TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Makkah al Mukarramah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Makkah al Mukarramah. Papar semua catatan

Jumaat, 12 Ogos 2011

Beribadat di Masjidil Haram


Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
(Yang meliputi Jemputan Umrah Astro Oasis tajaan Tabung Haji Travel Sdn. Bhd., baru-baru ini)
12/08/2011

ANTARA nikmat yang paling besar bagi umat Islam adalah peluang atau kesempatan berada pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Ia juga digelar Syahrul Quran kerana di dalamnya diturunkan al-Quran pada 17 Ramadan.

Tiada lafaz yang lebih bermakna selain alhamdulillah sebagai tanda bersyukur yang amat sangat ke hadrat ilahi yang memanjangkan usia kita sehingga dapat sekali lagi bertemu bulan Ramadan.

Antara perkara sunat yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Ramadan adalah mengerjakan umrah. Manakan tidak, ganjaran pahala yang begitu besar menjadi tarikan kepada mereka yang berkemampuan.

Ia sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji. (riwayat Bukhari)

Justeru, tidak hairan saban tahun bilangan umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah pada bulan puasa semakin bertambah, biar pun kos perbelanjaan umrah dalam Ramadan lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.

Di Masjidil Haram, kedatangan Ramadan disambut begitu meriah. Bagaikan pesta ibadat di mana setiap ruang dan inci masjid sentiasa dipenuhi mereka yang beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT.

Masyarakat Arab begitu menunggu-nunggu ketibaan Ramadan. Ini dibuktikan apabila Masjidil Haram padat dan sendat pada setiap kali solat fardu.

Ini satu fenomena positif bagi umat Islam Malaysia yang berada di Mekah pada Ramadan. Sebabnya, kita juga terpengaruh dengan budaya masyarakat Arab yang datang awal ke masjid dan kemudian beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu solat.

Umumnya, untuk mendapat tempat yang selesa dalam ruang masjid, seseorang perlu bergerak ke sana sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu solat fardu.

Untuk solat Jumaat pula, kita perlu berada di Masjidil Haram sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu solat pada pukul 12.30 tengah hari. Namun, tiada yang merungut.

Bagi yang datang lewat, mereka reda 'dibakar' matahari sementara menunggu waktu solat. Sebabnya terpaksa berada di tingkat paling atas yang berbumbungkan langit atau berada di dataran putih.

Jika ingin melihat orang 'bertengkar' mendapatkan ruang dalam saf, inilah masanya. Semuanya kerana mereka menyedari ganjaran besar yang menanti bagi mereka yang solat di Masjidil Haram iaitu 100,000 berbanding di masjid lain.

Sebab itu, mereka yang terlewat akan cuba menyelit di ruang-ruang yang sempit. Asalkan 'celus' kepala untuk sujud sudah memadai. Di sini, teruji kesabaran para jemaah. Sama ada mahu memberi laluan atau ruang kepada saudara yang lewat datang atau berkeras 'mempertahankan ruang' yang ada.

Dalam keadaan sulit begitu, berkat doa, selalunya ada sahaja individu yang menawarkan tempat untuk solat. Demikianlah antara keajaiban dan kuasa Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.

Tugas paling sukar adalah di kalangan anggota polis yang berada di sekeliling Masjidil Haram. Mereka perlu memastikan tiada laluan masuk ke masjid yang terhalang oleh para jemaah.

Namun, hal itu keadaan itu hanya boleh bertahan sebelum iqamat. Sejurus iqamat, hampir semua ruang dalam masjid dipenuhi jemaah daripada pelbagai pelosok dunia.

Selesai solat fardu, biasanya disusuli solat jenazah. Ini antara peluang menambah saham akhirat kerana sudahlah pahalanya 100,000, ia ditunaikan dalam bulan Ramadan.

Dalam hadis disebut bahawa pahala ibadat sunat diberi ganjaran ibadat fardu manakala ibadat fardu pula digandakan 70 kali. Demikian hebatnya bonus yang dijanjikan Allah kepada kita pada Ramadan.

Disebabkan ganjaran itu juga, ramai kalangan jemaah yang beriktikaf hampir setiap hari di masjid. Selepas solat fardu, mereka solat sunat diikuti dengan membaca al-Quran.

Selepas itu, mereka tidur sebentar. Bangun tidur, terus sambung membaca al-Quran dan solat sunat yang lain. Demikianlah rutin bagi 'para penghuni' Masjidil Haram sepanjang Ramadan.

Barangkali budaya tidur sekejap ini yang perlu dipraktikkan di negara kita. Hendaknya jangan pula pihak Ahli Jawatankuasa Masjid marah-marah atau 'mengusir' orang yang mahu tidur dan iktikaf.

Cuma individu yang mahu tidur itu pula perlu menjaga adab-adab dalam rumah Allah. Bak kata orang, janganlah pula sampai meleleh air liur basi di sejadah atau karpet masjid.

Sementara sebahagian besar umat Islam bertarawih, tidak kurang juga mereka yang bertawaf di Baitullah mengerjakan umrah.

Yang jelas, Kaabah tidak pernah sunyi daripada laungan talbiah labbaikallah humma labbaik....

Demikianlah hebatnya pesta ibadat di Masjidil Haram. Keadaannya persis tiada yang terlibat dalam perkara lagha seperti menonton program-program hiburan di televisyen.

Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 21 November 2010

Jemaah haji mula tinggalkan Makkah

Rakyat dari negara Teluk kumpulan terawal menaiki pesawat, bas pulang ke tanah air

JEDDAH: Jemaah haji tempatan dan dari negara Teluk adalah kumpulan terawal yang mula mengambil penerbangan untuk pulang ke tanah air masing-masing dengan pesawat serantau kelmarin selepas selesai menunaikan ibadat itu, kata jurucakap Pihak Ber-kuasa Penerbangan Awam Arab Saudi Khaled Khaibari kepada Arab News. Beliau berkata, jemaah mula berlepas menggunakan enam pesawat setiap jam dari Terminal Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz. Khaibari menggesa misi haji dan agensi pengangkutan membawa jemaah ke lapangan terbang lebih awal supaya urusan perjalanan dapat selesai tepat pada masanya dan tiada kelewatan ketika kapal terbang mahu berlepas.

Beliau juga meminta jemaah mengemas bagasi dengan selamat dan memastikan tiada beg yang melebihi 32 kilogram supaya ia dapat dimasukkan dengan mudah ke dalam pesawat.

Pengarah jabatan yang menguruskan bas jemaah, Faisal Al-Asrah, memberitahu Arab News 800,000 jemaah berlepas ke Madinah bermula semalam dalam perjalanan pulang ke rumah menggunakan bas.

“Jemaah yang tiba terus ke Makkah sejurus sebelum haji akan menuju Masjid Nabawi di Madinah sebelum mereka pulang ke negara asal,” katanya.
Sementara itu, Misi Haji India dalam satu kenyataan berkata pesawatnya hanya membenarkan bagasi 45 kilogram, 10 kilogram bagasi bimbit dan 10 liter air ZamZam untuk setiap jemaah. Syarikat penerbangan akan mengenakan bayaran 40 riyal (RM33.21) bagi setiap kilo-gram lebihan. Ia berkata bagasi bimbit dilarang membawa sebarang cecair dan barangan tajam seperti gunting, pisau, jarum dan sebagainya.

Terminal antarabangsa itu tidak sesak walaupun ramai penumpang, namun ia akan berubah sebaik saja jemaah tidak sabar untuk kembali. Beliau menasihatkan jemaah supaya tidak membawa lebih 45 kilogram setiap seorang penumpang dalam bas dan bagasi tidak melebihi 40 sentimeter tinggi.

Pengarah ubatan terlarang di lapangan terbang, Abdul Ghani Al-Malki, berkata sepasukan anggota dari Kementerian Kesihatan membantu jemaah yang sakit yang berlepas sejak Khamis lalu.

“Bantuan perubatan disediakan kepada 2,000 jemaah sejak Khamis lalu, kebanyakannya mengalami penyakit tidak membahayakan,” katanya.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Hampir 60 warga Malaysia urus operasi Makkah Metro

Hampir 60 warga Malaysia urus operasi Makkah Metro

Susunan Nurul Hazren Masitom, nurulh@nstp.com.my


Tarikh siar: 2010/11/21


USAHA pihak berkuasa haji Arab Saudi meningkatkan infrastruktur di Makkah dan kawasan sekitarnya, membolehkan hampir tiga juta jemaah dari seluruh dunia melakukan ibadat haji dengan lebih selasa tahun ini.



Infrastruktur ini termasuklah jambatan Jamrat dan sistem pengangkutan komuter Makkah Metro yang mula digunakan tahun ini untuk jemaah dari negara Arab, dan semua jemaah tahun depan. Kehadiran Makkah Metro yang sudah siap di antara Mina dan Padang Arafah, dan langkah pihak berkuasa melarang kenderaan membawa kurang daripada 25 penumpang sedikit sebanyak mengurangkan kesesakan lalu lintas, lapor akhbar online Arabnews. “Jumlah besar pegawai polis dan sukarelawan yang ada untuk membantu jemaah menjadi satu lagi elemen penting bagi memastikan ibadat haji tahun ini berjaya dan selamat.

“Tahun sebelumnya menyaksikan ibadat haji dicemari insiden tragik terutama ketika melontar jamrah di Jamratul Aqabah. Dengan keadaan sempit dan jumlah jemaah yang ramai, ia sentiasa menjadi bahagian paling berbahaya dalam ibadat haji,” kata akhbar itu.

Bahaya itu seolah-olah tiada lagi, apabila jambatan lima tingkat siap dibina membolehkan lebih ramai jemaah mengambil bahagian pada masa yang sama.

Satu lagi kemajuan ialah sistem pengangkutan komuter Makkah Metro atau secara rasmi dikenali sebagai Kereta Api Mashair.
Sumber jabatan kereta api melaporkan, Makkah Metro menguruskan kira-kira 66,000 jemaah pada hari pertama ia beroperasi.

Kereta api itu membawa jemaah haji dari awal pagi Isnin (15 November) sehingga jam 11 pagi hari sama. Ia meneruskan perkhidmatan sehingga lewat tengah hari.

Malaysia boleh berbangga kerana hampir 60 orang warga negaranya terbabit dalam menguruskan operasi itu selain sejumlah besar juruteknik dari China, Pakistan dan India.

Menurut seorang pengurus warga Malaysia di satu daripada stesen di Arafah, kereta api itu melakukan 22 perjalanan pada hari pertama ia beroperasi.

“Setiap kereta api memiliki 12 gerabak dan boleh membawa 3,000 jemaah,” kata pegawai itu yang enggan namanya didedahkan.

“Satu perkara yang berbeza di Arafah ialah jumlah tinggi jemaah yang menaikinya. Saya masih belajar menguruskan kesesakan penumpang di sini.”
Pengurus stesen itu bekerja dengan Keretapi Malaysia Berhad (KTMB) di Kuala Lumpur.

“Stesen yang saya uruskan di Kuala Lumpur tidak memiliki jumlah penumpang yang ramai seperti ini.

“Pengajaran lain yang saya pelajari ialah komunikasi. Untuk memastikan mesej yang diberi sampai dan tepat, ia adalah aspek paling mencabar. Ia semua satu pengalaman pembelajaran dan saya mahu kembali ke sini,” katanya.

Pembinaan Makkah Metro menelan belanja 6.5 billion riyal (RM5.41 bilion) dan sistem kereta api baru itu memiliki kapasiti membawa 72,000 jemaah sejam.

Ini adalah projek kedua terbesar dilaksanakan Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar selepas projek Jambatan Jamrat berteknologi tinggi bernilai 4.5 bilion riyal (RM3.74 bilion) di Mina.

Timbalan Menteri Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar, Habib Zain Al-Abidine, berkata sistem kereta api itu memiliki 10 lokomotif dalam fasa pertama, setiap satunya 300 meter panjang.

Kereta api itu boleh membawa jemaah dari satu tempat suci ke tempat suci lain dalam tempoh sekitar lima minit.

Zain Al-Abidine berkata, kereta api itu akan beroperasi sepanjang tahun. Fasa kedua projek akan menghubungkan Kereta Api Mashair dengan Masjidil Haram di Makkah, dengan satu stesen dibina di atas Jalan Umm Al-Qura.

Ia juga akan dihubungkan dengan Stesen Kereta Api Haramain yang akan menghubungkan Makkah ke Madinah dan Jeddah.

Kemudahan pengangkutan itu akan memiliki 20 lokomotif dalam peringkat berikutnya, setiap satunya dengan 12 gerabak dan setiap gerabak boleh membawa 250 penumpang. Kira-kira 20 peratus penumpang boleh duduk manakala selebihnya berdiri. Kereta api itu boleh memecut sehingga 120 kilometer sejam.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Khamis, 18 November 2010

Mekah dilanda hujan rahmat


MINA 18 Nov 2010. - Hujan sepanjang malam semalam memaksa jemaah haji berebut-rebut mencari tempat untuk berteduh.

Angin yang bertiup kencang menyebabkan suhu semakin dingin walaupun hujan tidak begitu lebat.

Ada di antara jemaah haji enggan mencari tempat untuk berteduh tetapi sebaliknya mereka gembira menikmati hujan itu.

"Ini menandakan ibadah haji kami diterima oleh Tuhan dan bagi kami ia adalah satu rahmat," kata jemaah haji dari Iran, Ibrahim Mohammadi.

Sementara itu, pegawai yang menjaga kem jemaah haji, mula bimbang tentang kemungkinan berlakunya banjir seperti yang pernah terjadi di Mina dan Mekah sebelum ini.

"Kami telah meletakkan langkah berjaga-jaga dan yakin pegawai yang bertanggungjawab mampu menguruskan sistem perparitan dengan baik," kata Pengurus Jemaah Haji Asia Tenggara, Naif Al-Muttawa.

Pada hari kedua melontar jamrah, hampir tiga juta jemaah haji berjaya melakukannya dalam keadaan lancar semalam tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Jabatan Pertahanan Awam dan Kementerian Dalam Negeri mengawal perjalanan jemaah haji di Kompleks Jambatan Jamrah dengan menggunakan beberapa buah helikopter sepanjang hari.

Melontar jamrah adalah satu daripada perkara wajib yang perlu disempurnakan oleh jemaah yang mengerjakan haji.

Source: Utusan Malaysia Online

Selasa, 16 November 2010

Hari melontar jamrah

MINA 16 Nov. - Pergerakan jemaah haji yang membawa kantung berisi anak batu membanjiri lembah Mina untuk melontar jamrah hari ini, sementara umat Islam di seluruh dunia mula menyambut Aidiladha dengan menyembelih haiwan korban.

Ratusan ribu jemaah bergegas untuk melontar di Jamratul Aqabah, struktur sepanjang 30 meter, sebagai simbolik merejam syaitan dan melawan godaan hawa nafsu.

Kira-kira 2.5 juta jemaah yang mengerjakan rukun Islam kelima itu tahun ini tiba di Mina setelah berwukuf di Padang Arafah semalam.


Melontar jamrah pada masa lalu pernah mencetuskan insiden rempuhan yang membawa maut tetapi pihak berkuasa Arab Saudi telah mengubah suai kawasan berkenaan dengan meluaskan laluan melontar menjadi sebuah jambatan lima tingkat.

Struktur yang menyerupai tempat letak kereta itu bertujuan untuk mencegah insiden rempuhan dan berpijak-pijak yang meragut 363 nyawa pada 2006, 251 pada 2004 dan 1,426 pada 1990.


Jemaah yang bertali arus diarah bergerak ke tingkat-tingkat berlainan oleh polis, yang memastikan semua bergerak sehala dan tiada seorang pun berlegar terlalu lama di satu tempat. Mereka yang duduk diarah meneruskan pergerakan.

Selepas melontar jamrah, jemaah menunaikan ibadat korban pada hari ini yang juga merupakan Hari Raya Aidiladha.


Ibadat tersebut ditunaikan di seluruh dunia Islam, dengan umat Islam di Bangladesh dijangka menyembelih 15 juta ekor haiwan pada Aidiladha di negara itu esok.

Namun umat Islam Pakistan menghadapi kesulitan untuk melaksanakan ibadat korban tahun ini kerana harga lembu dan biri-biri melonjak berikutan banjir besar yang melanda negara itu baru-baru ini.


Di Genting Gaza, penduduk Palestin mengalami tamparan hebat akibat sekatan Israel yang menyebabkan pengangguran melonjak dan menjerumuskan banyak keluarga ke dalam kancah kemiskinan, sekali gus menjejaskan persiapan mereka untuk menyambut hari kebesaran tersebut hari ini.

Source: Utusan Malaysia Online.

2.5 juta jemaah haji selamat berwukuf di Arafah

ARAFAH: Kira-kira 2.5 juta umat Islam lengkap berpakaian ihram serba putih berkumpul di Arafah, perhimpunan tahunan terbesar di dunia ketika ibadah haji mencapai kemuncaknya di tempat di mana Nabi Muhammad (SAW) menyampaikan khutbah terakhir baginda.

Sambil melaungkan talbiah yang bermaksud “Ya Allah, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu,” jemaah mula bergerak sebelum waktu Subuh untuk tiba di padang itu.


Ramai jemaah yang menyelusup melalui lautan manusia untuk sampai di puncak bukit yang dikenali sebagai Jabal Rahmah.

Mereka duduk di tebing bukit sambil membaca ayat al-Quran dan ada juga yang bersolat.

Sesetengahnya pula menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar kawasan sekitar sementara yang lain duduk di atas hamparan tikar yang dibentang di atas batu-batan di situ.

“Sukar untuk menggambarkan perasaan saya,” kata jemaah warga Syria, Mossaad Mheymeed yang berdiri di atas puncak Jabal Rahma.

“Saya rasa seperti berada pada hari pembalasan. Terima kasih Ya Allah atas rahmat-Mu,” kata teman Mossaad, Hussein al-Alawi, 55, juga dari Syria.

Bukit batu granit setinggi 60 meter di kawasan padang yang luas itu dan berkeluasan tidak lebih 200 meter lebar mempunyai tiang setinggi empat meter di puncaknya di mana Rasulullah (SAW) menyampaikan khutbah haji terakhirnya di situ.

Jemaah berebut-rebut untuk menyentuh struktur simen tiang itu dengan sesetengah daripada mereka menangis walaupun ia tidak mempunyai makna dari sudut keagamaan.

Di bawah bukit kelihatan pemandangan serba putih yang menakjubkan terbentuk oleh lautan manusia yang berkumpul di Arafah.

Berpuluh-puluh bas yang terhenti cuba mencari ruang untuk bergerak di jalan raya empat lorong yang turut dipenuhi jemaah yang berjalan kaki.

Di satu sudut Arafah, wanita yang berkerusi roda dan kanak-kanak di dalam kereta tolak terperangkap di tengah-tengah lautan jemaah yang menuju ke pelbagai arah.

Pada waktu tengah hari pula, jemaah memenuhi Masjid Namira dan jalan raya serta khemah berhampiran untuk menunaikan solat menjadikan pemandangan di jalan utama Arafah bagaikan hamparan putih sejauh tiga kilometer.

Ada juga jemaah yang memanjat bumbung pondok komunikasi dan tandas awam kerana tidak menemui ruang kosong di kawasan itu untuk menunaikan solat.

Sebaik solat selesai, kebanyakan jemaah dilihat bertindihan antara satu sama lain ketika mereka bergerak ke arah haluan bertentangan.

Perhimpunan di padang Arafah adalah puncak kepada ibadah haji yang bermula Ahad lalu apabila lebih dua juta jemaah dari Makkah menuju ke Mina, bandar yang dipenuhi khemah dan akan ‘hidup’ hanya ketika ibadah haji selama lima hari.

Tiada laporan insiden buruk berlaku berikutan kawalan ketat petugas keselamatan.

Selepas terbenam mata hari semalam, jemaah mula keluar menuju ke Muzdalifah yang terletak di tengah-tengah perjalanan antara Arafah dengan Mina dan akan mabit di situ, satu daripada wajib haji.

Di situ juga mereka akan mengutip batu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Mina dan melakukan kerja melontar jamrah peringkat pertama dan melaksanakan penyembelihan korban.


Sepanjang baki tiga hari ibadah haji bermula esok, jemaah akan tyerus bermalam di Mina dan melontar tiga jamrah sebelum kembali ke Makkah untuk mengerjakan tawaf, sekaligus menamatkan ibadah Rukun Islam kelima itu.

Source: Harian Metro Malaysia Online

Isnin, 15 November 2010

2.5 juta jemaah haji wukuf di Arafah

PADANG ARAFAH 15 Nov. - Kira-kira 2.5 juta umat Islam berhimpun di sini hari ini pada hari yang merupakan kemuncak haji iaitu wukuf di Arafah.

Puluhan ribu jemaah telah pun bergerak mulai 5 pagi (10 pagi waktu Malaysia) dari khemah mereka di Mina, kira-kira 10 kilometer ke barat laut Arafah. Ramai antaranya mengerjakan solat subuh di Masjid Namira atau semasa dalam perjalanan.

Kebanyakan jemaah yang lain di bawa ke Arafah dengan bas menjelang tengah hari.


Perhimpunan di Arafah melambangkan kemuncak haji yang bermula semalam, dengan lebih dua juta jemaah bergerak dari kota suci Mekah atau terus dari Mina, sebuah bandar khemah yang hidup hanya semasa tempoh mengerjakan haji.

Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef bin Abdul Aziz semalam berkata, bilangan jemaah dari luar negara mencecah 1.8 juta orang iaitu tertinggi dalam sejarah, manakala kira-kira 200,000 permit dikeluarkan untuk jemaah tempatan termasuk warga Saudi dan negara Arab Teluk.

Namun puluhan ribu jemaah tanpa permit turut membanjiri Mina mulai semalam, dengan memintas sekatan jalan raya yang didirikan oleh pihak berkuasa bagi menguatkuasakan peraturan 'tiada permit, tiada haji'.

Ramai antara jemaah tanpa permit itu sudah pun berada di Arafah malam tadi sebagai persiapan untuk wukuf.

Menjelang terbit matahari, tempat tertinggi di Arafah, Jabal Rahmah dipenuhi sebilangan jemaah berpakaian ihram yang mendaki ke puncak untuk mengambil kedudukan dan menghabiskan masa dengan berdoa dan berzikir.

Selepas Maghrib, jemaah bergerak ke Muzdalifah, separuh perjalanan di antara Arafah dan Mina, untuk bermalam (mabit) dan mengutip anak batu bagi tujuan melontar jamrah.

Mereka kembali ke Mina selepas solat subuh esok untuk mula melontar jamrah dan melakukan ibadat korban.

Perjalanan haji tahun ini bebas daripada sebarang insiden tidak diingini sejak jemaah mula berhimpun di Mekah. Masjidil Haram dibanjiri kira-kira 1.7 juta jemaah yang mengerjakan solat Jumaat minggu lepas.

Source: Utusan Malaysia Online

Ahad, 14 November 2010

Mecca Metro beroperasi dari 14 November 2010

Sumber : Mingguan Malaysia Online.



MEKAH 13 Nov. - Sistem keretapi ringan Mashair atau Mecca Metro, memulakan operasinya esok untuk membawa para jemaah haji mengerjakan rukun kelima Islam berdekatan Mekah, sekali gus membawa rumusan baru dalam menyelesaikan isu kesesakan.

Sistem keretapi ringan dua landasan itu, dengan sembilan stesen di peringkat awal ini, menghubungkan tiga lokasi iaitu Mina, Muzdalifah dan Arafah iaitu kawasan yang menyaksikan bilangan jemaah yang begitu ramai dalam lima hari ibadah ini berlangsung.

Sistem keretapi ini menggantikan peranan 4,000 bas yang digunakan selama ini.

Perjalanan rasmi pertama Mecca Metro akan bertolak dari Mina pada pukul 8 malam tempatan, di mana para jemaah berhimpun di situ pada hari Tarwiah sebagai persediaan untuk hari kemuncak di Arafah dengan 2.5 juta dijangka berada di Gunung Arafah dan kawasan sekitarnya.

Sistem keretapi yang dibina oleh firma China, yang hanya diguna selama lima hari setahun, akan beroperasi pada tahap 35 peratus pada kapasiti penuh terakhirnya dalam fasa pertama ini.

Ia hanya akan dibuka kepada jemaah Saudi dan negara-negara Teluk yang dianggarkan seramai 130,00 rakyat Saudi, 10,000 Kuwait dan 10,000 Bahrain, kata ketua Jawatankuasa Haji dan Umrah, Dewan Perdagangan Mekah, Saeed al-Qurashi.

Bilangan tersebut adalah kecil berbanding jumlah keseluruhan jemaah haji tetapi warga lain akan boleh menaikinya pada fasa kedua.

Tatkala semua jemaah memulakan perjalanan di Mekah, keretapi itu pada peringkat awal akan bermula dari Mina menuju ke Muzdalifah dan Gunung Arafah.

Semua jemaah akan meninggalkan Mina menuju ke Arafah pada 9 Zul Hijjah iaitu Isnin ini, sebelum ke Muzdalifah dan kembali ke Mina pada Selasa, untuk tinggal di situ selama tiga malam.

Di stesen Arafah 1, gerabak kereta berwarna hijau muda tiba semasa diuji pandu ketika pekerja China dilihat masih memperbaiki sistem pendingin hawa di platform yang lantainya seluas 10 meter.

"Platform ini mempunyai kapasiti untuk menampung 3,000 penumpang pada satu-satu masa,'' kata penyelia stesen, Yasser al-Sibaei.

Firma servis British, Serco telah diberi kontrak untuk menyediakan khidmat perunding operasi dan penyenggaraan, dengan kerjasama China Railway Construction Corp (CRCC).

Projek bernilai AS$1.8 bilion (RM5.58 bilion) adalah rangkaian pertama daripada dua yang dirancang untuk mengurangkan kesesakan jemaah haji.

Projek lebih besar iaitu Keretapi Berkelajuan Tinggi Haramain sejauh 444 kilometer menghubungkan Mekah dengan Madinah.

Konsortium firma pembinaan Saudi, Al-Rajhi yang bergabung dengan firma Perancis, Alstom dan China Railway Engineering memenangi kontrak fasa pertama kontrak bernilai RM5.58 bilion bagi kerja-kerja sivil.

Keretapi itu yang akan bergerak menerusi kota Jeddah, akan memiliki kelajuan setinggi 360 km sejam, sekali gus mengurangkan kesesakan jemaah di kedua-dua kota.

Source: Mingguan Malaysia Online

Isnin, 18 Oktober 2010

Rombongan pertama 1,100 jemaah tiba di Mekah

Sumber: Utusan Malaysia Online
18/10/2010 10:16am

MEKAH -
Rombongan pertama lebih 1,100 jemaah haji Malaysia selamat tiba di tanah suci Mekah awal pagi ini selepas menempuh perjalanan sejauh 400 kilometer yang mengambil masa tujuh jam.

Mereka berlepas dari Bir Ali (tempat berniat) di pinggir bandar Madinah kira-kira pukul 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia) dan tiba di hotel Janadriyah, kira-kira 800 meter dari Masjidil Haram.

Ibu Pejabat Tabung Haji Malaysia di Pondok Abraj Al Janadiriah
di Al Sulaymaniah ini.

Bahagian depan Al Janadiriah.

Al Janadiriah terletak di tepi Lebuhraya Makkah - Madinah.


Ketibaan mereka pukul 1.30 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia) disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia Musim 1431 Hijrah, Mohd. Salleh Abdul Mubin, Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Mohd Nordin, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan petugas Tabung Haji di Mekah dan wakil mutawif Muassasah.

Jemaah diberi minum air zam-zam dan kemudian ditempatkan di tingkat enam hotel Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat dan pusat operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah.

Selepas subuh kesemua jemaah dibawa menunaikan tawaf dan saie umrah oleh mutawif rasmi Muassasah.

Bahagian depan Al Janadiriah.



Kelihatan deretan bas mini yang menunggu untuk membawa jemaah haji Malaysia
dari Al Janadiriah, biasanya hingga setakat "Masjid Kucing" yang jaraknya sekitar 500 meter sahaja, sebab jalan ke hadapan lagi ditutup oleh pihak berkuasa kerana kesesakan lalulintas dan kemudahan jemaah berjalan kaki ke Masjid al Haram - (Penulis).

Gerai kecil di depan Al Janadiriah.


Mohd. Salleh berkata, TH menyediakan guru agama dan program untuk membimbing bagi memantapkan lagi persediaan jemaah haji di Mekah menjelang hari wukuf 14 November ini.

Ini kali pertama TH membawa masuk serentak jemaah tiga penerbangan iaitu KT1, KT2 dan KT3 kerana sebelum ini tidak lebih dua KT dibawa masuk, katanya kepada pasukan media TH yang membuat liputan musim haji ini. – Bernama

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm

Ahad, 26 September 2010

Wajah baru Tanah Suci Makkah

Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 26/09/2010.

Oleh Hafizahril Hamid

LAMBAIAN Kaabah sememangnya menggamit keinginan kita semua untuk menyucikan diri dari pelbagai dosa yang mungkin dilakukan secara sengaja atau sebaliknya. Oleh itu hati akan menjadi hiba, keinsafan menyelubungi jiwa mengenang akan kebesaran Tuhan dan betapa kerdilnya diri tatkala berada di Tanah Suci.

Namun impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci mungkin tidak kesampaian jika usaha untuk membesarkan lagi kota Mekah tidak dilaksanakan segera. Pembaharuan atau transformasi fizikal ini perlu dilakukan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Dianggarkan sejumlah tiga hingga lima juta umat Islam membanjiri Tanah Suci pada musim haji sahaja. Di bahagian dalam masjid pula ia menampung kira-kira 350,000 jemaah pada satu-satu masa. Malah jumlah ini dijangkakan bertambah kepada lapan hingga 10 juta, manakala bahagian dalam mencecah 1.5 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Oleh itu atas tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam itu sendiri bandar Mekah dan Madinah kini sedang diperluas dan diperindah oleh kerajaan Arab Saudi.

Tidak ketinggalan usaha perubahan ini turut merangkumi pelbagai aspek seperti pengangkutan awam, penginapan serta bekalan air bersih. Kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram telah dilakukan sejak awal tahun 2008.

Menurut Datuk Bandar Mekah, Osama al-Bar dalam wawancara dengan stesen televisyen Al Jazeera, sejumlah AS$125 bilion (RM425 bilion) dijadual dibelanjakan di bawah projek berkenaan dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membesarkan infrastruktur dan tempat-tempat suci di Mekah.

“Mekah sudah mengalami perubahan pesat sejak dua tahun lalu dan projek yang akan memberi kesan paling besar kepada Mekah dalam tempoh terdekat ialah perluasan Masjidil Haram. Projek mega ini akan menghasilkan pertambahan keluasan kira-kira 400,000 meter persegi,” kata Osama.

Selain itu, kata beliau, projek-projek mega turut dijalankan bagi memperbaiki kemudahan awam dan infrastruktur, serta di tempat-tempat suci di Mina, Padang Arafah dan Muzdalifah.

Menurut beliau, kerajaan Arab Saudi perlu memperluaskan Masjidilharam memandang agama Islam semakin tersebar di serata dunia dan bilangan umat Islam dijangka bertambah sekali ganda dalam tempoh tiga dekad akan datang.

Dalam usaha untuk memperindah kota Mekah, satu bangunan yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt kini dalam pembinaan dan bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.

Bangunan berkenaan yang juga menempatkan kompleks hotel gergasi akan turut dibina atasnya sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London.

Kompleks itu yang dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Arab Saudi mengandungi tujuh menara hotel serta 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidil Haram.

Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang kira-kira 11 meter daripada ketinggian menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang mencecah 828 meter. Menara Jam Diraja Mekah akan dibina daripada struktur konkrit setinggi 662 meter dengan puncak menara logam setinggi 155 meter yang dilitupi simbol bulan sabit.

Fasa pertama hotel telah dibuka pada akhir Jun lepas manakala jam tersebut mula beroperasi secara percubaan untuk tiga bulan pada awal Ramadan lepas. Jam buatan Jerman itu mempunyai muka selebar 45 meter dan setinggi 43 meter di keempat-empat sisi menara. Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang.

Selain itu jemaah haji tahun ini akan menikmati perjalanan lebih selesa ke Mina, Arafah dan Muzdalifah dengan bermulanya sistem monorel yang menghubungkan tiga kawasan itu dengan Mekah bermula Oktober depan.

Selain sistem monorel, sistem kereta api laju bakal dibina bagi menghubung Mekah dan Madinah. Projek yang dijangka siap pada 2012 itu akan mengurangkan masa perjalanan antara dua kota suci itu sehingga separuh daripada lima jam sekarang.

Selain itu Arab Saudi juga merancang untuk melaksanakan sebuah “projek super” yang menelan belanja sebanyak AS$87.8 bilion (RM298 bilion) bagi membina enam bandar ekonomi.

Bandar-bandar ini akan menempatkan 2.5 juta penduduknya yang dijangka mampu memberi pendapatan sebanyak AS$150 bilion (RM510 bilion) selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada 1.5 juta penduduknya menjelang tahun 2020.

Lebih membanggakan rakyat Malaysia turut terpilih sebagai salah seorang panel yang bertanggungjawab dalam usaha untuk meluaskan kawasan Masjidil Haram.

Beliau yang dimaksudkan ialah pensyarah dari Jabatan Seni Bina dan Arkitek Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ismawi Zen.

Dr. Ismawi yang berasal dari Kampong Gedong, Samarahan, Sarawak, kini mengetuai barisan panel arkitek berwibawa dari Arab Saudi, Turki, Algeria dan Lebanon yang bertanggung jawab menggubal satu wawasan bagi merangka garis panduan untuk merencanakan bagaimana seharusnya pembangunan semula Mekah.

Menurut Dr. Ismawi, di bawah panel ini terdapat 16 syarikat arkitek antarabangsa dari 13 negara seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan, Jepun, Jerman, Perancis, Switzerland, England, India, Afrika Selatan serta Malaysia.

“Setiap arkitek ini akan membentangkan kertas kerja masing-masing di mana ia menyentuh aspek-aspek seperti ketuhanan, kerohanian, kemasyarakatan, mesra alam serta material dan teknologi yang digunakan.

Peluang

Selain itu syarikat dari Malaysia turut berpeluang untuk terlibat sama dalam projek pembangunan di sana. Syarikat tersebut Professional Services Development Corporation Sdn. Bhd. - KLCC Projects Bhd. (PSDC-KLCCP) secara usahasama akan menyediakan perkhidmatan perunding pengurusan projek pembangunan Jabal Omar bernilai RM10 bilion hingga RM12 bilion), di Mekah.

Projek Jabal Omar merupakan pembangunan hartanah terbesar yang dijalankan di sekitar Masjid Haram di Mekah.

PSDC adalah sebuah syarikat kerajaan yang ditubuhkan bagi mempromosi serta mengeksport firma jururunding Malaysia manakala KLCCP yang merupakan anak syarikat milik penuh KLCC Holdings Bhd. akan terlibat dalam aktiviti pengurusan projek.

Antara projek yang terlibat ialah pembangunan oleh Makkah Construction Development Company (MCDC), merangkumi pembinaan pangsapuri, hotel, pusat perdagangan, tempat letak kereta, terminal pengangkutan, sistem penyuraian trafik dan terowong pejalan kaki dalam usaha kerajaan Arab Saudi memberi keselesaan kepada jemaah haji.

Selain itu Lembaga Tabung Haji juga dijangka akan meningkatkan pelaburan hartanah di Mekah dan Madinah dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang sebagai langkah menguruskan kos menunaikan haji pada kadar yang berpatutan.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail berkata, sejak tahun 2008, pihaknya komited untuk mencari dan mengkaji peluang-peluang pelaburan di sana.

“Di sana kami tidak boleh membeli hartanah, tetapi perlu membuat pajakan untuk jangka masa panjang. Pelbagai perkara harus dilihat terlebih dahulu seperti harga, kedudukan tempat penginapan dari masjid ke hotel dan sama ada ia memenuhi keperluan dan memberi keselesaan kepada jemaah Malaysia,” katanya.

Ismee menambah, pajakan tersebut dijangka difokuskan kepada penginapan berbentuk hotel memandangkan jemaah Malaysia tidak menggemari kediaman berbentuk apartmen.

Sebagai permulaan, TH telah melaburkan kira-kira RM600 juta untuk memajak bangunan Hajar Tower yang terletak di Mekah dan Hotel Movenpick Madinah.

“Kami memajak 220 buah bilik di Hajar Tower untuk tempoh 25 tahun manakala bagi pajakan di Hotel Movenpick pula adalah selama 10 tahun,” katanya.

Dengan pelbagai pembangunan dan usaha mengindahkan Mekah ini apa yang boleh digambarkan ialah kiblat bagi umat Islam ini akan berubah menjadi lebih luas, mesra alam dan selamat.

Namun yang paling penting, nilai sebuah kota yang menyimpan seribu satu kisah dan sejarah Islam itu perlu tetap dipertahan dan dipelihara sehingga ke akhir hayatnya.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran