TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 4 Februari 2011

Makmal Institut Halal Malaysia tingkat imej negara

Oleh Hasliza Hassan, hasliza@bharian.com.my
2011/02/05

JAKIM terima 3,150 permohonan baru, pembaharuan sejak ambil alih daripada HDC


PEMBINAAN Makmal Institut Halal Malaysia bakal membawa jenama halal Malaysia maju selangkah lagi sekali gus meningkatkan imej negara yang memang diiktiraf serta menjadi contoh dalam industri halal global. Pensijilan halal kita bukan saja tertumpu kepada pasaran tempatan, malah mendapat perhatian syarikat bertaraf antarabangsa. Ini bermakna Makmal Institut Halal Malaysia tentunya memberi nilai tambah kepada industri halal negara. Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zainal Abidin Jaafar, berkata makmal yang dikhususkan untuk penyelidikan berkaitan halal tidak sekali-kali akan menafikan kepentingan Jabatan Kimia Negara.

Katanya, jabatan yang selama ini banyak membantu JAKIM dalam proses pengeluaran pensijilan halal terus berperanan sebagai tempat rujukan terutama untuk siasatan serta penyelidikan berkaitan kes mahkamah.

“Pemeriksaan oleh Jabatan Kimia memang diakui piawaiannya dan layak dibawa ke mahkamah. Bagaimanapun, disebabkan beban kerja semakin meningkat dan kita jangkakan permohonan dari luar negara juga akan bertambah, maka perlu satu makmal khusus.

“Namun, kita masih memerlukan Jabatan Kimia yang mempunyai bidang kuasa bagi kes dihadapkan ke mahkamah. Cuma kita selangkah lagi ke depan dengan adanya makmal khusus untuk membolehkan pengeluaran logo halal lebih mudah dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, selain itu Bahagian Hab Halal JAKIM mendapatkan kerjasama Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk prosedur pemeriksaan bahan kritikal terutama berasaskan binatang.

Pembinaan fasa satu merangkumi bangunan tiga tingkat Makmal Institut Halal Malaysia bernilai RM27.3 juta di Bandar Enstek, dekat Nilai, Negeri Sembilan diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, awal Januari lalu.

Pembinaannya dijangka bermula September depan dan siap pada Disember 2012. Ia merangkumi lima unit iaitu Unit Fiber, Kulit dan Bulu; Unit Alkohol; Unit Lemak dan Minyak; Unit Protein dan Gelatin serta Unit Aditif (bahan tambahan).

Kecanggihan makmal itu nanti bukan saja mampu menganalisis makanan, malah berupaya menguji apa saja produk atau bahan termasuk peralatan digunakan dalam pembedahan klinikal.

Zainal Abidin melahirkan keyakinan kredibiliti pensijilan Halal Malaysia akan terus diakui dan menjadi tumpuan kerana minat terhadap produk halal semakin meningkat berikutan pasaran halal kini menjadi rebutan.

Katanya, selain hakikat perdagangan halal meningkat AS$2.1 trilion, ia membuka peluang pasaran yang luas serta menjadi rebutan orang Islam malah bukan Islam yang berasa selamat apabila membeli produk halal, bersih, berkualiti dan suci.

“Sejak JAKIM mengambil alih semula dari Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) pada Julai 2009, kita menerima 3,150 permohonan baru dan pembaharuan. Tahun lalu saja, 1,768 permohonan mendapat pengesahan halal Malaysia.

“Tahun ini kita menjangkakan pertambahan 1,500 permohonan menjadikan jumlah yang mendapat pengesahan halal Malaysia meningkat kepada 4,650. Oleh itu, adanya makmal itu kelak maka proses pensijilan diharap lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata, Hab Halal turut menjangkakan peningkatan jumlah permohonan daripada syarikat luar negara malah ada yang sudah menyatakan hasrat untuk membina kilang di negara ini apabila berjaya mendapat sijil halal Malaysia. Ini satu nilai tambah yang pastinya menguntungkan negara.

Menyentuh persepsi sukarnya mendapatkan pensijilan halal Malaysia menyebabkan ada syarikat mencari alternatif mendapatkan sijil halal swasta, Zainal Abidin berkata, permohonan yang lengkap tidak akan berdepan masalah.

Katanya, masalah atau kesulitan timbul apabila pemohon gagal memberi dokumen diperlukan atau tidak membuat susulan selepas membuat permohonan menyebabkan berlaku kelewatan untuk memproses permohonan itu.

“Kini permohonan boleh dibuat secara on-line dan pemohon akan mendapat maklum balas memberitahu status permohonan sudah diterima serta diberi nombor rujukan dalam tempoh 24 jam. Jadi, tidak ada alasan sukar membuat permohonan.

“Mungkin ada masalah mengemukakan dokumen sokongan kerana konsep halal kita ialah dari ladang ke meja. Rantaian bermula daripada cara memperoleh bahan mentah hingga produk akhir. Kita tidak akan berkompromi dalam hal ini kerana ia membabitkan hukum syarak,” katanya.

Beliau berkata, bagi proses pembaharuan sijil dengan tiada penambahan, ia mengambil masa antara tiga hingga tujuh hari. Permohonan mendapatkan sijil halal untuk produk daripada kontrak pengeluaran yang sudah mendapat pengesahan halal juga tidak mengambil masa lama.

Katanya, JAKIM boleh dipersalahkan jika pemohon tidak mendapat sijil dalam tempoh 30 hari selepas pembayaran dibuat.

Zainal Abidin berkata, pemohon tidak perlu bimbang mengenai aspek kerahsiaan kerana Hab Halal bertanggungjawab memikul amanah menjaga maklumat setiap pemohon dan pihaknya boleh didakwa jika melanggar perjanjian kerahsiaan dengan pelanggan.

Begitu juga dengan kredibiliti Hab Halal yang ada kalanya dipersoalkan terutama setiap kali timbul dakwaan produk memiliki logo halal Malaysia sebenarnya tidak halal.

“Apabila ada aduan, JAKIM akan bawa sampel ke Jabatan Kimia untuk disiasat dan jika tidak menemui unsur haram, kita maklumkan kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, syarikat besar tidak akan mengambil risiko melanggar peraturan bahagian pensijilan halal kerana mereka sedar kesan perlu dihadapi jika produk mereka diragui serta ditarik dari pasaran.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu berbangga dengan pengiktirafan antarabangsa terhadap prosedur pensijilan halal negara kerana ada negara tidak teragak-agak menarik produk daripada pasaran mereka jika mendapat tahu JAKIM menarik balik pengiktirafan atas sebab tertentu.

“Pensijilan halal negara sudah bermula sejak 1972 dan jika kita tarik bukan sebarang tarik tetapi sebab ada bukti dan kita tidak akan bertangguh membawa kes ke mahkamah. Negara lain jika tahu Malaysia tarik, mereka juga akan buat keputusan sama,” katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran