TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 23 Februari 2011

Di Mana Serinya Serikaya

Sumber: Petikan dari akhbar Mingguan Malaysia
Bertarikh 6 hb Oktober 1974

Penulis rencana dan gambar: Puan Azah Aziz
Pantun-pantun: Allahyarham Dr Ishak Haji Mohammad (Pak Sako).



SERIKAYA – namanya ‘berseri’ – adalah suatu manisan yang digemari ramai di Malaysia.

Kuih yang sedap ini dibuat dengan empat jenis ramuan sahaja iaitu telur, gula Melaka, santan kelapa dan pewanginya, daun pandan.

Ramuan-ramuan itu dicampur, diramas, ditapis, dan kemudiannya dikukus hingga menjadi beku – itulah Serikaya.

Sebagaimana yang boleh dilihat dalam gambar-gambar yang tertera di halaman ini, adunan Serikaya itu boleh dikukus dalam sebuah labu, dalam sebuah kelapa muda, atau dalam mangkuk, samada mangkuk kecil seperti yang kelihatan dalam gambar, ataupun sebuah mangkuk besar yang tahan panas.


Untuk menambahkan variasi kepada manisan Serikaya, boleh dibubuh pula berbagai jenis ramuan lain seperti durian, nangka, nenas, jagung, atau keledek.

Menambahkan salah satu ramuan tersebut akan membawa rasa dan bau yang berbeza pula pada Serikaya.

Selain dihidangkan sebagai manisan, Serikaya juga biasa dihidangkan dengan pulut kukus. Ertinya, Serikaya itu menjadi pemanis pulut kukus yang lemak.

Suatu lagi kegunaan Serikaya ialah sebagai lapisan atas sejenis kuih Melayu asli yang diberi nama ‘Serimuka’.

Kuih ini dibuat dari pulut kukus yang ditetal di dalam Loyang, kemudian dituangkan Serikaya di atasnya.

Pulut berlapis Serikaya di atasnya itu dikukus hingga beku Serikayanya. Demikianlah datangnya nama ‘Serimuka’.

Selain dari orang Melayu, kaum Cina di Malaysia juga gemar memakan Serikaya, apa lagi di kalangan kaum Nyonya dan Baba. Serikaya itu dihidangkan sebagai manisan atau untuk disapukan kepada roti seperti jem.

Malah serikaya jenis ini – yang diberi nama ringkas ‘kaya’ saja – dijual dalam tin dan boleh dibeli di kedai-kedai ransom. Roti bersapu kaya pula boleh didapati di kedai-kedai kopi.

Agak sukar sukar hendak menetapkan dari negeri mana kuih Serikaya ini berasal kerana ia terdapat di beberapa buah negeri Asia dan Asia Tenggara, istimewanya di negeri Thai dan Indonesia.


Kuih ini amat terkenal dan digemari ramai di negeri Thai. Namanya dalam bahasa Thai berbunyi seakan-akan namanya dalam bahasa Malaysia.

Orang Thai menamakan kuih ini ‘Sangkaya’ ataupun meringkaskannya kepada ‘kaya’ saja.

Orang Thai menghidangkan Serikaya seperti kita di Malaysia. Ianya dimakan dengan pulut yang telah dikukus dengan santan, atau pun Serikaya itu dikukus dalam labu, kelapa muda atau pun mangkuk.

Kalau pembaca budiman dan budiwati ingin menjamu selera – salah satu indera dari pancaindera – silalah cuba membuat manisan yang lazat ini.

Hanya setelah merasanya baru boleh diketahui: dimana serinya Serikaya!

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

CARA MEMBUAT SERIKAYA:

Serikaya menggunakan empat jenis ramuan saja dan kesemuanya adalah bahan-bahan tempatan: santan kelapa, gula Melaka, telur dan daun pandan.

Untuk pembaca budiman dan budiwati yang ingin mencuba manisan lazat yang berseri ini, silalah ikuti resepinya seperti berikut:

Sukatan ramuan-ramuannya ialah:

- tujuh atau lapan butir telur ayam
- dua mangkuk-sukatan santan kelapa dari sebutir kelapa yang sedang
- lebihkurang semangkuk-sukatan gula Melaka yang telah dihiris, dan
- tiga helai daun pandan.

(Catatan: ‘mangkuk-sukatan’ yang digunakan dalam resepi ini ialah ‘measuring cup’ yang bersamaan dengan tin susu pekat manis.)

Cara membuatnya : Siatkan daun pandan memanjang, kemudian simpulkan.

Pecahkan telur ke dalam sebuah mangkuk besar, dan masukkan gula Melaka dan daun pandan. Ramas dengan tangan sehingga gula Melaka menjadi hancur dan bercampur rata dengan telur. Daun pandan hendaklah diramas bersama supaya keluar bau manginya.

Sekarang tuangkan santan dan kacau hinggá semuanya bercampur rata. Tapis dengan penapis santan.


Jerangkan mangkuk-mangkuk kecil (atau sebuah mangkuk kaca besar yang tahan panas) dalam tempat pengukus. Bila mangkuk-mangkuk itu telah panas, kacau adunan Serikaya tadi dan tuangkan ke dalam mangkuk-mangkuk itu.

Kukus dengan api yang sederhana hinggá Serikaya menjadi beku. Untuk mengetahui samada Serikaya itu sudah elok masaknya atau tidak, cucuk bahagian tengahnya dengan sebilah pisau. Kalau pisau itu kelihatan bersih bila dikeluarkan, bermakna Serikaya itu sudah masak. Tetapi kalau pisau itu basah dengan santan, kukuslah sebentar lagi, hinggá masak betul.



CARA MEMBUAT SERIKAYA LABU:

Cari sebutir labu yang bulat, cantik kulitnya dan leper sedikit pada bahagian bawahnya supaya ia boleh duduk dengan tegak.

Potong bahagian atas labu itu dalam bentuk siku keluang, kemudian cabut bahagian atasnya. Gunakan pisau kecil yang nipis mata pisaunya untuk memotong labu itu.


Kokot dan buang urat-urat serta biji-biji di dalam labu tersebut dengan menggunakan senduk.

Letakkan labu itu dalam pinggan atau bekas lain yang sesuai, kemudian letakkan di dalam tempat pengukus dan kukus dengan api yang sederhana. Bila labu itu mulai panas, tuangkan adunan Serikaya ke dalamnya.

Kalau menggunakan labu besar, tambahlah sukatan Serikayanya. Kalau labu itu nipis isinya, untuk memelihara supaya bekas labu itu tidak retak atau pecah ketika dikukus, suatu ikhtiar ialah mengikat di sekeliling labu itu dengan sekeping kain putih panjang selebar tiga inci (seperti kain bendej).

Serikaya labu perlu dikukus agak lama, Kira-kira dua jam atau lebih, kalau kita menggunakan labu yang besar. Oleh itu pada waktu mengukusnya, tambahkan airnya dengan menggunakan air panas. Jangan biarkan air dalam periuk pengukus menjadi kering.

Seperkara lagi yang patut diingatkan, bila adunan Serikaya yang masih cair di dalam labu menjadi panas, kacaulah supaya ianya tidak mendak dan berlapis-lapis bila masak nanti kerana jika tidak dikacau begitu, lemak santannya akan berkumpul naik ke atas.



SERIKAYA KELAPA MUDA:


Cari sebutir kelapa muda yang agak besar, buangkan sabutnya, kemudian potong bahagian atasnya dengan gergaji, dan buangkan airnya.

Masukkan kelapa ini di dalam tempat pengukus, dan bila menjadi panas, tuangkan adunan Serikaya yang telah disiapkan terlebih dahulu.

Kukuslah seperti mengukus Serikaya labu, dengan mengacaunya bila sudah mula panas.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran