TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 10 September 2010

Pelajar Malaysia di luar negara perlu sampaikan maklumat tepat mengenai negara

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Tarikh : 11 September 2010.


PUTRAJAYA 10 Sept — Penuntut-penuntut Malaysia di luar negara bukan sahaja bertanggungjawab melunaskan pengajian masing-masing, malahan turut berperanan sebagai duta kecil dalam menyampaikan maklumat mengenai negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata adalah menjadi tanggungjawab mereka sebagai anak watan negara memberikan maklumat yang tepat mengenai Malaysia, berikutan ia seringkali disalah anggap oleh negara luar.

Beliau berkata, salah faham mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara Islam di benua Asia perlu diperbetulkan bagi mengelakkan sebarang implikasi buruk.

"Mereka harus terangkan dan memberi maklumat yang tepat bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam yang moden dan progresif serta mempunyai hubungan baik dan demokratik dengan banyak negara di dunia,” katanya selepas mengadakan sidang video secara langsung dengan penuntut Malaysia di enam negara.


Beliau mengadakan sidang video berkenaan pada majlis rumah terbuka di kediaman rasminya di Sri Perdana di sini hari ini.

Sidang video tersebut melibatkan penuntut-penuntut dan Ketua Perwakilan Malaysia di Jakarta, Indonesia; London, United Kingdom; Kaherah, Mesir; Washington, Amerika Syarikat; Canberra, Australia dan Wellington, New Zealand.

Mengenai sidang video itu, Najib berkata ini merupakan kali pertama diadakan, sekaligus memberikan isyarat bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan serta keadaan rakyat Malaysia di luar negara.

"Para pelajar yang menuntut di luar negara ini ialah kalangan mereka yang terpilih atas kemampuan dan kebolehan yang begitu baik.

"Ini ialah sebahagian dari strategi kerajaan dan para pelajar ini diharapkan mampu membuka minda untuk melihat sebarang perkembangan yang boleh dijadikan sebagai pengajaran khususnya perkara yang positif,” katanya.

Pemikiran yang terbuka luas dan lebih global, jelas beliau, akan menjadikan negara lebih bersedia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Saya sangat berharap agar para pelajar ini tidak melakukan sebarang perkara yang menyalahi undang-undang atau menjejaskan imej Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Sidang video tersebut turut disertai oleh isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

BERNAMA

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran