TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 19 Mei 2011

Bermalam di ‘muzium hidup'

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID, utusanmelaka@utusan.com.my



Kampung Morten dilihat dari Sungai Melaka.

MELAKA 19 Mei - Kampung Morten bukan nama yang asing lagi, malah cari sahaja perkataan itu di Internet, puluhan ribu artikel menceritakan mengenai sejarah kampung ini dapat dibaca.

Namun, berbeza bagi mereka yang pernah datang ke sini, terutama menyaksikan keindahan pemandangan pada waktu malam yang dilimpahi neon berwarna warni, pasti berasa bertuah jika dapat menginap di salah sebuah rumah di sini.

Kerana keunikan dan tarikannya itu, tidak hairanlah kampung tradisional Melayu itu dilabel sebagai 'muzium hidup' oleh pelancong yang pernah datang ke sini.

Kepada mereka yang pernah berangan-angan bermalam di kampung tersebut sebelum ini untuk berkongsi cara hidup lama yang diamalkan penduduk kampung tersebut sambil menikmati keunikan reka bentuk Rumah Melaka dan Rumah Limas yang berusia kira-kira 100 tahun, ia bukan lagi satu mimpi hari ini.

Ini kerana, mulai November lalu, syarikat pengurusan Menara Taming Sari, Menara Taming Sari Berhad (MTSB) memperkenalkan Taming Sari Homestay di Kampung Morten.

Pengurus Jualan dan Pemasaran MTSB, Mohd. Husni Husin berkata, sejak mula beroperasi, Taming Sari Homestay mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelancong dalam dan luar negara.

Menurutnya, rumah yang dijadikan inap desa itu merupakan kediaman asal salah seorang penduduk kampung itu.

"Terletak di pinggir Sungai Melaka, Taming Sari Homestay menjadi salah satu produk pelancongan wajib bagi mereka yang ingin merasai pengalaman tinggal di kampung tradisional Melayu yang dibuka pada 1922.

"Dikelilingi pelbagai produk pelancongan lain seperti monorel dan bot Melaka River Cruise, pengalaman bermalam di inap desa ini pasti memberi keunikan yang tersendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Husni, Taming Sari Homestay sengaja tidak dilengkapi alat pendingin hawa dan air panas untuk mengekalkan ciri-ciri kehidupan masyarakat kampung dahulu.

Beliau berkata, antara kemudahan lain yang disediakan di rumah yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air itu ialah peti sejuk, televisyen dan dua ruang tamu.

"Rumah ini sesuai untuk tiga orang kerana mempunyai tiga bilik tidur, namun ia boleh memuatkan sehingga 10 orang kerana mempunyai dua ruang tamu yang luas.

"Bagaimanapun, jika melebihi 10 orang, kami mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM20 seorang," katanya.

Bagi keluarga yang tidak melebihi 10 orang, mereka boleh bermalam di Taming Sari Homestay pada harga RM300 dan dibenarkan memasak di dapur yang disediakan.

Untuk individu katanya, mereka juga boleh menyewa bilik dan menggunakan dapur serta ruang tamu pada harga RM120, RM100 dan RM80 sehari, mengikut keluasan bilik.

Selain Taming Sari Homestay yang bercirikan rumah tradisional, katanya MTSB juga menyediakan sebuah lagi inap desa berciri moden di kampung tersebut dikenali Villa CMI (Perbadanan Ketua Menteri) yang mula beroperasi 1 Mei lalu.

"Berbeza dengan Taming Sari Homestay, Villa CMI merupakan kediaman baru berciri moden. Villa CMI mempunyai sembilan bilik dan caj yang dikenakan sehari ialah RM120 untuk bilik bujang dan RM150 bagi bilik berkembar," tambahnya.

MTSB juga menyediakan kemudahan sewa basikal pada harga RM5 sejam bagi mereka yang ingin mengelilingi kampung tersebut untuk melihat keindahannya.

Husni berkata, pihaknya juga memberi satu tiket percuma menaiki Monorel Melaka bagi setiap tempahan bilik.

Mereka yang berminat bermalam di Taming Sari Homestay atau Villa CMI boleh menghubungi talian 06-2881100.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran