TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 5 Februari 2011

Toleransi menurut Islam

Oleh HARUSSANI ZAKARIA

Pujian ke hadrat Allah SWT atas limpahan nikmat dan rahmatnya, kita masih mengecapi keharmonian hidup dengan rukun dan damai di bumi bertuah ini. Biarpun kita hidup bersama-sama dengan kepelbagaian etnik, bangsa dan agama, namun sikap bertolak ansur dan saling menghormati yang dijiwai sejak sekian lama menyebabkan keamanan masih dapat dikekalkan hingga ke saat ini. Inilah kehebatan bangsa Melayu yang disaluti Islam dan iman, menjadikan agama itu sebagai teras dalam kehidupan bermasyarakat. Nenek moyang kita dahulu menerima Islam dan menghayatinya sedaya mampu mereka, dan dengan itu juga mereka mendidik anak cucu agar bersikap sedemikian terhadap orang lain biarpun dari bangsa dan agama yang berlainan. Betapa indahnya saranan Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 7-8 yang bermaksud " Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu ( dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam ). Dan ( ingatlah ), Allah Maha Kuasa ( atas tiap-tiap sesuatu ), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama ( kamu ), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Teringat saya apa yang dinukilkan oleh Dr. Hamka di dalam tafsir al-Azhar bahawa Allah SWT menanamkan keyakinan terhadap orang beriman, bahawa suatu ketika nanti orang musyrik yang sangat kuat permusuhannya dengan Nabi SAW akan reda kemarahan mereka. Dalam perjuangan yang sangat hebat dalam menegakkan akidah hingga terpaksa menongkah arus perdana, Baginda SAW tidak pernah mencerca peribadi seseorang dengan sesuka hati biar pun mereka tidak beriman.

Dr. Hamka seterusnya memberikan satu contoh bagaimana kisah Nabi SAW mengahwini Ummi Habibah Binti Abu Sufiyan. Abu Sufyan yang ketika itu belum memeluk Islam merupakan salah seorang pembesar Quraisy yang sangat kuat penentangannya terhadap Islam. Namun, anaknya Ummu Habibah telah memeluk Islam dan berhijrah ke Habsyah bersama suaminya Abdullah bin Jahsy. Ketika suaminya telah murtad, Ummu Habibah tetap dengan mempertahan keimanannya.

Maka, ketika mendengar kisah sedih Ummu Habibah berseorangan di Habsyah, Baginda SAW menghantar wakil untuk meminang Ummi Habibah dan mewakilkan kepada Najasyi yang sudah memeluk Islam untuk menikahinya dengan mas kahwin 400 dinar.

Ketika berita ini sampai kepada Abu Sufyan, beliau merasa bangga kerana manusia semulia Nabi SAW telah mengahwini anaknya. Kebanggaan nya bertambah lagi apabila yang mewakili Nabi SAW itu ialah Najasyi Raja Habsyah yang terkenal dengan keadilannya itu.

Al Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa asbabul nuzul ayat 8 surah al-Mumtahanah ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah Ibn Zubair dari bapanya, ketika Qutailah iaitu bekas isteri Abu Bakar al-Siddiq r.a yang merupakan ibu kepada Asma' binti Abu Bakar datang menziarahi anak perempuannya.

Seperti mana diketahui bahawa Qutailah tidak memeluk Islam, namun ketika di Mekah beliau tidak pun sekali-sekali menghalau atau menyakiti umat Islam. Beliau datang ke Madinah untuk menemui anak perempuan kesayangannya bersama dengan hadiah-hadiah. Namun Asma' merasa ragu untuk menerimanya. Maka turunlah ayat ini.

Al-Imam Syed Qutb rahimahullah ketika menafsirkan ayat-ayat di atas menyatakan bahawa, Islam adalah satu sistem yang bertujuan untuk menaungi seluruh alam, di samping untuk menjadikannya sebagai suatu cara hidup. Islam secara harmoninya berusaha mengembang dan melebarkan ajarannya menerusi dakwah. Buktinya, tiada sesiapa pun yang dipaksa untuk menganuti Islam. Perkembangannya secara harmonis ini tidak akan berubah melainkan ada manusia yang berniat menghalangnya. Namun jika tiada, Islam tidak sekali-kali berniat untuk memusuhi sesiapa pun atas nama agama, bangsa mahupun negara.

Seterusnya Al Imam Syed Qutb menyatakan bahawa Allah SWT juga tidak menghalangi orang-orang Islam dari berbuat baik kepada mereka yang bukan beragama Islam serta berlaku adil dalam berhubungan dengan mereka atau bersikap tidak mengurangkan hak-hak mereka sedikit pun. Keadaan ini tidak boleh dicabuli kecuali dengan adanya pencabulan perang yang perlu ditentang atau timbul kebimbangan berlakunya ancaman khianat yang menghalang kedaulatan Islam.

Toleransi ( tasamuh ) dalam Islam

Perbahasan Islam dan toleransi dalam masyarakat majmuk di Malaysia adalah merupakan satu perkara yang sepatutnya dikumandangkan serta mendapat tempat dalam perbahasan ilmiah mahupun wacana pemikiran hari ini. Penerangan dan perbincangan ini biarlah berterusan walaupun negara kita sudah mengecapi kemerdekaan sejak 53 tahun yang lalu. Lamanya tempoh kita dimerdekakan sama sekali tidak menjamin sikap bertolak ansur sudah sebati dalam jiwa anak bangsa kita melainkan para pemimpin, ulama', dan segenap lapisan berusaha memupuk sikap dan semangat ini. Pihak kerajaan misalnya boleh berperanan menerusi Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian menonjolkan sikap baik ini menerusi pelbagai medium sama ada media cetak atau elektronik. Pihak-pihak boleh berusaha menyiarkan produk-produk perniagaan yang hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja. Persoalannya mengapa mereka tidak boleh mengiklankan produk Islam ini yang bukan hanya menguntungkan komuniti yang kecil malahan boleh menguntungkan rakyat dan negara. Apatah lagi Islam telah mendapat tempat serta diiktiraf sebagai agama persekutuan di dalam perlembagaan. Peruntukkan ini tidak sepatutnya dibiarkan beku dan kaku begitu saja tanpa usaha untuk mendaulat dan merealisasikannya. Ditambah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai latar belakang agama, bahasa dan budaya. Salah faham tentang toleransi dan budaya pelbagai bangsa dalam masyarakat berbilang agama, bahasa dan budaya boleh menjejaskan peranan Islam sebagai agama pembina tamadun atau khaira ummah.

Toleransi disebut sebagai tasamuh di dalam perbendaharaan ilmu Islam. Kata tasamuh berasal dari 'samaha' yang membawa maksud murah hati, menderma, lemah lembut dan pemaaf. Ini memberikan satu gambaran bahawa sikap tasamuh atau toleransi itu berasaskan lemah-lembut, bertolak-ansur dan berlapang dada bukannya kekerasan, cemuhan dan cercaan. Dr. Muzammil Siddiqi, President, Fiqh Council of North America, menyatakan tasamuh adalah tanggungjawab asas dalam mengamalkan prinsip Islam. Namun, menariknya ia bukan bermaksud longgarnya pegangan Islam hingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip Islam. Malah, kadang-kadang wujud dakwaan bahawa manusia yang tasamuh ini disebut manusia yang yang tidak peduli dengan pegangan hidupnya. Tasamuh dalam Islam bukanlah juga kita percaya bahawa semua agama itu sama saja dari sudut kebenarannya. Apatah lagi menganggap Islam itu sama taraf dengan agama-agama lain. Ia juga tidak bermakna kita tidak perlu menjalankan tugasan dakwah mengajak kepada Islam malah jauh dari itu tidak mengharapkan orang lain akan memeluk agama Islam. Oleh kerana itulah, Imam Syed Qutb menyatakan tiada persoalan yang harus menimbulkan pertikaian dan peperangan terhadap orang bukan Islam kecuali wujudnya penentangan mereka atas dasar persoalan akidah, dakwah, perlaksanaan dan usaha meninggikan agama Allah di muka bumi ini.

Kita sekarang sebenarnya menghadapi sedikit salah faham yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang barangkali punyai motif tertentu. Biar pun telah berjaya diselesaikan namun berkemungkinan besar akan berputik kembali sekiranya penerangan yang jelas tentang konsep tasamuh ini tidak giat disebarkan kepada masyarakat termasuk bukan Islam. Masyarakat bukan Islam mestilah disedarkan bahawa agama Islam ini bukanlah agama yang keras serta tidak memberi hak dan keadilan kepada mereka. Isu azan contohnya, adalah tidak wajar mempersalahkan pengkritik semata-mata sedangkan dalam masa yang sama timbul persoalan apakah kita sudah menerangkan konsep toleransi beragama dan keadilan Islam itu sendiri kepada mereka. Mungkin mereka tidak memahami sepenuhnya tentang Islam, akan tetapi kita sebagai orang Islam sudahkah kita bergerak bersama menerangkan Islam itu kepada mereka. Realitinya, bila sebut sahaja Islam maka masyarakat menyatakan bahawa itu hanya beban yang patut digalas oleh para Mufti, ustaz dan tok lebai.

Masyarakat Cina di tanah air kita dengan jayanya telah meraikan sambutan Tahun Baru baru-baru ini yang telah berlangsung sejak sekian lama setiap tahun. Mana mungkin sambutan ini dapat diraikan jika masyarakat Islam yang dominan dalam negara ini tidak mengamalkan sikap toleransi terhadap mereka. Bukan sahaja mereka telah diberi ruang untuk menyambutnya, malah sebahagian orang Islam pun turut sama mengambil bahagian dalam sambutan ini. Terdapat juga perayaan yang bersifat keagamaan bagi agama lain pun turut diraikan oleh orang Islam seolah-olah mereka tidak dapat membezakan antara sambutan itu sama ada bersifat kebudayaan atau keagamaan. Berwaspadalah agar jangan terlalu bersemangat mengamalkan toleransi dan perpaduan kaum sehingga menjejaskan akidah kita sebagai seorang Islam.

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran