TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 22 Ogos 2010

Saiz kepala, bentuk badan bezakan spesies terubuk

Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.

Oleh Misiah Taib dan Hazirah Che Sab.

Foto: Mohd Radzi Bujang/Berita Minggu.

Tarikh: 2010/08/22

PERBEZAAN antara terubuk Sarawak dengan terubuk import ialah terubuk tempatan berkepala besar tetapi pendek manakala ikan import berkepala bulat dan panjang.

Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia, Johari Tim, berkata keistimewaan terubuk Sarawak lebih berlemak dan telurnya lebih besar.

“Perbezaan juga dapat dilihat daripada segi kesegaran. Terubuk tempatan lebih sedap kerana segar sedangkan terubuk import terpaksa dibekukan terlebih dulu,” katanya.


Atas (terubuk import), bawah - trubuk Sarawak.

Foto: Mohd Radzi Bujang/Berita Minggu.

Pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Sarawak pula, Albert Chuan, berkata terubuk import mempunyai bintik hitam di badan tetapi tiada pada terubuk sungai. Katanya, perbezaan terubuk tempatan dan import juga boleh dilihat pada harga.

“Terubuk sungai lebih mahal berbanding terubuk import. Sekali imbas memang sukar mencari perbezaan terubuk sungai dan terubuk import. Orang biasa memang selalu keliru,” katanya.

Ada dua jenis terubuk di Sarawak iaitu terubuk laut atau Tenualosa macrura yang boleh dikenali dengan fizikalnya bermulut kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil dan badan lebih gemuk.

Terubuk sungai Tenualosa toli mempunyai muncung atau mulut lebih besar dan panjang yang juga dikenali sebagai Terubuk Sarawak di kalangan penduduk negara ini. Terubuk adalah ikan pelagic dalam keluarga Clupeidae. Penentuan jantina ikan terubuk hanya dapat dikenal pasti apabila ia menjangkau usia dua tahun dan bertelur.

Mengikut kajian Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Tenualosa Toli mula bertelur dari bulan September hingga Oktober dan berkurangan pada bulan November. Bagaimanapun, ikan terubuk banyak memasuki sungai dari bulan April hingga bulan Oktober.

Musim ikan terubuk bermula agak lambat tetapi pendek iaitu Jun hingga Oktober bagi kawasan Batang Lupar, manakala bagi Batang Lassa pula, musimnya berpanjangan sehingga enam bulan iaitu April hingga November. Faktor ini disebabkan perpindahan terubuk berbeza antara Batang Lupar dan Batang Lassa.

Terubuk jantan boleh mencapai ukuran panjang sehingga 12.8 hingga 34 sentimeter manakala betina ialah dari 14 hingga 46.2 sentimeter dan masing-masing mempunyai purata berat 178.2 gram dan 533.9 gram.

Beza antara terubuk Sarawak dan import.

Foto: Mohd Radzi Bujang/Berita Minggu.


Bagaimanapun, Sarawak berdepan masalah kepupusan ikan terubuk yang meruncing berikutan penangkapan ikan tidak terkawal oleh nelayan tempatan, menyebabkannya tidak sempat sampai tempoh matang untuk menjadi terubuk betina dan bertelur untuk meneruskan pembiakan.

Justeru, usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membuat kajian ke atas sperma terubuk Sarawak yang kini semakin diancam kepupusan adalah satu berita baik.

Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Karim berkata, selepas kejayaan penyelidikan ke atas sperma ikan air tawar seperti kelah di Sungai Pahang dan temoleh di Sungai Perak, kini tumpuan akan diberikan kepada ikan terubuk di Batang Lupar, Sarawak.

Rohani berkata, ketika ini spesies ikan terubuk di negeri ini dikatakan semakin pupus akibat aktiviti penangkapan ikan terubuk yang tidak terkawal dan kaedah tradisional.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Rahsiaterubuk/Article/index

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran