TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 23 Mei 2011

Kamera DSLR tidak lagi rumit

Oleh Afiq Hanif, afiq@hmetro.com.my

Foto ihsan Harian Metro Malaysia.

DI SEBALIK bencana tsunami dan gempa bumi di Jepun beberapa bulan lalu yang memberi kesan kepada pengeluaran kamera di negara matahari terbit itu, peranti terbabit masih mendapat sambutan hangat di kalangan peminat.

Kini, ramai yang tertarik dengan istilah fotografi yang disinonimkan dengan penggunaan kamera digital refleks kanta tunggal (DSLR).

Sebut saja fotografi, pengguna di Malaysia akan terbayang�kan DSLR dengan muncung ke depan (lensa) untuk merakam yang menghasilkan imej menakjubkan sehingga membuatkan perakamnya senyum ke pipi.

Malah, anak muda belasan tahun pun sudah menggendong kamera DSLR yang digantungkan di leher dan merakam apa juga objek melintas di depan mata.

Pengurus Khidmat Profesional Nikon (NPS) Nikon (M) Sdn Bhd, Mahfooz NR berkata, merakam gambar membabitkan pemandangan, objek statik atau pergerakan manusia memang mengasyikkan, namun ia memerlukan kamera berkuasa tinggi seperti model DSLR yang menjadikan hasilnya indah dipandang mata.
Foto ihsan Harian Metro Malaysia.

“Kalau mahu membeli kamera DSLR mungkin agak terlalu komplikated, tidak mudah digunakan, reka bentuk agak besar dan bukan murah.

“Namun, ia pilihan terbaik di pasaran bergantung kepada penggunaan kamera DSLR memandangkan ia mudah digunakan terutama kepada individu yang baru berjinak-jinak dengan fotografi melalui ciri yang khas ditawarkan,” katanya.

Mahfooz berkata, walaupun dengan produk awalan seperti D3100, ia mampu menghasilkan gambar yang berkualiti tinggi, sekali gus membolehkan penggunanya terus bereksperimen.

“Perubahan teknologi bertambah kepada peningkatan fungsinya dengan kemampuan merakam video dalam format definisi tinggi (HD).

“Ia pastinya menjadikan kamera DSLR semakin diminati, apatah lagi harganya pula semakin murah berbanding ketika teknologi DSLR baru diperkenalkan satu ketika dulu,” kata Mahfodz.

Mengulas mengenai kelebihan DLSR, beliau menjelaskan, penggunaan lensa kamera DSLR membolehkan kita bermain dengan bukaan lensa (apartur), sekali gus menghasilkan kesan lebih kreatif.

Berasaskan resolusi daripada 10 hingga 16 megapiksel, DSLR memudahkan operasi dan kawalan sepenuhnya terhadap kamera ketika rakaman gambar dilakukan dalam keadaan kritikal, termasuk ketika menggunakan unit lampu flash binaan dalamnya.

Bukan itu saja, ia menawarkan kadar zum hingga empat kali daripada 18mm sehinggalah 112mm menggunakan lensa tertentu dan ia boleh dilaraskan kalau anda berduit untuk menambah kuasanya.

Uniknya mengenai DSLR, ia mampu mengesan cahaya dengan baik untuk menghasilkan imej lebih bermutu.

Pendedahan model yang dikeluarkan syarikat tertentu mempamerkan kesungguhan mereka memenuhi keghairahan fotografi pengguna yang mencari kamera bagi menyokong kegunaan ketika percutian atau tugasan luar.

Beberapa mod diperkenalkan membolehkan pengguna mengendalikan secara manual seperti untuk menentukan warna latar belakang, kecerahan, darjah kekaburan latar belakang dan pergerakan.

Walaupun tanpa bantuan flash, kamera DSLR masih berupaya merakam imej dengan baik walaupun diletak pada mod automatik.

Tetapan seperti A, M dan S dikatakan nadi kepada DLSR, bermakna tahap dedahan cahaya dan kelajuan shutter boleh ditetapkan pengguna. Kalau tidak mahu, gunakan saja tetapan automatik dan anda masih mempunyai hasil menakjubkan.

Satu lagi aplikasi mudah digunakan yang kerap ditawarkan syarikat pengeluar kamera termasuk mod khas yang mampu memberi suatu pengalaman menarik dalam menghasilkan imej lebih kreatif kerana mempunyai kesan khas memberikan warna dan elemen berlainan.

Foto ihsan Harian Metro Malaysia.

Bagaimanapun, pengguna perlu memeriksa spesifikasi yang ditawarkan pada kamera DSLR sebelum membelinya.

Mengikut sejarah, perkataan fotografi dikatakan berasal daripada ungkapan Greek yang membawa maksud cahaya bagi perkataan ‘foto’ dan melukis bagi perkataan ‘graphein.’

Fotografi sudah bertapak di dunia pada 1820 dengan gambar pertama dikhabarkan dirakam pada 1826 oleh Nicephore Niepce, Perancis.

Kebanyakan kamera DSLR kini mempunyai teknologi pengesan imej yang dibangunkan di atas cip kecil dimuatkan dalam peranti terbabit bertujuan merakam imej.

Foto ihsan Harian Metro Malaysia.

Jika anda pengguna kamera DSLR, beberapa teknik asas boleh diamati untuk menghasilkan gambar yang terbaik, memuaskan hati dan menjadi tatapan yang hebat.

Teknik merakam gambar yang menarik termasuk:

Memilih latar belakang bersesuaian

Latar belakang yang indah mampu menarik ‘mood’ foto anda dan terbaik dengan memfokuskan kepada subjek utama seperti wajah atau suasana di meja makan bagi menampakkan kemeriahan hari raya.

Kalau boleh, buka lampu di bahagian atas atau belakang bagi mendapatkan warna foto yang asli selain menutup ‘flash’ sekiranya pencahayaan mencukupi.

Fokus kepada mata

Terdapat pepatah Inggeris menyatakan ‘The eyes are the window to the soul’ (Mata adalah tingkap jiwa). Bagi mengelakkan ‘mata merah’ (red eye) kelihatan pada skrin kamera, pengguna perlu memadam fungsinya dalam tetapan.


Pencahayaan

Pencahayaan yang cukup membantu meningkatkan kualiti foto menarik terutama penciptaan emosi. Ia boleh dilakukan sama ada menggunakan pencahayaan asli seperti lampu di rumah atau ‘flash’ yang terdapat pada kamera digital.

Mod kamera

Kebanyakan kamera DSLR di pasaran memiliki ciri yang sama iaitu merakam senyuman dengan automatik sebaik pengguna menekan butang klik (semak ciri yang disediakan terlebih dahulu).

Fungsi terbabit membenarkan rakaman lebih menarik dan mengelak ‘aksi’ kurang manis pada gambar. Untuk menetapkan fungsi terbabit, pengguna boleh menjenguk ruangan tetapan atau butang khas yang disediakan bagi setiap produk kamera DSLR.

Malah, teknologi masa kini memerlukan setiap kamera DSLR mempunyai mod dalaman seperti ‘gambar bayi’, landskap, parti dan sebagainya yang boleh digunakan ketika suasana tertentu.

Sudut

Secara amnya, dunia hanya memiliki dua sudut iaitu menegak atau melintang namun pengguna tidak seharusnya dihadkan dengan kedua-duanya saja. Gunakan kreativiti dalam menentukan sudut yang berlainan dalam mempelbagaikan memori dirakam.

Sementara itu, sekiranya anda menggunakan kamera DSLR, it@Metro ingin memberi sedikit tip untuk mendapatkan rakaman menarik.

# Eksperimen foto anda dengan suntingan menggunakan perisian Photoshop.
# Padankan tekstur individu dengan latar belakang.
# Muatkan subjek dalam ‘frame.’ Contohnya gambar menerusi tingkap, kotak dan sebagainya.
# Tidak perlu terlalu mengikut komposisi.
# Gunakan teknik pendedahan lebihan atau kurang terhadap subjek.
# Rakam foto secara kandid bagi mendapatkan suasana emosi berlainan.
# Minta subjek ‘pose’ dengan gaya berlainan.
# Rakam ciri menarik pada subjek. Contohnya baju.
# Gunakan bayang-bayang dan reflek subjek.
# Eksperimen foto anda dengan fotografi makro.
# Kaburkan imej mengikut kesesuaian dan keunikan gambar.
# Eksperimen foto dengan lensa atau ‘filter’ berlainan.

Untuk permulaan, sekiranya anda mahu berjinak-jinak dengan kamera DSLR, pelajari butang yang terdapat direka menempatkan beberapa ciri seperti kelajuan shutter, apertur, dedahan, manual malah jangan lupa mengkaji mod automatik.

Ia mungkin berguna sekiranya anda mahu mendapatkan bacaan yang dicadangkan mengikut suasana tertentu.

Kamera DSLR memang memuaskan dan pelaburan yang berbaloi sekiranya anda betul-betul berminat, namun ilmu mengenainya harus dimuatkan terlebih dahulu dan bukan sekadar merakam foto diri sendiri.

Kalau setakat mahu merakam foto sendiri, lebih baik guna kamera telefon saja.

Source: Harian Metro Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran