TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 21 November 2010

Terowong mercu tanda

Oleh Nurhayati Abllah, edisimingguan@bharian.com.my

Tarikh siar : 2010/11/21

Binaan Terowong Berkembar Berapit, Perak terpanjang di Asia Tenggara dan setaraf negara maju

SEJARAH
penciptaan terowong bermula sejak permulaan peradaban di mana manusia menyediakannya sebagai akses atau laluan ke makam, kuari bawah tanah atau lencongan aliran air di permukaan berbatu. Definisi kamus menyatakan terowong adalah laluan yang dibina menembusi bukit, gunung dan terusan. Sesebuah terowong boleh menjadi laluan pejalan kaki, laluan kenderaan, jalan raya atau lebuh raya, kereta api mahupun laluan air. Terowong boleh dikorek menembusi pelbagai jenis tanah atau batuan dan cara pembinaan terowong bergantung kepada struktur tanah serta batuan di sesuatu kawasan.

Masyarakat Rom satu ketika dulu dikatakan mahir dalam mencipta terowong sehingga mampu membina sebuah terowong sepanjang kira-kira 5.6 kilometer bagi tujuan menyalur keluar air dari Tasik Fucino yang terletak di Timur Rom, bagi mengelak masalah banjir.


Ketika itu, kira-kira 30,000 pekerja dikerah bagi membina terowong itu yang memakan tempoh masa sehingga 10 tahun untuk disiapkan.

Kini, berbekalkan kepakaran manusia dibantu kecanggihan teknologi terbukti banyak membantu dalam pembinaan lebih banyak terowong moden.
Malah, Malaysia sendiri melakar sejarah apabila membina terowong lebuh raya pertama iaitu Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang menghubungkan kawasan Gombak di Selangor dengan Genting Sempah di Pahang, yang dibuka secara rasmi pada 1979.

Malaysia turut membina terowong jalan raya terpanjang di negara ini iaitu Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) sepanjang empat kilometer (km) yang mula beroperasi pada 2007.


Terbaru, Malaysia mencipta nama dengan pembinaan terowong lebih canggih iaitu Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak, sepanjang 3.3 km yang diiktiraf sebagai sebagai terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.

Terowong itu sebahagian komponen projek infrastruktur terbesar negara setakat ini bernilai RM12.5 bilion iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar. Terowong berkenaan kini siap 70 peratus sejak dimulakan pada awal 2008.

Tanggal 1 November lalu menjadi detik awal sejarah terowong itu apabila bahagian terakhir terowong itu dipecahkan dan majlis itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Apa yang menarik, terowong berkenaan berkonsepkan berkembar dengan satu landasan yang setiap satu mempunyai sembilan laluan silang antara terowong kiri dan kanan bagi tujuan keselamatan dan penyelenggaraan. Ia dibina dalam bentuk seperti ladam kuda berukuran tinggi 9 meter x 9 meter lebar.

Lebih membanggakan, ilham reka bentuk dan binaan struktur itu dibuat sepenuhnya hasil kerjasama pakar, jurutera dan pekerja mahir anak tempatan di bawah syarikat penerajunya, MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV).

Pembinaan terowong itu menggunakan kaedah pembinaan seperti gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.

Pengarah MMC-GAMUDA JV, Datuk Azmi Mat Nor, berkata pembinaan Terowong Berkembar Berapit berhadapan banyak cabaran seperti pengorekan dibuat di bawah PLUS dan Jalan Persekutuan 1 (Taiping ke Kuala Kangsar) ketika kedua-dua laluan itu tidak ditutup kepada lalu lintas.

“Keadaan geoteknikal dengan beberapa faktor seperti struktur tanah, aliran air dan kecerunan bukit diambil kira bagi kaedah pengorekan-mikro di bawah lebuh raya. Selain itu, pengurusan trafik dan lencongan sejauh 1.5 km juga dilakukan bagi memastikan faktor keselamatan serta kesempurnaan binaan.

“Faktor penyumbang kepada kelancaran kemajuan projek dan pembinaan terowong dibantu dengan semangat dedikasi pasukan pengorekan terowong di kalangan rakyat Malaysia terlatih. Mereka mengaplikasikan pengalaman sebelum ini iaitu ketika terbabit dalam beberapa projek pengorekan terowong lain terutama Terowong SMART," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek PLBE, Yeoh Hin Kok, berkata kerja pembangunan Terowong Berkembar Berapit kini siap sekitar 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2011.


“Baki 30 peratus kerja pembinaan terowong itu masing-masing hanya membabitkan 15 peratus pembinaan infrustruktur dan 15 peratus pemasangan sistem dalam terowong.

"Pembinaan terowong itu juga memenuhi segala aspek keselamatan antarabangsa termasuk infrustruktur bertaraf dunia. Malah, sehingga kini kita mampu mencapai '19 Juta Jam Tenaga Manusia Tanpa Kehilangan Masa Akibat Kemalangan' untuk rekod keselamatan dan kesihatan PLBE," katanya.


Hin Kok berkata, dengan terbinanya terowong berkenaan, Malaysia kini mampu dilihat setanding dengan kemajuan sistem pengangkutan di negara maju lain kerana ia membolehkan kereta api elektrik memecut pada kelajuan 140 km/sejam, walaupun melalui terowong.

"Selain Terowong Berkembar Berapit, beberapa lagi mercu tanda PLBE Ipoh-Padang Besar yang bakal menjadi antara struktur menarik di negara ini ialah Jambatan Marin Bukit Merah di Bukit Merah, Taiping sepanjang 3.5 km yang kini 95 peratus siap, Terowong Larut yang berukuran 342 meter (m) bersaiz 13 m lebar dan 10 m tinggi (85 peratus siap) dan Jambatan Berbuai Prai di Pulau Pinang iaitu sepanjang 282 m," katanya.

INFO: Terowong di Malaysia

Terowong di Malaysia


•Terowong lebuh raya pertama negara
- Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang dibuka secara rasmi pada 1979.


•Terowong jalan raya terpanjang di negara ini
- Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) yang beroperasi pada

Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak


•Diiktiraf terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.


•Sebahagian komponen projek infrastruktur negara iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar.


•Projek di bawah syarikat peneraju MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV), kini 70 peratus siap sejak dimulakan awal 2008.


•Setaraf negara maju kerana membolehkan kereta api pecut pada kelajuan 140 km/sejam.


•Dibina dalam bentuk ladam kuda, berukuran 9 m (tinggi) x 9 m (lebar).


•Pembinaan menggunakan kaedah gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran