan Seruan Pembebasan (LR) pada tahun 1952.

LR, NU, ASU dan seterusnya NDP merupakan elit kuasa yang serupa. Pada permulaannya LR merupakan pertubuhan untuk rakyat bagi melibatkan diri dengan kerajaan.

Ini kerana Presiden Nasser menolak sistem pelbagai parti. Ia memilih sistem satu parti yang pada masa itu popular di kalangan negara-negara kiri, sama ada berbentuk rejim komunis atau sosialis.

Bagi Mesir, pengalaman semasa diperintah oleh Raja Farouk menyaksikan sistem pelbagai parti dimanipulasi oleh penjajah British, golongan bangsawan dan elit politik untuk kepentingan mereka dan meminggirkan rakyat. Parti Wafd yang memenangi pilihan raya lebih melayani kepentingan bangsawan, penjajah dan elit kuasa lain daripada rakyat umumnya.

Revolusi Mesir

Maka korupsi Raja Farouk ini membawa kepada Revolusi Mesir tahun 1952 yang digerakkan oleh Pergerakan Pegawai Bebas pimpinan Muhammad Naguib dan Gamal Nasser.

Asalnya Persatuan Pegawai Bebas ini dianggotai oleh Mesir Muda, Ikhwan dan Parti Komunis Mesir. Rakyat umumnya mendokong revolusi ini.

Rampasan kuasa mereka membawa kepada kewujudan Republik Mesir yang pada mulanya bertujuan untuk mewujudkan demokrasi berparlimen. Naguib menjadi presiden pertama republik.

Pertembungan antara Naguib dan Nasser berlaku dan Ikhwan serta Parti Komunis diharamkan. Nasser mengalahkan Naguib dan dia mengambil alih jawatan presiden pada tahun 1955.

Dalam suasana semangat nasionalisme melawan penjajah dan Israel, rakyat menyokong Nasser. Maka di sinilah muncul elit politik baru.

Dengan menghadapi peperangan serta menjadi sekutu Soviet, rakyat Mesir masih jauh daripada menikmati kemakmuran yang diimpikan daripada penubuhan republik itu.

Gagasan politik Nasser adalah besar. Nasionalisme kiri beliau berhasrat untuk menyatukan semua negara-negara Arab di bawah Republik Arab Bersatu (UAR) dengan mengamalkan sistem sosialisme yang memberikan kesamarataan dan kemakmuran pada rakyat.

Pada mulanya Syria dan Yaman turut serta tetapi kemudian usaha beliau gagal. Maka jadilah negara itu Republik Arab Mesir, hendak membebaskan Gaza yang merupakan wilayah Mesir dan ditawan oleh Israel pun tidak terdaya.

Naib Presiden Sadat menggantikan Nasser sebagai presiden pada tahun 1970. Beliau membawa arah baru kepada Mesir, Dengan mengiktiraf Israel dan bertukar sekutu kepada Amerika Syarikat, beliau menimbulkan kemarahan rakyat.

Namun begitu usahanya diharapkan dapat memberikan kemakmuran ekonomi kepada Mesir.

Sadat terkorban juga kerana beralih arah ini di samping mengenakan tekanan berat terhadap penentang-penentangnya. Tetapi Mubarak meneruskan dasar Sadat apabila mengambil alih kuasa.

Walaupun sepanjang masa pemerintahannya, ada saja pihak yang membantah tetapi rakyat Mesir masih mengharapkan perubahan. Namun pada tahun lalu 2010 apabila terdapat tanda-tanda Mubarak mahu terus berkuasa dengan diteruskan pula oleh anaknya, Gamal, ia sudah keterlaluan.

Ternyata elit politik yang berkuasa sejak revolusi tahun 1952 atas sokongan rakyat, daripada Naguib, Nasser, Sadat dan kini Mubarak telah gagal.

Mubarak adalah kemuncak kegagalan 60 tahun elit kuasa rejim nasionalis tentera yang asalnya terpengaruh dengan fahaman sosialisme dan nasionalis kiri.

Beruntung bagi Malaysia kerana tidak menjadi seperti Mesir. Ada dua sebab berlaku perbezaan ini.

Pertama, sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negara ini berjaya mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Sejak dari awal lagi Angkatan Tentera negara ini pula tidak mencampuri urusan politik.

Sebab kedua ialah fahaman nasionalis kiri dan sosialisme ditolak oleh majoriti rakyat negara ini. Akibatnya Malaya tidak pernah menjadi sekutu Soviet.

Justeru, tidak timbul rejim tentera di negara ini. Sistem ekonomi yang pragmatik pula telah membawa kemakmuran pada rakyat.

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran