TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Egypt. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Egypt. Papar semua catatan

Isnin, 21 Februari 2011

Iktibar kebangkitan rakyat Mesir

2011/02/20

Kemelut sosio-ekonomi, rasuah bagai ‘api dalam sekam’ punca kejatuhan Mubarak


SELEPAS berakhirnya kepemimpinan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak, masa depan Mesir sebenarnya masih kabur dan keadaan belum reda sepenuhnya. Boleh dikatakan setiap hari demonstrasi kecil-kecilan diadakan di seluruh Mesir meskipun tentera sebelum mengambil alih pentadbiran buat sementara waktu sehingga pilihan raya September depan.

Apa pun, sebelum ini tumbangnya Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali ibarat sepotong api dicampakkan ke dalam sekam gandum bernama Mesir yang menyimpan api dalam diam.
Kekecewaan dan kemarahan rakyat Mesir boleh dianalogikan sebagai ‘api dalam sekam’ yang menjalar di kalangan masyarakat bawahan dan generasi muda serta tidak dapat dihidu oleh kerajaan pimpinan Mubarak.
Ia timbul kesan daripada kemiskinan dan kenaikan harga barang yang memburukkan lagi jurang perbezaan antara kelas, rasuah dan kekayaan peribadi yang berlegar di kalangan golongan atasan dan pengangguran di kalangan generasi muda.

Dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah, Transparency International 2010, Mesir berada pada tangga ke-98, manakala kadar celik huruf pula rendah, iaitu 66 peratus menjadikannya sebagai negara terendah di Asia Barat selepas Yaman. Umur purata rakyat Mesir ialah 25 tahun tetapi pengangguran adalah masalah utama belia kerana kira-kira 43 peratus daripada mereka tidak mempunyai pekerjaan

Kemelut politik, sosial dan ekonomi inilah kemudian meletuskan kemarahan rakyat Mesir sehingga mereka tidak lagi dapat membendungnya daripada melimpah ke Dataran Tahrir, Kaherah pada 25 Januari lalu.

Puluhan ribu rakyat Mesir yang rata-ratanya generasi muda, menunjuk perasaan bermatlamat bagi mendesak Mubarak meletak jawatan yang membawa kepada Yaumul Ghadhab atau Hari Kemarahan pada Jumaat, iaitu 28 Januari.
Penunjuk perasaan bukan saja terpaksa berdepan dengan tindakan polis untuk menyuraikan mereka dengan peluru getah dan pancutan air, bahkan menghadapi kelompok pro-Mubarak sehingga tercetusnya pertempuran.

Pada 4 Februari pula, penunjuk perasaan mengadakan Yaum ar-Rahil atau Hari Pengunduran selepas mereka membina khemah dan mewujudkan sekatan di Dataran Tahrir tetapi Mubarak tetap berdegil dan enggan melepaskan jawatan.

Tunjuk perasaan bukan hanya terhad di sekitar Dataran Tahrir, bahkan merebak di bandar lain seperti Iskandariah, Mansurah dan Suez.

Kerajaan Mesir pada awalnya menganggap kebangkitan rakyat dapat dipadamkan dengan menggunakan instrumen dan modus operandi sedia ada termasuk menyekat capaian internet dengan harapan memutuskan hubungan penunjuk perasaan dengan masyarakat dan dunia luar.

Hal ini diakui pengeksport papyrus yang beribu pejabat di Tahrir, Omar Hashim, yang berkata kerajaan memandang rendah keupayaan gerakan pemuda apabila menganggap ia mudah dipatahkan.

“Bagaimanapun, penunjuk perasaan membuktikan iltizam mereka untuk tidak berganjak dari Dataran Tahrir sehingga tuntutan mereka ditunaikan. Rakyat sendiri dapat saksikan Mubarak yang memberikan kenyataan pada malam sebelum Yaum ar-Rahil kedua apabila beliau tidak banyak memandang kamera, sekali gus menunjukkan tanda kekalahan,” katanya.

Namun, peletakan jawatan Mubarak tidak berlaku sehinggalah jutaan rakyat Mesir turun ke Dataran Tahrir dan Istana Presiden di Kaherah, selain bandar utama di seluruh Mesir termasuk Iskandariah, Mansurah, Suez, Damanhur dan Ismailiyah.

Pengumuman peletakan jawatan Mubarak itu dibuat oleh Timbalan Presiden, Omar Suleiman, mengelakkan keadaan tunjuk perasaan menjadi lebih buruk apabila rakyat Mesir seolah-olah mengambil sikap membujur lalu, melintang patah.

Peletakan jawatan Mubarak bererti kuasa diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata di bawah kepemimpinan Muhammad Hussein Tantawi.
Sepanjang tunjuk perasaan, tentera mengawal keadaan tanpa mengambil tindakan yang terlalu memperlihatkan mereka berada di pihak mana.

Tidak hairanlah apabila berita peletakan jawatan itu disiarkan di televisyen, ada di kalangan tentera yang turut menyambutnya.

Malah, tentera juga lebih mesra pasca kejatuhan Mubarak apabila orang ramai mengunjungi Dataran Tahrir untuk meraikan ‘Mesir Baru’, sekali gus mengambil peluang untuk bergambar dengan tentera termasuk berlatarbelakangkan kereta kebal dan kereta perisai.

Tentera sebenarnya mempunyai kedudukan istimewa di sisi rakyat Mesir khususnya kejayaan mereka merampas kembali Semenanjung Sinai daripada Israel dalam Perang Oktober pada 1973.

Bagaimanapun, kedudukan istimewa tentera dalam sejarah dan sosio-politik tempatan itu tidak bermakna orang ramai khususnya mereka yang terbabit dalam tunjuk perasaan, mudah menerima situasi tentera yang berkuasa penuh.

Justeru, tidak hairanlah pemimpin muda di kalangan penunjuk perasaan membuat pertemuan dengan kepemimpinan tentera untuk menentukan sebahagian tuntutan berkaitan dengan revolusi. Rakyat masih kabur dengan masa depan Mesir walaupun mereka mengharapkan keadaan lebih baik, maju dan pengagihan kekayaan yang seimbang.

Pada masa sama, kejayaan ‘revolusi rakyat’ itu turut membuka pintu baru kepada masyarakat Mesir untuk mengadakan demonstrasi kecil-kecilan bagi mendesak kerajaan atau syarikat mendengar suara mereka serta memenuhi tuntutan yang dikeluarkan.

Boleh dikatakan setiap hari demonstrasi kecil-kecilan itu diadakan di seluruh Mesir yang sebenarnya menambahkan kekaburan terhadap masa depan Mesir.

Kini, rakyat Mesir kembali kepada kehidupan normal mereka tetapi berbekalkan semangat baru selepas menjatuhkan pemimpin yang memerintah tiga dekad dan semangat itu bergantung kepada komitmen dan istiqamah mereka untuk melakukan perubahan.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Sabtu, 12 Februari 2011

Ribuan penunjuk perasaan berpesta rai kejatuhan Mubarak

Daripada Nazmi Yaakub di Kaherah

2011/02/13


KAHERAH bertukar menjadi pesta paling meriah dalam sejarah moden Mesir dengan penunjuk perasaan dan rakyatnya melimpah ke seluruh jalan raya kota raya itu, sepanjang malam kelmarin hingga berterusan semalam selepas Presiden Hosni Mubarak, akhirnya tumbang.

Ketegangan selama 18 hari yang kemuncaknya pada Yaumul Rahil selepas solat Jumaat kelmarin, kini berubah kepada keadaan yang begitu ceria dengan rakyatnya yang memberontak sebelum ini, menyanyi sambil mengibarkan bendera tanda ‘kemenangan’. ‘Revolusi putih’ yang mengorbankan kira-kira 300 jiwa itu, akhirnya berjaya menyingkirkan Mubarak, sekali gus menjadi pemimpin utama Arab yang kedua tumbang selepas Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali. Meskipun pengumuman dibuat Naib Presidennya, Omar Suleiman itu hanya mengandungi lima ayat, ia mengubah kota raya yang sarat dengan kemarahan dan kekecewaan kepada kemeriahan dan kegembiraan yang berterusan, mungkin untuk beberapa hari lagi.

Ia sudah cukup untuk menjadi pembuka tirai kepada jalur sejarah baru Mesir yang diberikan sambutan meriah.

Penunjuk perasaan yang berhimpun di seluruh Kaherah dan bandar lain di Mesir sejak Jumaat, menari, menyanyi, bersiul dan memalu gendang serta mengibarkan bendera dan berarak dengan bendera gergasi di bawah limpahan sinaran lampu serta tembakan bunga api.

Mereka turut menyalakan bunga api dan mercun sambil mengucapkan tahniah serta bersalaman sesama sendiri bagi meraikan perjuangan mereka sejak tunjuk perasaan tercetus pada 25 Januari lalu.
Mereka turut berkongsi cerita dan pengalaman sambil ketawa kerana tuntutan utama mereka untuk melihat Mubarak berundur tercapai.

Dataran Tahrir yang menjadi nadi gerakan revolusi rakyat Mesir tidak terlepas daripada kegembiraan yang diluahkan penunjuk perasaan, apatah lagi penunjuk perasaan di Dataran Tahrir yang menjadi abtal atau wira kerana bertahan di dataran yang bermaksud pembebasan sehingga akhirnya memaksa Mubarak berundur.

Jalan raya menjadi sesak, tetapi ia disambut dengan gembira oleh pengguna jalan raya apabila kebanyakannya membunyikan hon dengan nada yang selalunya dimainkan kenderaan membawa pengantin atau penyokong bola sepak, selain menyalakan lampu kecemasan.

Pemandu turut mengibarkan bendera, selain memberikan halawah atau manisan kepada penunjuk perasaan dan orang ramai yang biasanya dihidangkan pada hari kebesaran seperti Aidilfitri.

Ini berbeza dengan keadaan sepanjang tunjuk perasaan apabila kenderaan kurang di jalan raya kerana perintah berkurung dan sekatan jalan raya yang diadakan oleh tentera atau penduduk setempat.

Sambutan itu turut dirayakan di seluruh bandar di Mesir khususnya lokasi tercetusnya tunjuk perasaan besar-besaran seperti Iskandariah, Mansurah, Damanhur, Suez, Ismailiyah, Dumyat, Mahala dan Kafr Sheikh.

Jurutera, Fuad Amin, berkata kejayaan menjatuhkan Mubarak adalah kejayaan semua penunjuk perasaan dan rakyat Mesir yang bertahan serta tidak berganjak dalam menyatakan pandangan, termasuk tentera yang menjalankan tanggungjawab dengan profesional.

“Kejatuhan Mubarak membuka lembaran baru dalam sejarah moden Mesir dan mengingatkan kami terhadap kejayaan rakyat Mesir di bawah pimpinan Presiden Jamal Abdul Naseer menggulingkan Raja Farouq.

“Kami harap peluang untuk mengembalikan demokrasi dalam negara ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk ‘mencuri’ kejayaan bersama,” katanya kepada Berita Harian.

Pemilik kedai cenderamata, Vgar Andil, berkata perasaan gembiranya bercampur lega kerana tunjuk perasaan berakhir dengan pengunduran Mubarak.

“Saya harap keadaan akan kembali seperti biasa secepat mungkin meskipun ia mungkin mengambil masa untuk pulih semula terutama industri pelancongan. Tentera mengambil alih mungkin sehingga pilihan raya pada September nanti dan saya yakin angkatan tentera yang sangat dihormati rakyat Mesir akan menjalankan tanggungjawab mereka," katanya yang dilahirkan di Mesir, tetapi berasal Armenia.

Tamatnya episod panjang pemerintahan Mubarak dan fragmen tegang tunjuk perasaan itu, turut disambut lega oleh 300 rakyat Malaysia termasuk 244 pelajar yang masih berada di Mesir kerana sekurang-kurangnya mereka tidak perlu dipindahkan selepas ada ura-ura untuk berbuat demikian.

Source: Berita Minggu Malaysia Online

Jumaat, 11 Februari 2011

Ikhwanul Muslim kagum perjuangan rakyat Mesir

12/02/2011 3:20am

KAHERAH 12 Feb.
- Kumpulan pembangkang paling berpengaruh, Ikhwanul Muslim menyambut baik perletakkan jawatan oleh presiden Hosni Mubarak dan mengucapkan terima kasih kepada tentera yang telah menunaikan janji mereka.

“Kami sangat kagum dan menghormati perjuangan rakyat Mesir serta pihak tentera yang memenuhi janji mereka,” kata Essam el-Erian, pemimpin kanan Ikhwanul Muslim.

Tokoh pembangkang terkemuka Mesir, Mohammed ElBaradei ketika ditemuramah oleh stesen televisyen Al-Jazeera pula berkata, perletakan jawatan oleh Mubarak telah mengembalikan semula kehidupan rakyat Mesir.

Menteri luar Turki, Iran dan pemimpin Hezbollah Lebanon mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir kerana berjaya menjatuhkan Mubarak dan berharap akan muncul sistem baru untuk rakyat negara itu.

Turut mengalu-alukan pengunduran Mubarak adalah pemimpin Hamas dan penduduk Palestin yang sama meraikan kejayaan rakyat Mesir di seluruh Gaza City.

Source: Utusan Malaysia Online.

Mubarak letak jawatan, rakyat Mesir berpesta

12/02/2011 3:20am

KAHERAH 12 Feb.
- Presiden Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya apabila meletakkan jawatan yang diumumkan oleh naib presidennya, Omar Suleiman dalam televisyen negara itu malam tadi.

“Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara,” kata Omar ketika mengumumkannya dalam televisyen.

Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tharir dan yang mengadakan tunjuk perasaan diseluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut.

Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah.

Di Tunis, rakyat Tunisia turut berpesta meraikan perletakkan jawatan Mubarak selepas empat minggu mereka menggulingkan Zine El Abidine Ben Ali dari tampuk pemerintahan dengan menari dan membunyikan hon kenderaan sepanjang jalan.

Source: Utusan Malaysia Online.

Mubarak tunduk selepas 18 hari

2011/02/12

Lebih sejuta penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Mesir gembira peletakan jawatan


KAHERAH:
Lebih sejuta penunjuk perasaan berarak di kota Kaherah, Iskandariah, Suez dan Delta Nil semalam dan menunjukkan kegembiraan selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, semalam.

Mereka awalnya marah dengan kenyataan tentera menyokong pelan pemimpin mereka terus memegang kuasa hingga pilihan raya bermula September depan.

Mereka berarak ke istana presiden dan melakukan hadangan di depan stesen televisyen rasmi sebagai menunjukkan bantahan terhadap lambang rejim pemerintahan Mubarak.
Penunjuk perasaan menyambut gembira kenyataan Majlis Tertinggi Tentera dianggotai jeneral kanan awal semalam menjamin tuntutan rakyat Mesir akan dipenuhi yang ditafsirkan sebagai tindakan mengambil alih pemerintahan.

Tetapi, kenyataan terbaru badan itu mencetuskan kemarahan ramai penunjuk perasaan, lebih-lebih lagi selepas Mubarak masih enggan meletak jawatan meskipun memberi kuasa kepada Naib Presiden, Omar Suleiman.

“Apa yang kamu tunggu lagi?” jerit seorang penunjuk perasaan kepada seorang askar di luar istana utama, Oruba, utara Kaherah dalam bantahan yang disertai 1,000 orang.

Tidak diketahui sama ada Mubarak ada di dalam. Istana itu dikawal empat kereta kebal dan kawat berduri tetapi askar tidak menghalang orang ramai berhimpun bagi membuat bantahan.

Dataran Tahrir pula penuh sesak dengan penunjuk perasaan yang meneruskan protes buat hari ke-18.

Di Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir, lebih 100,000 orang berkumpul di dataran utamanya dan mula berarak ke kediaman utama Mubaral di bandar itu di Istana Ras el-Tin.

Penunjuk perasaan berkata mereka semakin bersemangat untuk menamatkan pemerintahan Mubarak dan akan cuba mendapatkan sokongan tentera dengan menjerit ‘rakyat dan tentera adalah satu tangan.’

Tukang baca khutbah solat Jumaat di Dataran Tahrir juga menggesa penunjuk perasaan meneruskan usaha mereka.

“Kita sudah bertahun-tahun hidup tanpa bersuara. Hari ini, kita suruh rejim sekarang berundur. Kita berdoa setiap Jumaat di sini pada minggu akan datang dan mempertahankan maruah kita.”

Kenyataan kedua tentera digelar ‘Perisytiharan Nombor 2’ menyokong rancangan Mubarak memberi sebahagian kuasanya kepada Suleiman selain berjanji memastikan Presiden dan timbalannya memenuhi janji mereka.

Kemarahan penunjuk perasaan kepada kenyataan tentera juga meletus di kota Suez dan bandar Tanta di Delta Nil dengan beribu-ribu penduduk menyertai perarakan anti-Mubarak.

Harapan bahawa Mubarak akan meletak jawatan meningkat kelmarin selepas majlis tentera mengeluarkan ‘Perisytiharan Nombor 1’ menyatakan ia campur tangan untuk menyelamatkan negara dan seorang panglima kanan memberitahu penunjuk perasaan bahawa semua tuntutan mereka akan dipenuhi.

Tetapi, beribu-ribu penunjuk perasaan kembali marah selepas dikejutkan dengan ucapan Mubarak mengatakan beliau tidak akan meletak jawatan, beberapa jam kemudian.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Rabu, 9 Februari 2011

Mesir: Apa yang boleh kita pelajari?

ZAINI HASSAN

SEPANJANG minggu lalu kita mengikuti perkembangan di Mesir dengan penuh minat. Ia memperlihatkan kebangkitan rakyat yang mahu Presiden mereka selama 30 tahun, Hosni Mubarak diturunkan dari tampuk kuasa. Mesir boleh dikatakan lumpuh dalam tempoh itu. Perhatian tertumpu ke Dataran Tahrir (Dataran Pembebasan atau Merdeka) di Kaherah. Di situ ratusan ribu manusia berhimpun dan menunjuk perasaan.

Liputan CNN, BBC dan Al-Jazeera yang kita ikuti di Malaysia jelas memperlihatkan kecenderungan yang berat sebelah. Stesen-stesen berita satelit itu turut serta bersama-sama suara populis menuntut Mubarak letak jawatan. Walaupun CNN milik Amerika pada mulanya berhati-hati dalam liputan untuk mempertahankan Mubarak, tapi kemudian ia terpaksa mengikut arus massa. Tidak seperti Saddam Hussein yang digelar mereka sebagai diktator, Mubarak digelar sebagai pemimpin yang mengamalkan dasar totalitarian sama taraf seperti Adolf Hitler dan Joseph Stalin.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, krisis yang berlaku itu merupakan satu putaran semula jadi dunia. Setiap dekad akan berlaku krisis besar yang membabitkan satu perubahan iklim politik, ekonomi mahu pun alam. Jika bukan krisis politik atau ekonomi, ia akan membabitkan krisis alam. Putaran dan imbangan ekuilibrium ini akan terus berlaku sehinggalah hari kiamat.

Di negara kita juga tidak terkecuali. Banyak kali telah berlaku krisis politik di negara ini sejak merdeka. Namun krisis yang paling bersejarah ialah krisis ekonomi dan politik yang berlaku hampir serentak pada 1997 dan 1998 yang kesannya dirasai sehingga ke hari ini. Begitu juga berlaku krisis alam, tsunami yang mengorbankan ratusan ribu jiwa manusia sekali gus di seluruh dunia. Terakhir ialah tsunami politik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 2008, memperlihatkan sokongan terhadap parti pemerintah Barisan Nasional (BN) merosot.

Putaran kepada krisis-krisis itu boleh berlaku lagi. Bila, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Namun semua yang berlaku di atas sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua - kepada para pemimpin politik, para saintis, ekonomis, alim ulama dan rakyat jelata sekalian.

Apakah kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara kita selama ini? Apakah para pemimpin kita sedar terhadap tsunami politik pada 2008? Melihatkan situasi di Mesir, bolehkah kita pelajari daripadanya? Apa yang boleh kita dapat belajar daripadanya?

Sudah tentulah jika kita ambil suasana di Mesir itu ia tidak boleh dijadikan satu perbandingan mutlak antara epal dan epal. Rakyat kita cukup makan, cukup pekerjaan sehinggakan negara ini dikerumuni oleh rakyat asing. Kerajaan yang ada juga cukup stabil, sistematik dengan pengurusan ekonomi yang cukup baik. Semalam, kerajaan melancarkan pula Unit Peneraju Agenda Bumiputera, bertujuan untuk memakmurkan golongan itu.

Namun, kita masih boleh mempelajari serba sedikit krisis yang berlaku di Mesir itu sebagai satu kajian ilmiah untuk dijadikan iktibar kepada kita semua.

Ia semua bermula apabila Mubarak berada atas tampuk pemerintahan terlalu lama. Tempoh 30 tahun itu akan menjadi satu jangkamasa yang terlalu panjang dan perit jika pengisian pemerintahannya tidak menyebelahi kehendak rakyat. Walaupun ia menyebelahi rakyat sekali pun, proses demokrasi telah dinafikan apabila rakyat sudah menjadi terlalu muak terhadap corak kepemimpinan individu tersebut.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menduduki tampuk pemerintahan Malaysia selama 22 tahun. Allah SWT sendiri hanya memberi peluang kepada Rasulullah SAW selama 24 tahun sahaja untuk mengembangkan syiar Islam. Seterusnya dilaksanakan oleh khalifah-khalifahnya yang lain.

Walaupun semua yang baik berjaya dilakukan Mahathir dengan sempurna sehingga Malaysia menjadi negara maju, namun beliau sendiri merasakan sudah terlalu lama menduduki kerusi PMnya. Misinya dirasakan sudah selesai. Lalu beliau berundur.

Pada pilihan raya 2004, penggantinya Pak Lah mendapat mandat yang terbaik dalam sejarah negara ini. Rakyat memberi kepada Pak Lah, bukan kerana Pak Lah tetapi kerana beliau ialah orang baru, muka baru dan PM yang segar dalam pemerintahan Malaysia.

Sebaliknya, rakyat jugalah yang menolak Pak Lah kemudiannnya pada 2008 kerana beberapa perkara yang dilakukannya, malangnya, bertentangan dengan kehendak ramai.

Melihatkan kepada perkembangan itu, rakyat tidak menolak BN selaku parti peneraju negara ini, tapi mereka menolak individu yang mereka tidak sukai. Rakyat merasakan BN masih relavan untuk negara ini, memandangkan rekod perkhidmatannya yang cemerlang selama ini. Beberapa pilihan raya kecil pasca-PRU 12 memperlihatkan hampir kesemuanya masih dimenangi BN. Rakyat masih tidak yakin untuk mempertaruhkan negara ini kepada pihak pembangkang.

Namun, yang menjadi persoalan sekarang ialah siapakah yang berada dalam BN? Siapakah orang-orang dalam UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan berbelas-belas komponen parti yang menaungi BN. Rakyat sedang memerhati gelagat orang-orang yang ada di dalamnya.

Sudah begitu lamakah orang-orang itu? Jika lama, berapa lama? Lima tahun, 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun? MB dan Ketua Menteri (KM) yang ada di negeri-negeri BN sudah berapa lama memegang tampuk pemerintahan? Lima tahun, 10 tahun, 20 tahun atau lebih? Ada seorang KM di sebuah negeri sudah melepasi tempoh pemerintahannya ke-30 tahun (sama rekod dengan Mubarak). Orang seperti itu, tidak mahu belajarkah? Saya yakin jika beliau belajar, beliau akan melepaskan jawatannya secara sukarela kepada pelapis lain.

Ketua-Ketua Bahagian yang ada dalam UMNO pula misalnya, sudah berapa lama memegang kuasa? Jangan biarkan suara-suara berbunyi bahawa sudah ada warlord dalam bahagian-bahagian UMNO.

Orang-orang tertentu sahaja yang boleh menguasai, atau suku-sakat mereka sahaja, atau kaum-kaum mereka sahaja, atau kumpulan juak-juak mereka sahaja yang boleh memegang jawatan-jawatan tertentu.

Di peringkat Pemuda, Wanita pula - siapa mereka itu? Apakah itu sahaja muka yang ada. Asyik-asyik orang itu sahaja yang naik. Benarkah orang itu sahaja? Mana yang lain? Mana dia barisan baru, mana dia wajah-wajah baru? Mana dia pelapis-pelapis baru?

Malaysia kini dikerumuni oleh golongan muda dan yang terpelajar. Bolehkah mereka ini mendapat jawatan daripada parti-parti elit yang memerintah negara sekarang? Apakah sudah cukup usaha dilakukan untuk menarik mereka masuk. Atau tiada usaha dilakukan, kerana masing-masing yang memegang jawatan itu mahu mempertahankan kepompong dan kelompok masing-masing?

Sedarkah kita bahawa apa yang berlaku di Mesir dan negara-negara Arab lain ialah kerana suara orang muda tidak diambil peduli. Ahmed Maghib, antara anak muda yang berdemonstrasi di Mesir berkata kepada akhbar Los Angeles Times: ''The old opposition parties don't represent the young people. Everyone needs to realize that it was the young who brought about this change. We need to be heard." (Parti-parti lama pembangkang tidak mewakili orang muda. Semua pihak harus sedar bahawa orang mudalah yang membawa perubahan ini. Suara kami perlu didengari).

Adakah kumpulan muda dan terpelajar kita kini sedang tercari-cari platform untuk mereka berkecimpung dalam politik? Atau, lebih mudah bagi mereka menyertai NGO- NGO sahaja daripada parti-parti seperti UMNO, ataupun akhirnya mereka menyertai pembangkang atau sekadar berpuas hati berdiri di atas pagar?

Sepanjang berada dalam dunia kewartawanan dan membuat liputan politik dan pilihan raya, dihantar bertugas ke Kelantan untuk melihat Nik Aziz Nik Mat menduduki kerusi MB selepas pililihan raya 1990, malangnya, sehingga hari ini Nik Aziz masih lagi 'berakar' di kerusinya. Saya yakin jika beliau waras, dia pun tidak akan bertanding lagi dalam PRU ke-13 ini.

Itu hanyalah satu contoh, bukan sahaja ketua-ketua bahagian UMNO pun asyik dengan muka-muka itu sahaja, malah di pihak pembangkang - terutamanya Pas dan DAP pun sama, malah lebih teruk. Lim Kit Siang masih menongkat langit dalam DAP, begitu juga dengan Karpal Singh.

Kit Siang kemudian menurunkan takhtanya kepada anaknya Guan Eng (yang dilantik menjadi Ketua Menteri). Malah menantunya turut diberi kerusi untuk bertanding pilihan raya. Begitu juga Karpal Singh diberikan jawatan dan kerusi kepada anak-beranaknya. Hatta, Anwar Ibrahim yang menubuhkan PKR juga memberi kuasa kepada isteri dan anak perempuannya. PKR, hakikatnya kini ialah parti yang hampir gagal. Semakin ramai pemimpinnya lari meninggalkan parti itu.

Politik di Malaysia baik kerajaan, mahupun pembangkang memerlukan satu corak yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang. Perlu disebut, rakyat sedang memerhati semua ini.

Kita berharap dalam PRU ke-13 ini, PM Najib Tun Razak, selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN akan mengemukakan muka-muka baru yang berketerampilan, berkualiti dan muda untuk bertanding kerusi-kerusi DUN. Biarlah orang muda ini yang mengambil alih pemerintahan negeri-negeri pula. Biarlah mereka pula yang menjadi Menteri-Menteri Besar, sebagaimana Najib menjadi MB di usia muda dulu.

Sementara di Pusat, letaklah pemimpin dan tokoh yang berpengalaman dan berkualiti - tapi tidak melebihi jangka waktu yang membosankan rakyat, dan tidak semestinya berasal dari arena politik. Contohi Singapura yang meletakkan golongan muda dalam barisan politik dan birokrasinya.

Di peringkat parti, rombaklah. Cari dan jemputlah darah-darah yang lebih vibrant masuk untuk mengangkat kembali parti-parti politik yang semakin tua ini. Parti-parti politik Malaysia perlu direjuvinasi semula.

Kita berharap pengajaran di Mesir ini perlu dimasukkan ke dalam Program Transformasi Politik (PTP) yang sedang dilaksanakan Najib. Diharapkan peristiwa itu juga dapat dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan 191 ketua-ketua UMNO bahagian Sabtu ini.

Ingatlah, pusingan krisis yang disebut di atas boleh berlaku di negara kita.

Mesir dan dunia Arab kini sedang panas bergolak. Ia nampaknya berlaku secara tiba-tiba, tapi sebenarnya, bara kemarahan sudah pun lama menyala. Setelah meletusnya kebangkitan barulah beberapa kerajaan Arab sibuk memperkenalkan pelbagai program untuk rakyat, yang sengaja dicicirkan selama ini. Namun, ia sudah terlambat. Bermula dengan seorang pemuda membakar diri di Tunisia kerana miskin, ditindas, tiada kerja, tiada makan, - akhirnya ia merebak ke seluruh rantau itu.

Ingatlah, jika alpa, Malaysia juga tidak terkecuali.

Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 6 Februari 2011

Konflik di Mesir pengajaran untuk semua

APA yang berlaku di Mesir memberikan beberapa kesan dan pengajaran kepada kita. Pertama, dengan gelora yang melanda Mesir, pelajar-pelajar kita yang berjumlah kira-kira 11, 000 orang terpaksa dibawa balik. Ini bermakna pengajian mereka akan tergendala buat seketika. Kedua, apa yang kita saksikan berlaku di Mesir telah memberikan rangsangan kepada negara-negara berdekatan seperti Yemen, Jordan dan Sudan.

Ketiga, kita sedia maklum harga minyak melambung ke paras AS$102 setong pada 1 Februari membuatkan RON97 dinaikkan.

Apa yang kita difahamkan ialah Presiden Hosni Mubarak telah membuat pendirian yang sekiranya dia meletakkan jawatan serta merta, Mesir akan berdepan dengan kacau bilau. Apa yang bermula dengan tunjuk perasaan yang aman mendesak dia meletakkan jawatan telah bertukar corak kepada keganasan sehingga ramai yang terbunuh dan cedera kerana pihak yang menyokong Mubarak mula bertindak.

Ramai wartawan antarabangsa telah diserang dan kelengkapan mereka turut dirosakkan. Suasana ini membuatkan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton menyatakan rasa terkejut dan memberi 'amaran'.

Kalau keadaan satu pihak yang menyokong dan satu pihak lagi menentang kerajaan berterusan dengan keganasan, nescaya Mesir akan hancur dengan perang saudara. Dari segi ekonomi, kebimbangan Terusan Suez ditutup akan menimbulkan masalah dari segi penghantaran minyak kerana laluan gantian akan bertambah sebanyak 6,000 kilometer melalui hujung benua Afrika. Harga minyak akan melambung tinggi dan RON95 mungkin terpaksa akan dinaikkan harga.

Apa yang berlaku di Mesir adalah ekoran pemerintahan seorang presiden selama 30 tahun yang dipenuhi dengan rasuah dan keadaan ekonomi yang lemah dengan pengangguran begitu tinggi. Mesir merupakan kawan baik Amerika Syarikat dan Israel.

Kebangkitan gelombang antikerajaan di Mesir bermula dengan belia-belia yang sudah muak dan resah terhadap pemerintahan yang dipandang korup dengan keadaan ekonomi yang tidak memberikan mereka peluang pekerjaan diikuti harga barang-barang yang tinggi. Ia banyak dibantu oleh rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter yang kemudiannya telah diharamkan oleh pihak pemerintah sehingga 2 Februari lalu.

Kita wajar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia. Dua perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah soal remaja dan rangkaian sosial. Mana-mana negara mempunyai golongan muda lebih ramai daripada golongan dewasa, selalunya hampir 60 peratus daripada jumlah penduduknya.

Dengan adanya rangkaian hubungan yang paling popular di dunia sekarang ini, mesej boleh disampaikan dengan begitu pantas dan perkumpulan boleh berlaku dengan begitu cepat.

Bagi kita yang bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi, kedua-dua pengaruh kuat yang boleh mengubah landskap kerajaan dan pemerintah itu wajar diberi perhatian. Ramai daripada belia yang ada sekarang mempunyai akses kepada dunia siber dan lebih terdorong dengan berita sensasi dan bertentangan dengan kerajaan, ditambah pula dengan kumpulan pembangkang yang begitu aktif.

Justeru, pihak pemerintah mestilah berusaha merapatkan diri dengan golongan muda dan mendengar rintihan mereka. Kalau orang muda yang baru lulus universiti dan dengan gaji yang ada tidak mampu membeli rumah atau kenderaan, ditambah pula dengan harga barang keperluan asas yang terus naik, tentu sekali kesemua itu akan membuatkan golongan ini gelisah.

Kita sedang menyaksikan trend kenaikan harga barang-barang, malahan meliputi banyak barang keperluan asas dan diikuti dengan kadar inflasi yang kian meningkat, yang kadar rasminya tidak begitu tepat. Selaras dengan usaha mengurangkan subsidi, perkara-perkara ini boleh dijadikan bom jangka oleh pihak-pihak yang ingin menangguk di air keruh.

Source: Utusan Malaysia Online.

Harta Firaun

Oleh Hazirah Che Sab, zeehan@bharian.com.my

2011/02/06

Rusuhan di Mesir cetus kebimbangan artifaknya turut jadi sasaran pencuri

KETIKA kekalutan melanda Mesir, khasnya Kaherah, yang memaksa pihak berkuasa memerah tenaga dan kepakaran ke tahap paling maksimum untuk mengawal kebangkitan rakyat, ada satu pihak lain diberikan tugas yang tidak kurang pentingnya. Mungkin ia tidak membabitkan nyawa manusia tetapi harta yang perlu dijaga itu amat berharga kerana ia bertanggungjawab meletakkan Mesir dalam peta dunia serta menarik kunjungan jutaan warga asing menjadikan negara itu destinasi pelancongan yang wajib dilawati. Kebangkitan rakyat yang mahukan pengunduran Presiden Hosni Mubarak secara langsung turut memaksa tentera negara itu memberikan kawalan ketat ke atas Muzium Antikuiti bagi melindungi khazanah tidak ternilai termasuk topeng emas Raja Tutankhamun daripada menjadi habuan lumayan penyamun.

Ancaman terbesar kepada Muzium Mesir itu dapat dilihat buat kali pertamanya daripada kebakaran di ibu pejabat parti pemerintah yang cuma terletak bersebelahan ketika bantahan antikerajaan semakin memuncak di negara berkenaan.

Berikutan itu, berpuluh-puluh pencuri mula memasuki perkarangan muzium berkenaan tetapi tindakan mereka berjaya dihentikan sekumpulan lelaki muda yang membentuk rantai manusia di luar pintu utama Dataran Tahrir dalam usaha melindungi koleksi berharga di situ.

Empat kereta perisai diletakkan di luar bangunan berkenaan di pinggir Kaherah dengan anggota tentera mengelilinginya dan bergerak ke dalam untuk melindungi mumia, tugu batu, barang kemas diraja dan artifak ketika pemerintahan Firaun.
Namun di sebalik usaha keras tentera Mesir melindungi khazanah itu, sebahagian harta karun purba dilaporkan mengalami kerosakan, antaranya dua artifak mumia Firaun dan patung kecil tidak ternilai daripada kubur Tutankhamun (Raja Tut).

Beberapa pakar arkeologi sebaliknya bimbang khazanah yang turut menjadi sasaran berkemungkinan sebahagian koleksi emas dan barangan kemas dikenali ‘harta karun Tanis.’

Bagaimanapun, objek paling berharga dalam muzium itu sudah pasti topeng emas pengebumian Raja Tut yang turut digelar Raja Budak berikutan usia mudanya.
Tutankhamun adalah antara raja terakhir Firaun dinasti ke-18 Mesir dan memerintah ketika tempoh penting dipenuhi pergolakan apabila fahaman Akhenaten berakhir dan kuasa dikembalikan kepada paderi lama yang memuja pelbagai dewa.

Malah seperti diakui ramai penganalisis, sejak penemuan khazanah berharga Raja Tut itu pada 1920-an, koleksi itu khususnya topeng emas Raja Tut itu ibarat wajah Mesir di persada dunia, malah jauh mengatasi kehebatan piramid dan Great Sphinx of Giza.

Artifak Raja Tut itu juga beberapa kali turut digunakan kerajaan Mesir sebagai lambang politik dan seakan ‘duta’ tidak rasmi apabila ia pernah menjadi sebahagian pameran kontroversi di Los Angeles, Amerika Syarikat. Hari ini, koleksi sama menjadi sasaran perusuh, tetapi setakat ini dapat dikawal pihak tentera.

Seperti diakui pakar arkeologi terkemuka Mesir, Zahi Hawass, ada sekurang-kurangnya 13 peti besi dirosakkan dengan sebahagian harta karun itu dibiarkan bersepah di lantai.

“Hati saya sakit dan darah mendidih. Saya rasa semua yang saya usahakan sejak sembilan tahun lalu dimusnahkan dalam masa sehari tetapi pemeriksa, pakar arkeologi muda dan pentadbir, menghubungi saya dan memberitahu mereka sanggup bertarung nyawa menyelamatkan khazanah itu,” katanya.

Hawass berkata, dua mumia dalam muzium dirosakkan dengan kepalanya dipatahkan. Dalam satu gambar paling menyedihkan, kepala mumia dan tulang dapat dilihat berselerak di atas lantai.

Spekulasi lain turut menyatakan antara mumia yang dirosakkan milik Yuya and Tjuya yang sebelum ini dikenal pasti sebagai nenek moyang Raja Tut.

Bukan bertujuan melebihkan mumia kaku berbanding nyawa manusia menjadi sebab utama muzium berkenaan dilindungi ketat tetapi melihat kepada nilai yang tidak boleh dihitung khazanah yang tersimpan dalamnya, kerajaan Mesir mengambil langkah tepat mengetatkan kawalan ke atas bangunan itu.

Hakikatnya, apa yang berlaku di Mesir membangkitkan kembali detik hitam yang melanda Iraq apabila khazanah berharga miliknya, hilang sejurus kerajaan Saddam Hussein digulingkan.

Dilaporkan lebih 15,000 artifak berharga dicuri daripada Muzium Kebangsaan Iraq berikutan pencerobohan Amerika Syarikat pada April 2003.

Malah, banyak lagi artifak penting masih hilang yang menjadikan ia satu kerugian bukan saja kepada dunia arkeologi tetapi juga kemanusiaan secara amnya.

Usaha berpanjangan dilakukan untuk mendapatkan semula artifak itu termasuk menjanjikan pengampunan kepada pencuri. Banyak artifak ditemui di tempat yang jauh daripada negara itu seperti Switzerland, Jordan dan Jepun. Malah ada di antaranya, ditemui dilelong di laman eBay.

Namun harta karun Mesir masih bernasib baik kerana di tengah-tengah kekalutan itu, masih ada yang menolak ketidakpuasan hati dengan pemerintahan Mubarak semata-mata untuk melindungi khazanah tidak ternilai itu.

Seorang lelaki yang turut membentuk rantai manusia berjanji tidak akan membenarkan muzium itu dicerobohi dengan jeritan: “Kita bukan seperti Baghdad.”

Ada benarnya tindakan kerajaan dan penduduk Mesir melebihkan usaha melindungi khazanah amat berharga itu kerana jika kejadian di Iraq berulang, cuma kekesalan boleh disuarakan. Apa lagi yang boleh ditawarkan Mesir kepada dunia jika bukti keajaiban itu sudah lenyap akibat kecuaian sendiri.

INFO
Khazanah berharga:

Mesir


•Muzium Antikuiti Mesir atau Muzium Mesir di Kaherah, menempatkan koleksi besar artifak berharga negara itu.

•Ia mempunyai 120,000 artifak.

•Turut ditempatkan, kamar Mumia Diraja daripada era Firaun.

•Topeng emas Raja Tut ialah khazanah paling terkenal dan berharga.

•Artifak lain termasuk mumia, tugu batu, barang kemas diraja dan artifak lain ketika pemerintahan Firaun.


Iraq

•Artifak disimpan di Muzium Kebangsaan Iraq adalah antara koleksi paling berharga di Asia Barat.

•Ia termasuk zaman kuno Mesopotamia (tanah terletak antara dua sungai iaitu sungai Dajlah dan sungai Furat).

•Kawasan Mesopotamia merangkumi Iraq (moden), sebahagian Syria, barat daya Turki dan wilayah Khuzestan di Iran.

•Antara artifak yang dilaporkan hilang di Muzium Iraq termasuk Pasu Warka, patung Raja Entemena Lagash dan plak gading gajah dari Namrud.

•Lebih 15,000 artifak berharga dicuri daripada Muzium Kebangsaan Iraq berikutan pencerobohan Amerika Syarikat pada April 2003, tetapi hanya satu pertiga dikembalikan.

•Anting-anting emas Neo-Assyrian berusia 2,800 tahun antara khazanah yang dikembalikan kepada Kedutaan Iraq di Washington DC.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Hanya kebijaksanaan mampu lerai krisis kepemimpinan Mesir

Daripada Nazmi Yaakub di Kaherah, Mesir, bminggu@bharian.com.my

2011/02/06

‘PERATURAN pada orang Mesir terletak pada lidah’ – pepatah itu pernah menjadi jenaka kalangan pelajar Malaysia, termasuk penulis yang pernah menuntut di Universiti al-Azhar di Damanhur, lebih 200 kilometer dari Kaherah.

Peraturan di negara Piramid ini selalu berubah-ubah, terutama membabitkan hal birokrasi sehingga menyusahkan ramai, tetapi kami tidak banyak pilihan kecuali ‘bertengkar’ sedikit dan kemudian mengikut arahan itu yang akhirnya menjadi bahan lelucon sambil minum syai atau teh.

Ibarat ‘dejavu’, penulis tidak menyangka kembali mengalami keadaan itu apabila tiba di Kaherah membuat liputan kekacauan dan demonstrasi di Medan Tahrir serta bandar utama lain di negara itu. Bezanya, pengalaman selepas menjejakkan kaki di Kaherah, Rabu lalu, kali ini tidak lagi menjadi lelucon sebaliknya mimpi ngeri. Bukan saja peraturan tempoh berkurung dan sekatan jalan raya yang sentiasa berubah-ubah, sifat dan perangai orang Mesir juga bertukar. Kali ini sebahagian besar mereka hampir hilang kewarasan.

Tidak hairanlah berkali-kali kami – penulis dan rakan media dari Kumpulan Media Prima Berhad – yang menaiki teksi, ditahan di sekatan jalan raya oleh penduduk setempat yang berlagak samseng.

Kejadian sama hampir berulang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke hotel di Muhandisin kira-kira 30 kilometer, namun kami terselamat kerana kecekapan pemandu yang juga bekerja di Kedutaan Malaysia di sini.

Reaksi dan tindakan keras terhadap warga asing khususnya rakyat Malaysia yang selama ini selalu dipuji rakyat Mesir sebagai `ahsanun-nas’ atau sebaik-baik manusia, menunjukkan betapa Mesir tidak sama seperti sebelum 26 Januari lalu.

Isu kemiskinan, pengangguran dan tekanan hak asasi yang selama ini membakar dalam sekam, berubah menjadi bara hangat yang tidak dapat ditahan, lalu mendorong sebahagian rakyat Mesir turun ke Medan Tahrir dan bandar besar lain.

"Kami mahukan pentadbiran yang lebih baik supaya anak dan saudara kami mendapat pekerjaan dan kehidupan lebih baik," kata guru sekolah menengah, Adil Soleh.

Bagaimanapun, tidak semua sependapat dengan kelompok yang mendesak Presiden Husni Mubarak meletak jawatan.

Malah, kehadiran kelompok penyokong Mubarak menjadi antara faktor mencetuskan pertempuran antara dua kumpulan terbabit khususnya di kawasan berhampiran Medan Tahrir.

Kami turut diperingatkan oleh pemandu pelancong supaya tidak secara terang-terangan mengambil gambar dua kumpulan itu yang menganggap laporan media luar merosakkan imej negara mereka yang sering diangkat sendiri sebagai `ummu dunya’ atau ibu dunia.

Pemilik kedai, Hussein Syahatah, berkata kekacauan itu mengganggu rakyat mencari rezeki sedangkan ramai yang bergantung pada pendapatan harian.

Adalah senang untuk menyalahkan unsur asing termasuk wartawan dari luar terhadap kekacauan yang melanda Mesir, tetapi ia tidak akan memadamkan ‘api’ yang sedang membakar negara itu. Usaha memadamkan ‘api’ itu memerlukan tindakan digembleng semua pihak khususnya kerajaan, pemimpin politik, masyarakat dan kumpulan penentang sendiri.

Untuk mencapai sasaran itu, peraturan seharusnya tidak lagi bergantung kepada tutur kata, sebaliknya pada kebijaksanaan.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Nilai berita dan kepentingan rakyat

Oleh Mior Kamarul Shahid, mkamarul@bharian.com.my

2011/02/06

Demonstrasi tuntut Mubarak undur elemen luar jangka, lakar sejarah


MINGGU ini, media seluruh dunia memberi liputan meluas berhubung peristiwa tunjuk perasaan anti-Kerajaan Mesir pimpinan Presiden Hosni Mubarak. Penunjuk perasaan besar-besaran yang mencetuskan rusuhan rakyat menuntut supaya Mubarak, yang memerintah Mesir selama 30 tahun sejak 1981, mengundurkan diri. Cara tindakan dan sepanduk yang mereka bawa sewaktu tunjuk perasaan itu menunjukkan mereka tidak boleh lagi menerima Mubarak dan mahu presiden keempat Mesir itu berundur serta-merta.

Media cetak dan elektronik dari seluruh dunia mengerahkan wartawan dan jurugambar mereka ke Mesir untuk membuat liputan berita yang pastinya mencatat satu lagi sejarah dunia. Walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan untuk masuk ke Mesir, misi untuk mendapatkan berita dari Mesir menjadi keutamaan walau apa pun terjadi. Wartawan yang masuk ke Mesir juga sedar tiada jaminan keselamatan ke atas mereka. Terbukti ada antara mereka ditahan dan dilayan dengan kasar. Misi wartawan kali ini berbeza berbanding sewaktu Perang Iraq-Amerika Syarikat dari segi perlindungan. Ketika Perang Iraq-Amerika Syarikat, wartawan mendapat perlindungan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kali ini wartawan tidak mendapat layanan tetapi perlu bergerak mengikut perancangan sendiri.

Dari segi kewartawanan, semua organisasi media tidak mahu ketinggalan daripada melaporkan peristiwa tunjuk perasaan yang sudah pun meragut ratusan nyawa dan mencederakan ribuan manusia kerana ia adalah peristiwa semasa yang meninggalkan banyak kesan kepada dunia. Negara di dunia berminat mengikuti peristiwa ini kerana mereka juga mempunyai kepentingan tertentu, setidak-tidaknya hubungan diplomatik. Dunia juga memerhatikan gelagat Amerika Syarikat yang biasanya dilihat mempunyai pengaruh dalam apa juga konflik di dunia. Sejak rusuhan bermula hingga ke hari ini, apa juga perkembangan yang berlaku di Mesir menjadi berita utama dunia di kebanyakan media. Setiap hari penunjuk perasaan dan perusuh meneruskan tindakan mereka selagi tuntutan mereka tidak dicapai.

Mubarak pula berada dalam dilema sama ada mahu melepaskan jawatan sekarang atau memberi tempoh tertentu untuk berbuat demikian kerana beliau juga bimbang rusuhan besar-besaran yang boleh mencetuskan perang saudara, akan berlaku apabila penyokongnya bertindak balas, juga secara besar-besaran. Penyokong Mubarak sudah tentu tidak mahu membiarkan presiden itu melepaskan jawatannya begitu saja sedangkan mereka banyak mendapat faedah daripada pemerintahan Mubarak.

Walaupun peristiwa ini berlaku di Mesir, ia menjadi berita dunia berasaskan nilai berita atau juga disebut kriteria beritanya yang tinggi. Apa juga kriteria berita yang digariskan dalam bidang kewartawanan, wujud pada peristiwa di Mesir ini. Media perdana di Malaysia menyiarkan peristiwa di Mesir ini di muka depan setiap hari kerana ia mempunyai nilai berita berganda disebabkan ramai rakyat dan pelajar Malaysia di negara berkenaan. Selain peristiwa di Mesir ini mempunyai nilai berita lain seperti elemen semasa, konflik, minat umum, membabitkan orang kenamaan dan sebagainya, ia juga mempunyai kriteria ‘proksimiti’ (proximity) atau bahasa mudahnya ‘dekat di hati.’

Kriteria proksimiti ini sangat penting dalam kewartawanan kerana berita seperti ini mendapat perhatian ramai pembaca. Kriteria proksimiti tidak semestinya berasaskan kepada jarak dan masa semata-mata. Ia juga boleh dilihat dari segi hubungan antara negara sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial, agama, kerjasama dalam bidang tertentu, kepentingan pelajaran dan sebagainya. Jika ia mempunyai kaitan dengan negara atau rakyat negara ini, ia mempunyai kriteria yang proksimiti yang jelas.

Sekiranya peristiwa itu berlaku di sebuah negara yang jauh dan langsung tiada kaitannya dengan Malaysia seperti tidak ada rakyat Malaysia menetap di negara itu atau tidak ada hubungan politik dan ekonomi, sudah tentulah media negara ini tidak akan menghantar wartawan mereka untuk membuat liputan. Jika menggunakan berita itu sekali pun, ia hanyalah sebagai peristiwa biasa.

Bila kerajaan mengumumkan misi menyelamatkan rakyat Malaysia di beberapa tempat di Mesir, nilai berita kepada media tempatan meningkat. Ada kira-kira 20,000 rakyat Malaysia di Mesir, kebanyakannya pelajar yang menuntut di beberapa universiti di negara itu. Tugas menyelamat rakyat yang begitu ramai di sebuah negara yang menghadapi krisis bukanlah mudah, apatah lagi menghadapi masalah saluran komunikasi. Disebabkan rakyat Malaysia tinggal bertaburan di Mesir, usaha untuk mengumpulkan mereka bukanlah tugas mudah. Peristiwa di Mesir menarik perhatian keluarga setiap rakyat Malaysia di negara itu. Selepas mendengar berita tercetusnya rusuhan di negara itu, mereka menjadi resah.

Mereka bimbang keselamatan anak dan saudara mereka di negara itu, apatah lagi jika mereka terbabit dalam rusuhan berkenaan. Keadaan ini membimbangkan lagi keluarga rakyat yang berada di negara ini. Selepas yakin dengan keselamatan rakyat dan pelbagai urusan dilakukan menggunakan pelbagai saluran, semua rakyat Malaysia dapat dikumpulkan dan dikeluarkan dari Mesir. Kerajaan terpaksa memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat sebelum dibawa pulang ke Malaysia walaupun terpaksa menggunakan belanja yang besar. Tindakan segera itu perlu dilakukan kerana bimbang keadaan politik di negara itu terus meruncing. Dalam keadaan negara yang tidak tenteram, pelbagai perkara boleh berlaku.

Peristiwa di Mesir menjadi berita prominen di seluruh dunia, walaupun berita tunjuk perasaan sudah menjadi perkara biasa di mana juga di dunia hari ini.
Biasanya peristiwa yang berulang-ulang seperti demonstrasi atau tunjuk perasaan yang berlaku di serata dunia, tidak lagi menjadi bahan berita. Tetapi apa yang berlaku di Mesir ini dianggap luar biasa kerana ia boleh menyebabkan sebuah kerajaan tumbang. Ia juga mempunyai elemen luar jangka. Ia boleh berlaku pelbagai perkembangan baru yang perlu diketahui dunia. Selain peristiwa di Mesir ini mempunyai kriteria negatif yang biasanya berita yang dicari-cari wartawan, ia juga mempunyai unsur prominen kerana ia membabitkan nasib seorang presiden dan masa depan sebuah negara.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Sabtu, 5 Februari 2011

Israel berasa terancam

Mukadimah:

MENARIK tatkala DR. MASZLEE MALIK mengungkap ayat ini: ‘‘Perubahan dan peristiwa yang berlaku di rantau itu pasti akan mengenang Tunisia sebagai pencetus revolusi kepimpinan manakala Mesir pula sebagai nadi kepada rantau tersebut. Jika rejim Mubarak berundur ia membawa petanda baru dalam lanskap politik di Asia Barat dan teori domino akan berlaku manakala Israel akan berasa terancam.’’ Rumusan itu dilontarkan ketika sesi wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID jurugambar MOHD. NAIM AZIZ memfokuskan kepada gerakan kebangkitan rakyat Mesir berikutan kezaliman rejim Presiden Hosni Mubarak.

Bekas pengajar di School of Government and International Studies, Durham University, United Kingdom itu melihat kemiskinan dan tekanan hidup penduduk di Mesir melonjakkan semangat untuk mereka keluar berdemonstrasi secara aman di jalan-jalan. Mesir sebagai negara yang menerima sumbangan kedua terbesar dari kuasa besar Amerika Syarikat dihimpit kemiskinan mengakibatkan penduduk di situ diresapi budaya negatif seperti rasuah yang semakin berleluasa.

Maszlee yang kini pensyarah jurusan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta bekas penceramah kursus Politik Islam di School of Oriental and African Studies (SOAS), London berkata, paling penting dalam menangani konflik di Mesir adalah memastikan Mubarak dan rejimnya berundur secara menyeluruh supaya reformasi di Mesir dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat di situ.

MINGGUAN: Apa punca sebenarnya krisis di Mesir?

MASZLEE: Kalau dilihat isu ini tidak boleh dipisahkan dari lanskap politik di Asia Barat itu sendiri. Semenjak 20 tahun yang lalu kebanyakan negara di sana banyak dikuasai oleh rejim diktator yang juga terdiri daripada anggota tentera dan pernah terlibat dalam revolusi seperti di Tunisia, Libya dan Mesir sendiri. Ada yang terlibat menggulingkan kerajaan beraja dan juga sosialis dan kemudian menggantikan kepimpinan pada awalnya berasaskan suara rakyat. Tetapi apabila terlalu lama mereka berakhir dengan diktator. Ini fenomena menyeluruh bila mana di negara Teluk termasuk Jordan dan Maghribi juga bersifat diktator. Krisis kewangan mengakibatkan ekonomi teruk di negara-negara itu serta agihan ekonomi yang tidak sekata telah menyebabkan rakyat kelaparan. Bila rakyat lapar mereka akan keluar ke jalan raya. Ini bukan sahaja berlaku di Asia Barat bahkan di seluruh dunia kerana ia adalah fitrah manusia. Ini ditambah dengan sistem autokratik yang melampau dengan tiada kebebasan akhbar, berpolitik dan sebagainya sebahagian penyebab peristiwa di Mesir hari ini. Namun kita juga lihat dunia global telah mendidik manusia di serata dunia dari negara membangun hinggalah ke Asia Barat menjadi celik terhadap hak masyarakat, tanggungjawab pemerintah dan isu berkaitan tadbir urus negara. Ini menyedarkan orang ramai tentang kepentingan demokrasi terutama di kalangan orang muda dan golongan intelek. Bagi mereka semua maklumat ini diperoleh dari luar melalui teknologi seperti Internet, akhbar dan paling berpengaruh adalah dari televisyen Al Jazeera.

Kemunculan Al Jazeera telah mendidik mereka tentang erti sebenar menjadi seorang manusia merdeka. Peranan stesen televisyen ini dalam revolusi mutakhir ini akan dikenang dalam lipatan sejarah. Ini sumbangan besar oleh Emir Qatar yang banyak memain peranan dalam Al Jazeera. Inilah peranan kuasa media baru yang ternyata penting dalam revolusi Tunisia, Mesir dan mungkin bakal berlaku di negara-negara jiran yang kini semakin menggelegak. Ia seolah-olah menanti waktu untuk meletus saja. Namun punca sebenar yang banyak mendorong rakyat untuk bangkit dalam krisis kali ini adalah kerana isu ekonomi seperti kelaparan, pengangguran selain korupsi, rasuah dan kepimpinan.

MINGGUAN: Kenapa selepas 30 tahun di bawah Hosni Mubarak baru sekarang penentangan ini berlaku?

MASZLEE: Ketika Mubarak naik ke puncak kuasa memang tabiat manusia tidak akan menunjukkan taring sebenar. Pada tahun 1981 beliau melancarkan projek Islamisasi dan ketika itu Mubarak begitu mesra dan lunak dengan golongan ulama Al- Azhar, pihak agama serta pembangkang iaitu Ikhwanul Muslimin. Malangnya honeymoon itu tidak lama dan beliau mula menunjukkan sifat sebenar. Pertamanya beliau menggunakan sekatan contohnya terhadap media, politik dan sebagainya. Kedua, beliau mengubah Perlembagaan dan kini pihak pembangkang mahu beberapa klausa dalam perlembagaan yang memberi kuasa untuk rejim kekal berkuasa diubah. Pembangkang ketika sekitar 90-an, wacana golongan Islamis lebih menonjol namun ia tidak mewakili hasrat rakyat yang besar. Hanya mereka yang menonjol dan berani ke hadapan dalam perjuangan demokrasi ketika itu. Kebangkitan itu ada tetapi ia tidak benar-benar mewakili rakyat. Dan kita boleh lihat setiap kali berlakunya pilihan raya Mubarak akan bertindak menangkap aktivis- aktivis ini. Suasana berbeza selepas tahun 2000 apabila media luar mula memainkan peranan dan kesedaran rakyat juga semakin meningkat. Kebanyakan mereka adalah golongan muda, umur pertengahan dan kelas pertengahan serta mereka yang pernah belajar di luar sebelum pulang ke Mesir.

Mereka inilah yang banyak memainkan peranan dalam mencetus perubahan. Cuma satu perkara di Mesir ini bukan kali pertama gerakan secara massa. Sebelum ini Gerakan Kifayah yang diilhamkan bagi menentang cubaan bagi melantik anaknya menjadi presiden. Anak beliau Gamal dikatakan telah dilatih untuk membuat perubahan dalam parti Mubarak seperti mana bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair lakukan dalam Parti Buruh. Orang yang bertanggungjawab adalah Profesor Abdul Wahab Al Masiri, seorang tokoh pemikir Mesir yang berjaya menyatukan golongan Islamis, haluan kiri dan liberal. Apabila waktu berlalu, sudah mula timbul tekanan mahukan perubahan rejim dan kemuncaknya adalah pilihan raya tahun lepas. Ini kerana terang-terang rejim Mubarak telah memanipulasi keputusannya apabila tiada wakil pembangkang terpilih sedangkan dalam pilihan raya sebelumnya pada 2005 ada sekitar 80 orang wakil dalam Parlimen. Selepas pilihan raya perasaan tidak puas terhadap keputusan semakin kuat, dan kemudian dengan kenaikan harga barang, minyak dan sebagainya. tetapi moodnya belum cukup kuat untuk revolusi sehingga tercetusnya peristiwa di Tunisia. Perubahan dan peristiwa di rantau ini pasti akan mengenang Tunisia sebagai pencetus revolusi kepimpinan manakala Mesir pula sebagai nadi kepada rantau tersebut. Jika rejim Mubarak berundur ia akan membawa petanda baru dalam lanskap politik di Asia Barat dan teori domino akan berlaku manakala Israel akan berasa terancam. Baru-baru ini seorang pelobi utama Israel di Amerika Syarikat, Zuckermann berkata: "Kita mahukan demokrasi tetapi bukan di Asia Barat.'' Ini kerana demokrasi di sana adalah sesuatu yang bahaya bagi kedudukan mereka.

MINGGUAN: Tetapi apa yang berlaku sekarang rejim Mubarak semakin menekan rakyatnya sendiri?

MASZLEE: Fitrah diktator adalah mereka mahu terus berkuasa selama mungkin. Mubarak mahu tunjukkan kepada rakyat dan dunia bahawa dia bukan seperti Presiden Tunisia , Ben Ali. Beliau tidak mempunyai keberanian tetapi Mubarak sangat berbeza dan bertegas, jika mahukan perubahan ikut dia punya syarat dan bukan rakyat memberi syarat. Ini ditegaskan oleh Timbalan Presidennya, Omar Suleiman yang diketahui ramai sebagai kawan rapat Israel dan anak didik CIA. Adalah mustahil jika Mubarak berundur Omar Suleiman akan menggantikan beliau jika rejim sama masih memerintah. Jika dia naik keadaan dilihat akan menjadi lebih teruk berbanding Mubarak. Pandangan penganalisis Arab adalah Mubarak umpama meminjam waktu kerana apa yang cuba ditunjukkan adalah walau apa pun yang berlaku ia bukan akibat dari rakyat tetapi kerana kehendaknya. Ini fitrah mana-mana diktator. Cuma apa yang berlaku sekarang adalah rejim beliau ini lebih "cerdik" tetapi dalam konotasi yang jahat untuk berhadapan dengan dunia luar dan rakyat.

Jika dilihat pada awal-awal polis telah dikerah dan berlakulah pertumpahan darah walhal rakyat ketika itu bergerak dan menentang secara aman. Malah ada yang mengatakan gerakan ini adalah yang paling bertamadun dalam sejarah demokrasi kerana ia berlaku secara aman. Tetapi kemudian tentera pula masuk campur tetapi tidak bertindak ganas sekadar hanya menakutkan rakyat dan tidak berkesan. Kemudian Mubarak membuat janji tidak melantik anaknya malangnya bukan itu yang dimahukan rakyat. Akibat tekanan polis hilang dari kawalan dan ketika itulah balai polis kena bakar dan diserang. Rupa-rupanya polis ini ada pelan B dengan berpakaian preman dan menonjolkan diri sebagai kumpulan pro-Mubarak. Kumpulan ini kemudiannya bertindak agresif dengan menyerang penduduk, ada yang menaiki kuda dan unta serta memiliki senjata api dan digelar sebagai "baltaji" atau samseng. Ini adalah sesuatu yang mengelirukan dan kemuncak adalah beberapa hari lepas apabila tentera terpaksa masuk campur untuk memisahkan dua golongan ini.

Dan kini tindakan rejim ini dalam menggunakan polis dapat dikesan satu dunia dan didedahkan. Kini semakin ramai pemimpin dari seluruh dunia meminta Mubarak membuat transformasi dalam bahasa lembut tetapi dalam bahasa sebenar adalah berundur kerana semakin ramai rakyat yang terbunuh. Ben Ali pernah menggunakan taktik yang sama tetapi gagal kerana tentera tidak bersamanya.

MINGGUAN: Apakah Mubarak akan akur dengan tuntutan supaya berundur?

MASZLEE: Dalam hal ini ada empat senario yang boleh diandaikan. Pertama jikalau berlaku perbezaan pendapat antara pemimpin tentera, Mubarak terpaksa berundur. Kedua kemungkinan beliau akan berundur tetapi penggantinya dari rejim yang sama seperti Omar Suleiman. Jika ini berlaku bermakna status quo kekal, tidak ada perubahan. Ketiga, akibat tekanan berat dari AS supaya Mubarak berundur memandangkan negara itu adalah sekutu paling rapat di Asia Barat.

Mesir adalah negara kedua terbanyak menerima bantuan dari AS selepas Israel di rantau tersebut. Jika ini berlaku adalah satu keadaan tidak baik bagi Mesir kerana AS pastinya akan memainkan peranan siapa yang akan menggantikan Mubarak. Yang keempat jika keadaan ini berterusan dan lebih banyak darah tumpah, memaksa Mubarak melarikan diri, maka tentera akan mengambilalih.

MINGGUAN: Apakah rakyat Mesir sudah bersedia untuk menerima demokrasi?

MASZLEE: Satu perkara yang perlu dilihat tentang Mesir ialah mereka mempunyai golongan menengah yang ramai di Kaherah, Iskandariah serta Suez. Kebanyakan ilmuwan di Arab datang dari Mesir dan rakyatnya pula agak berbeza berbanding negara-negara lain ialah mereka dilihat selangkah ke hadapan dalam banyak hal baik dari seni, pendidikan dan sebagainya. Jika dari ruang demokrasi saya lihat tidak ada masalah kerana mereka pernah menolak sistem monarki, rejim sosialis di bawah Gamal Nasser dan kini rejim nasionalis di bawah Mubarak.

Pengalaman ini memberi input kepada golongan muda dan pertengahan bahawa mereka sudah bersedia dengan sistem demokrasi yang sebenar. Namun ia akan mengambil waktu dan tidak berlaku dalam sekelip mata kerana pensejajaran antara aktor-aktor politik memerlukan sedikit waktu. Ini sebagai contoh antara golongan minoriti kibti Kristian dan Muslim, isu antara golongan sekular dengan Islamis, isu antara golongan liberal dan tradisionalis, kuasa agama di Al- Azhar yang sebelum Anwar Sadat mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat sivil dalam paradigma agama. Ini semua antara perkara yang memerlukan waktu untuk digembleng semula. Bagi saya demokrasi akan berlaku tetapi dalam acuan mereka dan "bahasa" itu sudah semakin kuat sekarang.

MINGGUAN: Golongan mana yang dijangka akan lebih menonjol jika berlaku perubahan?

MASZLEE: Semua tahu bahawa pembangkang utama adalah Ikhwanul Muslimin. Tetapi mereka sedar belum masanya untuk memimpin Mesir dan jika mereka naik ia umpama meletakkan bahaya yang sangat besar bagi negara itu. Mereka banyak belajar dari pemimpin pembangkang Islam buangan dari Tunisia, Rashid Ganushi yang menyatakan "gerakan Islam kami tidak ingin memerintah negara kerana kami adalah sebahagian dari rakyat dan tidak akan bertanding presiden'. Beliau juga yakin kumpulan dan gerakan lain perlu bersamanya untuk menubuhkan kerajaan Tunisia baru.

Dan saya terkejut Ikhwanul Muslimin juga mengeluarkan kenyataan sama baru-baru ini. Mereka menyatakan bahawa mereka bukan mahu syariah tetapi perubahan pada perlembagaan supaya rakyat mendapat kuasa yang lebih. Mereka mahukan yang terbaik kepada rakyat. Setakat ini mereka menyatakan persetujuan kepada Mohammed El Baradei yang diiktiraf dan dikenali di peringkat antarabangsa dan dilihat neutral dalam hubungan dengan AS dan Israel. Tapi kalau dilihat dari kehendak rakyat Mesir tidak kira mereka liberal, berhaluan kiri apatah lagi Islamis mereka tidak boleh menerima Israel dan tidak mahu tunduk dengan AS. Ini yang menggerunkan Israel.

Source: Mingguan Malaysia Online

Mesir tercicir sepanjang 60 tahun

Oleh ZIN MAHMUD

Satu hari di Zamalek, kawasan elit di Kaherah pada tahun 1986, penulis berdiri di depan tempat pembuangan undi dan memerhatikan gelagat orang keluar masuk.

Lengang saja, seperti tidak ada orang membuang undi walaupun pilihan raya Parlimen sedang berlangsung.

Keesokannya, diumumkan parti Presiden Hosni Mubarak, Parti Demokratik Nasional (NDP) meraih lebih 90 peratus undi. Pada masa itu parti pembangkang ialah Parti Wafd, sebuah parti lama yang sudah wujud sebelum Republik Mesir ditubuhkan dan Parti Buruh Sosialis, sebuah parti kiri yang bekerjasama dengan Ikhwanul Muslimin. Oleh kerana Ikhwan diharamkan, calon-calonnya bertanding di bawah tiket Parti Buruh. Tambahan pula pada tahun itu, parti itu mengisytiharkan perubahan ideologi daripada sosialisme kepada Islam.

Maka seperti yang dijangka dan tidak menghairankan, NDP menguasai Parlimen dan seterusnya memilih Mubarak untuk terus memegang jawatan presiden.

Seperti kebanyakan pagi, pada masa itu penulis bersarapan di sebuah kafe kecil berhampiran tempat pembuangan undi itu.

"Hebatlah presiden kamu menang 90 peratus undi," ulas penulis pada pemuda yang sudah akrab ketika itu.

"Kamu percaya pilihan raya ini?" jawab pemuda itu sambil ketawa.

"Mana ada orang boleh dapat undi sebanyak itu. Kami tidak pernah percaya pada pilihan raya Mubarak," jawab pemuda berusia 21 tahun itu. Dia sering mengkritik kerajaan dan bercakap mengenai agama. Dia mungkin penyokong Ikhwan. Kalau tidak pun, dia pasti penentang Mubarak.

Itu 26 tahun lalu. Pada masa itu Mubarak sudah berkuasa lima tahun. Mungkin kini pemuda yang sudah tidak muda itu adalah antara yang turun ke Medan Tahrir sejak dua minggu lalu menuntut Mubarak meletak jawatan.

Sudah lama Mubarak tidak popular. Kalau pilihan raya bebas dan terbuka dijalankan dari dahulu lagi, dia mungkin sudah lama ditolak rakyat. Tetapi hidupnya sebelum ini tidak pernah menemui kegagalan, kerjayanya sentiasa meningkat setahap demi setahap sehinggalah menjadi presiden.

Mubarak dilahirkan pada tahun 1924 dan kerjayanya adalah sepenuhnya tentera sebelum memegang jawatan politik.

Belajar di Akademi Tentera Mesir dan memperoleh ijazah dalam Sains Ketenteraan pada tahun 1949.

Kemudian beliau menyertai Akademi Angkatan Tentera Udara dan menjadi pegawai juruterbang pada tahun 1950 dan meraih Ijazah dalam Sains Penerbangan.

Beliau menjadi pengajar di Akademi Tentera Udara sehingga tahun 1959 sebelum menyambung latihan penerbangan di Kesatuan Soviet sehingga tahun 1961.

Sekembalinya ke Mesir, beliau berkhidmat sebagai komander Pangkalan Tentera Udara Barat Kaherah, Beni Suef dan Akademi Tentera Udara sebelum dilantik menjadi Ketua Turus Tentera Udara Mesir pada tahun 1969.

Tiga tahun kemudian beliau sampai ke kemuncak kerjaya tenteranya apabila dilantik sebagai Komander Tentera Udara dan Timbalan Menteri Pertahanan. Sebelah kakinya sudah masuk ke politik di negara yang pihak tentera menguasai politik.

Atas sumbangannya dalam perang ramadan 1973, beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Marsyal Medan (Field Marshal).

Menurut ABC News, semasa menjadi pegawai tentera udara, beliau dan keluarganya meraih kekayaan melalui kontrak-kontrak ketenteraan hingga kini mencapai AS$40 hingga AS$70 bilion.

Pada April 1975, beliau dilantik oleh Presiden Anwar Sadat sebagai Naib Presiden.

Ekoran pembunuhan Sadat pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai presiden dan pengerusi NDP.

Bagaimanakah Mubarak boleh memegang kuasa begitu lama? Antara faktornya ialah dia menggubal pelbagai undang-undang bagi menyekat pembangkang.

Paling besar ialah Jawatankuasa Parti Politik yang ditubuhkan Mubarak. Pada tahun 2000, jawatankuasa ini hanya meluluskan dua parti pembangkang iaitu Ikatan Nasional dan Barisan Demokratik. Selepas tujuh tahun, 10 parti berjaya disahkan apabila mereka membawa kes ke mahkamah Selain itu, tangkapan terus dibuat ke atas calon-calon Ikhwan yang bertanding atas tiket parti lain di samping tekanan terhadap pekerja-pekerja kempen pilihan raya.

Tetapi sikap Mubarak yang tidak demokratik dari segi menjalankan pilihan raya ini bukanlah atas ciptaannya sendiri. Dia adalah seorang yang setia pada rejim yang mengasaskan Republik Arab Mesir. Dari awal penubuhannya lagi republik itu bukanlah sebuah sebuah negara yang menghormati apatah lagi mengamalkan demokrasi.

NDP ditubuhkan oleh Sadat pada tahun 1978 selepas dia membubarkan Kesatuan Sosialis Arab (ASU).

Penubuhan NDP adalah usaha Sadat untuk mengubah ciri Republik Arab Mesir daripada sebuah negara sosialis kepada demokratik.

Tetapi transformasi ini tidak penuh.. Kebanyakan anggota NDP adalah asalnya daripada ASU yang tidak pun komited kepada demokrasi.

Maka apabila pilihan raya pelbagai parti diadakan, NDP muncul sebagai parti yang bernaung di bawah kekuasaan presiden dalam sistem yang mahu memastikan bahawa dia terus berkuasa.

Maka dalam sistem ini, presiden, NDP dan tentera adalah berkait rapat sebagai elit kuasa di Mesir.

Sedangkan elit kuasa ini berasal dan diasaskan oleh Presiden Gamal Nasser yang menubuhkan ASU pada tahun 1962. Sebelum itu ia dikenali sebagai Kesatuan Nasional (NU) apabila ia menggantikan Seruan Pembebasan (LR) pada tahun 1952.

LR, NU, ASU dan seterusnya NDP merupakan elit kuasa yang serupa. Pada permulaannya LR merupakan pertubuhan untuk rakyat bagi melibatkan diri dengan kerajaan.

Ini kerana Presiden Nasser menolak sistem pelbagai parti. Ia memilih sistem satu parti yang pada masa itu popular di kalangan negara-negara kiri, sama ada berbentuk rejim komunis atau sosialis.

Bagi Mesir, pengalaman semasa diperintah oleh Raja Farouk menyaksikan sistem pelbagai parti dimanipulasi oleh penjajah British, golongan bangsawan dan elit politik untuk kepentingan mereka dan meminggirkan rakyat. Parti Wafd yang memenangi pilihan raya lebih melayani kepentingan bangsawan, penjajah dan elit kuasa lain daripada rakyat umumnya.

Revolusi Mesir

Maka korupsi Raja Farouk ini membawa kepada Revolusi Mesir tahun 1952 yang digerakkan oleh Pergerakan Pegawai Bebas pimpinan Muhammad Naguib dan Gamal Nasser.

Asalnya Persatuan Pegawai Bebas ini dianggotai oleh Mesir Muda, Ikhwan dan Parti Komunis Mesir. Rakyat umumnya mendokong revolusi ini.

Rampasan kuasa mereka membawa kepada kewujudan Republik Mesir yang pada mulanya bertujuan untuk mewujudkan demokrasi berparlimen. Naguib menjadi presiden pertama republik.

Pertembungan antara Naguib dan Nasser berlaku dan Ikhwan serta Parti Komunis diharamkan. Nasser mengalahkan Naguib dan dia mengambil alih jawatan presiden pada tahun 1955.

Dalam suasana semangat nasionalisme melawan penjajah dan Israel, rakyat menyokong Nasser. Maka di sinilah muncul elit politik baru.

Dengan menghadapi peperangan serta menjadi sekutu Soviet, rakyat Mesir masih jauh daripada menikmati kemakmuran yang diimpikan daripada penubuhan republik itu.

Gagasan politik Nasser adalah besar. Nasionalisme kiri beliau berhasrat untuk menyatukan semua negara-negara Arab di bawah Republik Arab Bersatu (UAR) dengan mengamalkan sistem sosialisme yang memberikan kesamarataan dan kemakmuran pada rakyat.

Pada mulanya Syria dan Yaman turut serta tetapi kemudian usaha beliau gagal. Maka jadilah negara itu Republik Arab Mesir, hendak membebaskan Gaza yang merupakan wilayah Mesir dan ditawan oleh Israel pun tidak terdaya.

Naib Presiden Sadat menggantikan Nasser sebagai presiden pada tahun 1970. Beliau membawa arah baru kepada Mesir, Dengan mengiktiraf Israel dan bertukar sekutu kepada Amerika Syarikat, beliau menimbulkan kemarahan rakyat.

Namun begitu usahanya diharapkan dapat memberikan kemakmuran ekonomi kepada Mesir.

Sadat terkorban juga kerana beralih arah ini di samping mengenakan tekanan berat terhadap penentang-penentangnya. Tetapi Mubarak meneruskan dasar Sadat apabila mengambil alih kuasa.

Walaupun sepanjang masa pemerintahannya, ada saja pihak yang membantah tetapi rakyat Mesir masih mengharapkan perubahan. Namun pada tahun lalu 2010 apabila terdapat tanda-tanda Mubarak mahu terus berkuasa dengan diteruskan pula oleh anaknya, Gamal, ia sudah keterlaluan.

Ternyata elit politik yang berkuasa sejak revolusi tahun 1952 atas sokongan rakyat, daripada Naguib, Nasser, Sadat dan kini Mubarak telah gagal.

Mubarak adalah kemuncak kegagalan 60 tahun elit kuasa rejim nasionalis tentera yang asalnya terpengaruh dengan fahaman sosialisme dan nasionalis kiri.

Beruntung bagi Malaysia kerana tidak menjadi seperti Mesir. Ada dua sebab berlaku perbezaan ini.

Pertama, sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negara ini berjaya mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Sejak dari awal lagi Angkatan Tentera negara ini pula tidak mencampuri urusan politik.

Sebab kedua ialah fahaman nasionalis kiri dan sosialisme ditolak oleh majoriti rakyat negara ini. Akibatnya Malaya tidak pernah menjadi sekutu Soviet.

Justeru, tidak timbul rejim tentera di negara ini. Sistem ekonomi yang pragmatik pula telah membawa kemakmuran pada rakyat.

Source: Mingguan Malaysia Online

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran