TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 7 Mei 2011

Dendam dan benci Melayu jejas kestabilan politik - 01

bminggu@bharian.com.my
Tarikh - 2011/05/08


DALAM reaksi segera kepada permintaan Datuk Seri Najib Razak supaya PAS menarik diri daripada pakatan pembangkang, terutama DAP, hampir semua pemimpin parti berlambangkan bulan itu bulat-bulat menolaknya. Hujah Perdana Menteri bahawa PAS hanya dipergunakan, dibalas pemimpin parti itu atas alasan `tahalul siyasi’ atau kerjasama politik dibenarkan Islam. Mengapa begitu sukar PAS bekerjasama dengan parti yang sama bangsa dan agama? Wartawan Berita Minggu, ROHANIZA IDRIS mendapatkan pandangan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr Hasan Mad dan Pensyarah Kanan Sosiologi Politik Universiti Malaya (UM), Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad.

Dr Hassan Mad

Berita Minggu: Terlebih dulu, apa pandangan anda terhadap kerjasama antara UMNO dan PAS. Adakah ia perlu.

Dr Hassan Mad : Bagi saya, ia perlu atas nama perjuangan bangsa Melayu dan Islam. Namun, MPM melihat pelawaan Datuk Seri Najib itu bukan ajak PAS masuk UMNO atau Barisan Nasional (BN) sebaliknya menasihatkan PAS menjauhi DAP yang jelas menjadi terlalu perkauman dalam perjuangannya. Pelawaan itu juga bukan atas kapasiti Perdana Menteri sebagai Presiden UMNO atau Pengerusi BN sebaliknya peringatan daripada seorang pemimpin utama yang bimbang dengan kestabilan politik negara akibat perpecahan kaum. Kestabilan politik boleh dicapai jika pengundi Cina menjauhi DAP kerana amat jelas parti itu amat perkauman. Seruan Najib juga untuk PAS menjauhi pakatan pembangkang yang didalangi DAP.

Ramai yang buat tafsiran kononnya ia hanya bertujuan mengajak PAS masuk UMNO dan BN, tetapi kita kena hormat ideologi politik PAS dan UMNO yang jelas berbeza dan tidak perlu kita bawa PAS masuk BN. Apa yang disarankan hanya minta PAS jauhi DAP dan membentuk perpaduan dengan UMNO, bukan masuk BN. Sekarang pertelagahan PAS dan UMNO menyebabkan orang Melayu berpecah. Kita lihat seruan itu hanya dibuat kepada PAS, bukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana PKR ditubuhkan bukan atas ideologi politik, ia ditubuhkan oleh bekas ahli UMNO yang taksub kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya saja.

MPM yakin seruan Najib juga kerana beliau bimbang berlaku perpecahan di kalangan orang Melayu disebabkan perbezaan politik. Perbalahan UMNO dan PAS bukan kerana berbeza ideologi politik, tetapi kerana kebencian dan dendam antara satu sama lain. DAP berjaya menyatukan masyarakat Cina dengan cara melemahkan kepemimpinan MCA dan GERAKAN supaya mereka tidak yakin kepada kerajaan. Ia berjaya dilakukan DAP dan sangat teruk kesannya kepada negara kerana berlaku pemisahan politik berdasarkan etnik. Melayu dipisahkan oleh politik bukan kerana ideologi sebaliknya kebencian.

Berita Minggu: Ada yang percaya UMNO dan PAS langsung tidak boleh bergabung, umpama api dan air.

Dr Hassan Mad : Secara politiknya, jika dua parti politik Melayu bergabung dalam satu ‘bakul’, ia akan melemah dan merugikan orang Melayu. PAS perlu ada di luar BN kerana dapat menegur UMNO. UMNO bukan parti sempurna kerana mereka ada juga membuat kesilapan. Secara praktikal, PAS paling sesuai menegur UMNO, bukan DAP. Biar PAS di luar BN dan jadi pengimbang kuasa, menegur UMNO supaya tidak silap dalam memimpin BN.

UMNO juga dari semasa ke semasa memerlukan PAS untuk kestabilan dalam BN. Apa yang diperlukan UMNO dan PAS adalah perpaduan dan ia tidak semestinya bergabung dalam BN. Kita mahu lihat UMNO dan PAS tidak mengutuk satu sama lain tetapi tegur menegur demi kepentingan bangsa. Perbalahan UMNO dan PAS seolah-olah memperlihatkan kedua-duanya bermusuh sehingga keluar maki hamun guna perkataan yang jelas tidak selari dengan budaya Melayu.

Orang Melayu boleh berbeza ideologi politik, ia bukan malapetaka, tetapi jadi malapetaka apabila berlaku perbalahan sesama Melayu, sama ada antara orang UMNO dengan PAS, UMNO dengan UMNO atau PAS dengan PAS sendiri. Sekarang kita lihat orang Melayu tidak segan silu lagi berbalah pendapat secara terbuka. PAS perlu tegur UMNO atas kapasiti politik. Jika UMNO tak dengar, barulah pihak lain seperti institusi Raja, pentadbiran dan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) menegur mereka.

Berita Minggu: Adakah sekarang masa yang sesuai untuk PAS dan UMNO bersatu seperti orang Cina yang lebih cenderung menyokong DAP.

Dr Hassan Mad : Kerjasama PAS dan UMNO tidak perlu jadi amaran kepada DAP atau orang Cina sebaliknya ia peringatan dan kesedaran untuk orang Melayu bersatu. Biarkan pengundi Cina terpengaruh dengan ideologi DAP yang mahu menjauhkan Cina daripada kerajaan dengan apa cara sekali pun. MPM nampak ada parti dalam BN pun terpengaruh dengan ideologi DAP. Itu pilihan pengundi Cina, tetapi orang Melayu sebagai penduduk majoriti, tak perlu takut atau lemah dengan strategi politik DAP sebaliknya kena bangun bersatu walaupun PAS di luar BN. Apa yang penting, kita mahu lebih ramai wakil Melayu dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Salah satu sebab kebangkitan NGO seperti MPM kerana tiada pihak ketiga mampu menegur pemimpin UMNO.

Dalam politik mesti ada orang luar yang menegur. Ada juga sesetengah isu orang Melayu tak perlu ditegur atau dibincangkan secara terbuka sebaliknya secara tertutup melalui musyawarah atau forum atas nama kaum Melayu itu sendiri. UMNO dan PAS jangan bertelagah secara terbuka sebaliknya cari saluran untuk membincangkan isu orang Melayu. Saya diberitahu ada gerakan daripada PAS untuk membincangkan isu Melayu dalam forum anjuran mereka dan UMNO dijemput tetapi tiada wakil UMNO hadir. Tidakkah ini satu kerugian bagi orang Melayu sendiri. Pelawaan UMNO kepada PAS bukan hanya amaran kepada PAS tetapi kepada ahli, kepemimpinan UMNO dan orang Melayu di negara ini.

Berita Minggu: Jadi, apakah halangan untuk UMNO dan PAS bekerjasama.

Dr Hassan Mad : Halangan paling besar adalah budaya politik kedua-dua parti sudah jauh berbeza. UMNO dan PAS mengamalkan budaya politik maki hamun, benci membenci, marah, dendam dan memecahbelahkan orang Melayu... itu ditegah Islam. Kedua-duanya kata mereka parti Melayu Islam, tetapi amalkan sikap dilarang Islam. Jika dapat membuang sikap itu, perpaduan Melayu pasti berjaya. Kepemimpinan kedua-dua parti juga perlu ikhlas dan jujur seperti Hamas dan Fatah di Palestin yang sanggup berdamai selepas bermusuhan sekian lama demi perpaduan dan kemajuan bangsa Palestin. Demi perpaduan dan kemajuan orang Melayu, sudah tiba masa UMNO dan PAS berubah dan buang budaya politik membenci.

Berita Minggu: Selepas memperkatakan semua itu, apa lagi pada pendapat anda yang perlu dilakukan untuk melihat kerjasama kedua-dua parti terbabit mampu jadi kenyataan.

Dr Hassan Mad : PAS bukan tak pernah kerjasama dengan UMNO. Dalam perspektif Islam, tidak salah, janggal atau aneh jika kita bersatu atau muafakat. Tak semestinya muafakat itu bersatu dalam satu parti tetapi boleh dilaksanakan melalui sikap mengelakkan pertelagahan secara terbuka sehingga mewujudkan mudarat pada orang Melayu. Kita kena ingat walaupun PAS menolak pelawaan itu, kalau UMNO ikhlas, mereka perlu meneruskan usaha memujuk untuk penyatuan itu. Saya percaya ramai sanggup membantu supaya wujud kerjasama ini, malah MPM sedia menyediakan ruang dan tempat atau menganjurkan forum atau perbincangan tertutup antara kedua parti Melayu ini.

Selagi berpegang kepada ideologi politik membenci satu sama lain, marah dan dendam, selagi itulah kerjasama PAS dan UMNO tidak akan tercapai. Mesti ada usaha berterusan daripada UMNO, NGO, media, ahli akademik untuk memastikan PAS menerima idea kerjasama ini demi perpaduan orang Melayu.

Kerja ini perlu berterusan, konsisten, usaha gigih dan kuat kerana ia tidak boleh berlaku sekelip mata. Saya nampak, bagi PAS mereka bukan mudah mahu terima idea ini dengan satu jemputan saja. UMNO perlu sabar dan jangan putus asa. Reaksi pertama PAS yang dilihat melenting adalah normal. Faktor personaliti dalam kepemimpinan UMNO juga antara punca penolakan PAS dan ia perlu diambil kira. UMNO perlu lihat beberapa perkara dalam parti itu yang tak dapat diterima PAS, perbetulkan dulu supaya kerjasama yang diinginkan tercapai.

Saya percaya sikap sedemikian mampu mengubah pendirian PAS. Transformasi politik dalam UMNO perlu digerakkan sekarang supaya ia dapat menarik atau meredakan kebencian PAS kepada UMNO atau orang di luar kedua-dua parti itu. Kita kena lihat apa yang dilaksanakan DAP untuk menarik pengundi Cina dan dipraktikkan UMNO serta PAS untuk menarik sokongan orang Melayu. Lagipun kini, kebanyakan generasi muda Melayu tidak ramai mendaftar sebagai pengundi kerana muak dengan politik Melayu, sama ada UMNO atau PAS. Oleh kerana UMNO lebih besar daripada PAS maka UMNO perlu lebih proaktif.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran