TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 2 Februari 2011

Gerakan sepadu laut, udara keluarkan pelajar kita dari Mesir



2011/02/02
PM umum operasi selamat rakyat Malaysia dilancar


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail.
“Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar kita dari Mesir,” katanya kepada BERNAMA di sini, malam tadi.

Antara langkah berkenaan ialah meminta kapal Bunga Mas 5, iaitu sebuah kapal serba guna yang dikawal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, untuk belayar ke Pelabuhan Adabiyah yang terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari selatan Kaherah, bagi membawa keluar pelajar berkenaan.

“Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan Adabiyah pada 5 Februari (Sabtu ini). Ia dapat memuatkan kira-kira 500 pelajar kita,” katanya.

Najib juga berkata, beliau sudah berunding dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk meminta Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia bagi melakukan penerbangan khas ke Kaherah untuk membawa keluar pelajar Malaysia.
“Mereka (MAS dan AirAsia) akan memaklumkan kepada saya esok (hari ini) mengenai kemungkinan menggunakan pesawat mereka untuk tugas ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha membawa pelajar Malaysia ke Jeddah untuk ditempatkan sementara di pusat Tabung Haji di sana sehingga ada penerbangan pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu termasuk urusan visa pelajar berkenaan.

“Kerajaan sedang berurusan dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kebenaran khas membawa pelajar kita ke Jeddah,” katanya sambil menambah kerajaan akan memberi maklumat lanjut mengenai perkara itu kepada pelajar dan ibu bapa, hari ini.

Sementara itu, Kohilan ketika dihubungi Berita Harian malam tadi berkata, operasi membawa keluar rakyat Malaysia secara berperingkat dari Mesir yang menghadapi rusuhan politik bermula hari ini menggunakan pesawat komersial dan Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Beliau yang mengetuai pasukan pegawai kanan bagi meninjau keadaan keselamatan di Kaherah, berkata keutamaan akan diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan dianggap menghadapi ancaman paling serius serta wanita hamil.

“Setakat ini, saya hanya dapat mengesahkan mereka akan dihantar ke beberapa negara jiran terlebih dulu sebelum proses membawa mereka pulang ke tanah air,” katanya yang belum dapat mengesahkan berapa ramai yang terbabit dalam kumpulan pertama yang akan dibawa keluar dari Mesir menerusi misi itu.

Sementara itu, Berita Harian difahamkan tiga pesawat pengangkut C130 TUDM dari 20 Skuadron dan 14 Skuadron kini menunggu kebenaran diplomatik daripada Kerajaan Mesir. Pesawat berkenaan akan berlepas dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran