Sumber: Utusan Malaysia Online.
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, rencana@utusan.com.my
SEPERTI yang diduga, pemilihan aktivis pro demokrasi dan kebebasan hak asasi di China, Liu Xiaobo sebagai penerima hadiah Nobel Keamanan tahun ini mengundang kontroversi.
China yang awal-awal lagi sudah dibayangkan dengan pemilihan Xiaobo memberi amaran kepada jawatankuasa pemilihan yang beribu pejabat di Oslo, Norway bahawa pengiktirafan itu akan memberi kesan kepada hubungan bilateral dua negara.
Bagi China, Xiaobo tidak layak diberikan pengiktirafan itu kerana beliau merupakan individu yang menggalakkan penentangan terhadap pemerintah China, iaitu kerajaan yang sah.
Pengiktirafan itu juga boleh mendorong lebih banyak gerakan penentangan terhadap kerajaan China atas alasan demokrasi dan kebebasan bersuara. Bagi China, gerakan seperti itu melanggar undang-undang dan perlembagaan negara, selain boleh mencetuskan suasana huru-hara.
Oleh kerana itu, Beijing menilai pengiktirafan terhadap Xiaobao adalah satu bentuk serangan antarabangsa terutamanya oleh Barat terhadap negara itu.
Pengumuman Xiaobo, 54, sebagai penerima hadiah Nobel Keamanan disambut dengan desakan oleh Amerika Syarikat serta badan-badan hak asasi dunia supaya beliau dibebaskan. Xiaobo ketika ini berada di penjara wilayah Liaoning, timur laut China dan diyakini masih tidak mengetahui mengenai penganugerahan itu.
Malah, isterinya, Liu Xia juga dikenakan tahanan rumah dan dijangka tidak dapat mewakili Xiaobo menerima hadiah itu yang akan disampaikan di Oslo pada Disember ini.
Xiaobo menjadi penerima kedua anugerah itu ketika berada dalam tahanan selepas aktivis pro demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dinamakan sebagai penerima bagi tahun 1991. Selain Xiaobo, aktivis hak asasi manusia di Afghanistan iaitu Sima Samar juga disebut-sebut bakal menerima anugerah itu untuk tahun ini.
Sima, seorang doktor wanita di negara bergolak itu memainkan peranan penting dalam kebebasan hak asasi manusia tidak hanya di negaranya, malah menjangkau sehingga ke Sudan.
Pemilihan Sima juga dikatakan sebagai isyarat penting pengembalian maruah wanita di Afghanistan yang sering ditindas dan diperlakukan sewenang-wenangnya. Bagaimanapun, jawatankuasa penilai di Oslo sepakat menamakan Xiaobo sebagai penerima tahun ini dalam pemilihan yang disifatkan sebagai mesej terhadap kerajaan komunis dan militer di Beijing.
Meskipun namanya tidaklah begitu dikenali oleh masyarakat antarabangsa, namun bagi kebanyakan rakyat China, Xiaobo adalah watak penting dalam gerakan demokrasi, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia di negara tersebut.
Beliau sudah terlibat dengan gerakan menentang kerajaan komunis China sejak menjadi mahasiswa pada pertengahan 1970-an iaitu ketika China dilanda revolusi budaya. Xiaobo juga mengetuai gerakan mogok lapar oleh sekumpulan mahasiswa sebagai protes kepada sekatan pemerintah terhadap kebebasan bersuara pelajar universiti.
Peristiwa yang lebih dikenali sebagai Taman Tiananmen itu bertukar menjadi tragedi yang mengorbankan sehingga 1,000 orang kebanyakannya mahasiswa. Xiaobo sendiri ditahan dan dipenjarakan selama 20 bulan sebelum dihantar ke sebuah kem pemutihan kerajaan selama tiga tahun.
Namun, halangan ke atas Xiaobo termasuk penahanan di rumah selama beberapa bulan tidak menghalang guru sastera itu menggerakkan kesedaran demokrasi yang lebih besar.
Kemuncaknya ialah apabila beliau menghantar surat terbuka kepada kerajaan yang disifatkan sebagai sebuah manifestasi reformasi politik yang besar.
Surat itu yang turut ditandatangani oleh kira-kira 300 individu penting di sebalik perjuangan demokrasi di China dikenali sebagai Piagam 08. Antara lain, Piagam 08 itu mendesak kerajaan China supaya lebih demokratis dan bebas, membahagikan kekuasaan dengan adil dan menjalankan pilihan raya dengan penyertaan lebih banyak parti politik.
Akibatnya, Xiaobo ditahan pada Disember 2008 kerana dikatakan cuba menggerakkan aktiviti berbentuk subversif terhadap kerajaan China. Setahun kemudian, kerajaan China menjadikan penahanan itu sah di sisi undang-undang dan Xiaobo dipenjarakan selama 11 tahun.
Bagi pejuang hak asasi manusia di China, pemilihan Xiaobo itu merupakan kemenangan besar kepada amalan kebebasan dan demokrasi di negara itu. Ia juga merupakan satu bentuk peringatan kepada pemerintah di Beijing bahawa negara itu tidak berada pada landasan pentadbiran sebuah negara yang betul.
Sebagai sebuah negara yang semakin menjadi kuasa baru dunia, China perlu beralih kepada pemerintahan berbentuk militer kepada amalan demokrasi yang sebenar.
Jika tidak, segala usaha transformasi ekonomi yang sedang dilakukan oleh China ketika ini akan menjadi sia-sia kerana ia bakal dipulaukan oleh masyarakat antarabangsa. Sesuatu yang pasti, pemilihan Xiaobo mengulangi tradisi kontroversi penerima Hadiah Nobel dari kalangan rakyat China.
Jika negara-negara lain berbangga dengan pemilihan rakyatnya sebagai penerima hadiah Nobel yang dianggap tingkat tertinggi dalam pencapaian manusia, China pula sebaliknya. Hadiah Nobel Keamanan kepada pejuang pembebasan Tibet pada 1989 misalnya, turut mengundang kemarahan China. Begitu juga dengan penerima hadiah Nobel Fizik seperti Frank Yang, Lee Tsung dan Charles K Kao yang terpaksa meninggalkan China semata-mata untuk mendapat pengiktirafan tersebut.
Dari sisi lain, kategori Hadiah Nobel Keamanan sendiri menjadi kategori yang paling banyak mencetuskan kontroversi di kalangan penerimanya. Tahun lalu, pemilihan Presiden AS, Barack Obama mengundang perdebatan yang luar biasa. Obama menerima anugerah itu ketika baru saja meluluskan penambahan tentera baru untuk berkhidmat di Afghanistan.
Dasar Obama itu dinilai sangat bertentangan dengan nilai-nilai yang didokong Nobel Keamanan iaitu pengiktirafan kepada individu yang memperjuangkan keamanan dan perdamaian di seluruh dunia. Selain Obama, beberapa individu penerima hadiah Nobel Keamanan menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat antarabangsa.
Antaranya bekas Perdana Menteri Israel, Shimon Peres dan Yitzhak Rabin yang dinamakan penerima bersama bagi tahun 1994. Di sebalik penganugerahan itu, Peres dan Rabin sebenarnya lebih dikenali dengan kejahatannya terhadap rakyat Palestin. Menachem Begin, Perdana Menteri Israel keenam juga merupakan penerima Nobel Keamanan masing-masing pada 1978.
Begin menerima anugerah itu ketika dunia mengenali beliau sebagai pemimpin Zionis yang memberikan gelaran 'binatang berkaki dua' kepada rakyat Palestin. Tidak hairan, separuh daripada lembaga pemilihan Nobel Keamanan menarik diri saat pemimpin-pemimpin Israel ini dipilih kerana tidak bersetuju.
Kontroversi penerima lain termasuk Al-Gore pada 2007 kerana usahanya meningkatkan kesedaran terhadap perubahan cuaca dan iklim dikatakan tiada kena-mengena dengan keamanan dan perdamaian.
Ellie Wiesel yang menerima anugerah itu pada 1986 turut dikecam kerana beliau merupakan seorang mangsa peristiwa Holocaust yang anti-Islam.
Source: Utusan Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Isnin, 8 November 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
Sumber: Utusan Malaysia Online Tarikh siar: 02 Oktober 2010. Oleh ZUARIDA MOHYIN, Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN KOMBINASI reka bentuk seni bi...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan