TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 24 Ogos 2010

Bubur lambuk pandu lalu

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Tarikh: 25 August 2010.

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar ihsan MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

KITA biasa mendengar tentang konsep pandu lalu atau dalam bahasa Inggeris drive thru terutamanya di pejabat pos terpilih ataupun di restoran makanan segera. Pendekatan mesra pengguna itu secara tidak langsung dapat menjimatkan masa dan mengelakkan kesesakan sewaktu beratur panjang untuk menunggu giliran.

Namun pernahkah kita mendengar tentang Bubur Lambuk Pandu Lalu? Mungkin ini adalah kali pertama serta sesuatu yang benar-benar baru pada bulan Ramadan ini, meskipun bubur lambuk amat sinonim dengan bulan Ramadan.



Hakikatnya, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi pelopor kepada satu konsep baru dalam sistem pengedaran bubur lambuk iaitu secara pandu lalu di pekarangan Jalan Khidmat Usaha, berhampiran Kompleks Kerajaan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Program Bubur Lambuk Pandu Lalu itu dilaksanakan setiap hari pada bulan Ramadan ini, bermula dari pukul 4 petang hingga 6 petang. Kaedah ini membolehkan orang ramai mendapatkan bubur lambuk dengan pantas dan mudah.

Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Zakariah Isa berkata, program julung kali itu sejajar dengan konsep memasyarakatkan masjid dan memasjidkan masyarakat.

"Sasaran agihan kita khususnya kepada orang ramai yang akan pulang berbuka di sekitar Jalan Duta selepas waktu bekerja dan juga jemaah yang datang berbuka puasa di masjid.

"Selain itu, kami juga membuat agihan kepada pasukan beruniform iaitu polis trafik yang terlibat dengan mengawal lalu lintas pada bulan Ramadan ini.

"Oleh itu, program amal Ramadan ini bukan sahaja memudahkan orang ramai yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas untuk berbuka puasa, kerana telah ada bekalan bubur lambuk di dalam kereta masing-masing.

"Tetapi pada masa sama, mereka berpeluang untuk menyumbang atau bersedekah mengikut kadar kemampuan masing-masing, lebih-lebih lagi dalam bulan yang digandakan segala amalan baik individu itu," katanya.

Menurutnya, peruntukan perbelanjaan untuk menjayakan program itu adalah sumbangan individu dan korporat.

Harapan Zakariah ialah semoga semua masyarakat di sekitar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, khasnya dan Kuala Lumpur, amnya memperoleh kemuliaan menerusi penganjuran aktiviti kebajikan iti.

Pada hari pertama Ramadan sebanyak 3,000 bungkusan bubuk lambuk telah berjaya diagihkan dalam masa 30 minit.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kebajikan dan Khidmat Sosial, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustazah Fathiah Abdul Rahman berkata, orang ramai yang berminat untuk menghulurkan sumbangan bagi membiayai penyediaan bubur lambuk di masjid itu boleh menghubunginya di talian 03-6201 8767/8791.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran