TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 14 Ogos 2010

Ke arah jadikan Malaysia hab halal dunia

Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.

Penulis: Mohd Yusof Abdul Rahman, bminggu@bharian.com.my

Tarikh: 2010/08/15

JAKIM patut diberi kuasa penuh dalam pensijilan produk patuhi syariah

ISU halal tidak pernah berkesudahan. Saban hari ada saja berita mengenai makanan dan produk yang diragui status halalnya. Baru-baru ini, timbul isu kopitiam yang mendapatkan bekalan bahan mentah tidak halal, walaupun mempunyai logo halal.

Begitu juga apabila tibanya Ramadan, banyak hotel menawarkan pakej ‘Bufet Ramadan’, walaupun tidak mempunyai pensijilan halal. Masalah berkaitan halal berterusan sekian lama, rakyat keliru. Sebagai negara Islam, sepatutnya persoalan mengenai hal ini tidak timbul di Malaysia.

Jika diteliti produk di pasaran, termasuk di restoran, ada pelbagai logo halal dipamerkan. Ada logo dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), ada juga logo dikeluarkan syarikat swasta, malah ada yang sekadar menggunakan perkataan Halal atau Ditanggung Halal.

Sebenarnya pensijilan halal di negara ini bersifat sukarela, tidak diwajibkan ke atas pengeluar produk atau restoran. Biasanya pengeluar, pengedar produk atau pengusaha restoran memohon sijil halal bagi menunjukkan produk mereka halal.

Malah ada yang menjadikan label halal sebagai pelaris atau gimik dalam menjual produk mereka, khususnya sebagai tarikan kepada orang Islam atau untuk memasuki pasaran di Asia Barat.

Peraturan berkaitan pensijilan halal di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), iaitu Akta Perihal Dagangan 1972 – Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975).

Akta ini menetapkan pengeluar makanan atau produk serta pengusaha restoran yang meletakkan sebarang bentuk perkataan atau logo yang menunjukkan makanan atau produk mereka halal, boleh dikenakan tindakan sekiranya ia didapati tidak halal, sama ada dari segi bahan mentah yang digunakan atau proses penyediaannya.

Akta ini tidak menetapkan pihak berkuasa yang diberi tanggungjawab sebagai pengeluar sijil halal. Justeru, selain JAKIM, JAIN atau MAIN, ada juga beberapa syarikat swasta memberikan khidmat mengeluarkan sijil halal.

Begitu juga logo halal yang diletakkan sendiri oleh pengeluar pada produk mereka. Semua logo ini jika berdasarkan kepada peraturan sekarang, adalah dibenarkan.

Peraturan yang longgar inilah menimbulkan masalah kepada pengguna. JAKIM, JAIN dan MAIN hanya salah satu pihak mengeluarkan sijil halal, selain swasta. Mungkin pengguna yakin dengan pensijilan halal JAKIM, JAIN atau MAIN kerana sebelum sijil dikeluarkan, pemeriksaan rapi dilakukan bagi memastikan bahan mentah, ramuan, proses penyediaan, penyimpanan dan sebagainya mematuhi hukum Islam.

Bagaimana pula dengan pensijilan halal yang dibuat syarikat swasta? Adakah mereka membuat proses sama? Lebih meragukan lagi jika logo halal itu dikeluarkan sendiri, siapakah sebenarnya yang mengesahkan status halal produk mereka?

Persoalan mengenai halal bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia bukan perkara yang boleh diperdagangkan. Lihat apa yang berlaku apabila pensijilan halal diswastakan kepada syarikat Ilham Daya pada 1998. Begitu juga apabila Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) mengambil alih tugas JAKIM mengeluarkan sijil halal pada 2008.

Ketika itu, timbul masalah keyakinan daripada pengguna Islam mengenai kewibawaan sijil halal diberikan, sama juga keadaannya dengan sijil halal dikeluarkan oleh syarikat swasta pada masa ini.

Justeru, sewajarnya pensijilan halal dikeluarkan hanya oleh agensi kerajaan bagi memastikan tiada konflik kepentingan. Ramai beranggapan apabila pensijilan halal dibuat syarikat swasta, mungkin persoalan ‘kewangan’ menjadi pertimbangan.

Malah, perlu diingat bahawa Malaysia adalah negara yang pensijilan halalnya dikeluarkan agensi kerajaan sehingga ingin dicontohi negara lain.

Bagi mengatasi kekaburan dalam Akta Perihal Dagangan, KPDNKK akan meminda akta ini bagi memberi kuasa hanya kepada pihak berkuasa agama mengeluarkan pensijilan halal. Ini satu langkah bagi mengatasi masalah keyakinan pensijilan
halal syarikat swasta. Begitu juga kebenaran kepada pengeluar untuk menggunakan label halal sendiri perlu dihentikan.

Selain itu, kerajaan juga memaklumkan bahawa Akta Halal akan dibentangkan tidak lama lagi. Mungkin ini satu penyelesaian bagi mengatasi kemelut ini. Apa yang diharapkan dalam akta ini ialah semua pihak yang ingin menjual produk mereka kepada pengguna Islam perlulah mendapatkan pensijilan halal daripada pihak berkuasa terlebih dulu.

Bagi menjadikan proses pengeluaran pensijilan halal dan penguatkuasaan berkaitan halal lebih mantap, Bahagian Hab Halal JAKIM perlu dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya atau perbadanan. Ia boleh dikenali sebagai Suruhanjaya Halal Malaysia atau Perbadanan Halal Malaysia.

Organisasi ini satu-satunya badan yang diberi kuasa untuk mengeluarkan pensijilan halal dan melakukan penguatkuasaan. Selain itu, organisasi ini perlu dilengkapi tenaga kerja mencukupi dari aspek pengeluaran sijil halal dan penguatkuasaan. Semua ini boleh dibuat melalui Akta Halal yang bakal diwujudkan kelak.

Dengan melakukan rombakan terhadap proses pensijilan halal yang wujud pada masa ini, maka diharapkan kedudukan halal di negara kita berada pada tahap yang sewajarnya, selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi hab halal dunia.

Penulis ialah Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KearahjadikanMalaysiahabhalaldunia/Article

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran