Sumber: Mingguan Malaysia Online
Oleh ZIN MAHMUD
Mulai semalam Presiden Barack Obama memulakan lawatan rasmi ke Asia meliputi India, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun. Lawatan penting ini akan memperlihatkan sama ada beliau akan berjaya menjadi Presiden Pasifik atau tidak dalam erti kata peranannya sebagai ketua kerajaan Amerika dan hubungannya dengan Asia.
Walaupun tumpuannya tentu kepada hubungan Amerika dan Asia, baik politik mahupun ekonomi tetapi dia kini sedang berada dalam tekanan di dalam negaranya. Kekalahan Parti Demokrat dalam pilihan raya separuh penggal di Amerika Syarikat merupakan tamparan hebat kepadanya.
Walaupun ia sudah dijangka dan kekalahan parti presiden dalam pilihan raya separuh penggal bukanlah sesuatu yang aneh, tetapi ia tetap merupakan keputusan yang pahit untuk ditelan oleh Obama dan para penyokongnya, baik di negara itu atau di dunia keseluruhannya.
Lebih-lebih lagi kekalahan Parti Demokrat itu adalah disebabkan kegagalan atau kelemahan pentadbiran Obama untuk menyelesaikan cabaran ekonomi di Amerika. Ini kerana cabaran ekonomi yang dihadapi oleh Amerika begitu rumit yang sesiapapun bertanggungjawab akan menghadapi kesukaran untuk menangani.
Antara analisis yang dikemukakan mengenai kemenangan Republikan ialah adanya persepsi bahawa parti itu lebih berupaya menangani masalah ekonomi itu berbanding Demokrat.
Masalah ekonomi Amerika sememangnya serius. Rakyat Amerika berasa lebih miskin berbanding lima tahun dahulu, iaitu semasa pentadbiran Presiden George W. Bush. Walaupun tentunya disedari bahawa masalah ekonomi Amerika yang ada hari ini timbul semasa pentadbiran Presiden Republikan itu dan Obama pula diberi tanggungjawab menyelesaikannya.
Pada masa ini apa yang berlaku ialah kemerosotan berasaskan aset yang pertama bagi Amerika sejak Kemelesetan Besar Great Depression tahun 20-an. Kini harga rumah masih 20 peratus hingga 25 peratus merosot.
Maka dalam keadaan ini ada perasaan bahawa Amerika tidak dipimpin secara berkesan dari segi ekonomi.
Mengapa jadi seperti ini? Ada penganalisis menganggap keadaan ini berlaku kerana sektor korporat tidak memberi kerjasama pada pasukan ekonomi Obama untuk menghadapi krisis ini.
Jadi walau apa pun usaha Obama, tanpa kerjasama sektor korporat, maka ekonomi tidak dapat dirancakkan.
Untuk memahami apa masalah ekonomi Amerika, ia perlu dilihat dari segi keperluan segera rakyat negara itu, iaitu tentunya pendapatan yang datang dengan adanya pekerjaan.
Fokus utama adalah mengatasi pengangguran. Ini yang tidak dapat diatasi oleh Obama. Pengangguran hanya dapat diatasi dengan adanya penciptaan pekerjaan. Tetapi bagaimanakah hendak mencipta pekerjaan. Paling mudah ialah mewujudkan pekerjaan dalam sektor awam. Tetapi masalahnya ialah bajet Amerika berada dalam defisit dan tidak mampu untuk mencipta pekerjaan awam yang baru.
Justeru, hanya sektor swasta dapat mencipta pekerjaan. Penciptaan pekerjaan pula perlu pelaburan. Tetapi sektor korporat enggan melabur. Bukannya mereka tidak mampu tetapi sejak krisis ekonomi baru-baru ini, mereka enggan melabur dalam perniagaan yang boleh mencipta pekerjaan. Adalah lebih terjamin bagi mereka untuk membuat pelaburan dalam bentuk membeli syarikat-syarikat lain bagi meningkatkan pertumbuhan, tetapi tidak mencipta pekerjaan.
Sedangkan mencipta pekerjaan pula dapat diwujudkan apabila sektor korporat memulakan perniagaan. Tetapi untuk memulakan perniagaan mereka melihatnya kurang menggalakkan kerana akan terbeban dengan kos kesihatan, cukai dan birokrasi.
Maka rakyat Amerika melihat perkara ini sebagai kegagalan Obama untuk mengatasi pengangguran. Akhirnya ia menguatkan persepsi bahawa Republikan akan lebih mampu untuk menangani soal ekonomi daripada Demokrat walaupun hakikatnya tidak semestinya sedemikian.
Secara tradisinya, politik Amerika menggambarkan Republikan sebagai parti berfahaman konservatif yang bukan saja mesra dengan dunia perniagaan tetapi juga mempunyai hubungan dengan mereka.
Ini bermakna mereka lebih faham atau cekap dalam menguruskan sektor perniagaan.
Sementara Demokrat pula dilihat parti yang mesra rakyat biasa. Dengan fahaman liberal, istilah di Amerika yang merujuk haluan kiri dalam politik, mereka dilihat sebagai mencurigai orang perniagaan.
Justeru walaupun kebanyakan rakyat biasa boleh melihat Demokrat sebagai memperjuangkan kepentingan mereka tetapi dalam sistem Amerika, apa yang penting ialah kepimpinan yang berkesan bagi menyelesaikan masalah.
Walaupun seseorang pemimpin itu ikhlas dan jelas dalam memperjuangkan kepentingan rakyat biasa tetapi jika dia tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah negara, maka wajar kepimpinannya ditolak.
Selain itu dalam sistem ekonomi seperti Amerika, dan inilah satu-satunya sistem yang dilihat sebagai berkesan di dunia hari ini, maka peranan sektor swasta dalam bentuk korporat adalah penting, Sektor ini hanya didorong oleh keuntungan dan kekayaan. Hanya kerajaan yang cekap dapat menguruskan mereka dalam bentuk polisi-polisi supaya mereka ini dapat melakukan sesuatu walaupun untuk kepentingan mereka tetapi menghasilkan kesan baik kepada rakyat biasa. Inilah cabaran Obama dan partinya.
Penguasaan Republikan dalam Dewan Perwakilan akan menyukarkan pentadbiran Obama untuk memimpin secara berkesan menurut polisi yang dikehendaki oleh Demokrat.
Tetapi keputusan pilihan raya itu menunjukkan bahawa rakyat Amerika mahu Obama mengubah atau mencari jalan baru bagi menangani masalah ekonomi dalam negara di samping menerima saranan-saranan daripada Republikan yang menguasai dewan penggubal undang-undang Amerika itu.
Setakat ini Republikan memenangi 240 kerusi berbanding 187 di Dewan Perwakilan. Sementara di Dewan Senat, Demokrat masih menguasai dengan 53 kerusi berbanding 47 bagi Republikan.
Sementara bagi jawatan Gabenor, Republikan menguasai 29 negeri dan Demokrat menang hanya di 19 negeri.
Dalam dunia perdagangan bebas dan globalisasi, apa yang berlaku dalam ekonomi domestik di Amerika tentu berkaitan dengan dunia luar.
Maka dijangkakanlah lawatan Obama ke negara-negara Asia ini akan ditonjolkan memberi manfaat kepada ekonomi dalam negeri Amerika. Maknanya Obama terus berusaha bagi mengatasi masalah ekonomi.
Tamparan kepada Obama ini membawa kemungkinan bahawa beliau boleh kalah dalam pilihan raya Presiden akan datang. Kekalahan dalam pilihan raya pertengahan penggal ini selalunya boleh menjejaskan peluang Obama untuk dipilih semula.
Pihak Republikan sudah mula merancang untuk merampas kembali jawatan presiden pada pilihan raya akan datang yang dijangka berlangsung pada tahun 2012. Salah seorang pemimpinnya Sarah Palin yang merupakan bekas calon naib presiden sudah mula bergerak untuk bertanding dalam pilihan raya itu.
Kemenangan Republikan dalam pilihan raya separuh penggal dan aktifnya Palin tidak terlepas daripada gerakan Tea Party yang muncul bagi menggembleng suara rakyat untuk menentang Obama.
Tea Party dianggap gerakan konservatif yang ringkas dan cetek. Ia menolak kedua-dua parti utama Amerika itu. Oleh kerana ia jelas menolak kepresidenan Obama, maka Republikan dan Palin turut menumpang pada gerakan ini yang bertambah popular di kalangan orang ramai yang berasa mereka terpinggir akibat keadaan ekonomi negara sekarang.
Namun begitu Obama bukannya tidak ada peluang langsung. Dalam sejarah politik Amerika, banyak presiden mampu untuk menang penggal kedua walaupun partinya kalah dalam pilihan raya pertengahan penggal ini.
Ia berlaku pada Ronald Reagan, Bill Clinton dan George W. Bush.
Justeru Obama tidak ada masa untuk merenung tamparan yang dihadapinya. Dia perlu terus bangkit dan berusaha di mana lawatannya ke Asia ini yang mengambil masa 10 hari terus dijadikan tapak mula untuk kebangkitan semula.
Menurut beliau, persaingan bukanlah antara Demokrat dan Republikan pada abad baru ini. Tetapi adalah antara negara-negara di dunia untuk memimpin ekonomi global.
Sebagai presiden, beliau menampilkan diri bukan sebagai Demokrat atau Republikan tetapi pemimpin Amerika untuk menjadikan negaranya terus unggul.
Persaingan bagi Amerika adalah jelas iaitu dari China.
Justeru lawatannya ke India, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun menggambarkan bahawa inilah rakan-rakan pasaran baru bagi Amerika.
Ketika mana China menjadikan Amerika sebagai pasaran besarnya sedangkan Amerika pula sukar untuk berjaya dalam pasaran China, maka perhatiannya adalah ke India, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun.
Sistem di dunia hari ini bergantung penuh pada pelaburan, perdagangan, pasaran dan perniagaan. Barulah pekerjaan diciptakan dan kepenggunaan berlaku yang akhirnya menggerakkan ekonomi sesebuah negara.
Obama dengan jelas menyatakan bahawa kunci kepada mencipta pekerjaan adalah membuka pasaran baru untuk barangan Amerika yang dibuat oleh pekerja Amerika. Maka matlamatnya ialah menggandakan eksport Amerika dalam jangka masa lima tahun ini.
Maka tidak hairanlah, Obama membawa 200 pemimpin perniagaan bersamanya yang akan ditemukan dengan pegawai-pegawai kerajaan negara itu.
India dilihat sebagai kunci kepada penyelesaian ekonomi Amerika. Negara yang sedang pesat muncul itu dilihat boleh menjadi rakan baru Amerika dalam persaingannya dengan China.
Barangan apa yang boleh Amerika jual pada India? Pada tahun 2008, India membeli alat-alat persenjataan bernilai empat bilion dolar.
Sebagai presiden daripada parti yang dipandang sebagai tidak menyukai peperangan maka alat-alat persenjataan yang akan dijual tentunya dalam bentuk mempertahankan diri.
Tetapi cuba lihat negara-negara Asia yang dilawatinya: India, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun. Kecuali Indonesia, ketiga-tiga negara itu mempunyai keperluan untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan masing-masing dalam konteks persaingan keselamatan terhadap China.
Bukanlah bermaksud akan berlaku peperangan tetapi keadaan aman yang memerlukan keseimbangan pertahanan dalam bentuk alat-alat persenjataan.
Jika China meningkatkan keupayaannya, maka India dan Jepun pun perlu berbuat demikian. Korea Selatan pula perlu menghadapi Korea Utara yang dilindungi oleh China. Itulah realiti geopolitik.
Source: Mingguan Malaysia Online
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 6 November 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
Sumber: Utusan Malaysia Online Tarikh siar: 02 Oktober 2010. Oleh ZUARIDA MOHYIN, Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN KOMBINASI reka bentuk seni bi...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan