TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 7 Mei 2011

Dendam dan benci Melayu jejas kestabilan politik - 02

bminggu@bharian.com.my
Tarikh - 2011/05/08


DALAM reaksi segera kepada permintaan Datuk Seri Najib Razak supaya PAS menarik diri daripada pakatan pembangkang, terutama DAP, hampir semua pemimpin parti berlambangkan bulan itu bulat-bulat menolaknya. Hujah Perdana Menteri bahawa PAS hanya dipergunakan, dibalas pemimpin parti itu atas alasan `tahalul siyasi’ atau kerjasama politik dibenarkan Islam. Mengapa begitu sukar PAS bekerjasama dengan parti yang sama bangsa dan agama? Wartawan Berita Minggu, ROHANIZA IDRIS mendapatkan pandangan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr Hasan Mad dan Pensyarah Kanan Sosiologi Politik Universiti Malaya (UM), Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad.

Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad

Berita Minggu: Ramai yang melihat PAS dan UMNO ibarat api dengan air, tidak boleh bekerjasama.

Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad: Tidak bagi saya kerana saya lihat UMNO dan PAS umpama saudara kandung tetapi berlainan emak, berbeza ideologi. UMNO dengan perjuangan orang Melayu manakala PAS bawa ideologi Islam. Hendak dikatakan tidak boleh bersatu sebenarnya sejak 1970-an sudah ada, tetapi PAS keluar BN sebab tiada muafakat. Gabungan UMNO-PAS ketika itu berbeza kerana perjuangan politiknya bukan atas ideologi untuk menyatukan orang Melayu Islam. Jika pegangan agama dijadikan tunjang dalam perjuangan kedua-dua parti, tidak akan timbul masalah.

Masalahnya kini apabila kedua-dua ada ego dan mahu menegakkan ‘benang basah’, hanya mereka yang betul dan satu pihak lain yang salah. Ideologi mereka berbeza, maka perlu ada perbincangan dan musyawarah cari jalan bagi memakmurkan lagi parti politik selepas penggabungan atau kerjasama itu. Usaha musyawarah kedua-dua parti sudah ada sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamed, namun ego masih tidak terungkai kerana masing-masing tetap dengan ideologi mereka.

Berita Minggu: Ketika orang Melayu terus berbalah, orang Cina lebih bersatu dan kini cenderung menyokong DAP. Apa pandangan anda.

Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad: Sokongan kepada DAP wujud sejak pilihan raya kecil di Sibu, malah bibit itu ada pada Pilihan Raya Umum ke-12. Pengundi Cina oportunis, jika ada peluang naikkan taraf hidup dan menyuarakan hak mereka, mana-mana parti yang dapat penuhi kehendak itu, akan diundi. Aliran sokongan ini akan terus berlaku pada pilihan raya umum akan datang. Undi pengundi India kepada BN juga perlu diberikan perhatian.

Jadi jika ada kerjasama UMNO dan PAS atas nama perpaduan Melayu, ia tidak boleh dilihat sebagai amaran kepada pengundi Cina, bukan Melayu atau pengundi Melayu sendiri kerana Malaysia tidak mengamalkan politik perkauman. Bukan Melayu sudah terima dan akui seperti termaktub dalam Perlembagaan, Melayu golongan majoriti yang amalkan agama Islam dan bukan Melayu bebas mengamalkan adat, agama dan budaya mereka.

UMNO dan PAS perlu bersatu bukan atas nama politik sebaliknya atas perjuangan Islam. Pada saya, PAS sedar DAP lebih beruntung atas kerjasama ini, tetapi menafikannya kerana ego. Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat dilihat ada pendirian sendiri. Mereka rasa mereka betul sehingga menafikan orang lain yang lebih betul daripada mereka.

Ego kedua-dua pemimpin parti ini perlu dibuang, mereka perlu berbincang dan berfikir untuk masa depan umat Islam. PAS rela hati masuk pakatan pembangkang, sedangkan ada pilihan berjuang sendiri. PAS ada pilihan tidak bersekongkol dengan DAP atau PKR. Kerjasama PAS dengan DAP dan PKR wujud tanpa paksaan, tetapi ramai tak faham kenapa mereka perlu bersama dalam satu pakatan.

Jika PAS tahu mereka boleh berjuang atas nama Islam tanpa bantuan PKR atau DAP, mengapa perlu teruskan hubungan tanpa ‘ikatan sah’ itu. PAS sebenarnya sengaja tidak mahu memikirkan kedudukannya sejak penubuhan Barisan Alternatif pada 2004 lagi kerana percaya akan jadi lebih kuat jika terus bergantung kepada DAP dan PKR. Mereka tidak mahu masuk BN kerana beranggapan kedudukan tidak akan berubah. PAS sebenarnya neutral, tetapi pada saya, mereka jual mahal walaupun sudah banyak kali dijemput menyertai BN. Saya khuatir suatu hari nanti kerana terlalu jual mahal, PAS pula akan ‘terjual’.

Berita Minggu: Mungkin penggabungan tidak berlaku kerana ada pemimpin khuatir akan hilang jawatan dalam parti masing-masing.

Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad: Penggabungan bukan bererti PAS dibubar dan ahlinya masuk UMNO, sebaliknya jadi komponen BN. PAS tidak perlu tukar nama jadi ‘NOPAS’ misalnya. Maksudnya, Hadi masih presiden, cuma dalam penggabungan ini, UMNO perlu dengar pendapat PAS. UMNO yang menjemput jadi mereka perlu hormat tetamu. PAS pula perlu diberi ruang lebih besar menyatakan hasrat dan harapannya dalam penggabungan itu.

UMNO dan PAS perlu bincang bagaimana mahu menjalinkan kerjasama memajukan kedua-dua parti. Perbincangan pula hanya tertumpu kepada UMNO dan PAS, bukan BN. Selepas penyatuan itu berjalan lancar baru bincang dalam BN. Jika ini dilaksanakan mungkin kepemimpinan PAS bersedia untuk menerima pelawaan UMNO. Perlu ada jaminan yang jelas dalam penggabungan supaya PAS tahu tanggungjawab dan peranan mereka, begitu juga UMNO.

PAS tidak mahu bergabung dan ‘melukut di tepi gantang’ kerana mereka parti besar. Jadi UMNO perlu wujudkan garis panduan penggabungan termasuk tugas, peranan serta sumbangan PAS. Begitu juga pengagihan kerusi pilihan raya. Persoalannya adakah UMNO bersedia dengan konsep perkongsian nisbah kerusi itu.

Berita Minggu: Mungkin juga PAS khuatir akan hilang sokongan pengundi Cina jika bekerjasama dengan UMNO.

Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad: Pada saya PAS parti aneh kerana beranggapan mereka unik. Jika kita lihat parti politik di negara ini, PAS memang aneh kerana penubuhannya berdasarkan perjuangan Islam manakala parti lain atas dasar demokrasi, perkauman dan simpati. Ahli setiap parti lain pelbagai kaum tetapi PAS hanya orang Melayu Islam atau mualaf.

PAS melangkaui batas kaum kerana berorientasi agama. Pernah ada cadangan PAS terima bukan Melayu sebagai ahli bersekutu namun ditolak. Berbeza dengan UMNO yang jelas menyatakan bukan Melayu boleh menyertai mereka dengan jadi ahli komponen dalam BN. Islam agama yang luas dan tidak merumitkan, tetapi PAS merumitkan keahlian walaupun mendakwa perjuangkan Islam. Jika PAS buka keahlian bersekutu kepada bukan Islam, mungkin tidak timbul masalah mendapat sokongan bukan Islam.

Saya tahu PAS tidak ada pemikiran begitu kerana perjuangan mereka jelas, namun pandangan bukan Islam berbeza kerana mereka tidak faham. Apabila PAS menempel atau menumpang parti lain dalam pakatan pembangkang, mereka sebenarnya bergoyang dan bila-bila masa boleh jatuh. Duduk di bawah bayang DAP tidak sihat untuk PAS yang ada sokongan kuat pengundi Melayu.

Berita Minggu: Jadi, apa sebenarnya halangan terbesar penggabungan UMNO dan PAS.

Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad: Ideologi perjuangan, kepemimpinan dan struktur dalam parti adalah halangannya. UMNO bergabung dengan parti lain dalam BN, jadi tidak boleh menidakkan pandangan parti lain jika mahu bergabung dengan PAS. UMNO bukan hanya perlu beritahu kepada parti komponen, mereka juga perlu beri penjelasan mengenai penggabungan itu.

Untuk PAS, parti itu tidak perlu berbincang dengan DAP atau PKR kerana mereka berdiri atas kaki sendiri atau individualistik. UMNO perlu ambil kira pendapat komponen supaya tidak dilihat sebagai parti pentingkan diri.

Apabila UMNO dan PAS bergabung, hubungan dengan komponen perlu diambil kira.

Persoalannya adakah komponen BN sedia bekerjasama dengan PAS. Ini semua perlu dikupas kerana UMNO adalah ‘treler panjang’ yang bersamanya MCA, MIC, GERAKAN dan sebagainya. Satu lagi halangan adalah pantang larang atau cakap-cakap pihak luar seperti pendapat pihak lain, lebih-lebih lagi jika reaksinya negatif.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran