TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 23 Mei 2011

Penguat kuasa syariah ikut hukum

Oleh Shamrahayu A Aziz

2011/05/24

Dua instrumen beri sokongan undang-undang laksanakan tugas


SELAIN daripada isu politik semasa, penguatkuasaan jenayah syariah juga menjadi topik yang tidak pernah sunyi daripada perbincangan. Walaupun kadangkala tenggelam dan kadangkala timbul, perkara ini sentiasa dekat dengan khalayak.

Pada minggu ini, saya ingin membuat sedikit ulasan mengenai undang-undang berkaitan penguatkuasaan jenayah syariah. Sebenarnya ada pembaca mahukan sedikit maklumat mengenai perkara ini. Walaupun pembaca itu merujuk kepada satu kes membabitkan kematian dalam serbuan mencegah maksiat dilakukan pegawai penguat kuasa agama Islam baru-baru ini, tulisan ini tidak merujuk kepada kes terbabit. Ia hanyalah sedikit perkongsian maklumat mengenai undang-undang dan peraturan berkaitan penguatkuasaan jenayah syariah secara umum.
Antara persoalan dikemukakan seorang pembaca ialah adakah penguat kuasa agama mempunyai kuasa undang-undang menguatkuasa jenayah syariah. Pembaca lain pula bertanya, sejauh manakah undang-undang berkaitan penguatkuasaan jenayah syariah diamalkan negara ini bertepatan dengan kehendak hukum syarak?
Bagi menjawab soalan pertama, saya ingin tegaskan bahawa setiap agensi penguatkuasaan sudah semestinya memerlukan undang-undang yang mencukupi. Sekiranya tidak, tidak mungkin suatu undang-undang itu (dalam hal ini undang-undang jenayah syariah) boleh dilaksana dan seterusnya mencapai matlamat penggubalannya.

Bagi penguat kuasa agama, secara keseluruhannya Badan Perundangan Negeri sudah meluluskan undang-undang Prosedur Jenayah Syariah (juga dikenali Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah). Prosedur bermaksud tatacara, dalam konteks ini ia adalah aturan mengenai proses penguatkuasaan. Undang-undang ini menggariskan kuasa dan had kuasa tertentu kepada penguat kuasa.

Selain undang-undang diluluskan Badan Perundangan ini. Penguat kuasa agama juga mempunyai Garis Panduan Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Syariah melalui Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007. Dengan adanya dua instrumen ini, penguat kuasa agama mempunyai sokongan undang-undang agak kukuh mengenai kuasa dan tatacara penguatkuasaan.

Oleh itu, bagi menjawab persoalan pembaca itu, kita mempunyai undang-undang tertentu bagi tujuan penguatkuasaan jenayah syariah. Namun, perkara yang sering dipersoalkan ialah adakah penguat kuasa agama mematuhi segala tatacara atau garis panduan yang ditetapkan undang-undang ketika menjalankan tugasan atau ketika mengendalikan kemungkinan ketika penguatkuasaan.
Saya tidak mahu berprasangka kepada penguat kuasa kerana saya akui, cabaran yang dihadapi oleh semua agensi penguat kuasa (termasuk penguat kuasa agama) adalah pelbagai. Mereka ada kalanya perlu membuat keputusan tepat dalam masa yang singkat serta dalam keadaan tertekan dan keliru.

Oleh itu, penguat kuasa hendaklah sentiasa memberi perhatian sewajarnya terhadap ketahanan mental. Sekiranya tidak, keputusan diambil dalam keadaan keliru itu mungkin tidak menepati kehendak undang-undang bertulis. Saya percaya, latihan fizikal lengkap dan persediaan mental yang mantap satu daripada cara boleh dipertimbangkan untuk dijadikan asas dalam lantikan dan perlu diperkukuh dari masa ke semasa.

Mengenai persoalan sejauh manakah prosedur diamalkan sekarang bertepatan dengan hukum syarak adalah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Sebagai contoh, mantan mufti Perlis suatu ketika pernah mengaitkan penguatkuasaan jenayah syariah dengan perbuatan tajassus yang tidak dibenarkan syarak. Saya menerima komen mantan mufti ini dengan sedikit kesangsian kerana penyiasatan mempunyai perbezaan tertentu daripada tajassus. Seperti mana amalan, maklumat tertentu perlulah diperoleh sebelum suatu penyiasatan dimulakan.

Berbalik kepada ketepatan prosedur dari sudut pandangan hukum syarak, perkara ini sebenarnya agak teknikal, tetapi cukuplah sekadar disebut di ruangan ini bahawa hukum syarak berkaitan prosedur penguatkuasaan tidak begitu terperinci perdebatannya berbanding perdebatan dalam undang-undang lain.

Cabang undang-undang ini disandarkan kepada beberapa prinsip dasar. Ia perlu dikembangkan menurut keperluan semasa. Saya katakan begini kerana dari aspek amalan, tatacara penguatkuasaan membabitkan perkara teknikal yang semakin hari semakin bertambah komplikasinya.

Dalam perkara berkaitan kita perlu memberi perhatian kepada satu seksyen dalam undang-undang prosedur jenayah syariah yang menyebut antara lain, mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah undang-undang prosedur yang tidak konsisten dengan hukum syarak hendaklah terbatal setakat mana yang tidak konsisten. Sebagai contoh, pembaca boleh merujuk kepada Seksyen 230 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 560.

Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran