Sumber: Utusan Malaysia Online.
Oleh ROHANA MAN, rohana.man@utusan.com.my
SYARIKAT Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) terus berkembang pesat dengan meningkatkan mutu perkhidmatannya menerusi program penggantian barisan pesawat di bawah Pelan Transformasi Perniagaan syarikat tersebut.
Di bawah pelan itu, syarikat penerbangan kebangsaan itu akan menerima 55 pesawat Boeing 737-800, 25 pesawat Airbus A330-300 dan enam pesawat Airbus A380 yang telah ditempah secara berperingkat.
Perkembangan terbaru syarikat itu menyaksikan ketibaan pesawat pertama Boeing 737-800 iaitu pesawat Boeing 737 generasi baru yang diterbangkan dari Seattle, Amerika Syarikat ke Terminal Skypark, Selangor, kelmarin.
Penerimaan pesawat Boeing 737-800 itu merupakan salah satu langkah besar dalam usaha MAS meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan domestik dan antarabangsa.
Malah lebih daripada itu, kesemua tempahan pesawat tersebut telah meletakkan MAS berada di landasan yang kukuh ke arah menjadi syarikat penerbangan lima bintang.
Mengikut pelan tersebut, MAS akan menerima dua lagi pesawat berkenaan pada tahun ini dan bakinya akan diterima secara berperingkat. Selain itu, pesawat sulung Airbus A330-300 dijangka tiba pada April tahun depan, manakala pesawat Airbus A380 pada suku pertama tahun 2012.
Apa yang menariknya mengenai pesawat Boeing 737-800 itu adalah ia memiliki identiti yang lebih dinamik dan mempesonakan. Keunikan itu membuatkan MAS menjadi syarikat penerbangan penuh pertama di dunia mengendalikan pesawat Boeing 737-800 yang dilengkapi dengan reka bentuk dalaman Boeing Skyline.
Penambahbaikan yang terserlah pada pesawat itu turut melibatkan siling yang lebih tinggi, tingkap yang lebih luas, pelapik tempat duduk daripada kulit, unit skrin sentuh hiburan, cas elektrik individu dan sambungan terus USB ke sistem elektronik.
Ternyata, segala kemudahan yang disediakan lebih bersifat mesra pelanggan dan dengan reka bentuk dalaman yang lebih segar, ia diharap dapat memberi kepuasan maksimum kepada pelanggan.
Pengerusi MAS, Tan Sri Dr. Munir Majid berkata, langkah penggantian barisan pesawat tersebut akan menyegarkan semula mutu perkhidmatan yang ditawarkan oleh MAS terutama dari segi teknologi dan kemudahan yang dimiliki oleh pesawat baru berkenaan.
“Melalui pesawat ini, kesemua penumpang tak kira dalam kelas ekonomi atau bisnes akan menikmati infrastruktur yang menakjubkan.
“Kita menyediakan reka bentuk dan suasana yang lebih kondusif selain menyediakan sistem audio dan kelengkapan Video on Demand (VOD) dan banyak lagi,” katanya pada sidang media selepas upacara menerima pesawat Boeing 737-800 yang pertama di Terminal Skypark Subang, Selangor, kelmarin.
Hadir sama ialah Pengarah yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Sri Azmil Zahruddin.
Azmil pada majlis itu turut berkata, barisan pesawat baru MAS itu berupaya mengendalikan pelbagai jenis sektor penerbangan yang melibatkan laluan jarak dekat dan jauh, selain memiliki reka bentuk pesawat yang lebih menjimatkan penggunaan bahan bakar.
Selain itu, turut dimaklumkan kepada media adalah pesawat Boeing 737-800 ini akan melakukan penerbangan sulungnya ke Kota Kinabalu diikuti dengan penerbangan komersial dari Kota Kinabalu ke Haneda, Tokyo pada 15 November ini.
Setiap pesawat Boeing 737-800 dianggarkan bernilai AS$70 juta (RM215 juta). Jumlah kapasiti adalah untuk 160 penumpang iaitu 16 tempat duduk kelas perniagaan serta 144 tempat duduk kelas ekonomi.
Sementara itu, juruterbang pesawat Boeing 737-800, Muhammad Affindy Abdul Rahman berkata, pengalaman memandu pesawat itu amat mengkagumkan. Selain beliau, kapten pesawat Boeing 737-800, Khairul Syukri Khalid dan juruterbang, Niazi Saif turut menerbangkan pesawat berkenaan dari Seattle ke Subang.
“Terasa seperti memandu sebuah BMW,” ujarnya yang mengakui teruja menerbangkan pesawat Boeing 737-800.
Pada April lalu, MAS mengumumkan penambahan kekerapan penerbangan ke beberapa destinasi bermula 28 Mac 2010 yang melibatkan laluan Kuala Lumpur ke Paris, Perancis (tujuh kali seminggu); Auckland, New Zealand (lima kali seminggu) dan Perth, Australia (10 kali seminggu).
Syarikat kebanggaan Malaysia itu kini terbang ke 88 destinasi merentasi enam benua. Sementara itu, syarikat subsidiari MAS juga semakin berkembang pesat iaitu MASwings yang menyediakan kemudahan penerbangan terutama di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Selain itu, Firefly pula menawarkan perkhidmatan domestik yang semakin mendapat tempat di kalangan pengguna.
Source: Utusan Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
Sumber: Utusan Malaysia Online Tarikh siar: 02 Oktober 2010. Oleh ZUARIDA MOHYIN, Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN KOMBINASI reka bentuk seni bi...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan