TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 28 Ogos 2010

Insafi kekurangan diri

Sumber: Mingguan Malaysia Online.









Tarikh: 29 August 2010.

Esok, dengan keizinan Allah SWT kita bakal memasuki fasa yang ketiga dalam pembahagian puasa yang juga di sebut sebagai fasa al asyrul awahir iaitu 10 yang terakhir dari bulan Ramadhan. Ini bererti kita sudah kesuntukan masa bagi mengaut sebanyak mana ruang dan peluang untuk meraih gandaan pahala bagi menjamin keberuntungan yang berpanjangan di akhirat. Apatah lagi dengan adanya dalam fasa terakhir tersebut satu malam yang mempunyai kemuliaan, kebesaran dan kelebihan berbanding malam-malam yang selainnya iaitu yang disebut sebagai Lailatul Qadar.

Kemuliaan, kebesaran dan kelebihan malam ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah Al Qadr yang bermaksud : " Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam qadar, dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan, pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan, Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar". Di dalam surah al-Qadr ini, Allah SWT menyatakan bahawa kehebatan beribadah pada malam tersebut digandakan pahalanya seperti 1000 bulan atau bersamaan dengan 83 tahun 3 bulan.

Di dalam sebuah hadis riwayat dari Imam Ahmad, Abu Dzar r.a pernah bertanya kepada Rasul SAW tentang bilakah malam al-Qadr itu. Maka Nabi SAW menjawab: " Carilah ia pada 10 malam terakhir (dari bulan Ramadan)."

Imam Ahmad juga telah meriwayatkan sebuah hadis dari U'badah ibn al-Samit bahawa Rasul SAW telah bersabda : " Malam al-Qadr berlaku pada sepuluh terakhir. Barangsiapa yang menghayati malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah lalu dan akan datang. Malam al-Qadr berlaku malam yang ganjil iaitu malam kesembilan, malam ketujuh, malam kelima atau malam ketiga atau malam yang terakhir."

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut dalam kitab karangannya Tafsir al-Munir bahawa kebanyakan ulama menyatakan malam al-Qadr berlaku pada malam pada ke 27. Namun, apa yang lebih penting ialah keperluan menghidupkan 10 malam terakhir kerana di sana tersembunyi di antara malam-malam itu malam yang disebut al-Qadr. Jika kita mampu , hidupkanlah malam-malam ganjil dari 10 malam. Tetapi jika tidak mampu juga tumpukan sahaja pada malam 27 Ramadhan, moga-moga kita mendapat malam al-Qadr.

Apakah hikmahnya disembunyikan malam al-Qadr tersebut? Dalam hal ini, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan dalam tafsirnya, bahawa tujuan Allah SWT tidak menyebutkan bilakah malam al-Qadr itu supaya manusia akan bersungguh mencarinya pada setiap malam Ramadhan. Sehingga hampir setiap malam mereka menghidupkan malam tersebut dengan segala bentuk ibadah.

Di samping itu, terdapat amalan yang menjadi kebiasaan Nabi SAW yang wajar dicontohi oleh umat Muhammadiah iaitu beriktikaf. Junjungan Besar Nabi SAW apabila datang 10 malam terakhir baginda akan melakukan ibadah iktikaf. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar r.hma berkata : "Rasul SAW telah beriktikaf 10 malam terakhir di bulan ramadhan" (Riwayat Imam Bukhari). Begitu juga dalam periwayatan dari Ummul Mukminin Aisyah r.a, beliau berkata : "Sesungguhnya Nabi SAW telah beriktikaf pada 10 malam terakhir di bulan ramadhan hinggalah wafat baginda SAW." ( Riwayat Imam Tirmizi ).

Keutamaan

Beriktikaf di sini maksudnya berada di dalam masjid dengan niat yang khusus. Hukum iktikaf adalah sunat, namun pada 10 malam terakhir ia menjadi sunat muakkad (yang dituntut). Menurut perbahasan dalam kitab Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa keutamaan ibadat iktikaf ini untuk memberikan peluang kepada seseorang muslim menyibukkan dirinya bagi beribadat. Ini kerana, ketika beriktikaf seseorang itu perlulah menghabiskan masanya di masjid dengan meminimumkan hubungannya dengan urusan keduniaan.

Beriktikaf juga mampu meningkatkan konsentrasi kita dalam beribadat kepada Allah SWT. Iktikaf itu punya pelbagai manfaat antaranya menyuburkan iman kepada Allah SWT, memupuk ketulusan dalam beramal, tumpuan dalam beribadat , mendidik hawa nafsu, menjauhkan diri dari kesibukan dunia dan membina jiwa individu yang lebih mampu menghadapi cabaran hidup.

Namun apakah boleh hari ini kita melakukan iktikaf selain masjid seperti di surau diri jumaat, surau, madrasah dan sebagainya. Maka dalam hal ini, Imam Abu Ishak al-Shirazi dalam al Muhazzab menyatakan menjadi syarat iktikaf itu dilakukan hanya di masjid atau lebih utama di Masjid Jamek iaitu masjid yang didirikan solat Jumaat. Ini juga yang telah disebut oleh Imam Nawawi di dalam kitab Raudhatul Talibin wa Umdatul Muftin bahawa menjadi syarat kepada tempat iktikaf itu ialah masjid.

Inilah antara kelebihan anugerah Allah SWT kepada para hambanya, agar kekuatan dan tumpuan dalam beribadat akan memberi sentuhan yang luar biasa kepada individu, keluarga dan masyarakat Islam keseluruhannya. Cuma, sesuatu yang sering mengganggu umat Islam sekarang ialah kesibukan dan kekalutan urusan keduniaan hingga menyebabkan sentuhan tersebut tidak dapat dikecapi. Bagi saya yang sudah mencapai ke tahap" senior" ini, merasakan bahawa peribadatan puasa ini cukup bermakna apatah lagi kesempatan ini berada dalam ruang "waktu tambahan" dalam jangka hayat kebiasaan umat Muhammad SAW.

Saya sentiasa berfikir bagaimana junjungan besar Nabi SAW memaksimumkan kepenggunaan tenaga dan usaha dalam melaksanakan ibadat solat, qiyam, iktikaf dan ibadat sampingan yang lain dalam keadaan usia baginda yang sudah lanjut di samping tenaga yang agak berkurangan di saat-saat akhir hayatnya.

Biarpun demikian, baginda tetap komited melaksanakannya kerana keyakinan yang jitu bahawa keberuntungan yang besar menanti di akhirat. Inilah qudwah dan ikutan yang sukar untuk ditiru oleh umat secara keseluruhannya. Hasil dari itu, para sahabat dan masyarakat yang hidup ketika itu meraih kehidupan yang sejahtera, bermaruah dan disanjung kerana keutamaan mendahulukan urusan akhirat mendahului urusan keduniaan.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran