TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 15 Ogos 2010

KL ke Ipoh cuma 2 jam dengan keretapi ETS

Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.

Oleh Hazirah Che Sab, zeehan@bharian.com.my

Tarikh: 2010/08/15

Perjalanan lebih pantas, selesa naik tren elektrik KTMB

SESAK dan rimas! Inilah rungutan sering kedengaran bagi mereka yang terpaksa menempuh perjalanan panjang di jalan raya mahu pun lebuh raya yang sarat kenderaan, setiap kali tiba musim perayaan. Apatah lagi perjalanan ke arah utara seperti di Ipoh atau pun ke ibu negara yang disifatkan destinasi utama ramai yang mahu pulang ke kampung atau pun bercuti, secara serentak.

Akibatnya, jalan raya yang sepatutnya menjadi penghubung, bertukar menjadi lautan kenderaan yang menyesakkan. Lalu, pernah terlintas di fikiran, alangkah bahagianya jika ada kereta api elektrik yang bukan saja dapat memendekkan perjalanan tetapi sekali gus turut memastikan pengalaman pulang ke kampung dalam suasana selesa.

Pramugari ETS menyambut penumpang.


Menyedari kepentingan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melangkah setapak lagi dalam usaha memberikan perkhidmatan kepada rakyat dengan memperkenalkan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) yang membawa penumpang ke Ipoh dalam masa dua jam berbanding tiga jam sebelum ini.

ETS yang memulakan perkhidmatannya Khamis lalu juga disifatkan usaha terbaru KTMB memaksimumkan sistem pengangkutan itu yang berdepan saingan bentuk pengangkutan lain yang lebih cepat dan selesa.

Khidmat kepada penumpang ETS.

Malah, bagi penulis, keselesaannya cukup terasa apalagi dapat melabuhkan badan pada kerusinya yang empuk dan luas. Ditambah pula dengan skrin LCD yang mampu menghilangkan kebosanan selama dua jam perjalanan.

Menariknya, tandas tren ini mempunyai ciri-ciri seperti tandas dalam kapal terbang yang sentiasa dipastikan bersih untuk kegunaan. Jika lapar, sila ke koc C untuk menjamu selera dengan dilayan pramugari dan pramugara yang terlatih.

Mempunyai lima koc yang boleh memuatkan sehingga 350 penumpang pada satu-satu masa, ETS menjanjikan keselesaan dengan kelengkapan seperti tandas, kafe, skrin LCD, tempat duduk bertanda dan kamera litar tertutup dalam setiap koc serta perkhidmatan pramugari dan pramugara.


Kemudahan di tempat duduk penumpang ETS.


Tren yang menggunakan teknologi Korea itu mengutamakan keselamatan penumpang kerana dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan terkini dan menepati piawaian antarabangsa.

Kelajuan ETS boleh mencecah 160 kilometer sejam tetapi keadaan geografi yang tidak stabil tidak membolehkan ia dipandu sehingga ke tahap maksimum sebaliknya bergerak kebanyakan masa pada kadar 140 kilometer sejam.

Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan, berkata kelajuan maksimum cuma boleh digerakkan ketika perjalanan dari Rawang ke Ipoh tetapi tidak berpanjangan kerana ia terpaksa dikurangkan apabila melalui trek tidak stabil.

"Kelajuan 160 kilometer sejam cuma untuk beberapa ketika untuk mendapatkan balik masa yang terbuang apabila kita terpaksa menunggu kereta api lain yang menggunakan landasan sama.

"Malah kelajuan ETS menjimatkan masa sehingga sejam dalam perjalanan ke Ipoh berbanding sebelum ini. Istimewanya ETS ialah ia mesra orang kurang upaya (OKU) seperti tandas. Stesen perhentian juga tidak melupakan OKU dengan kelengkapan seperti lif dan sebagainya.

"Kita mengharapkan kemudahan seumpama ini akan menarik lebih ramai pelanggan. Kami juga mensasarkan golongan profesional dan ahli perniagaan untuk menjadi pelanggan tetap ETS. Jika sambutan daripada golongan berkenaan menggalakkan, ETS mempertimbangkan untuk menjadikan salah satu koc sebagai koc kelas pertama," katanya ketika ditemui sempena pelancaran perkhidmatan itu ke Ipoh baru-baru ini.

Pihaknya juga bercadang melanjutkan perjalanan sehingga ke Padang Besar, Perlis di sebelah utara dan sehingga ke Gemas di selatan apabila landasan berkembar dijadualkan siap dibina pada tahun 2013.

Selain itu, ciri menarik yang turut ada pada ETS ialah ia menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar kerana bergerak menggunakan elektrik yang nyata lebih bersih dan menjimatkan.

Selama enam bulan penumpang yang ingin ke Ipoh menggunakan ETS cuma perlu membayar harga promosi sebanyak RM30 untuk perjalanan sehala dan akan dinaikkan kepada RM50 apabila tempoh itu berakhir.


Setelah tiba di destinasi.


Orang ramai yang mahu mencuba perkhidmatan itu boleh menghubungi talian 03-22723392 atau melayari laman web www.ets-train.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian tiket dan mendapatkan jadual perjalanan.

INFO: Kereta api elektrik (ETS) KTMB

•Tenaga elektrik lebih bersih, mesra alam

•Mempunyai lima koc

•Mampu bawa 350 penumpang pada satu-satu masa

•Kemudahan tandas, kafe, skrin LCD selain bantuan pramugari

•Mesra orang kurang upaya

•Perkhidmatan pramugari dan pramugara

•Bayaran RM50 seorang bagi perjalanan sehala selepas tamat promosi RM30 selama enam bulan

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KLkeIpohcuma2jam/Article/index

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran