Daripada Nazmi Yaakub di Kaherah
2011/02/13
KAHERAH bertukar menjadi pesta paling meriah dalam sejarah moden Mesir dengan penunjuk perasaan dan rakyatnya melimpah ke seluruh jalan raya kota raya itu, sepanjang malam kelmarin hingga berterusan semalam selepas Presiden Hosni Mubarak, akhirnya tumbang.
Ketegangan selama 18 hari yang kemuncaknya pada Yaumul Rahil selepas solat Jumaat kelmarin, kini berubah kepada keadaan yang begitu ceria dengan rakyatnya yang memberontak sebelum ini, menyanyi sambil mengibarkan bendera tanda ‘kemenangan’. ‘Revolusi putih’ yang mengorbankan kira-kira 300 jiwa itu, akhirnya berjaya menyingkirkan Mubarak, sekali gus menjadi pemimpin utama Arab yang kedua tumbang selepas Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali. Meskipun pengumuman dibuat Naib Presidennya, Omar Suleiman itu hanya mengandungi lima ayat, ia mengubah kota raya yang sarat dengan kemarahan dan kekecewaan kepada kemeriahan dan kegembiraan yang berterusan, mungkin untuk beberapa hari lagi.
Ia sudah cukup untuk menjadi pembuka tirai kepada jalur sejarah baru Mesir yang diberikan sambutan meriah.
Penunjuk perasaan yang berhimpun di seluruh Kaherah dan bandar lain di Mesir sejak Jumaat, menari, menyanyi, bersiul dan memalu gendang serta mengibarkan bendera dan berarak dengan bendera gergasi di bawah limpahan sinaran lampu serta tembakan bunga api.
Mereka turut menyalakan bunga api dan mercun sambil mengucapkan tahniah serta bersalaman sesama sendiri bagi meraikan perjuangan mereka sejak tunjuk perasaan tercetus pada 25 Januari lalu.
Mereka turut berkongsi cerita dan pengalaman sambil ketawa kerana tuntutan utama mereka untuk melihat Mubarak berundur tercapai.
Dataran Tahrir yang menjadi nadi gerakan revolusi rakyat Mesir tidak terlepas daripada kegembiraan yang diluahkan penunjuk perasaan, apatah lagi penunjuk perasaan di Dataran Tahrir yang menjadi abtal atau wira kerana bertahan di dataran yang bermaksud pembebasan sehingga akhirnya memaksa Mubarak berundur.
Jalan raya menjadi sesak, tetapi ia disambut dengan gembira oleh pengguna jalan raya apabila kebanyakannya membunyikan hon dengan nada yang selalunya dimainkan kenderaan membawa pengantin atau penyokong bola sepak, selain menyalakan lampu kecemasan.
Pemandu turut mengibarkan bendera, selain memberikan halawah atau manisan kepada penunjuk perasaan dan orang ramai yang biasanya dihidangkan pada hari kebesaran seperti Aidilfitri.
Ini berbeza dengan keadaan sepanjang tunjuk perasaan apabila kenderaan kurang di jalan raya kerana perintah berkurung dan sekatan jalan raya yang diadakan oleh tentera atau penduduk setempat.
Sambutan itu turut dirayakan di seluruh bandar di Mesir khususnya lokasi tercetusnya tunjuk perasaan besar-besaran seperti Iskandariah, Mansurah, Damanhur, Suez, Ismailiyah, Dumyat, Mahala dan Kafr Sheikh.
Jurutera, Fuad Amin, berkata kejayaan menjatuhkan Mubarak adalah kejayaan semua penunjuk perasaan dan rakyat Mesir yang bertahan serta tidak berganjak dalam menyatakan pandangan, termasuk tentera yang menjalankan tanggungjawab dengan profesional.
“Kejatuhan Mubarak membuka lembaran baru dalam sejarah moden Mesir dan mengingatkan kami terhadap kejayaan rakyat Mesir di bawah pimpinan Presiden Jamal Abdul Naseer menggulingkan Raja Farouq.
“Kami harap peluang untuk mengembalikan demokrasi dalam negara ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk ‘mencuri’ kejayaan bersama,” katanya kepada Berita Harian.
Pemilik kedai cenderamata, Vgar Andil, berkata perasaan gembiranya bercampur lega kerana tunjuk perasaan berakhir dengan pengunduran Mubarak.
“Saya harap keadaan akan kembali seperti biasa secepat mungkin meskipun ia mungkin mengambil masa untuk pulih semula terutama industri pelancongan. Tentera mengambil alih mungkin sehingga pilihan raya pada September nanti dan saya yakin angkatan tentera yang sangat dihormati rakyat Mesir akan menjalankan tanggungjawab mereka," katanya yang dilahirkan di Mesir, tetapi berasal Armenia.
Tamatnya episod panjang pemerintahan Mubarak dan fragmen tegang tunjuk perasaan itu, turut disambut lega oleh 300 rakyat Malaysia termasuk 244 pelajar yang masih berada di Mesir kerana sekurang-kurangnya mereka tidak perlu dipindahkan selepas ada ura-ura untuk berbuat demikian.
Source: Berita Minggu Malaysia Online
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
Kisah Biasa Yang Pesara Lalui By Idris Talu Sebermula, maka tersebutlah sebuah kisah, seorang rakan penulis yang kebetulan penulis temui di ...
-
Tempat Berehat Tumpuan Pelancong By Idris Talu Lata Iskandar merupakan salah sebuah kawasan rekreasi air terjun yang menarik dengan alam s...
-
Oleh Norfatimah Ahmad dan Zanariah Abd Mutalib, bhnews@bharian.com.my 2011/05/19 Waris serah gambar, dokumen tokoh PETALING JAYA: Pendedahan...
-
By Idris Ismail Talu Ladang teh di Sungai Palas di Brinchang ini merupakan ladang teh tercantik di daerah Cameron Highlands. Ladang-ladang t...
-
By Idris Talu 20 August 2009 Selepas selesai solat Maghrib di Pantai Pasir Panjang yang diimamkan oleh Tan Sri Dr Harussani Zakaria, Mufti K...
-
Mekah & Madinah 1428H/2007M By Idris Talu Suasana Berulang Alik Pergi Balik ke Masjid Nabawi di Madinah Al Munawwarah. Semasa berulang-a...
-
By Idris Ismail Talu Gambar kenangan semasa melawat ke Embun Pagi di pinggiran Danau Maninjau di Sumatra Barat (Minangkabau). Penulis bersam...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Talu. Agak mengherankan juga apabila sebahagian daripada kita dengan mudahnya menerima rebung import yang diawet dengan bahan ...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan