TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 5 September 2010

Kesinambungan Raja-raja Melayu

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Tarikh siar: 04/01/2009


NEGARA memasuki tahun baru 2009 dengan Negeri Sembilan Darul Khusus mempunyai Yang di-Pertuan Besar yang baru, kesebelas dalam urutan kedaulatan Raja-raja Melayu di negeri itu.

Dengan peralihan yang licin ekoran kemangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 pada Sabtu minggu lalu, sekali lagi institusi Raja-raja Melayu diperteguhkan. Ini kerana kesinambungan amat penting dalam pemantapan institusi raja-raja lebih-lebih lagi bagi Malaysia, khususnya orang Melayu.

Teguhnya kedudukan orang Melayu bererti juga stabilnya Malaysia dan semua warganegaranya dari kalangan pelbagai kaum dan keturunan. Walaupun perubahan itu dilihat sebagai hanya melibatkan salah sebuah negeri daripada 13 di Malaysia, tetapi ia tetap memberikan makna kepada seluruh negara lebih-lebih lagi Negeri Sembilan mempunyai kedudukan istimewa yang tersendiri. Malah Darul Khusus yang merupakan nama Negeri Sembilan bermakna 'negeri yang istimewa'.

Antara keistimewaannya ialah sistem beraja Negeri Sembilan adalah unik berbanding dengan negeri-negeri Melayu lain. Kini di dunia, terdapat 10 raja Melayu yang berdaulat. Sembilan di Malaysia dan satu di Brunei tetapi hanya Negeri Sembilan yang mempunyai keunikannya apabila rajanya tidak dipanggil Sultan atau Raja. Sistemnya pula bukannya monarki turunan tetapi dipilih oleh empat Undang.

Sistem di mana sebuah majlis terdiri daripada empat Undang ini diguna pakai oleh Persekutuan Tanah Melayu apabila hendak menentukan ketua negara iaitu Yang Dipertuan Agong. Majlis Raja-raja yang terdiri daripada sembilan raja Melayu ditubuhkan untuk tujuan ini.

Kedaulatan

Justeru, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah anggota Majlis Raja-raja ini dan selanjutnya ia menjadi sebahagian daripada sistem beraja Malaysia. Maka apa yang berlaku di Negeri Sembilan atau mana-mana sembilan negeri Melayu di Malaysia amat penting bagi memastikan kedaulatan Raja-raja Melayu bagi negara ini.

Dalam sejarahnya, Negeri Sembilan juga istimewa. Ia mengamalkan Adat Perpatih ketika mana negeri-negeri melayu lainnya berpegang pada Adat Temenggong. Tetapi Datuk Perpatih dan Datuk Temenggong adalah dua bersaudara di Sumatera dan dalam zaman moden ini, dengan adanya Negeri Sembilan, kedua-dua adat itu terus berkembang di bumi Malaysia.

Kesultanan Melaka pada kurun ke-15 yang menyebabkan Adat Temenonggong menjadi dominan di Alam Melayu. Tetapi pada masa itu juga rajanya memberi perlindungan kepada penghijrah dari Minangkabau untuk menetap Negeri Sembilan. Selepas Portugis menguasai Melaka, perlindungan itu dilanjutkan oleh Kesultanan Johor sebagai pewaris Kesultanan Melaka.

Apabila Raja Melewar menubuhkan pemerintahannya di Seri Menanti, Kesultanan Johor mengurniakan gelaran Yang di-Pertuan Besar pada abad ke-18 dan bermulalah Negeri Sembilan. Pada satu masa, wilayah Negeri Sembilan adalah lebih besar daripada apa yang ada pada hari ini. Umpamanya daerah Kelang kini sudah berada di Selangor, sebahagian besar Naning dalam Melaka, Segamat sudah terletak dalam Johor dan sebahagian Ulu Pahan berada di Pahang. Tetapi Selangor, Johor dan Pahang juga adalah negeri-negeri Melayu sementara Melaka sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia yang ketua negaranya adalah Yang Dipertuan Agong.

Kejayaan negeri-negeri Melayu mempertahankan kemerdekaan adalah atas asas perpaduan bangsa dan menerima kaum lain sebagai sebahagian daripada warganegaranya. Ini membolehkan Malaysia menjadi teguh dan maju dengan berasaskan kedaulatan Raja-raja Melayu. Atas kekuatan inilah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah mahu terus bersama Malaysia dan selanjutnya mengembalikan wilayah-wilayah itu ke dalam kedaulatan Melayu dalam erti kata inklusif dengan menjamin hak semua warganegara tanpa mengira kaum.

Tetapi kedaulatan dan kekuatan politik tidak sempurna maknanya jika tidak disertakan dengan kecemerlangan ekonomi yang masih tertinggal bagi orang Melayu. Negeri Sembilan bertuah kerana berjiran dengan Selangor. Kemakmuran Lembah Klang juga melempah ke Nilai. Apa yang berlaku di Bagan Lalang akan akhirnya bersambung ke Port Dickson. Begitu juga aktiviti di Sepang akhirnya menuntut pembangunan di Labu, termasuklah cadangan pembinaan Terminal Pengangkut Kos Rendah (LCCT) di situ.

Negeri Sembilan sememangnya istimewa.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm&arc=hive

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran