TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 26 September 2010

Wajah baru Tanah Suci Makkah

Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 26/09/2010.

Oleh Hafizahril Hamid

LAMBAIAN Kaabah sememangnya menggamit keinginan kita semua untuk menyucikan diri dari pelbagai dosa yang mungkin dilakukan secara sengaja atau sebaliknya. Oleh itu hati akan menjadi hiba, keinsafan menyelubungi jiwa mengenang akan kebesaran Tuhan dan betapa kerdilnya diri tatkala berada di Tanah Suci.

Namun impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci mungkin tidak kesampaian jika usaha untuk membesarkan lagi kota Mekah tidak dilaksanakan segera. Pembaharuan atau transformasi fizikal ini perlu dilakukan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Dianggarkan sejumlah tiga hingga lima juta umat Islam membanjiri Tanah Suci pada musim haji sahaja. Di bahagian dalam masjid pula ia menampung kira-kira 350,000 jemaah pada satu-satu masa. Malah jumlah ini dijangkakan bertambah kepada lapan hingga 10 juta, manakala bahagian dalam mencecah 1.5 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Oleh itu atas tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam itu sendiri bandar Mekah dan Madinah kini sedang diperluas dan diperindah oleh kerajaan Arab Saudi.

Tidak ketinggalan usaha perubahan ini turut merangkumi pelbagai aspek seperti pengangkutan awam, penginapan serta bekalan air bersih. Kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram telah dilakukan sejak awal tahun 2008.

Menurut Datuk Bandar Mekah, Osama al-Bar dalam wawancara dengan stesen televisyen Al Jazeera, sejumlah AS$125 bilion (RM425 bilion) dijadual dibelanjakan di bawah projek berkenaan dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membesarkan infrastruktur dan tempat-tempat suci di Mekah.

“Mekah sudah mengalami perubahan pesat sejak dua tahun lalu dan projek yang akan memberi kesan paling besar kepada Mekah dalam tempoh terdekat ialah perluasan Masjidil Haram. Projek mega ini akan menghasilkan pertambahan keluasan kira-kira 400,000 meter persegi,” kata Osama.

Selain itu, kata beliau, projek-projek mega turut dijalankan bagi memperbaiki kemudahan awam dan infrastruktur, serta di tempat-tempat suci di Mina, Padang Arafah dan Muzdalifah.

Menurut beliau, kerajaan Arab Saudi perlu memperluaskan Masjidilharam memandang agama Islam semakin tersebar di serata dunia dan bilangan umat Islam dijangka bertambah sekali ganda dalam tempoh tiga dekad akan datang.

Dalam usaha untuk memperindah kota Mekah, satu bangunan yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt kini dalam pembinaan dan bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.

Bangunan berkenaan yang juga menempatkan kompleks hotel gergasi akan turut dibina atasnya sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London.

Kompleks itu yang dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Arab Saudi mengandungi tujuh menara hotel serta 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidil Haram.

Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang kira-kira 11 meter daripada ketinggian menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang mencecah 828 meter. Menara Jam Diraja Mekah akan dibina daripada struktur konkrit setinggi 662 meter dengan puncak menara logam setinggi 155 meter yang dilitupi simbol bulan sabit.

Fasa pertama hotel telah dibuka pada akhir Jun lepas manakala jam tersebut mula beroperasi secara percubaan untuk tiga bulan pada awal Ramadan lepas. Jam buatan Jerman itu mempunyai muka selebar 45 meter dan setinggi 43 meter di keempat-empat sisi menara. Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang.

Selain itu jemaah haji tahun ini akan menikmati perjalanan lebih selesa ke Mina, Arafah dan Muzdalifah dengan bermulanya sistem monorel yang menghubungkan tiga kawasan itu dengan Mekah bermula Oktober depan.

Selain sistem monorel, sistem kereta api laju bakal dibina bagi menghubung Mekah dan Madinah. Projek yang dijangka siap pada 2012 itu akan mengurangkan masa perjalanan antara dua kota suci itu sehingga separuh daripada lima jam sekarang.

Selain itu Arab Saudi juga merancang untuk melaksanakan sebuah “projek super” yang menelan belanja sebanyak AS$87.8 bilion (RM298 bilion) bagi membina enam bandar ekonomi.

Bandar-bandar ini akan menempatkan 2.5 juta penduduknya yang dijangka mampu memberi pendapatan sebanyak AS$150 bilion (RM510 bilion) selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada 1.5 juta penduduknya menjelang tahun 2020.

Lebih membanggakan rakyat Malaysia turut terpilih sebagai salah seorang panel yang bertanggungjawab dalam usaha untuk meluaskan kawasan Masjidil Haram.

Beliau yang dimaksudkan ialah pensyarah dari Jabatan Seni Bina dan Arkitek Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ismawi Zen.

Dr. Ismawi yang berasal dari Kampong Gedong, Samarahan, Sarawak, kini mengetuai barisan panel arkitek berwibawa dari Arab Saudi, Turki, Algeria dan Lebanon yang bertanggung jawab menggubal satu wawasan bagi merangka garis panduan untuk merencanakan bagaimana seharusnya pembangunan semula Mekah.

Menurut Dr. Ismawi, di bawah panel ini terdapat 16 syarikat arkitek antarabangsa dari 13 negara seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan, Jepun, Jerman, Perancis, Switzerland, England, India, Afrika Selatan serta Malaysia.

“Setiap arkitek ini akan membentangkan kertas kerja masing-masing di mana ia menyentuh aspek-aspek seperti ketuhanan, kerohanian, kemasyarakatan, mesra alam serta material dan teknologi yang digunakan.

Peluang

Selain itu syarikat dari Malaysia turut berpeluang untuk terlibat sama dalam projek pembangunan di sana. Syarikat tersebut Professional Services Development Corporation Sdn. Bhd. - KLCC Projects Bhd. (PSDC-KLCCP) secara usahasama akan menyediakan perkhidmatan perunding pengurusan projek pembangunan Jabal Omar bernilai RM10 bilion hingga RM12 bilion), di Mekah.

Projek Jabal Omar merupakan pembangunan hartanah terbesar yang dijalankan di sekitar Masjid Haram di Mekah.

PSDC adalah sebuah syarikat kerajaan yang ditubuhkan bagi mempromosi serta mengeksport firma jururunding Malaysia manakala KLCCP yang merupakan anak syarikat milik penuh KLCC Holdings Bhd. akan terlibat dalam aktiviti pengurusan projek.

Antara projek yang terlibat ialah pembangunan oleh Makkah Construction Development Company (MCDC), merangkumi pembinaan pangsapuri, hotel, pusat perdagangan, tempat letak kereta, terminal pengangkutan, sistem penyuraian trafik dan terowong pejalan kaki dalam usaha kerajaan Arab Saudi memberi keselesaan kepada jemaah haji.

Selain itu Lembaga Tabung Haji juga dijangka akan meningkatkan pelaburan hartanah di Mekah dan Madinah dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang sebagai langkah menguruskan kos menunaikan haji pada kadar yang berpatutan.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail berkata, sejak tahun 2008, pihaknya komited untuk mencari dan mengkaji peluang-peluang pelaburan di sana.

“Di sana kami tidak boleh membeli hartanah, tetapi perlu membuat pajakan untuk jangka masa panjang. Pelbagai perkara harus dilihat terlebih dahulu seperti harga, kedudukan tempat penginapan dari masjid ke hotel dan sama ada ia memenuhi keperluan dan memberi keselesaan kepada jemaah Malaysia,” katanya.

Ismee menambah, pajakan tersebut dijangka difokuskan kepada penginapan berbentuk hotel memandangkan jemaah Malaysia tidak menggemari kediaman berbentuk apartmen.

Sebagai permulaan, TH telah melaburkan kira-kira RM600 juta untuk memajak bangunan Hajar Tower yang terletak di Mekah dan Hotel Movenpick Madinah.

“Kami memajak 220 buah bilik di Hajar Tower untuk tempoh 25 tahun manakala bagi pajakan di Hotel Movenpick pula adalah selama 10 tahun,” katanya.

Dengan pelbagai pembangunan dan usaha mengindahkan Mekah ini apa yang boleh digambarkan ialah kiblat bagi umat Islam ini akan berubah menjadi lebih luas, mesra alam dan selamat.

Namun yang paling penting, nilai sebuah kota yang menyimpan seribu satu kisah dan sejarah Islam itu perlu tetap dipertahan dan dipelihara sehingga ke akhir hayatnya.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran