TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 4 Ogos 2010

Jaminan halal

Sumber: Berita Harian Malaysia.

Oleh Mohd Azis Ngah, azis@bharian.com.my

Tarikh: 2010/08/01

Alat HaFYS kesan DNA babi dengan tepat, bantu pastikan restoran tepati piawaian Syariah





AWAL minggu ini, umat Islam digemparkan dengan berita sajian tidak halal yang disediakan kebanyakan kopitiam di negara ini. Pendedahan itu yang menyusuli laporan mengenai pasar raya menjual ayam tidak disembelih dengan sempurna, hanya mencetuskan kebimbangan ramai yang sudah pasti amat sensitif dengan isu halal haram makanan ini.

Persoalannya, selain logo halal disahkan kerajaan, apakah ada cara lain dapat membantu menangani isu ini, khususnya mengesan kehadiran unsur babi dalam makanan? Jawapannya - alat HaFSY atau sistem pengesahan halal yang dibangunkan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Malah, pada tempoh terdekat ini, jika melihat pegawai agama atau anggota penguatkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membawa alatan berwarna hitam seperti pembakar roti, memasuki mana-mana restoran, kilang atau kedai runcit, jangan tersalah sangka, ia bukan untuk dijual sebaliknya itulah HaFSY.

Alat itu sebenarnya adalah pengesan produk halal atau haram melalui pengesanan dan pengesahan Deoxyribonucleic Acid (DNA) yang dikhaskan bagi menentukan sesuatu produk mengandungi DNA babi atau tidak.

Ia dibangunkan IPPH selama lebih setahun yang terbukti berkesan, pantas mendapatkan keputusan dan mudah dibawa ke mana-mana.

Berbanding kaedah kajian sebelum ini, sampel produk akan dibawa ke makmal untuk dikaji dan keputusan paling cepat akan diperoleh selepas dua hari. Kini, ia cuma diperoleh dalam masa satu jam untuk menentukan produk mengandungi DNA babi atau tidak.
Bersesuaian moto produk HaFYS iaitu ‘one step, one button, one hour’ (satu langkah, satu butang, satu jam) sudah menceritakan kelebihannya.

Ia bermaksud pengguna boleh mengenal pasti atau mengesan kehadiran DNA babi dengan satu langkah penyediaan saja, menekan butang pada mesin PCR dan keputusan sama ada positif atau tidak boleh diperoleh dalam masa satu jam.

Bak kata Pengarah IPPH, Prof Dr Yaakob Che Man, melalui penggunaan produk itu, sesiapa saja boleh menguji sesuatu produk tanpa memerlukan kelayakan dalam bidang kajian DNA.

“Ustaz pun boleh buat, ia cukup mudah. Kita tak perlukan saintis untuk buat kerja pengesahan ini kerana keputusan yang diperoleh melalui alat ini tepat dan terbukti. Hanya masukkan sampel produk ke dalam alat kajian dan tunggu keputusan dalam masa sejam.

“Sesiapa saja boleh menggunakannya dan itulah matlamat ini supaya orang ramai sentiasa peka dengan produk halal atau haram dan satu daripadanya adalah melalui ujian saintifik makmal menggunakan produk HaFYS,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, ramai pengguna yang tidak tahu atau tidak faham apa yang dikatakan DNA iaitu bahan baka di dalam tubuh manusia dan hampir semua organisma lain.

Maklumat dalam DNA disimpan sebagai kod yang terdiri daripada empat asas kimia iaitu Adenine (A), Guanine (G), Citosin (C), dan Thiamin (T).

Jika dibuat kajian saintifik terhadap sesuatu produk dan ada jujukan atau urutan DNA daripada sumber haram dan sepadan dengan rekod DNA babi, secara automatik ia akan menunjukkan laporan positif. Begitu juga sekiranya ada DNA dari haiwan lain yang haram dimakan mengikut syarak.

Dr Yaakob menjelaskan, IPPH menjalankan penyelidikan mengikut kaedah penentuan kehadiran DNA daripada spesis haiwan yang tidak halal seperti babi bagi mengesahkan kehadirannya.

“Kami reka bentuk primer dan ‘probe’ (alat siasatan) sepadan dengan jujukan DNA babi. Seterusnya analisis lanjut Polymerase Chain Reaction (PCR) atau Ujian Tindakan Rantai Polimeris, dijalankan bagi menentukan sama ada wujud DNA babi dalam sesuatu produk halal. Hanya ada dua keputusan tepat iaitu positif atau negatif,” katanya.

Menurut Dr Yaakob, HaFYS bukan saja direka untuk mengesan unsur DNA babi dalam makanan tetapi berkesan dalam kajian terhadap pakaian, barangan kosmetik. Apa saja yang mempunyai unsur DNA babi walaupun dalam jumlah yang terlalu kecil, boleh dikesan menggunakan alat berkenaan.

Setakat ini, IPPH hanya memfokuskan kepada alat pengesanan kehadiran unsur DNA babi dan kini membangunkan kaedah sama mengesan kehadiran unsur alkohol.

Banyak pihak dikatakan mempunyai alatan PCR dalam menjalankan kajian makmal, tetapi produk HaFYS yang lebih terperinci diakui satu satunya produk di dunia yang dikhaskan kepada mengesan DNA babi.

“Dalam aspek sains, produk halal merujuk kepada kualiti yang baik (toyyibat) bermaksud produk itu selamat, bersih, berkhasiat, tidak memberi kemudaratan serta sesuai dengan fitrah manusia yang memerlukan benda yang baik.

“Dalam erti kata lain, konsep ‘halalan toyyiba’ seperti yang terkandung dalam Al Quran menepati makna sebenar produk halal. Menjadi tanggungjawab kami membantu umat Islam mengenal pasti produk halal atau haram dan menjadi tanggungjawab masyarakat menyedari hak mereka,” katanya.

Ketika ini produk ini yang mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat di Utah, Amerika Syarikat sudah pun diluluskan dan bersedia memasuki pasaran tempatan serta antarabangsa.

'Berpotensi jadi kaedah piawaian antarabangsa'

PRODUK pengesan produk halal atau haram melalui pengesahan Deoxyribonucleic Acid (DNA), HaFYS (Halal Verification System) berpotensi dipasarkan serta digunakan di seluruh dunia berdasarkan kaedah penggunaannya yang tepat dan mudah.

Ketika ini, produk hasil kajian dan penyelidikan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sudah mula diperkenalkan di serata dunia termasuk kepada 80 peserta luar negara mewakili agensi persijilan halal sempena MIHAS 2010, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah IPPH merangkap penyelidik, Prof Madya Dr Shuhaimi Mustafa, berkata pihaknya banyak bekerjasama dengan negara luar termasuk Thailand, Indonesia dan Turki dalam usaha mengenengahkan penggunaan HaFYS.

Kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berperanan penting dalam menentukan status produk halal dilihat sebagai peluang keemasan untuk memantapkan penggunaan produk halal di peringkat tempatan dan luar negara.

“Kami mempunyai hubungan erat dengan JAKIM dan bekerjasama memberikan penerangan dan melatih pegawai mereka dalam aspek analisis saintifik serta menerima banyak sampel yang dikategorikan sebagai was-was untuk dianalisis.

“IPPH cukup yakin, melalui JAKIM, produk HaFYS ini berpotensi menjadi kaedah standard dan boleh digunakan di seluruh dunia. Walaupun JAKIM mengeluarkan cop Halal tetapi bagaimana kita nak pastikan produk mereka betul betul halal,” katanya.

Selain itu, IPPH turut menganggotai banyak jawatankuasa di JAKIM serta bertanggungjawab melatih pegawai agensi itu dalam aspek analisis saintifik serta menerima banyak sampel yang dikategorikan sebagai was-was untuk dianalisis.

Katanya, kaedah penggunaan produk itu dilihat menepati cita rasa masyarakat kerana pengguna hanya perlu memasukkan sampel kecil produk ke dalam tabung kecil sebesar batang pen sebelum meletakkannya ke dalam pemegang khas.

“Sampel itu dimasukkan ke dalam tabung kecil yang mengandungi semua bahan kajian, ia akan mengesan sebarang unsur DNA babi. Itulah yang membezakan produk ini kerana PCR kami adalah satu satunya mesin mempunyai ‘primer dan probe’ yang khas untuk DNA babi,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh bagaimana ikan patin dan ikan keli yang didakwa diberi makanan bercampur unsur babi boleh dikesan sama ada mempunyai DNA haram atau tidak dengan cara mengkaji salah satu daripada sampel makanan, perut ikan, air kolam, lendir pada ikan dan lumut.

Dalam erti kata mudah, produk HaFYS akan dapat mengesan dengan tepat jika terdapat anggaran unsur DNA babi dalam sebarang produk dengan catatan bacaan 0.001 peratus ataupun satu auns (0.04 gram) bagi setiap satu kilogram.

Kesimpulannya, dalam konteks sains, produk halal merujuk kepada kualiti yang baik (toyyibat) bermaksud produk itu selamat, bersih, berkhasiat, tidak memberi kemudaratan serta sesuai dengan fitrah manusia yang memerlukan benda yang baik.

Itu bermakna konsep ‘halalan toyyiba’ seperti yang terkandung dalam al-Quran menepati makna sebenar produk halal yang tidak perlu diragui.

Info


Kaedah lain mengesan unsur haram


•Protein (ELISA)

•Lemak (Kromatografi, FTIR)

•Electric Nose

•Alkohol (GC)

Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH)


•Ditubuhkan tahun 2005 dengan nama Institut Produk Halal

•Ditukar nama kepada IPPH pada 2006

•Skop kajian:
1) Makanan
2) Pakaian
3) Kosmetik

•Produk HaFYS pernah memenangi Anugerah Harta Intelek Negara 2009.

Produk HaFYS


•Setiap mesin bernilai RM50,000

•Satu cartridge bernilai RM200

•Berat maksimum mesin: 4 kilogram

•Hampir sama dengan teknologi mengesan denggi, malaria dan influenza.

•Mempunyai primer dan probe yang pertama di dunia.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Jaminanhalal/Article/index

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran