TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 30 September 2010

2,162 dilepaskan bayar PTPTN

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 01 Oktober 2010.

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA, pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 30 Sept. - Seramai 2,162 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memperoleh Ijazah Kelas Pertama tahun ini mendapat pelepasan daripada membayar balik pinjaman tersebut.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan pembiayaan berjumlah RM59.7 juta.


"Penyerahan surat pelepasan ini julung-julung kalinya diadakan oleh PTPTN untuk mendekati para penerima biaya ini.

"Ia juga sebagai satu penghargaan daripada pihak PTPTN dan Kementerian Pengajian Tinggi terhadap mereka yang telah belajar bersungguh-sungguh dan berdedikasi sepanjang tempoh pengajian masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Pelepasan Pelajar Kelas Pertama Peminjam PTPTN dan Majlis Bersama Media di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said dan Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.

Pada majlis itu, Khaled turut menyampaikan sumbangan zakat bernilai RM100,000 kepada pelajar miskin yang ditaja oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Sementara itu, Khaled memberitahu, pertukaran caj perkhidmatan pinjaman daripada tiga peratus kepada satu peratus iaitu pembiayaan secara Ujrah dijangka selesai pada Jun 2011.

Katanya, maklumat terperinci mengenai perkara tersebut boleh diperolehi melalui laman web PTPTN serta akhbar utama pada Ahad ini.

"Pihak PTPTN juga sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada.

"Antaranya menaik taraf sistem panggilan pusat Institut Pengurusan Perhubungan Pelanggan (ICRM) kepada sistem panggilan Unit Panggilan Pusat dengan mewujudkan sistem Maklum Balas Suara Interaksi (IVR) dan menambah bilangan pegawai kepada 70 orang bagi menyelesaikan isu utama secara terus berhubung pembiayaan PTPTN," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khaled berkata, peminjam yang telah disenaraihitamkan oleh PTPTN tetapi masih berhasrat untuk ke luar negara perlu menghubungi perbadanan itu untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Seminggu sebelum bertolak ke luar negara adalah tempoh terbaik untuk mengadakan perbincangan dengan PTPTN bagi mengelak timbulnya masalah di lapangan terbang nanti," jelas beliau.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran