TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 9 November 2010

Sertai berkhatan beramai-ramai

Sumber – Utusan Malaysia Online.

MASJID Negara akan menganjurkan program berkhitan beramai-ramai sempena cuti persekolahan bagi tahun 2010 pada hari Sabtu bersamaan 27 November ini. Program itu merupakan kerjasama antara Unit Perkhidmatan Sosial, Masjid Negara dan Rumah Khitan Sdn. Bhd. yang akan menggunakan kaedah Smart Klamp.


Sebelum ini, kebanyakan peserta terdiri daripada pelajar sekolah sekitar Lembah Klang. Program tahunan itu telah bermula sejak tahun 1993 anjuran pihak Masjid Negara sempena musim cuti persekolahan.

Kesemua kanak-kanak yang terlibat dalam program itu berusia antara enam tahun sehingga 12 tahun. Ia diadakan bagi merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan di kalangan masyarakat luar dengan kakitangan masjid seperti yang dituntut oleh Islam selain, memenuhi tuntutan agama Islam yang mahukan setiap umatnya memiliki kualiti kesihatan yang terbaik di kalangan masyarakat.


Ia juga, bertujuan meningkatkan fahaman Islam terhadap anak-anak kecil terutamanya kepentingan berkhatan seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri.

Penganjuran program itu juga untuk membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa memandangkan kos berkhitan yang kini agak mahal sehingga mencecah RM200 seorang.

Menerusi program itu, bayaran yang dikenakan kepada peserta hanya RM150 sahaja bagi seorang.


Mengenai kaedah atau teknik Smart Klamp pula ia merupakan satu teknik berkhatan atau bersunat yang cepat, mudah dan selamat. Dengan teknik itu, lima orang kanak-kanak dapat dikhatankan setiap jam oleh seorang doktor yang terlatih. Dengan 10 orang doktor, 200 kanak-kanak dapat dikhitankan dalam masa empat jam berbanding lapan jam dengan cara jahitan.

Selain itu, penggunaan Smart Klamp juga telah diterima pakai oleh lebih 200 klinik di seluruh Malaysia, ia juga merupakan teknik yang mudah dikendalikan oleh doktor, tanpa jahitan dan mudah dijaga. Sehingga kini, lebih 50,000 kanak-kanak telah dikhatan menggunakan teknik ini sejak ia diperkenalkan seawal 2003.

Teknik ini merupakan kaedah terbaik untuk pesakit diabetis, hemophilia, kanak-kanak autism dan kanak-kanak hiperaktif.

Untuk keterangan lanjut berkenaan program ini serta jika ingin menjadi peserta boleh menghubungi urusetia di talian 019-623 6230 (Ustaz Wan Aziz), 012-294 2996 (Ustaz Mohd. Nazarudi) Ustaz Jamal Nahar (019-425 1389 dan Ustazah Siti Mariam (013-250 5081) atau boleh datang terus ke Masjid Negara untuk mendapatkan borang penyertaan daripada urusetia di urusetia Program Berkhitan, Unit Perkhidmatan Sosial, Masjid Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur atau layari laman web rasmi Masjid Negara di www.masjidnegara.gov.my.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran