TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 23 September 2010

Animasi bukan sekadar kartun

Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tarikh Siar: 2010/09/23

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Walaupun berisiko besar, penerbitan produk animasi boleh beri pulangan lumayan

INDUSTRI animasi tempatan masih terlalu baru. Animasi pertama yang dihasilkan ialah Hikayat Sang Kancil pada 1983. Walaupun jumlah penghasilan filem atau siri TV animasi di negara kita masih kecil, namun industri berkenaan dilihat berpotensi membantu menjana ekonomi berpendapatan tinggi.

Kerajaan turut menunjukkan sokongan kepada industri yang masih baru ini apabila menyediakan dana yang dinamakan Dana Industri Kreatif bernilai RM250 juta, yang mana sebanyak RM20 juta daripadanya diberikan kepada pelajar yang berhasrat menghasilkan animasi berkualiti.

Pengarah Jabatan Pembangunan Kandungan dan Industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Roslan Mohamad, ketika membentangkan kertas kerja Animasi Menjana Pendapatan Negara di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada Ogos lalu berkata, ini dapat dilihat pada bayaran kepada animator pada 2007 dan 2008 yang semakin menunjukkan peningkatan. Perkembangan drastik industri animasi juga boleh dilihat berlaku di seluruh dunia. Pada 2008, Amerika Syarikat hanya mengeluarkan sebuah filem animasi iaitu A Bug Life, tetapi pada tahun 2010, deretan filem animasi memenuhi panggung seperti Avatar, Toy Story 3 serta banyak lagi dan ia juga tidak mustahil akan berlaku di negara ini satu hari nanti.

Di negara kita, filem animasi yang paling popular ialah Geng: Pengembaraan Bermula. Dan selepas ini, tidak mustahil menjelang 2020, sepuluh filem cereka mampu mencatat senarai teratas di negara kita adalah daripada filem animasi. Perkara itu boleh dilihat di Hollywood dan juga beberapa negara lain seperti di China.

Industri animasi di China contohnya berkembang dengan sangat pantas. Pada 2006, terdapat 3,000 syarikat yang mengupah 80,000 pekerja untuk menghasilkan animasi. Pada 2008, jumlah syarikat yang terbabit dalam industri animasi bertambah kepada 10,000 syarikat dengan 200,000 pekerja.


Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 150 peratus. Dengan peningkatan itu, industri animasi kini menjadi sebuah perniagaan yang besar dan bukan sebuah kartun untuk tontonan golongan kanak-kanak semata-mata, katanya.
Apabila menyentuh mengenai animasi, Roslan berkata, kebanyakan dari kita menyalah tafsir animasi hanyalah kartun yang dipaparkan di skrin televisyen.

Jelasnya, animasi adalah satu bidang yang membabitkan teknologi.

Animasi mempunyai makna yang luas. Ia bukan sekadar lakaran lukisan kartun tetapi boleh dijelmakan dalam bentuk alat tulis, pendidikan, pakaian, permainan, muzikal, makanan, komik, tamah tema serta kemudahan mudah alih.

Sebagai contoh, kartun Mickey Mouse kini boleh dilihat dalam pelbagai penampilan seperti jenama pada pakaian, bentuk permainan malahan juga taman tema yang boleh dikunjungi orang ramai. Animasi juga merangkumi perubatan, hiburan arkitek dan lain-lain, katanya.

Walaupun mempunyai potensi yang besar, Roslan menjelaskan, bidang animasi juga mempunyai cabaran tersendiri kerana pembikinan filem animasi memerlukan kos serta risiko yang tinggi.

Situasi itu dapat dilihat kepada beberapa faktor seperti perisian yang mahal, pasaran terhad kerana terdapat hanya tiga stesen yang besar iaitu RTM, Media Prima dan Astro, hal itu berbeza dengan luar negara yang mempunyai banyak stesen televisyen.

Modal insan atau tenaga kerja animator yang tidak ramai juga menjadi salah satu penyumbang kepada masalah bidang animasi. Harga belian rendah yang tidak berbaloi dengan perbelanjaan dikeluarkan penerbit dan pendedahan kepada cetak rompak adalah antara beberapa masalah yang dihadapi industri ini.

Bagaimanapun, bidang animasi mempunyai peluang yang bagus sekiranya projek penyiaran televisyen digital diperluaskan serta mewujudkan stesen khas untuk siaran animasi saja.

Sementara itu Pengarah Urusan Les'Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, mengakui sektor animasi adalah perniagaan sangat berisiko dan kadang-kadang promosinya pula tidak berada pada tahap pasaran yang disasarkan.

Katanya, menghasilkan produk animasi memerlukan belanja sangat besar bagi memastikan kualitinya benar-benar terjamin kerana jika tidak berkualiti, mana-mana stesen televisyen tidak akan membeli mahupun memberi geran.

Jelas sekali, animasi bukan hanya untuk kanak-kanak tetapi juga popular di kalangan golongan dewasa. Produk animasi hendaklah popular di negara sendiri sebelum kita berhasrat menjualnya ke luar negara. Strategi yang betul dan teratur perlu disusun untuk menjamin produk kita diterima.

Selain itu, saya juga mencadangkan supaya pinjaman diubah kepada geran sekiranya filem yang dihasilkan berjaya. Syarikat yang berjaya juga harus membantu syarikat baru dan menjadi tonggak kepada syarikat lain, katanya.

Burhanuddin yang menubuhkan syarikat Les Copaque 2005 dan sudah membuktikan kejayaan apabila filem terbitannya Geng: Permulaan Bermula mencatat kutipan box-office dengan hasil RM 6.31 juta, berkata penggiat animasi harus berani mencuba idea baru dan segar tetapi boleh diterima semua khalayak.

Beliau sendiri tidak menjangka filem animasi terbitan syarikatnya mampu berada di peringkat global. Katanya animasi yang bersifat global bermaksud satu produk yang boleh dijual ke peringkat antarabangsa dan ceritanya boleh ditonton oleh semua. Selain Roslan dan Burhanuddin, turut membentangkan kertas kerja ialah Pengarah Filem dan VFX dari Double Digital Studios Sdn Bhd dan wakil dari Alam Maya, Eugine Foo.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Animasibukansekadarkartun/Article

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran