TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 22 September 2010

Perlembagaan sudah lengkap

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 23 September 2010.


Oleh ROHANI IBRAHIM , rencana@utusan.com.my

SEORANG pemimpin veteran negara jiran baru-baru ini mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak adil serta menyisihkan kaum lain.

Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dalam satu temu bual dengan akhbar New York Times pada 1 September lalu turut mengkritik sistem yang diamalkan di negara ini.

Sambil membayangkan Malaysia mungkin menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura, Kuan Yew turut mendakwa kononnya republik itu pada hari ini sudah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan antara kaum.

Kenyataan Kuan Yew yang menyentuh hubungan antara kaum di negara ini umpama mempertikai hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain pemimpin asing, di dalam negara juga terdapat pihak yang membangkitkan soal hak dan kedudukan orang Melayu.

Ahli Parlimen Pembangkang, Nurul Izzah Anwar dilaporkan mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu.

Sementara Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini pernah mendedahkan tentang usaha mewujudkan 'perlembagaan baru' oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang mempunyai bukti mengenainya mendakwa, perlembagaan baru itu menyisihkan hak orang Melayu dan agama Islam yang dijamin dalam Perlembagaan yang sedia ada.

Pakar sains politik, Dr. Chandra Muzaffar ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya minggu lalu menyifatkan Perlembagaan Negara bertujuan mengatasi masalah ketidaksamarataan antara pelbagai kaum.

Menurut Chandra, salah satu fakta sejarah yang sering dilupakan ialah hak kerakyatan untuk masyarakat bukan Melayu di negara ini yang diberikan oleh raja-raja Melayu dan golongan elit UMNO.

''Bukan pihak British yang memberikan kerakyatan kepada kaum bukan Melayu tetapi orang Melayu. Sementara Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan pula menjelaskan bahawa semua warganegara mempunyai hak yang sama rata di sisi undang-undang.

''Jika anda fahami dengan betul, motif Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah mengelakkan situasi tidak sama rata. Kedudukan istimewa orang Melayu (seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan) mempunyai kaitan dengan kesamarataan.

"Ini kerana, ketika negara mencapai kemerdekaan, begitu ramai masyarakat Melayu hidup dalam kemiskinan," jelas Chandra.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai penglibatan beliau sebagai salah seorang ahli panel dalam persidangan The Gathering of Great Minds yang akan diadakan pada 24 September ini.

Tambah Chandra, keadaan tidak sama rata timbul apabila pemimpin Melayu membuka pintu dengan memberikan kerakyatan segera kepada masyarakat bukan Melayu ketika negara mencapai kemerdekaan.

''Sekelip mata saja golongan bukan Melayu diberikan kerakyatan. Ini merubah peta demografi. Jadi, masyarakat Melayu sebagai tuan rumah yang membuka pintu kerakyatan negara kepada kaum bukan Melayu mahu memelihara kedudukan dan kepentingan mereka terutamanya dari segi pendidikan, pekerjaan dan pemilikan harta.

''Ini bagi memastikan orang Melayu tidak kehilangan atau kerugian apabila bersikap pemurah dengan pemberian kerakyatan berkenaan. Terma warganegara yang diberikan di Malaysia juga agak luar biasa," jelas beliau yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just).

Dalam memahami realiti ini, menurut Chandra, perlu ada proses penerimaan oleh masyarakat dan pemimpin Melayu sebagai pihak yang membuka pintu kerakyatan dan proses menyesuaikan diri oleh pihak yang diberikan kerakyatan.

''Di negara lain seperti Perancis, Jerman atau Kanada, syarat dikenakan untuk menjadi warganegara.

Namun di Malaysia, syarat-syarat sedemikian diketepikan. Oleh itu, kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan bertujuan memastikan orang Melayu sebagai golongan yang memberikan kerakyatan kekal sama rata dengan golongan lain.

''Beberapa aspek hak dan kedudukan istimewa tersebut perlulah dikaji semula dari semasa ke semasa mengikut perubahan masa. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengubah kuota etnik bagi pengambilan pelajar universiti dan hanya mengekalkannya untuk fakulti tertentu sahaja," katanya.

Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Chandra, membuat satu lagi perubahan dengan mengumumkan dasar liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan dan sektor kewangan.

''Jadi, Perkara 153 bukanlah satu klausa yang bertujuan memberikan kelebihan kepada satu komuniti atau menjadikan mana-mana kaum lebih dominan.

"Perlembagaan negara lain yang agak mirip kepada Perlembagaan Persekutuan ialah Perlembagaan India yang memberikan hak yang sama rata kepada semua warganegara.

''Perlembagaan tersebut bagaimanapun memberikan peruntukan khas kepada kasta-kasta yang disenaraikan," jelasnya.

Chandra menambah, Perlembagaan Persekutuan merupakan satu perlembagaan yang lengkap dan menyeluruh kerana ia mengutamakan keseimbangan.

''Ia merujuk kepada Bahasa Kebangsaan dan lain-lain bahasa, agama rasmi dan agama-agama lain serta kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan kaum lain.

"Pada pandangan saya, perlu dipastikan kita tidak lari daripada kerangka Perlembagaan tersebut dalam memelihara keseimbangan antara kaum.

''Jika kita mengetepikan Perlembagaan ini dan cuba mencari panduan lain, saya rasa kita bakal berhadapan dengan masalah besar. Satu-satunya, panduan yang perlu dijadikan rujukan ialah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran