TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 15 Disember 2009

Datuk Seri Najib dan isteri diraikan penuh adat kebesaran diraja Gowa

Courtesy: Berita Minggu
Wartawan: Ahmad Naim Tahir


Kunjungan kembalikan hubungan sejarah, pertalian darah

"HATI kecil saya tersentuh... kunjungan ke Gowa bukan saja mengembalikan hubungan sejarah, budaya dan pertalian darah. Ia ibarat sirih pulang ke gagang, anak Gowa yang kembali ke leluhurnya...penuh kenangan manis buat saya".

Kata-kata itu terbit daripada mulut Datuk Seri Najib Razak ketika menggambarkan perasaannya menjejakkan kaki sekali lagi di Gowa, daerah berjiran dengan Makassar, pusat pentadbiran wilayah Sulawesi Selatan.

Lantaran pertalian sejarah dan darah itulah, Perdana Menteri langsung tidak melatah dengan pandangan sinis sesetengah pihak terhadap kaitan keturunannya dengan Gowa, daerah seluas 1,883 kilometer persegi dengan 500,000 penduduk itu.

"Memang keturunan saya dari Gowa, meninggalkan wilayah ini pada abad ke-18 mengharungi samudera, dipukul ombak dan gelombang. Saya bangga dengan sejarah keturunan saya," katanya.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkunjung ke daerah itu sempena lawatan kerja ke Makassar, baru-baru ini dan ke Gowa atas undangan ketua pentadbirannya, Ichsan Yasin Limpo sempena perayaan ulang tahun ke-689 daerah itu.


Datuk Seri Najib dan Shahrul memerhatikan keris Gowa.



Bagaikan raja, pasangan itu diberikan sambutan penuh meriah, penuh dengan adat dan tradisi masyarakat Gowa sebaik tiba untuk jamuan tengah hari di kediaman rasmi Gabenor Sulawesi Selatan, Syahrul Yasin Limpo yang juga berdarah Gowa.
ANTARA ribuan masyarakat Gowa yang memenuhi Lapangan Syekh Yusuf Discovery menyambut ketibaan Najib dan Rosmah.

Acara sambutan dilakukan secara adat atau 'ammuntuli' yang hanya dikhaskan buat keluarga diraja dengan Najib dan Rosmah dijemput oleh pemangku adat Gowa sebelum menerima persembahan pakaian adat yang bukan untuk sembarangan pembesar.

Perdana Menteri mempunyai hubungan akrab dengan Gowa kerana memiliki darah keturunan Raja Gowa ke-19, Sultan Abdul Jalil Tumenanga ri Lakiung.

Ketika melawat daerah itu pada Mei 2005, beliau diberikan gelaran kebesaran Map-padulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone, manakala Rosmah diberi gelaran I Nimasa Daeng Sunggu Karaeng Bonto Mate'ne.

Selesai jamuan, Najib yang lengkap berpakaian kebesaran Gowa, segak dengan keris diraja tersisip di pinggang berlepas ke Lapangan Syekh Yusuf Discovery di Jalan Masjid Raya, Sungguminasa untuk menyertai perayaan ulang tahun berkenaan.
NAJIB dan Rosmah meluangkan masa menziarahi makam Sultan Hasanuddin di Kompleks Pemakaman Raja Gowa di Desa Palantikang.


Sambutan meriah lebih 6,000 penduduk yang memenuhi dataran itu membayangkan Perdana Menteri amat disanjung di Sulawesi Selatan kerana berketurunan Bugis Makassar daripada salasilah pembesar dan pahlawan ternama, Sultan Hasanuddin.

Kunjungan beliau juga mendapat liputan meluas media tempatan, malah ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein juga diingati masyarakat Gowa sehingga sebatang jalan di sini turut dinamakan sempena Perdana Menteri kedua itu.

Abdul Razak pernah berkunjung ke daerah ini pada 1973 dan menziarahi Kompleks Pemakaman Raja Gowa, termasuk Makam Sultan Hasanuddin. Di kompleks itu, beliau menunjukkan satu nisan dan menyatakan orang dimakamkan itu ada dalam salasilah keluarganya.

Kemudian pada 1974, Perdana Menteri kedua itu diberi gelaran kebesaran Gowa, La Tenri Patta Daeng Manesa, manakala isterinya, Tun Rahah Mohd Noah diberi gelaran We Bungawali.

Pada sambutan perayaan ulang tahun kali ini, Najib dan isteri diberikan penghormatan merasmikan tugu di Lapangan Syekh Yusuf Discovery yang dihiasi ilustrasi wajah Raja Gowa pertama hingga ke-36.

Ucapan Perdana Menteri pada majlis itu yang sekali sekala diselang jenaka, banyak mengaitkan keturunannya dengan Gowa dan keberanian masyarakat itu dalam menentang penjajahan Belanda serta kemahiran di laut.

"Nama Gowa sudah tidak asing lagi... mulai abad ke-15, Kerajaan Gowa adalah kerajaan maritim yang mempunyai pengaruh besar di perairan Nusantara. Malah, dari Gowa, lahir pahlawan terkenal diberi gelaran Ayam Jantan Timur.

"Sultan Hasanuddin, Raja Gowa ke-16 diberikan gelaran itu kerana bangkit menentang Belanda pada awal permulaan penjajahan di Indonesia," kata Najib sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Apa yang menarik mengenai hubungan Sulawesi Selatan dan Malaysia, katanya, ialah keturunan beberapa Sultan di Malaysia juga berasal dari wilayah ini dan mempunyai darah Bugis.

"Malah di tempat kelahiran saya juga, ada sebuah kawasan bernama Kampung Makassar," kata Perdana Menteri.

Selesai majlis sambutan yang berlangsung hampir dua jam di dataran itu, Najib dan isteri meluangkan masa menziarahi Makam Sultan Hasanuddin di Kompleks Pemakaman Raja Gowa di Desa Palantikang.

Ada juga tanggapan negatif menuduh undangan dan layanan istimewa pentadbiran Gowa kerana Najib ketua kerajaan Malaysia, tetapi pantas dinafikan Ichsan yang menjelaskan status Perdana Menteri dan undangan itu tiada langsung hubung kait.

"Kita mengundang kerana beliau sebahagian daripada keluarga Gowa dan memang keturunan raja Gowa. Ada salasilahnya dan kerabatnya di sini juga masih ramai," katanya.

Kerajaan Gowa Purba dikatakan pernah diperintah empat raja, tetapi asal usul mereka tidak diketahui dan pada 1320, Kerajaan Gowa terbentuk atas sembilan negeri kecil disebut kasuwiang.

Setiap sembilan negeri mempunyai raja kecil dan gabungan negeri itu diselaraskan seorang pentadbir atau paccallaya, tetapi berdepan kesukaran kerana ada isu sukar diselesaikan berikutan kedudukan dan taraf mereka yang sama.

Bertambah sukar apabila tiada seorang pun di antara mereka berasa patut menjadi raja negeri gabungan itu sebelum tersebar berita bahawa di sebuah tempat bernama Taka'a Bassia, ada seorang raja perempuan turun dari kayangan lengkap berpakaian kebesaran.

Bergegaslah paccallaya dan semua raja kecil menemui raja perempuan berkenaan dan bersepakat melantiknya sebagai Raja Gowa pertama bernama Tumanurung Bainea (Raja Perempuan) yang kemudian diperisterikan oleh Karaeng Bayo.

Kedudukan sembilan raja kecil langsung berubah, kedaulatan dalam daerah masing-masing beralih ke tangan Tumanurunga. Mereka hanya Kasuwiang Salapang (Sembilan Pengabdi) dan kemudian menjadi Bate Salapang (Sembilan Pemegang Bendera).

Raja yang pernah memerintah Gowa ada 36 orang, tetapi pada zaman pemerintahan Raja Gowa Kesembilan, Daeng Matanre Karaeng Mannuntungi Tumapa risi' Kallona, Gowa mencapai kemuncak kejayaan dengan mem-perluaskan wilayah kekuasaannya.

Kegemilangan Gowa berterusan, termasuk membangunkan beberapa benteng pertahanan, antaranya Benteng Somba Opu dan Benteng Pannyua atau Benteng Fort Rotterdam yang sehingga kini masih utuh di kota Makassar.

Pada 1593, tiga pendakwah Islam dari Minangkabau tiba di Sulawesi Selatan dan 10 tahun kemudian, Raja Gowa ke-14, Mangnga'rangi Daeng Manra'bia menerima Islam sebagai agama rasmi kerajaan dan baginda menggunakan nama Sultan Alauddin.

Kegemilangan Makassar sebagai pelabuhan rempah terkenal mengundang kehadiran Belanda yang mahu meluaskan jajahan takluknya ke atas Indonesia.

Pada 1666, Sultan Hasanud-din melancarkan perang menentang Belanda dan digelar oleh negara penjajah itu 'Hantjes van Oosten' atau 'Ayam Jantan Dari Timur.'

Masyarakat Gowa menyambut Datuk Seri Najib dan isteri.



Baginda dan gerombolan tenteranya begitu gigih ketika berperang sehingga diakui Belanda yang kemudian merangka satu pelan perdamaian kononnya untuk kepentingan kedua-dua pihak.

Sedih kerana begitu banyak nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda yang tidak terkira, Sultan Hasanuddin menggunakan pertimbangannya menerima pelan itu walaupun dengan hati yang berat.

Perjanjian Bongaya ditandatangani Raja Gowa ke-16 itu demi mengelakkan lebih ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa dan lebih banyak harta benda musnah dalam peperangan.

Bagaimanapun, ramai bangsawan tidak bersetuju dengan keputusan baginda, termasuk puterinya, I Manindori Daeng Tojeng Karaeng Galesong yang terus menentang Belanda di tanah Jawa.

Anaknya yang lain, I Aduluk Daeng Mangalle pula berhijrah ke Thailand atau disebut Siam ketika itu dan mempunyai dua anak bernama, Daeng Ruru dan Daeng Tulolo.

Daeng Ruru amat mahir dalam bidang maritim dan kemahirannya itu menambat hati Raja Perancis, lalu dibawa ke negara berkenaan oleh pasukan Raja Louis XVII dan dilantik menjadi Panglima Perang Perancis.

Kini, keturunan Daeng Ruru, Lois Pierre Daeng Ruru masih ada di Kampung Makassar di selatan negara itu dan turut diundang pentadbiran Gowa menyertai perayaan ulang tahun kali ini, tetapi tidak dapat menghadirinya.

Era pasca perang Gowa dan Belanda menyaksikan negara penjajah itu sering campur tangan dalam pemilihan Raja Gowa kerana kepentingan politik dan keuntungan mereka.

Keadaan itu mengecewakan sesetengah bangsawan seperti I Nasaruddin Karaeng Agang Je'ne, iaitu putera Sultan Abdul Jalil yang mengambil keputusan meninggalkan bumi Gowa.

Nasaruddin yang juga cucu Sultan Hasanuddin menuju ke Pahang dan bermastautin di sana sambil diberikan tanggungjawab sebagai syahbandar dengan gelaran Sultan Aji Orang Kaya Indera Syahbandar bergelar Toh Tuan.

Cucunya berkahwin dengan gadis tempatan dan menghasilkan keturunan bernama Daeng Pong yang berterusan sehingga Abdul Razak yang bergelar Orang Kaya Syahbandar ke-10.

Selepas kematian Abdul Razak, tiba pula giliran Najib menggantikan Allahyarham sebagai Orang Kaya Syahbandar ke-11 dan pada awal April lalu, turut mengikut jejak bapanya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Wartawan: Ahmad Naim Tahir
Courtesy: Berita Minggu

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran