TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 24 Mei 2011

Syeikh Junid Thala ulama terkenal di Mandailing dan Perak

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DARI minggu ke minggu, nampaknya para peminat rencana biodata ulama yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia terus bertambah. Sebagai bukti, rencana yang akan dibicarakan ini adalah ihsan Tuan Haji Muhammad Rivai Batubara (Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak merangkap Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan) yang dikirimkan kepada saya.

Saya menyimpulkan bahawa terdapat jalinan keserasian kerjasama antara penulis, Utusan Malaysia dan para pembaca yang berminat. Oleh itu melalui rencana ini saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan Utusan Malaysia.

Setelah saya membaca artikel tentang Syeikh Junid Thala yang dilengkapi dengan bahan-bahan yang dilampirkan maka saya susunkannya kembali. Beberapa perkara yang belum disentuh oleh beberapa penulis tentang Syeikh Junid Thala akan saya utamakan sebagai bahan tambahan. Saya cuba menjelaskan maklumat yang belum jelas.

Sebelum melanjutkan bicara, beberapa kertas kerja yang pernah dibentangkan saya senaraikan. Kepada mereka yang melakukan penyelidikan dan penulisan kita patut mengucapkan terima kasih. Judul dan nama penulis adalah sebagai berikut: Ringkasan Kehidupan dan Perjuangan Haji Junid Tola Rangkuti oleh Tan Sri Haji Mohd. Asri; Syeikh Junid Thala (1897-1948) Peranannya Dalam Menggerakkan Kesedaran Masyarakat oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Redzuan Othman; Syeikh Junid: Tokoh Ulama Indonesia - Malaysia oleh Abu Bakar Al-Siddiq; Syeikh Junid Thala: Format Bangunan Gagasan Dakwah Islamiyah oleh Yasir Nasution dan Syeikh Junid Thala: Meninggal Dunia 30 Mac 1948 oleh Haji Muhammad Rivai Batubara.

Di rumah Tuan Haji Muhammad Rivai Batubara.

Pertikaian tempat dan tahun kelahiran Syeikh Junid Thala sebagai berikut, yang menyebut tahun 1878 M, lahir di Tanjung Larangan, Desa Sigantang Kecil, Silaping (disebut oleh Pengumpul/Penyusun Riwayat Hidup, Hutanamale, 18 Februari 1992, hlm. 40).

Buku Sejarah Ulama-Ulama Terkemuka Di Sumatera Utara menyebut bahawa beliau lahir pada tahun 1886 M di Hutadolok, Kenegerian Maga, Kecamatan Kotanopan (hlm. 155). Tahun lahir yang lain pula ialah 1897 M. Berdasarkan surat Haji Muhammad Rivai Batubara kepada saya pada 10 Ogos 2006, dinyatakan bahawa tahun lahir 1897 M itulah yang dipersetujui dalam seminar yang diadakan di Penyabungan pada tahun 2000 anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bekerjasama dengan IAIN Sumatera Utara, Pemerintah Kabupaten Mandailing Natal dan Pengurus Perwakafan Syeikh Al-Juned.

Mengenai pendidikan Syeikh Haji Junid Thala sewaktu beliau masih berada di Sumatera ia tidak perlu dibahaskan lagi kerana sudah cukup jelas. Ada pun mengenai pendidikannya semasa berada di Kedah dan selanjutnya masih banyak ruang kosong yang tidak disentuh oleh para penulis terdahulu. Oleh itu saya lanjutkan sebagai berikut. Dikatakan beliau belajar di Pondok Tuan Guru Haji Cik Doi, Guar Cempedak, Kedah (Tan Sri Haji Mohd. Asri, hlm. 1).

Prof. Madya Dr. Mohd. Redzuan Othman pula menulis, “Di Kedah beliau belajar di Pondok Syeikh Ibrahim Gajah Mati dan Pondok Haji Che Doi di Guar Chempedak” (hlm. 12). Yang dimaksudkan dengan Che Doi atau Cik Doi, nama yang sebenarnya ialah Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani. Cik Doi sempat belajar dengan Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya Pertama). Tetapi setelah Tok Bendang Daya meninggal dunia, Cik Doi belajar daripada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dan Syeikh 'Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya Kedua).

Cik Doi datang ke Kedah membina Pondok Gajah Mati yang kemudian diserahkan kepada menantunya, Syeikh Haji Wan Ibrahim atau Pak Cu Him bin Tok Bendang Daya Kedua. Ada pun Pondok Guar Chempedak dipimpin oleh anak beliau iaitu Haji Husein bin Cik Doi (saudara ipar Pak Cu Him).

Syeikh Haji Junid Thala masuk ke Pondok Gajah Mati ketika pondok itu masih dipimpin oleh Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau Cik Doi hinggalah pondok itu dipimpin oleh Pak Cu Him. Pak Cu Him (lahir 1311 H/1894 M) lebih tua sekitar tiga tahun daripada Syeikh Haji Junid Thala (lahir 1314 /1897 M).

Selisih umur tiga tahun ataupun kadang-kadang seorang murid lebih tua daripada guru adalah lumrah (biasa) dalam dunia pendidikan zaman dulu, bahkan hingga sekarang.

Setelah belajar di Pondok Gajah Mati, Kedah, Syeikh Haji Junid Thala pindah pula ke Madrasah al-Masriyah asy-Syubbaniyah di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Di sini, Syeikh Haji Junid Thala belajar daripada pengasas madrasah itu, iaitu Syeikh Mohd. Salleh al-Masri bin Baqi bin Lundang. Syeikh Mohd. Salleh al-Masri sebelum belajar ke tempat lain pernah belajar dengan Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam, Langkat.

Syeikh Abdul Wahhab Rokan pula adalah salah seorang guru Syeikh Haji Junid Thala sebelum beliau belajar di Pondok Gajah Mati, Kedah. Syeikh Mohd. Salleh al-Masri setelah belajar di Besilam belajar pula daripada Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (penyusun kitab Akidah an-Najin) yang dikenali dengan gelaran Tuan Minal.

Salah seorang guru Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani ialah Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya Pertama).

Berdasarkan riwayat ini jika kita tinjau daripada sistem pendidikan Islam yang mementingkan sanad bererti Syeikh Haji Junid Thala mendapat dua pendidikan melalui Che Doi Pondok Gajah Mati dan Syeikh Mohd. Salleh al-Masri. Pendidikan itu bertemu pada satu tokoh besar ulama dunia Melayu ialah Syeikh Haji Wan Mustafa (Tok Bendang Daya), Hulubalang Patani, pengasas Pondok Bendang Daya Patani yang sangat terkenal pada zaman dulu.

Diriwayatkan


Setelah memperoleh pendidikan dari Universiti Al-Azhar di Mesir diriwayatkan pula bahawa Syeikh Haji Junid Thala pergi ke Mekah dan belajar daripada Syeikh Abdul Qadir al-Mandaili. Semua penulis yang terdahulu tidak menjelaskan siapakah Syeikh 'Abdul Qadir al-Mandaili yang dimaksudkan. Pada pandangan saya, beliau adalah Syeikh Abdul Qadir bin Shabir al-Mandaili. Seorang lagi ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili.

Ketika Syeikh Haji Junid Thala dari Mesir ke Mekah, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili masih belum terkenal. Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili lahir pada tahun 1326 H/1908 M. Beliau jauh lebih muda daripada Syeikh Haji Junid Thala yang lahir pada 1314 /1897 M. Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili ialah murid Pak Cu Him di Pondok Gajah Mati, Kedah yang tidak sempat belajar dengan Cik Doi, pengasas pondok itu.

Hal ini berbeza dengan Syeikh Haji Junid Thala ketika di Pondok Gajah Mati yang belajar daripada Cik Doi. Pak Cu Him Gajah Mati mengirim Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili untuk memperdalamkan ilmu kepada Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani atau Tok Cik Wan Daud (ayah saudara Pak Cu Him) dan Syeikh Wan Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani atau Pak De 'El (abang Pak Cu Him).

Syeikh Haji Junid Thala ketika berada di Mekah juga sempat belajar dengan Tok Cik Wan Daud al-Fathani (lahir 1283 H/1866 M, wafat 23 Zulhijjah 1354 H/17 Mac 1936 M, dan Pak De 'El al-Fathani (lahir 1300 H/1882 M, wafat 12 Rejab 1385 H/5 November 1965 M). Demikianlah riwayat yang saya dengar di Pondok Gajah Mati.

Ketika Syeikh Haji Junid Thala pulang dari Mesir beliau dilantik sebagai anggota Majlis Ulama Negeri Perak oleh Sultan Iskandar Syah, Sultan Perak Darul Ridzuan ketika itu (lihat Tan Sri Haji Mohd. Asri, hlm. 3). Apabila kita membicarakan aktiviti Syeikh Haji Junid Thala, ia sekurang-kurangnya terbahagi kepada beberapa bahagian. Aktiviti perjuangan ketika selaku pendidik sebelum berangkat ke Mesir. Ketika belajar di Mesir, beliau sempat menjadi imam dan kemudian mengajar di Masjid al-Haram di Mekah.

Setelah kembali ke daerah Mandailing, beliau aktif dalam perjuangan. Peranan yang dijalankan oleh Syeikh Haji Junid Thala di Tanah Mandailing (Indonesia), negeri kelahirannya adalah seimbang dengan perjuangan semasa di perantauan di Perak (Malaysia). Selain mengutamakan perjuangan pendidikan Islam, secara rahsia Syeikh Haji Junid Thala juga terlibat dalam barisan perjuangan kemerdekaan Indonesia. Syeikh Haji Junid Thala adalah seorang tokoh ulama yang anti kolonial Belanda yang menjajah Indonesia ketika itu.

Pemerintah kolonial Belanda pernah mengeluarkan perintah tangkap terhadap Syeikh Haji Junid Thala, namun beliau berjaya berhijrah ke Malaya. Syeikh Haji Junid Thala memusatkan keseluruhan aktivitinya di Kampung Lalang, Padang Rengas. Kemudian Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua menyebabkan Indonesia merdeka. Ketika itulah Syeikh Haji Junid Thala ikut berjuang bersama pejuang-pejuang di Semenanjung Tanah Melayu.

Walaupun para pejuang itu mempunyai pelbagai ideologi politik tetapi mereka bertemu pada satu tekad iaitu Malaya mesti merdeka daripada penjajahan Inggeris ataupun apa jua corak penjajahan yang merupakan penindasan manusia ke atas manusia. Madrasah Diniyah di Kampung Lalang, Padang Rengas yang beliau asaskan pada zaman itu dijadikan tempat berhimpun para tokoh pejuang kemerdekaan.

Dalam satu demonstrasi besar-besaran di Kuala Kangsar anjuran API (Angkatan Pemuda Insaf) dan AWAS (Angkatan Wanita Sedar) ternyata Syeikh Haji Junid Thala melibatkan diri dan ada peranan yang tersendiri dalam perjuangan Kemerdekaan.

Kepeloporan Syeikh Haji Junid Thala dalam dunia pendidikan bercorak madrasah di Mandailing (Indonesia) dan Perak dengan sistem pendidikan, pengumpulan dana wakaf yang pelbagai dan lain-lain terlalu panjang untuk dibicarakan. Oleh itu saya tinggalkannya saja kerana telah cukup dengan merujuk kepada tulisan beberapa penulis yang terdahulu.

Penulisan

Sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Haji Muhammad Rivai Batubara yang mengirim kepada saya salinan karangan Syeikh Haji Junid Thala berjudul Kitab Kaifiyat Mengadakan Waqaf Muslim. Ia ditulis dengan tulisan Melayu/Jawi.

Bahagian kulit depan dinyatakan kitab itu dikarang oleh asy-Syeikh Junid Thala Al-Azhari di dalam negeri Perak pada tahun 1348 H (kira-kira bersamaan dengan 1929 M). Ia dicetak oleh Al-Mathba'ah Al-Marbawiyah dekat Universiti Al-Azhar, Mesir. Kitab itu diberi kata pengantar oleh sahabatnya Syeikh Idris al-Marbawi.

Bertambah nyatalah sejarah ketokohan Syeikh Haji Junid Thala sebagai seorang ulama, kerana dinyatakan oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai berikut, “Pengarang kitab ini bernama Tuan asy-Syeikh Junid Thala al-Mandaili, seorang daripada orang alim kita (Melayu) yang telah dapat tanda atau surat pengakuan daripada Syeikh al-Islam Mesir, yang ia telah lulus pelajaran beberapa ilmu di dalam sekolah tinggi Azhar.

Menghabis ia akan hemahnya di dalam pelajarannya di Azhar lebih daripada tiga tahun. Telah saya nampak dengan mata kepala dan mata hati, payahlah seorang penuntut agama semasanya berhemah sepertinya istimewa orang yang berada di Mesir sekarang pun. Cukup warak dan setia Tuan Syeikh itu masa di Mesir, dan berhati wathani (maksudnya: berjiwa kasih pada tanah air, pen:).”

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran