TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 13 Februari 2011

“Kotorkan” tangan untuk berjaya

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

MEMANG kagum melihat kesungguhan dan kecekalan wanita yang memiliki sentuhan emas ini. Walaupun dilahir dan dibesarkan serba kekurangan malah boleh saja dikategorikan miskin tegar katanya namun pengasas dan pemilik syarikat kecantikan dan kesihatan Leesa Formula, Mona Din berjaya menggagahi hidupnya daripada serba kekurangan menjadi antara ikon wanita berjaya dalam perniagaan.

Ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, nyata berkat kesungguhan dan perancangan yang teliti telah membantunya berjaya dalam perniagaan walaupun pada awalnya ramai yang menganggap apa yang dilakukan adalah satu kerja gila.

Malah Mona sendiri berpandangan sama jika mengenang kembali pada peringkat awal penglibatannya dalam perniagaan tersebut. Mana tidaknya sebelum menceburi bidang perniagaan beliau sudah pun memegang jawatan tinggi sebagai pengurus besar pengiklanan di sebuah syarikat penerbitan majalah terkemuka.

Begitu juga suaminya, Zulkefli Mohd Ali yang memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat media turut sama mengikut jejak langkahnya malah lebih awal berhenti kerja kerana mendambakan cabaran membina perniagaan sendiri.

Apatah lagi ketika itu tidak ada mana-mana bank mahu memberikan pinjaman memaksa mereka menggunakan wang simpanan sebanyak RM50,000 yang disimpan untuk perbelanjaan rawatan anak sulungnya yang mengidap sindrom Down serta masalah jantung dan injap berlubang yang kronik sebagai modal perniagaan.

Namun jumlah itu tidak mencukupi memaksa kedua mereka menjual pula kereta mewah yang dimiliki kerana bagi mereka tidak ada istilah berundur memandangkan segala perancangan dan strategi yang dirancang sudah cukup cantik untuk diusahakan.

Memang jika dilihat ia umpama kerja gila kerana semuanya sudah cukup jika mengukur pada jawatan dan pangkat namun ia tidak menjamin kepuasan kerana ia sekadar makan gaji.

Ahli keluarga dan saudara mara menganggap apa yang dilakukan sebagai tindakan tidak waras apatah lagi ketika Leesa Formula ditubuhkan pada Mei 2003 Mona sedang mengandung anak bongsu.

Memang tragis, namun demi membuktikan bahawa orang Melayu juga boleh Berjaya dalam perniagaan segala pengorbanannya berbaloi malah diluar jangkaan apabila bulan pertama perniagaannya berjaya mengaut jualan sebanyak RM300,000, melebihi dari modal yang terpaksa dikeluarkan pada awalnya.

Itu adalah antara rentetan awal pasangan suami isteri romantis ini dalam meniti kejayaan dalam perniagaan. Kini produk keluaran Leesa Formula merupakan antara produk kecantikan yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Setelah berjaya dalam perniagaan kecantikan setahun kemudian mereka membeli bangunan yang menjadi ibu pejabatnya sekarang namun sebagai ahli perniagaan yang berpandangan jauh tingkat atas bangunan dua tingkat itu diubahsuai untuk dijadikan pusat spa yang dikenali Serenity Spa.

Sekali lagi sentuhan emas Mona Din menjadi dan menerima sambutan hangat. Tulang empat kerat mereka dikerah sepenuhnya bermula dari reka bentuk hinggalah tugasan mengecat dan apa yang dilakukan ini berbaloi kerana dalam tempoh setahun lapan lagi cawangan Serenity Spa dibuka. Lebih menakjubkan beberapa hotel bertaraf empat dan lima bintang menawarkan kepada mereka untuk dibuka cawangan spa berkenaan di hotel mereka.

Kejayaan mereka ini walaupun tidak ada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang spa semakin membuahkan kejayaan berganda apabila diiktiraf sebagai salah satu syarikat spa tempatan terbaik di negara ini.

Malah Mona diiktiraf melalui pelbagai anugerah antaranya Best Spa Design for Hotel and Resort 2007 dan Spa Personality of the Year 2008 yang sehingga kini hanya diberikan kepada Mona dan tokoh perniagaan terkenal Tan Sri Francis Yeoh.

Tidak berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi, pasangan ini menceburi pula perniagaan fesyen dengan tertubuhnya butik pakaian muslimah di bawah jenama Hajaba.

Merupakan antara jenama Muslimah pertama di pasaran yang menawarkan fesyen terkini, moden dan paling penting menutup aurat. Mengakui tidak ada pengetahuan langsung tentang industri fesyen, namun beliau mereka sendiri pakaian yang dijual di butiknya. Semua ini direncanakan melalui pengalaman dan eksplorasi ketika berada di luar negara mahu pun di dalam negara.

Dan dalam tempoh hanya empat bulan sebanyak enam butik berjaya dibuka membuktikan perancangan yang mantap dan kesungguhan yang serius antara resipi kejayaan Mona dalam menceburi bidang perniagaan baru.

Itu antara kisah kejayaan wanita besi berusia 45 tahun ini yang mengakui sangat bertuah dikurniakan suami yang sangat memahami dan mampu bertoleransi antara satu sama lain.

“Saya sangat bersyukur dengan anugerah tuhan yang memberikan suami yang tiada tandingannya. Suami saya bukan seorang yang suka melepak pada waktu malam dan masanya dihabiskan di pejabat dan bersama keluarga.

“Kami juga mempunyai peranan masing-masing iaitu saya terlibat dalam hal seperti pengiklanan, perhubungan awam dan promosi manakala suami saya lebih menumpukan perhatian dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran,” katanya.

Itu antara kisah kejayaan yang dikongsi bersama penulis dalam pertemuan yang berlangsung pada Jumaat lepas. Namun di sebalik semua kisah kejayaan ini nyata pengalaman pahit akibat hidup dalam kemiskinan dan hidup dalam keluarga yang berantakan banyak memberi pengajaran dan pedoman untuk melalui hidup yang lebih bermakna pada masa hadapan.

Anak kepada penoreh getah ini yang dilahirkan di Kampung Carok Mokkan di Jitra Kedah pada Julai 1966 mengakui hidupnya sangat susah apabila terpaksa tinggal di pondok buruk tanpa bilik mahupun tandas yang hanya berlantaikan buluh.

Apatah lagi dengan adik beradik yang ramai, 12 orang semuanya dan beliau anak kelapan ia menambahkan lagi kesengsaraan ibarat kais pagi makan pagi hanya sekadar untuk melapik perut.

Terbantut

Namun kemiskinan memberinya keinsafan untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya diterima masuk ke sekolah berasrama penuh di Sekolah Sultan Abdul Halim

Sebelum meneruskan pengajian kursus intensif bahasa Inggeris di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru sebagai persediaan ke luar negara atas kejayaan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malangnya kerana gagal mendapat kepujian dalam subjek matematik hasratnya untuk menuntut di Amerika Syarikat terbantut namun diterima melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga berjaya memperoleh diploma dalam pentadbiran awam.

Bagi ibu kepada enam anak ini antara pengalaman paling manis dalam hidupnya adalah pertemuan dan jodoh bersama suaminya ketika bekerja bersama di sebuah syarikat penerbitan.

“Saya sering berdoa kepada tuhan supaya mengurniakan seorang suami yang baik dan tidak kaya pun tidak mengapa. Apabila di pejabat saya tidak pernah bertegur dengannya dan pada suatu hari saya bertanya kepada seorang rakan sekerja apakah lelaki yang duduk di hadapan saya ini (suaminya) sudah mempunyai kekasih.

“Beliau kemudiannya menoleh sambil ketawa dan bermulalah kisah percintaan kami. Selang beberapa bulan kemudian saya pun berkahwin pada usia 25 tahun,” katanya.

Namun untuk berkahwin katanya mereka terpaksa membuat pinjaman peribadi ketika itu di sebuah syarikat yang dikenali dengan Cempaka Finance sebanyak RM4,000.

“Dengan duit itu kami berjaya melangsungkan perkahwinan di kedua-dua belah pihak dan kebanyakan persiapan dan hantaran kami lakukan sendiri untuk menjimatkan kos,” katanya sambil tersenyum

Namun kisah menyayat hati yang melanda keluarga ini apabila anak sulungnya yang juga pengidap sindrom Down pergi meninggalkan mereka tujuh tahun lepas.

Bagi beliau saat kelahiran Nur Salima, mereka pada awalnya terkejut dengan keadaan dirinya namun tetap menerimanya dengan positif dan membesarkannya seolah-olah dia anak yang normal tanpa ada perbezaan dengan anak-anak yang lain.

“Doktor telah membuat jangkaan bahawa Nur Salima hanya boleh hidup untuk tempoh masa 12 tahun kerana komplikasi akibat jantung dan injap berlubang dan ternyata jangkaan itu tepat.

“Perkara yang tidak boleh saya lupakan adalah di saat-saat akhir sebelum pemergiannya mengadap Ilahi, Nur Salima sempat berkata kepadanya, mama Kak Ma nak pergi jalan dan dengan deraian air mata saya memberitahu kepadanya, pergilah Kak Ma, mama izinkan,” katanya dalam nada yang sebak.

Akhirnya Nur Salima meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya pada Disember 2003 dan antara perkara yang masih meninggalkan kesan di hati Mona adalah tidak sempat berkongsi kejayaan mereka bersama anaknya itu.

Akhirnya mereka sekeluarga reda dengan pemergian Nur Salima dan senantiasa menganggap kehadirannya dalam hidup mereka umpama cahaya yang memberikan sinar bahagia buat mereka walaupun ia cuma untuk seketika.

Kini pasangan bahagia ini semakin mencipta nama dalam bidang perniagaan butik pakaian Muslimah melalui jenama Hajaba apabila diterima sebagai satu-satunya syarikat bumiputera yang membuka outlet di pusat membeli belah Pavilion.

Perniagaan ini yang diceburi setelah Mona mula memakai tudung untuk menutup auratnya dan di peringkat awal ia kelihatan agak sukar untuk menggayakan fesyen yang sesuai namun pada masa yang sama tetap mengikut peredaran masa sebagai seorang muslimah.

Ideanya ini dikembangkan dari coretan tangan dan lakaran fesyen hasil ilhamnya sendiri sehingga tertubuhnya outlet Hajaba di Setiawangsa dan Shah Alam sebelum ia mendapat sambutan termasuklah dari pelancong luar negara. Malah kini Hajaba juga mendapat tawaran dari pusat membeli belah Suria KLCC untuk membuka outlet terbaru berdasarkan banyak permintaan pengunjung.

“Insya-Allah jika tidak ada halangan pada bulan April depan butik Hajaba akan di buka di Suria KLCC dan kami menganggap ia sebagai satu penghormatan kepada peniaga bumiputera seperti kami yang diterima kehadirannya di samping pelbagai jenama antarabangsa lain.

“Sehingga kini keuntungan utama Hajaba disumbangkan oleh outlet kami di pusat membeli belah seperti di Pavilion dan Alamanda sekaligus membuktikan orang Melayu boleh berjaya jika ada kemahuan.

“Dari situ kami sedar perlu ubah pemikiran masyarakat tentang fesyen Muslimah bahawa perniagaan ini tidak lagi sekadar di kawasan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India dan di Kompleks PKNS.

“Kami cuba membuktikan dengan wujudnya outlet Hajabadi pusat membeli belah ternama ia meningkatkan lagi kesedaran bahawa fesyen Muslimah sebegini juga boleh bersaing dengan jenama-jenama antarabangsa. Selain itu ia juga mampu menarik minat masyarakat Islam di negara ini untuk berpakaian menutup aurat bukan sekadar ia satu tuntutan agama tapi pada masa yang sama menunjukkan kita boleh berpakaian cantik dan mengikut peredaran zaman.

Melihat kepada kejayaan pasangan ini nyata rahsia mereka adalah kerjasama dan sifat toleransi sebagai suami isteri selain percaya kepada kuasa pengiklanan yang dikuasai oleh Mona dan pengurusan kewangan dan perancangan yang betul diterajui Zulkefli.

Namun mereka juga percaya bahawa masa itu adalah emas dan setiap detik bersama akan dihabiskan sebaik mungkin. Oleh itu setiap masa terluang mereka sekeluarga akan menghabiskan masa dengan melancong sama ada keluar negara mahupun dalam negara.

Namun bagi Mona kejayaan ini tidak akan berlaku jika tidak ada usaha untuk mengotorkan tangan sendiri dengan sanggup melakukan semua kerja-kerja sendiri. Ini katanya mampu memberi contoh dan teladan kepada pekerja-pekerja bahawa tidak ada jalan senang untuk berjaya.

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran