Saharudin Musthafa
APABILA Muzium Kesenian Islam Malaysia dibuka di Kuala Lumpur pada Disember 1998, ia menjadi pusat perkembangan ilmu Islam yang amat dibanggakan. Ini kerana ia merupakan muzium pertama dan terbesar di rantau Asia Tenggara yang dikhususkan bagi kesenian Islam.
Gedung ilmu yang memuatkan 7,000 ribu artifak termasuk contoh kerja logam dan seramik Islam serta perpustakaan mengenai buku-buku kesenian Islam itu melengkapkan matlamat kerajaan untuk memikul tanggungjawab memelihara khazanah kesenian Islam.
Bahkan, kesemua artifak kesenian Islam dibawa masuk dari dinasti Islam seluruh dunia dan bukan hanya memberi tumpuan pada koleksi Timur Tengah, sebaliknya, penekanan terhadap apa yang didapati di Asia seperti China dan India serta dunia Melayu.
Mujurlah tidak ada pihak-pihak dari luar yang mengkritik dan menyelar tindakan kerajaan menyimpan segala khazanah berharga sejak kurun berkurun itu di muzium berkenaan kerana realitinya kita sendiri tahu koleksi-koleksi berharga itu bukanlah asalnya dari Malaysia.
Sebaliknya, ia dibawa ke Kuala Lumpur untuk dipelihara elok-elok dan dijadikan sebagai pusat rujukan dan perkembangan ilmu.
Bahkan, Malaysia sendiri pun tidak pernah mendakwa koleksi berharga di Muzium Kesenian Islam itu milik kita.
Sayang sekali permulaan kepada usaha mengasaskan Galeri Kerinci di Sekolah Menengah Seri Pantai, Kampung Kerinci, Pantai Dalam, Kuala Lumpur tidak semanis apa yang sudah dicapai oleh Muzium Kesenian Islam yang sudah tersohor itu.
Hanya sekadar galeri yang diasaskan (di sebuah sekolah), ia mencetus perdebatan yang luar biasa mengalahkan usaha untuk mendirikan sebuah muzium pula.
Sudahlah namanya pun galeri, barangan yang mahu dipamerkan di situ juga bukanlah koleksi asli masyarakat Kerinci.
Berdasarkan apa yang dihajati mereka yang mahu mengasaskan Galeri Kerinci itu, yang akan dipamerkan di galeri berkenaan hanyalah replika semata-mata serta koleksi foto, barangan kraftangan serta pakaian tradisi masyarakat Kerinci.
Segala khazanah asli masyarakat Kerinci tidak akan dibawa kerana kita semua sedia maklum itu hak mereka yang tidak boleh dibawa keluar sesuka hati kerana itu adalah harta negara. Bahkan, Ketua Kebudayaan dan Pelancongan Daerah Kerinci, Arlis dalam satu temu bual turut menjelaskan, koleksi asli masyarakat Kerinci akan tetap disimpan dan dipelihara di daerah Kerinci dan yang dibawa ke Malaysia hanyalah replika semata-mata.
Nah, apa lagi yang dibimbangkan? Bukankah sudah ada jaminan daripada pihak yang berkuasa?
Mengerat
Arlis juga optimis Galeri Kerinci yang diasaskan kelak akan membantu mengeratkan hubungan antara dua negara khususnya masyarakat Kerinci kerana selama ini sudah ramai warga Kerinci yang menjadi warganegara Malaysia.
"Mereka yang rindu menyaksikan budaya Kerinci boleh ke galeri berkenaan dan ini sekali gus mendekatkan budaya antara Kerinci dan Malaysia," jelasnya.
Namun, tidak ramai yang boleh menerima penjelasan Arlis dengan rasa terbuka dan objektif kerana yang dipaparkan di media Indonesia, Malaysia seolah sedang berusaha untuk terus 'mencuri' khazanah berharga mereka.
Cukup-cukuplah kita diperlekehkan sebelum ini pelbagai dakwaan yang remeh dan tidak masuk akal seperti lagu Rasa Sayang, tarian pendet, batik dan lain-lain lagi hak mereka secara total.
Kali ini, Galeri Kerinci itu pula yang menjadi bahan perdebatan pihak-pihak yang ternyata memiliki motif kurang senang terhadap keakraban dua bangsa yang sudah lama bersatu. Mujur juga kita orang Malaysia sentiasa rasional dan sangat terbuka menerima maklum balas seperti itu.
Biarlah kawan bersangka kurang baik kepada kita. Namun, untuk membalasnya dengan nada amarah bukan budaya orang Malaysia.
Kepada rakyat Malaysia juga, barangkali sudah sampai masanya untuk kita menginjak setapak lebih ke hadapan memikirkan hal-hal yang lebih serius terhadap usaha memperkasakan peradaban bangsa kita.
Kalau tetangga sendiri tidak boleh memberi sokongan terhadap usaha-usaha murni membangunkan budaya sebangsa yang seeloknya dikongsi bersama, kita reda saja dan kembalikan semula apa yang mereka inginkan.
Barangkali juga, masa untuk kita kembali bernostalgia sudah tiada lagi. Biarkan sahaja sejarah menjadi sejarah. Untuk apa kita harus menagih simpati kepada mereka yang tidak sudi untuk menghulurkan salam persaudaraan.
Niat kita sangat murni mahu berkongsi budaya. Tapi, kalau niat disalah erti, ia saling tidak ubah seperti meletakkan garam ke atas luka. Biarlah juga galeri itu berada di Sekolah Menengah Seri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Pamerkan saja apa yang ada.
Harus diingat, kita juga memiliki sejarah yang bukan sedikit untuk dikenang, dihargai dan diterjemahkan bukan saja dalam bentuk galeri, bahkan lebih besar menjadi muzium.
Gedung kesenian kita juga memerlukan pembelaan yang sewajarnya daripada pihak yang berkuasa.
Tentunya juga Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyedari hal-hal memelihara kesenian tempatan sangat kompleks dan memerlukan usaha yang konsisten.
Semoga ini menjadi satu lagi pengajaran buat kita semua.
Source: Mingguan Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan