TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 1 November 2010

Terowong Berkembar Berapit siap tahun depan

Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
2010/11/01




KUALA KANGSAR: Terowong Berkembar Berapit (TBB) yang juga terowong landasan kereta api berkembar terpanjang di Asia Tenggara akan siap sepenuhnya hujung tahun depan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, ketika ini 70 peratus daripada kerja-kerja pembangunan terowong itu sudah disiapkan, manakala baki 30 peratus lagi merangkumi kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan melengkapkan sistem.

"Pembinaan terowong ini bermula pada 4 Oktober 2009 dengan menggunakan konsep twin bore dengan satu landasan setiap satu, serta pembinaan sembilan cross passage antara terowong kiri dan kanan bagi tujuan keselamatan. "Ia juga memenuhi semua aspek keselamatan yang perlu disediakan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kecemasan, manakala infrastruktur keselamatannya pula bertaraf antarabangsa," ," katanya berucap pada Majlis Penembusan Terowong Berapit bagi Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar di Padang Rengas dekat sini hari ini.

Kong berkata, pada keseluruhannya prestasi PLBE kini mencapai kemajuan fizikal 57 peratus dan kerja-kerja sekarang membabitkan pembinaan stesen, jejambat dan kerja landasan.

Pembinaan PLBE Ipoh-Padang Besar sepanjang 329 kilometer dijangka menelan belanja RM12.5 billion dan ia adalah projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyat dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Pembinaan yang diterajui MMC-Gamuda JV itu turut membabitkan pembinaan 65 buah jalan raya atas jambatan, 8 buah jalan raya bawah jambatan, 75 buah jambatan sungai serta 43 buah jambatan motosikal dan pejalan kaki.
Terdapat juga pembinaan sebuah jambatan berbuai berukuran sepanjang 290 meter di Perai, Pulau Pinang dan jejambat marin sepanjang 3.5 kilometer yang akan dibina di Bukit Merah, Taiping.

Sementara itu, Kong berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk melaksanakan PLBE antara Gemas dan Johor Bahru dalam masa terdekat sebagai pelengkap kepada projek PLBE sepanjang Pantai Barat Malaysia.

Kong berkata, PLBE Ipoh-Padang Besar adalah pelengkap yang kritikal kepada Pembangunan Koridor Utara (NCER) khususnya dalam memperkukuhkan koridor itu sebagai hub logistik.

"Projek ini akan memberi kesan limpahan ekonomi dalam bentuk peningkatan pertumbuhan bagi negeri yang terbabit iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis," katanya.

Sementara itu, Kong berkata semua pengusaha syarikat pengangkutan awam bertanggungjawab memastikan pemandu yang bertugas dengan mereka mempunyai lesen memandu yang sah.

Mengulas laporan bahawa pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Genting Sempah minggu lalu yang didapati tidak mempunyai lesen memandu, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat dan pemandu terbabit.

Katanya, semua syarikat diminta menyemak lesen yang dimiliki pemandu mereka dan memastikan lesen yang dimiliki adalah asli, manakala kesihatan pemandu berada di dalam keadaan baik semasa menjalankan tugas.

Dalam kemalangan minggu lalu, bas rombongan dari Kedah yang dinaiki 44 penumpang yang terdiri daripada belia Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan semasa menuruni Genting Highlands di KM38, Genting Sempah.

Bas itu terbabas dan terbalik di laluan bertentangan yang mengakibatkan tujuh orang maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas.

Polis menahan pemandu bas itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian. – BERNAMA

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran