PAMERAN Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 yang diadakan dari 26 November hingga 5 Disember ini bukan sekadar pameran yang menonjolkan hasil-hasil pertanian dan ternakan negara.
Ia lebih kepada itu memandangkan ia turut melibatkan penyertaan peserta dari luar negara. Kita berharap sebanyak 15 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara usahawan tempatan dan luar negara sempena MAHA 2010 ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang menceburi bidang-bidang berkaitan.
Inilah yang kita mahu iaitu wujudnya kerjasama antarabangsa dalam membangunkan industri asas tani melalui penyertaan kira-kira 200 usahawan dari luar negara, selain 2,000 syarikat termasuk dari 22 negara yang mewakili benua Eropah, Afrika, Asia dan Asia Barat pada pameran tersebut.
Pameran yang diadakan dua tahun sekali ini juga jika dimanfaatkan sepenuhnya dapat membantu orang ramai memahami betapa pentingnya sektor pertanian dan penternakan kepada negara. Pemahaman itu perlu kerana dari situ akan terbit minat dan tanggungjawab untuk merancakkan kedua-dua sektor berkenaan demi kelangsungan hidup yang sejahtera rakyat negara ini.
Kita tahu betapa krisis makanan yang melanda dunia boleh mencetuskan pelbagai masalah seperti kekurangan bekalan makanan dan air bersih sekali gus menerbitkan pula masalah kesihatan ekoran kekurangan zat makanan terutama dalam kalangan kanak-kanak. Lihat sahaja contoh yang pernah dan sedang berlaku di beberapa negara di benua Afrika. Betapa sengsara dan menderitanya penduduk yang kelaparan, kurus kering dan berpenyakit.
Kesemua itu menyumbang kepada penurunan produktiviti apabila tidak banyak sumber-sumber yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan negara terutama sumber tenaga manusia mahir.
Menyedari itulah, kita faham kenapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian MAHA 2010 di Serdang, Selangor, kelmarin, berkata, kerajaan akan mengadakan kerjasama strategik untuk mewujudkan tapak pengeluaran makanan di luar negara sebagai salah satu usaha meningkatkan bekalan makanan di negara ini.
Mungkin ramai beranggapan kenapa perlunya mewujudkan tapak di luar negara, sedangkan masih banyak tapak di dalam negara yang boleh dibangunkan untuk tujuan tersebut.
Namun, itulah pemikiran jauh ke hadapan Najib yang melihat usaha membangunkan tapak pertanian di dalam negara lebih mahal, berbanding dengan luar negara. Ini kerana keluasan tanah pertanian dalam negara kita tidak boleh diharap kerana banyak kawasan pertanian kini telah bertukar status menjadi kawasan perumahan dan kilang. Keluasan yang terhad itu memaksa kerajaan memikirkan alternatif lain yang lebih murah untuk dijadikan tapak pertanian. Lihat saja betapa luasnya kawasan sawah padi di Kedah yang merupakan Jelapang Padi Negara telah dibangunkan dengan projek perumahan.
Selain itu, usaha tersebut juga dapat memberi manfaat kepada negara kerana sudah tentu akan wujud pertukaran idea antara negara-negara yang terlibat. Manfaatnya tentulah akan berbalik kepada rakyat negara ini.
MAHA 2010 yang diadakan selama 10 hari ini juga seharusnya digunakan oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak melawat tapak pameran. Sempena cuti sekolah sekarang, apa kata masukkan tapak pameran MAHA 2010 ke dalam kalendar percutian keluarga.
Memandangkan semakin banyak anak generasi sekarang tidak pernah melihat sawah padi, ayam, itik, kambing atau lembu kerana mereka membesar di bandar, maka inilah peluang terbaik untuk ibu bapa membawa anak-anak mengenali semua itu. Pasti anak-anak teruja melihat sesuatu yang tidak pernah dilihat walhal, setiap hari mereka makan nasi di rumah. Pada pameran ini juga, anak-anak akan diperkenalkan dengan varieti padi MR253 dan MR263 yang dilancarkan oleh Najib, kelmarin.
Lebih daripada itu, inilah juga peluang untuk kita mengenali teknologi terkini yang digunakan dalam sektor pertanian dan penternakan. Bagi golongan petani dan penternak, inilah juga peluang untuk mereka berkongsi idea dalam meningkatkan produktiviti melalui penggunaan benih, teknologi dan infrastruktur baru.
Justeru, sebanyak 15 penemuan baru daripada Jabatan Perikanan yang turut dipamerkan boleh diguna pakai oleh mereka sekali gus memberi pulangan lumayan dalam industri perikanan.
Source: Utusan Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
1 ulasan:
Salam ziarah Tuan..
Sy teringin nak ke MAHA..
Catat Ulasan