TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 26 Mei 2011

Malaywood di Melaka

Oleh Zaidi Mohamad, zaidim@bharian.com.my

2010/12/19

Eurofine rancang bina kompleks studio filem di Ayer Keroh

BAYANGKAN kecanggihan dan keluasan kompleks studio filem terbesar di dunia, Ramoji Film City di Hyderabad India bakal didirikan di negara kita. Bukan lagi omong kosong, sebaliknya ia akan direalisasikan anak syarikat Eurofine, Fine Leisure Development Sdn Bhd selepas membuat perancangan selama 10 tahun.

Bakal dinamakan Laman Seni Film City, ia dijadual dibangunkan awal tahun depan di tapak seluas 21.6 hektar di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka dengan kos kira-kira RM300 juta. Ramoji Film City yang dimiliki Ramaji Rao dan mula beroperasi pada 1996, dibina di tapak lebih 800 hektar dan keluasannya diiktiraf Guiness Book of World Records.

Pengarah Urusan Kumpulan Eurofine, Ida Rahayu Md Noor sendiri pernah melawat Ramoji Film City pada 2001, namun bagi projek di Melaka itu, tanah yang digunakan tidaklah sebesar kompleks studio filem di Hyderabad, tetapi fungsinya boleh dianggap sama.

Selain menawarkan kemudahan dan peralatan untuk penggambaran filem serta drama, projek kebanggaan Eurofine ini turut berfungsi menjana sektor pelancongan melalui perancangan membuka empat taman tema keluarga dipanggil Laman yang setiap satunya menggunakan watak animasi dan drama yang pernah diterbitkan Eurofine.


Nama yang dimaksudkan ialah karakter Yokies, Frootees, filem Putih dan drama Sara Akashah yang pernah disiarkan di kaca TV dulu. Empat hotel juga bakal dibangunkan yang keseluruhannya memuatkan 1,000 bilik, selain Akademi Filem dan sajian terbuka kepada rakyat yang bakal bebas belajar tanpa sebarang kelayakan tertentu.

“Pengunjung juga bakal berpeluang melihat aliran kerja pembikinan filem dan drama. Secara tak langsung, kita dapat terus menyemarakkan industri pembikinan filem dan drama tempatan. Kita sediakan kemudahan kepada penggiat seni dengan caj untuk penggunaan utiliti dan sebagainya.

“Kompleks studio ini nanti turut menempatkan studio suntingan, grafik dan audio digital terkini, pusat beli-belah laman rekreasi dan hiburan. Bayangkan pembikin filem boleh masuk ke situ dengan sebuah skrip dan keluar dengan segulung filem kerana segala kemudahan ada di situ,” kata Ida yang juga aktif menerbit drama.

Majlis menandatangani perjanjian pembelian tanah bagi membangunkan projek terbabit diadakan pada 9 Disember lalu di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, dihadiri Ketua Menteri merangkap Pengerusi Yayasan Melaka, Datuk Seri Ali Rustam. Turut hadir rakan media dan artis seperti Dira Abu Zahar, Almy Nadia, Roy Azman dan Ezany.

Berita Minggu yang menjadi wakil tunggal akhbar dari Kuala Lumpur diundang ke sana turut berpeluang meninjau keseluruhan lokasi terbabit yang dibeli pada harga RM11.1 juta pada petang hari sama dengan menaiki kereta pacuan empat roda dan difahamkan sebuah pawagam terbuka turut dirancang dibina dalam kawasan kompleks berkenaan.

“Untuk menzahirkan projek ini bukan sekecil anak usahanya. Tahun ini kita hanya mampu melunaskan proses pecah tanah, tetapi harapnya ia satu permulaan yang baik. Kita akan usahakan projek ini dalam tiga fasa yakni selama tiga tahun sebelum dijangka memulakan operasi pada 2014.

“Kami yakin projek berpaksikan seni sebegini wajar diusahakan pihak berkaitan, baru ada ‘feel’. Kami juga dalam perbincangan dengan beberapa rakan kongsi dari Amerika Syarikat untuk turut serta membangunkan projek ini,” katanya, tetapi belum dapat mendedahkan identiti rakan kongsi yang bakal dipilih.

Ida berkata, projek itu juga penanda aras bagi Eurofine yang mula beroperasi pada 1991, sekali gus tidak mahu ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tangga, sebaliknya sebagai mercu tanda Malaysia dan industri seni negara sehebat Universal Studio, Disneyland dan Legoland di AS.

“Projek ini juga bagi membantu meningkatkan industri pelancongan negara, terutama di Melaka. Dengan adanya Laman Seni Film City, kita mensasarkan tambahan 1 juta lagi pelancong dan orang tempatan mengunjungi negeri ini.

Melaka sendiri dianggap bandar raya bersejarah dan kita mahu mencipta sejarah baru dengan penghasilan projek ini.

“Harapnya pelancong yang datang akan bercakap mengenai projek ini dan melakukan promosi mulut ke mulut kepada teman senegara. Siapa tahu selepas Hollywood dan Bollywood, akan muncul Malaywood atau Melakawood pula selepas ini,” katanya peneraju syarikat penerbitan yang aktif menerbit program terbitan televisyen tempatan dan luar negara ini.

Info
Kumpulan Eurofine


•Beroperasi di Bandar Baru Nilai sejak 1991.

•Beberapa program animasi terbitannya berjaya dijual ke AS, Timur Tengah, Brunei dan Indonesia.

•Anak syarikat lain, Fine International Network, Fine Gallery Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd, Fine Animation Sdn Bhd dan P T Fine Media Kreasi di Jakarta.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran