TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 4 September 2010

Ramadan ibarat pesta

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
Tarikh: 03/09/2010.


Bagaikan pesta. Itulah gambaran menyambut Ramadan di Tanah Haram. Baik di Mekah atau Madinah setiap inci ruang di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sentiasa dipenuhi oleh umat Islam dari serata pelosok dunia.

Semuanya berkumpul untuk beribadat kepada Allah Yang Maha Esa dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Pendek kata, jika lewat ke masjid, jangan harap dapat masuk ke ruang solat. Sebaliknya, solatlah di dataran putih atau kawasan luar kedua-dua masjid berkenaan.


Demikian indah dan meriahnya Ramadan di negeri kelahiran Nabi Muhammad SAW dan juga di tempat baginda berhijrah dan dimakamkan di Madinah.

Kesesakan di Masjidil Haram semasa Ramadan bukanlah perkara yang luar biasa. Antara sebabnya, kebanyakan sekolah negara Islam di Asia Barat bercuti selama tiga bulan mulai Ramadan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh mereka menziarahi saudara mara di Mekah sekali gus beribadat di Masjidil Haram, tempat paling suci bagi umat Islam.

Sebab itu, ada antara jemaah rombongan berkata, bilangan yang ada di Mekah pada Ramadan menyamai jumlah yang menunaikan haji.

Malah, pada 10 hari terakhir Ramadan, jumlahnya dikatakan mengatasi jemaah haji dari seluruh dunia.

Demikianlah antara keberkatan hasil doa Nabi Ibrahim selepas selesai mendirikan Kaabah bersama anaknya, Nabi Ismail agar Mekah yang menempatkan Baitullah itu sentiasa dikunjungi oleh umat Islam saban masa dan ketika.

Akhirnya Nabi Ibrahim berdoa pula: "Oh Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan anak keturunanku di lembah yang tak mempunyai tumbuh-tumbuhan (Mekah), di sekitar Rumah Engkau (kaabah) yang suci. Oh Tuhan, agar mereka mendirikan sembahyang. Jadikanlah tempat ini menjadi tempat orang tawaf, iktikaf, rukuk dan sujud. Jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka. Berilah rezeki kepada mereka berupa buah-buahan (makanan dan minuman), mudah mudahan mereka menjadi orang yang bersyukur. Oh Tuhan kami, bangkitkanlah di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka, yang akan membacakan kepada mereka akan ayat-ayat-Mu, dan yang akan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah, serta yang akan membersihkan mereka, kerana sesungguhnya Engkau Maha Gagah, Maha Bijaksana."

Apa tidaknya, sudahlah Allah janjikan pahala sunat bulan Ramadan ini diberi ganjaran pahala wajib dan perkara wajib digandakan 70 kali, solat di Masjidil Haram pula adalah 100,000 kali lebih baik berbanding solat di masjid lain.

Semua ini memberi semangat dan pemangkin kepada umat Islam seluruh dunia mengunjungi Baitullah dan beribadat di sana pada bulan Ramadan.

Kebanyakan jemaah datang pada waktu subuh dan terus beriktikaf sehingga berbuka puasa. Ada yang terus beriktikaf sehingga selesai solat sunat tarawih barulah kembali ke hotel atau ke rumah masing-masing.

Sepanjang beriktikaf, mereka membaca al-Quran. Penat mengaji, mereka tidur sekejap atau solat sunat. Demikianlah 'aturcara' sepanjang berada di Masjidil Haram. Tidak hairanlah, sepanjang di sini, kita boleh mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran