TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 21 September 2010

Kanser hati muncul secara senyap

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 21 September 2010.

Oleh ZUHAYATI YAZID

AMAT jarang di kalangan kita memberikan perhatian dari sudut kesihatan terhadap hati walaupun ramai mengetahui penyakit yang berkaitan dengan organ terpenting itu sebenarnya lebih serius berbanding penyakit lain.

Malah secara umumnya, ramai masih mengambil ringan betapa pentingnya organ yang terletak di belakang tulang rusuk di bahagian kiri abdomen itu.

Menurut Pakar Perunding Onkologi, Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Datuk Dr. Fuad Ismail, penyakit hati paling kronik ialah kanser hati.

Katanya, kanser hati ataupun dipanggil hepatoma biasanya lebih lazim berlaku di negara-negara Asia.

''Pesakit kanser ini kebanyakannya berumur antara 40 hingga 50 tahun. Ia didapati empat kali ganda lebih kerap berlaku di kalangan kaum lelaki berbanding wanita," katanya.

Bagaimanapun terangnya, kebanyakan pesakit tidak menyedari dijangkiti penghidap penyakit tersebut kerana simptomnya tidak berlaku serta-merta.

Faktor risiko menghidap kanser hati termasuk jangkitan kronik virus Hepatitis B atau C yang berkait dengan sirosis (gangguan struktur hati normal oleh fibrosis) dan pembentukan nodul yang disebabkan oleh pelbagai keadaan yang memberi kesan pada hati seperti ketagihan alkohol, obesiti, diabetis dan penggunaan tembakau.

''Antara sebab kebanyakan pesakit berusia dalam lingkungan 40 tahun ke atas adalah kerana virus Hepatitis B mengambil masa agak lama untuk merosakkan hati dan apabila telah rosak, ia akan merebak dengan cepat," katanya.

Terang beliau lagi, kebanyakan kes kanser hati di peringkat awal tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala tertentu sehinggalah pesakit berada pada tahap yang serius.

Jelas beliau lagi, kanser hati sebenarnya terbahagi kepada dua, iaitu jenis prima dan sekunder.

''Kanser hati prima berpunca daripada masalah di dalam hati itu sendiri iaitu kerosakan sel-sel, manakala sekunder disebabkan kanser yang merebak ke hati daripada organ lain,'' ujarnya serius.

Bagaiamanapun, Dr. Fuad memberitahu, punca utama berlakunya kanser hati prima ialah sirosis, iaitu keadaan apabila sel hati rosak disebabkan pelbagai faktor.

''Sebenarnya, faktor itu lebih kepada tabiat meminum arak dan disebabkan oleh jangkitan Hepatitis B dan C," katanya.

Selain itu katanya, penghidap penyakit heamochromatosis, iaitu zat besi yang tidak dapat dikeluarkan dari badan dan akhirnya mendap di hati, juga mempunyai risiko menghidap kanser hati.

Ini kerana, katanya, zat besi yang tidak dapat disalur keluar akan bertakung sehingga boleh menjejaskan fungsi dan seterusnya merosakkan hati.

Namun, risiko pesakit haemochromatosis untuk menghidap kanser hati dalam jangka masa panjang adalah kira-kira 30 peratus.

Manakala bagi kanser hati jenis sekunder, beliau menjelaskan, ia sebenarnya berpunca daripada organ lain yang bermasalah.

''Ini semua kerana hati dan hempedu adalah bahagian yang paling banyak terdedah kepada kanser di bahagian lain yang sudah merebak," katanya.

Bagaimanapun, pesakit kanser hati masih berpeluang untuk pulih dengan syarat mesti mendapat rawatan seawal yang mungkin.

''Jika mereka mendapatkan rawatan awal, peluang untuk pulih dalam tempoh lima tahun berikutnya adalah kira-kira 60 peratus.

"Tetapi jika sudah terlalu lama dan dikesan pada peringkat kritikal, harapan adalah tipis," terangnya serius.

Ditanya mengenai rawatan, Dr. Fuad menjelaskan doktor akan memeriksa hati yang bengkak dengan melakukan ujian darah dan x-ray.

''Ujian darah bertujuan melihat tindak balas hati dengan mengukur enzim yang digunakan dalam ujian itu.

''Sekiranya kanser hati wujud, alfafoetoprotein iaitu protein dalam darah akan meningkat. Bagi penghidap Hepatitis B dan C, ujian bagi mengesan kehadiran antigen perlu dilakukan.

"Untuk mengesahkannya, doktor melakukan ujian imbasan bagi melihat bahagian hati yang mengalami kanser yang biasanya wujud dalam bentuk ketulan.

''Ini diikuti rawatan CT Scan dan Angiogram bertujuan untuk mengesan tahap serius kanser berkenaan.

''Selepas diagnosis berkenaan, rawatan terbaik akan dibincangkan bersama pesakit. Jika ia hanya menyerang pada satu bahagian, pembedahan dilakukan bagi membuangnya.

"Berbanding organ lain pada tubuh manusia, hati agak unik kerana ia masih boleh berfungsi walaupun sebahagian besar sudah dibuang," katanya.

Rawatan lain katanya, termasuk pembedahan pemindahan hati yang diderma oleh keluarga terdekat, walaupun dalam jangka panjang ia boleh berulang semula.

Selain itu, rawatan kimoterapi juga boleh dilakukan dengan membuat saluran di bahagian arteri dan menghalakan rawatan itu terus kepada kanser berkenaan.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran