TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 5 Februari 2011

Memahami politik kaum Cina

Oleh DR. RIDHUAN TEE

PILIHAN raya Dewan Undangan Negeri Tenang telah pun berakhir. Prestasi Barisan Nasional (BN) lebih baik berbanding tahun 2008, terutama peningkatan undi Melayu. MCA mengatakan undi Cina kepada BN meningkat. Sebaliknya DAP pula mendakwa sebaliknya. Pengaruh MCA dikatakan semakin merosot kalangan masyarakat Cina. Siapakah yang berkata benar? Buatlah post-mortem dan kajian, daripada bercakap kosong bagi menunjukkan seolah-olah kita bagus atau boleh buat kerja.

Apa pun, pada saya sama ada undi Cina terhadap BN meningkat atau merosot tidaklah penting sangat, kerana amalan demokrasi membenarkannya. Rakyat bebas memilih parti yang disukainya. Cuma yang amat menyedihkan adalah cara berpolitik dengan memberi tekanan atau mengugut kerajaan.

Ketika kempen pilihan raya tersebut berlangsung, Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Johor, Hua Zong, yang turut disokong oleh MCA, memberi kata dua kepada kerajaan supaya membuka semula Sekolah Menengah Persendirian Cina di Segamat. Jika tidak, orang Cina akan beralih arah atau tidak mengundi BN. Ugutan ini seolah-olah menampakkan selama ini mereka mengundi BN. Apakah benar?

Saya berani mengatakan bahawa majoriti Cina tidak mengundi BN. Tidak perlu buat kajian, lihat jumlah undi yang diperolehi oleh BN di kawasan bandar selama ini. Kenapa DAP terus dan begitu mendominasi?

Taktik mengatakan bahawa orang Cina tidak akan mengundi BN adalah taktik basi. Ini bukanlah kali pertama persatuan ini mengamalkan taktik licik sedemikian. Mereka akan mencari seribu alasan, menggunakan segala ruang dan peluang untuk menambah sesuatu yang telah pun mereka dapat. Malangnya, kajian tidak dibuat, kita terus tunduk kepada tuntutan dan desakan.

Rukun

Sebelum saya menulis lebih lanjut, eloklah sama-sama kita memahami tiga rukun atau sangga utama yang menjadi pegangan masyarakat Cina atau perjuangan hidup matinya. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirkan bersama. Apa yang penting, bagaimanakah kita boleh memanipulasikan rukun-rukun ini untuk sama-sama menjayakan gagasan 1Malaysia.

Rukun pertama adalah mempertahankan pendidikan Cina. Melibatkan 1,300 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh negara. Sudah tentu jumlah sekolah ini akan bertambah dari tahun ke tahun. Menurut badan penyelidikan MCA (INSAP), perjuangan pendidikan Cina oleh orang Cina sama seperti perjuangan menegakkan Islam oleh orang Melayu.

Rukun kedua, mempertahankan penerbitan akhbar Cina yang melibatkan enam akhbar harian di Semenanjung dan lapan di Sabah Sarawak. Akhbar bahasa Cina adalah akhbar yang paling banyak dalam pasaran berbanding akhbar bahasa lain, termasuk akhbar berbahasa Melayu. Kenapa bahasa Melayu kurang dibaca oleh bukan Melayu, jawablah sendiri, tepuklah dada?

Manakala, rukun ketiga mempertahankan persatuan-persatuan Cina (Huatuan). Melibatkan lebih 8,000 buah persatuan seperti persatuan rumah ibadat, puak (clan) dan bahasa, persatuan politik dan pendidikan, persatuan perniagaan dan perdagangan. Dalam banyak-banyak persatuan ini yang paling berpengaruh bukannya parti-parti politik mereka, tetapi adalah persatuan bahasa dan pendidikan, seperti Hua Zong, Dong Zong dan Dong Jiao Zong.

Ketiga-tiga rukun ini majoritinya mempengaruhi orang Cina di Malaysia dan tidak boleh disentuh. Mereka bersatu dan berpadu jika hak mereka tergugat. Sesiapa yang mengkaji proses sosialisasi politik, agen-agen ini amat berpengaruh dalam membentuk persepsi dan pendirian seseorang. Hasil sosialisasi inilah yang telah melahirkan bentuk masyarakat Malaysia yang ada pada hari ini.

Bukan Melayu

Bagi bukan Melayu atau minoriti yang lain, saya percaya, mereka juga berpegang kepada rukun tersebut, tetapi tidaklah sekuat pegangan orang Cina. Misalnya, bagi orang India, agama amat penting pada mereka. Justeru, sensitiviti perlu dijaga.

Begitu juga orang Melayu. Perkara berkaitan dengan Islam, seperti iman dan Islam seseorang, kalimah Allah, Rasulullah, babi, dan sebagainya adalah amat sensitif. Kenyataan Lee Kuan Yew yang mahukan umat Islam supaya tidak berpegang kuat kepada Islam dikira amat sensitif. Kontroversi semakin menjadi bertambah hangat apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong kenyataan tersebut. Pendapat Kuan Yew dikatakan lebih baik daripada perjuangan UMNO yang bersifat nasionalis. Dalam kata lain, pendapat Kuan Yew itu tentang Islam itu betul, perjuangan Melayu dan Islam UMNO itu salah.

Pandangan sebegini perlu dibuat dengan berhati-hati. Seteruk mana pun orang Melayu, mereka amat pantang jika ada seseorang yang mempertikaikan keIslamannya. Kerana bagi orang Melayu tidak kira UMNO atau PAS, agama adalah nombor satu dan tidak boleh diperlekehkan.

Orang Melayu amat sensitif dengan agama, sama seperti sensitiviti orang Cina terhadap bahasa. Dengan sebab itu, sehingga ke hari ini, pemerkasaan terhadap Islam lebih menonjolkan berbanding pemerkasaan bahasa Melayu itu sendiri, walaupun kedua-dua perkara ini jelas termaktub dalam perlembagaan. Pendek kata, agama Islam lebih banyak di arus perdanakan, berbanding kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa kebangsaan.

Malang sungguh kedudukan bahasa kebangsaan ini. Tidak banyak usaha dibuat untuk mendaulatkannya, kerana bagi kita ia tidak penting. Lebih menyedihkan lagi apabila membaca iklan temuduga jawatan. Antara syaratnya mesti fasih berbahasa Mandarin dan Inggeris.

Maka tidak hairanlah jika bancian penduduk baru-baru ini, membuktikan bahawa penguasaan bahasa Melayu di kalangan orang Cina masih lemah, sehingga terpaksa menggunakan khidmat penterjemah. Semua ini ada kaitan dengan tiga rukun tersebut.

Berbalik kepada tuntutan dan desakan mendirikan sekolah menengah vernakular, pada saya cukuplah dengan sekolah rendah vernakular yang sedia ada dan bertambah dari tahun ke tahun.

Enam tahun dipisahkan sejak kecil adalah suatu jangka masa yang lama untuk mereka mensosialisasikan diri dengan persekitaran selanjutnya. Jika mereka terus berada di sekolah menengah vernakular, apakah sosialisasi begini sihat untuk membina bangsa Malaysia dan menjayakan gagasan 1Malaysia?

Komitmen

Perlu diingat, komitmen kerajaan terhadap sekolah vernakular amat tinggi dan belum pernah dilakukan oleh negara-negara lain. Perdana Menteri secara telus mengatakan pendidikan vernakular adalah sebahagian daripada pendidikan nasional.

Bermakna, kewujudan sekolah vernakular telah pun diiktiraf. Ia merupakan satu kredit kepada bangsa Malaysia kerana dapat menguasai bahasa Mandarin. Apatah lagi pasaran akan datang akan didominasi oleh pasaran negeri China.

Dilihat dari sudut positif, memang benar ia suatu kelebihan. Namun, pada masa sama, kita perlu tangani pula kesan negatifnya apabila bahasa kebangsaan tidak dikuasai. Malangnya, setiap kali kerajaan bercadang untuk memperkasakan bahasa Melayu di sekolah vernakular, idea ini terus ditentang habis-habisan oleh persatuan tersebut.

Benar, kita akan berkata selama ini pun, sejak kewujudan sekolah vernakular, kita masih tidak berkonflik. Masih berlaku kesepaduan sosial atau social cohesion. Kita hanya bertikam lidah. Masih lagi tidak berlaku parang-memarang atau parang wagging. Dengan maksud, keadaan masih lagi baik.

Persoalan saya, kenapa kita tidak cari jalan untuk mencapai yang terbaik? Bukan maksud saya dengan menghapuskan sekolah vernakular. Tetapi perancangan mesti dibuat, bagaimana sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular dapat berinteraksi?

Saya hanya akan bersetuju dengan pembinaan sekolah menengah vernakular jika benar-benar bahasa Melayu dapat diperkasakan dalam 60 buah sekolah menengah vernakular yang sedia ada. Buatlah kajian akan kesannya terhadap pembinaan negara bangsa. Untuk sementara ini, janganlah terlalu mengugut dan mendesak kerajaan.

Tindakan sebegini akan menyebabkan kaum lain menyimpan rasa dan dendam. Dendam inilah yang akan menjadi bara api perkauman, yang tidak pernah padam. Inilah yang bahaya.

Kebebasan beragama dan menghormati kepelbagaian juga hendaklah berpandu kepada undang-undang. Kita sepatutnya bersyukurlah kerana di kebanyakan negara seperti Jerman, Perancis, Indonesia, Thailand dan sebagainya, mereka mengamalkan konsep keseragaman atau unity is uniformity untuk mencapai perpaduan. Dalam kata lain, 1 Bangsa, 1 Bahasa dan 1 Negara.

Sudah pasti kita tidak dapat melakukannya kerana kita mengamalkan kepelbagaian atau unity in diversity bagi mencapai perpaduan. Bagi kita kepelbagaian merupakan satu kekuatan. Namun, terlalu banyak berbeza pun menimbulkan masalah juga.

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran